Oct 4, 2011
Kastam Sahkan Cincin RM24 Juta Wujud...!!!
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan cincin berlian RM24 juta yang didakwa dibeli isteri perdana menteri Rosmah Mansor benar-benar wujud.
Bagaimanapun, dalam jawapan bertulis kepada ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (kiri) berkata, tiada pembelian dibuat terhadapnya.
"Dalam isu yang dibangkitkan ini, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) telah merujuk kepada JKDM, dan pihak JKDM telah mengesahkan bahawa tiada sebarang pembelian ke atas cincin tersebut.
"Setelah beberapa hari cincin tersebut dikembalikan semula kepada syarikat pemunya cincin berkenaan," katanya.
Dalam soalannya, Lim meminta perdana menteri menyatakan status siasatan polis, SPRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap dakwaan pembelian cincin bernama 'Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond'.
Isu itu didedahkan bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Hisham Shaharin (bawah, kanan) Julai lalu yang mendakwa mempunyai bukti kemasukan cincin itu menerusi rekod kastam.
Dakwanya, rekod itu menunjukkan nama Rosmah dimuatkan dalam ruang penerima dalam borang pelanggan, yang didakwanya bukti menunjukkan pembabitan isteri Datuk Seri Najib Razak itu.
Badrul Hisham yang juga pengerusi NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melaporkannya kepada SPRM pada 13 Julai lalu.
Rosmah bagaimanapun menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai fitnah dan tidak mahu melayannya selepas dua minggu ia ditimbulkan.
Rakyat Ikat Perut..Pemimpin Hidup Mewah...!!
Jumlah kos penyewaan sebuah pesawat Airbus A319 yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu percutiannya di Perth, Australia pada Hari Kemerdekaan, tahun ini berjumlah RM9.1 juta.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kekerapan penggunaan pesawat itu adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara.
Katanya, kos penggunaan berjumlah RM9.1 juta itu meliputi kos bahan api pesawat, caj tempat dan kendali, sajian serta logistik krew pesawat.
Nazri juga mendedahkan pesawat itu disewa daripada Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) itu bermula 3 Ogos 2007 lagi untuk kegunaan pemimpin terpenting di dalam kerajaan termasuk Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan juga Timbalan Perdana Menteri.
Nurul melalui soalannya meminta kerajaan menjelaskan siapa pemilik pesawat yang digunakan oleh Najib sewaktu percutiannya di Perth, Australia serta kekerapan penggunaannya dan kos yang telah dibelanjakan.
Nazri juga memberitahu bagi tempoh Januari sehingga Ogos 2011, kekerapan penggunaan pesawat adalah meliputi 155 sektor di dalam dan luar negara.
Berikutan maklumat daripada pembaca, Malaysiakini melaporkan seorang pegawai perdana menteri telah mengesahkan bahawa Najib sedang bercuti pada Hari Merdeka, 31 Ogos lalu tetapi enggan mendedahkan butirannya.
Bagaimanapun, tiada juga pengumuman rasmi bahawa perdana menteri sedang bercuti seperti yang lazim dilakukan oleh pejabatnya.
Berita itu kemudiannya disahkan bahawa Najib memang berada di Perth bagi mendapat rawatan fisioterapi berikutan pembedahan di lututnya dan juga untuk bercuti.
Ia kemudiannya menimbulkan persoalan sama ada adil atau tidak bagi seseorang perdana menteri untuk bercuti dengan menggunakan dana kerajaan dan kapalterbang milik negara.
Kapalterbang Penerbangan Malaysia Bhd (PMB) itu adalah dimiliki sepenuhnya oleh badan pelaburan kerajaan persekutuan Khazanah Nasional Bhd.
Sebelum ini, Dewan Rakyat tahun lalu juga dimaklumkan bahawa Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin membelanjakan RM21.4 juta wang rakyat bagi pelbagai lawatan di luar negara sejak 2008.
Belanjawan Untuk Rakyat...!!
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mengumumkan peruntukan belanjawan sebanyak RM220 bilion dengan mengekang defisit pada kadar 4.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Belanjawan itu adalah penjimatan RM14 bilion berbanding perbelanjaan kerajaan Barisan Nasional iaitu pada kadar defisit 6 peratus daripada KDNK, dengan rakyat mendapat 20 peratus nilai tambah.
Berikut intipati belanjawan yang dinamakan Belanjawan Sejahtera Rakyat yang dikemukakan di Dewan Rakyat hari ini:
-Bayaran bonus warga emas RM1000 setiap tahun kepada mereka yang layak dengan implikasi kewangan kepada kerajaan RM1.7 bilion.
-Pengumuman pengenalan gaji minima RM1,100 yang juga melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam mengikut tangga gaji.
-Mencadangkan pemotongan belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM 10 bilion dan dikembali kepada Kementerian lain.
-Lesen dan permit teksi akan di berikan terus kepada pemandu teksi dan tidak lagi secara konsesi.
-Lesen import AP akan dibuat secara lelongan dengan jangkaan menambah hasil negara sebanyak RM1.2 bilion berbanding amalan sekarang yang menguntungkan kroni.
-Bayaran bonus kepada suri rumah dan ibu yang layak sebanyak RM1000 setahun, dengan implikasi kewangan kepada kerajaan pusat sebanyak RM2 bilion.
-Tidak menggunakan tenaga perunding luar negara dan mengembalikan semula pengaruh kakitangan awam.
-Dividen dari PETRONAS diunjurkan pada kadar RM26 bilion sahaja, iaitu RM4 bilion lebih rendah dari amalan semasa Barisan Nasional walaupun keuntungan PETRONAS dijangka melonjak naik pada 2012 akibat harga minyak mentah yang tinggi.
-Mengembalikan cukai eksais dan duti yang dibatalkan terhadap barangan mewah seperti seluar dalam berjenama dan beg tangan yang dimansuhkan kerajaan BN.
-Menumpukan pembangunan wilayah terutama pembinaan infra termasuk lebuhraya yang menghubungi Sabah dan Sarawak.
-Melakukan reformasi politik dan pentadbiran. Antara janji adalah laksanakan semua tuntutan BERSIH2.0, memansuh ISA, OSA dan AUKU.
-Jabatan Perdana Menteri akan di rombak. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertanggungjawab terus kepada Parlimen.
Pada dasarnya, Tujuh prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:
- Membantu rakyat dalam masa terdekat mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit.
- Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khususnya untuk mengurangkan defisit.
- Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan.
- Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian memartabatkan rakyat.
- Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang manjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.
Subscribe to:
Posts (Atom)