Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Jan 16, 2012

Kenyataan Media...!!


SKANDAL NFC:KENYATAAN PENGURUSAN NFC BERCANGGAH DENGAN PENGUMUMAN BEKU ASET OLEH PERDANA MENTERI

Saya memandang serius kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif NFC, Encik Wan
Shahinur Izmir Salleh (yang juga anak kepada Dato’ Seri Shahrizat
Jalil) bahawa operasi NFC berjalan seperti biasa walaupun kerajaan
mengarahkan agar aset NFC dibekukan, yang dikeluarkan semalam.

Kenyataan itu menimbulkan persoalan apakah Dato’ Seri Najib Tun Razak
hanya membuat kenyataan kosong tanpa memberikan arahan khusus, atau
NFC mengingkari arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan?

KEADILAN konsisten mendesak supaya aset NFC dibekukan dan pentadbir
korporat (corporate administrator) dilantik untuk mengambil alih
pengurusan NFC dan melakukan audit penuh bagi membongkar kesemua
penyelewengan yang telah berlaku.

Tindakan “membekukan aset NFC” sepatutnya bermakna:

1. Sebarang perbelanjaan selain dari membayar gaji pekerja-pekerja
yang bertugas dalam operasi penternakan lembu (seperti yang
dimandatkan di dalam perjanjian pembiayaan oleh kerajaan) perlu
dibekukan;

2. Pengurusan sedia ada yang terdiri dari kaum keluarga Dato’ Seri
Shahrizat Jalil tidak dibenarkan membuat sebarang keputusan bersabit
operasi, kewangan, sumber manusia dan keputusan-keputusan penting
lain;

3. Sebarang pemindahan wang keluar dari NFC, termasuk pembayaran gaji
dan perbelanjaan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh keluarga
Dato’ Seri Shahrizat Jalil perlu dihentikan serta-merta; dan

4. Sebarang keputusan mengenai aset atau struktur syarikat dan
pelaburan tidak dibenarkan dibuat bagi mengelakkan pemindahan aset.

Secara lazimnya dalam amalan korporat yang berdasarkan tata kelola
yang baik, apabila seseorang disiasat akibat tuduhan pecah amanah,
beliau tidak dibenarkan masuk ke pejabat dan digantung serta-merta
bagi mengelakkan cubaan menghapuskan bukti.

Kenyataan NFC yang menunjukkan kaum keluarga Dato’ Seri Shahrizat
Jalil masih bebas menggunakan wang dan menguruskan operasi NFC membawa
risiko besar yang menjejaskan bukti dan rekod kewangan NFC.

Oleh yang demikian, KEADILAN mengulangi desakan supaya Dato’ Seri
Najib Tun Razak bertindak lebih berani dengan menggantung penglibatan
kaum keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di dalam operasi NFC dan
melantik pentadbir korporat (corporate administrator) untuk mengambil
alih pengurusan dengan mandat membongkar semua penyelewengan yang
telah berlaku.

Sekiranya ini tidak berlaku, KEADILAN tidak ada pilihan kecuali terus
membongkarkan pelbagai penyelewengan yang ada di dalam rekod kami
untuk meningkatkan tekanan politik terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak
untuk bertindak dengan telus dan tidak berdolak dalih.

Petang esok (17 Januari 2012, jam 2 petang di Balai Polis Dang Wangi),
aktivis KEADILAN diketuai Saudara Fariz Musa, ahli Majlis Pimpinan
Pusat akan membuat satu lagi laporan polis mengenai perbelanjaan kad
kredit oleh keluarga Dato’ Seri Sharizat Jalil dalam tahun 2009 yang
melampaui batas.

Penelitian KEADILAN menunjukkan bahawa dalam tahun 2009, perbelanjaan
kad kredit oleh kaum keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil mencecah
RM593,500 yang dibiayai sepenuhnya oleh wang rakyat melalui NFC
seperti berikut:

JUMLAH SETAHUN PURATA SEBULAN

Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail RM182,525 RM15,210
Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh RM160,673 RM13,389
Wan Izzana Fatimah Mohamad Salleh RM127,900 RM10,658
Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh RM122,402 RM10,200


Pendedahan sebegini akan diteruskan sehinggalah Dato’ Seri Najib Tun
Razak mengambil tindakan yang melambangkan beliau dan rakan-rakan
kabinet beliau menerima sepenuhnya pertanggungjawaban ke atas
penyelewengan yang berlaku di dalam NFC.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
16 JANUARI 2012

Kenapa Tak Buat Je Kilang Tu Di Australia...??


YAKIN KILANG LYNAS SELAMAT -UM

KUANTAN 15 Jan. - Majlis Belia Daerah Kuantan yakin pembinaan kilang memproses nadir bumi oleh syarikat Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) selamat serta tidak berbahaya terutama kepada penduduk berhampiran Kawasan Perindustrian Gebeng di sini.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuantan, Md. Jamil Pauzi berkata, ini kerana penjelasan mengenai kadar radiasi kilang tersebut dibuat berdasarkan fakta, hasil kajian saintifik yang dilakukan oleh beberapa badan bertanggungjawab dan bukannya bersifat kenyataan politik.

"Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) serta pakar-pakar luar negara juga telah mengesahkan bahawa pembinaan kilang itu selamat.

"Isu ini telah diputarbelitkan fakta oleh pihak tertentu yang kononnya kilang berkenaan akan memudaratkan rakyat," katanya kepada Utusan Malaysia selepas melawat kilang tersebut di sini hari ini.

Selain melawat tapak pembinaan kilang tersebut, kesemua 160 ahli Majlis Belia Kuantan diketuai Md. Jamil turut diberi penerangan mengenai projek itu oleh Pensyarah Program Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Ismail Bahari.

Mengulas mengenai tindakan pembangkang yang mempolitikkan isu pembinaan kilang tersebut, Md. Jamil berkata, kerajaan negeri pasti akan mengutamakan soal keselamatan rakyat terhadap kesan radioaktif atau radiasi dari kilang tersebut sebelum bertindak meluluskan tapak pembinaan kilang itu.

"Tahap radiasi yang dihasilkan oleh kilang pemprosesan nadir bumi itu adalah jauh lebih rendah dan selamat dari segi kuantitinya berbanding hasil sampingan dari loji-loji jana kuasa nuklear," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Dr. Ismail kepada mereka.

"Ia cukup lengkap dengan fakta-fakta dan hasil kajian yang menjelaskan mengenai keselamatan kilang tersebut," katanya.

NOTA:

hanya nak tanya satu soalan

kalau selamat kenapa kilang ini
tidak didirikan di australia?
dan kenapa rakyat australia membantah?

kalau dapat terangkan
kenapa tidak didirikan di australia
maka barulah rakyat malaysia percaya

Lembu Pun Pandai Pakai Kad Kredit...!!


Dalam usaha memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk bertanggungjawab terhadap skandal projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), PKR hari ini membuat satu lagi pendedahan mengenai dakwaan penyalahgunaan dana NFC.

Kali ini, dakwa pengarah strategi PKR Rafizi Ramli, empat ahli keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil membelanjakan RM593,500 pada tahun 2009 dengan kad kredit yang wangnya dari dana NFC.

Menurut Rafizi, empat ahli keluarga yang memegang jawatan pengurusan dalam NFC telah menggunakan kad kredit yang bayarannya dituntut dari NFC bagi perbelanjaan antara RM122,402 dan RM182,525 setiap seorang.

Mereka adalah suami Shahrizat, Datuk Mohammad Salleh Ismail, iaitu pengerusi NFC, anak lelaki mereka yang berusia 31 tahun, Wan Shahinur Izmir (pengarah eksekutif), seorang lagi anak mereka Wan Shahinur Izran yang berusia 27 (ketua pegawai eksekutif) dan anak perempuan mereka Wan Izzanah Fatimah (pengarah) yang berusia 25 tahun.

“PKR tidak ada pilihan kecuali terus membongkarkan pelbagai penyelewengan yang ada di dalam rekod kami untuk meningkatkan tekanan politik terhadap Datuk Seri Najib Razak
untuk bertindak dengan telus dan tidak berdolak dalih,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, petang esok pada jam 2 petang, aktivis PKR yang diketuai Fariz Musa akan membuat satu lagi laporan di Balai Polis Dang Wangi mengenai perbelanjaan kad kredit oleh keluarga Ketua Wanita Umno itu yang didakwa melampaui batas.

Bagaimanapun, Rafizi tidak mendedahkan butiran perbelanjaan berkenaan.

Mengenai kenyataan Izmir, semalam, bahawa NFC masih menjalankan "perniagaan seperti biasa" walaupun Sabtu lalu kerajaan mengumumkan bahawa aset syarikat berkenaan telah dibekukan sementara menunggu sisatan, Rafizi mempersoalkan sama ada Najib hanya membuat kenyataan kosong tanpa memberikan arahan khusus, atau NFC mengingkari arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Katanya, tindakan “membekukan aset NFC” sepatutnya bermakna:

•Sebarang perbelanjaan selain dari membayar gaji pekerja-pekerja yang bertugas dalam operasi penternakan lembu (seperti yang dimandatkan di dalam perjanjian pembiayaan oleh kerajaan) perlu dibekukan;

•Pengurusan sedia ada yang terdiri dari kaum keluarga Shahrizat tidak dibenarkan membuat sebarang keputusan bersabit operasi, kewangan, sumber manusia dan keputusan-keputusan penting lain;

•Sebarang pemindahan wang keluar dari NFC, termasuk pembayaran gaji dan perbelanjaan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh keluarga Shahrizat perlu dihentikan serta-merta; dan

•Sebarang keputusan mengenai aset atau struktur syarikat dan pelaburan tidak dibenarkan dibuat bagi mengelakkan pemindahan aset.

Menurut Rafizi, secara lazimnya dalam amalan korporat yang berdasarkan tata kelola yang baik, apabila seseorang disiasat akibat tuduhan pecah amanah, beliau tidak dibenarkan masuk ke pejabat dan digantung serta-merta bagi mengelakkan cubaan menghapuskan bukti.

“PKR mengulangi desakan supaya Najib bertindak lebih berani dengan menggantung penglibatan kaum keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil di dalam operasi NFC dan melantik pentadbir korporat (corporate administrator) untuk mengambil alih pengurusan dengan mandat membongkar semua penyelewengan yang telah berlaku,” katnya lagi.

Sementara itu, Wan Shahinur Izran melalui akaun Twitter miliknya, hari ini menafikan dakwaan PKR bahawa beliau dan anggota keluarganya yang lain menyalah-gunakan kad kredit syarikat untuk tujuan peribadi.

"Perbelanjaan syarikat dibayar melalui kad kredit. Usaha PKR untuk menipu itu cuba memperbodohkan orang ramai,” tulisnya di Twitter berhubung dakwaan yang dibuat Rafizi itu.

"PKR akan sentiasa membuat fitnah dan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan. Ini adalah politik. Kami akan bekerjasama dalam sebarang siasatan.” -Malaysiakini

Udah-Udah Le....!!


Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa pemimpin politik dan media berhenti memalukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu melibatkan dakwaan salah laku seks kerana mahkamah sudah memutuskan ketua pembangkang tidak bersalah.

Ini kerana, menurut mursyidul am PAS, Anwar juga manusia biasa yang mempunyai perasaan malu setelah bertahun-tahun diasak dengan isu tersebut.

"Anwar ini manusia, bukan batang kayu. Dia reti malu. Bertahun-tahun surat khabar malukan dia. Orang (yang malukan) ini berdosa, kerana mencabul maruah tadilah... Dia berdosa.

"Tahu-tahu (keputusannya) terbalik sekelip mata... Orang yang memalukan itu dia pula dimalukan sekarang," kata Nik Aziz (atas) yang juga menteri besar Kelantan.

Anwar pada 9 Januari lalu dibebaskan dari tuduhan meliwat bekas pembantunya pada 2008 kerana hakim Mahkamah Tinggi mendapati tiada bukti kukuh yang menyokong keterangan pengadu.

Bermula kelmarin, beliau diasak dengan isu baru apabila dilaporkan memberikan jawapan kontroversi terhadap soalan sama ada beliau bersedia menerima "idea anti-diskriminasi yang melibatkan hak-hak golongan gay".

Yakin menang besar

Dalam wawancara dengan BBC pada Khamis, yang dipetik semula beberapa media tempatan, Anwar dilapor berkata: "kami perlu menyemak semula sebahagian daripada undang-undang lapuk kami."

Ketika diwawancara Malaysiakini di kediaman rasminya di Kota Baharu pada Khamis, Nik Aziz menggesa pihak terlibat bermuhasabah kerana tindakan memalukan orang bukan sikap seorang pejuang Islam.

"Saya kata, biarlah orang ini bermuhasabah. Kita nak menentang lagi kesian pada dia... Orang rebah. Diam sekejap, bermuhasabah. Buat dosa tak pasal-pasal di akhirat Anwar Ibrahim pula jadi jutawan kerana pahala orang itu diberi kepada dia.

"Dosa Anwar pula naik kepada dia. Jadi sekarang ini saya minta orang-orang yang memalukan Anwar Ibrahim, berhenti. Perjuangan Islam tak payah memalukan orang," katanya.

Nik Aziz juga menegaskan bahawa dalam Islam, maruah antara lima perkara yang wajib dipertahankan dalam Islam selain agama, nyawa, akal dan harta benda.

Sementara itu, mengulas peluang PAS mempertahankan Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang, Nik Aziz berkata, beliau yakin parti itu akan memang besar sekiranya pilihan raya berlangsung dengan bebas dan adil.

Dakwat kekal perkara kedua, ketiga

"Kalau demokrasi dijaga dengan baik, tidak rasuah, tidak ugut, tidak (guna) ISA, tiada sebab rakyat tak undi Islam. Cina sekarang ada kelab penyokong PAS.

"Saya pun tak terfikir Cina ada kelab penyokong PAS sedangkan PAS dimomok-momokkan, difobiakan," katanya.

Mengulas perkembangan tidak sihat itu dengan memberi contoh, Nik Aziz mendakwa, beliau difahamkan seorang wakil rakyat daripada negeri itu bahawa terdapat sebuah rumah di Kelantan yang terdapat 13 pengundi "Melayu Thailand" didaftarkan di alamat itu.

"Mana boleh terima 13 orang duduk satu rumah. Umno ini, orang Melayu dah tak percaya dah, maka dia ambil orang lain.

"Kalau Melayu sendiri dah tak percaya pada Umno, berhentilah. Tapi dia ambil orang lain pula. Bangladesh pun ada ambil," dakwa anggota dewan undangan negeri Chempaka itu.

Ditanya tentang perkembangan baru apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersetuju menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum akan datang, bagi Nik Aziz, yang lebih penting adalah membersihkan daftar pemilih.

"Dakwat ini perkara yang kedua, (dan) ketiga, Perkara pertama bagi saya ialah senarai pengundi. Senarai pengundi, saya dengar banyak (aduan)," katanya.-Malaysiakini