Jan 12, 2012
PR Optimis Akan Menawan Putrajaya...!!
PETALING JAYA, 11 Jan: Pakatan Rakyat akan memasuki pusingan akhir dengan penyusunan agenda khusus dalam usaha membentuk momentum kebangkitan rakyat, ke arah merealisasikan harapan pakatan itu menggantikan BN ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.
Dengan tema 'Bersihkan Malaysia', pakatan tersebut akan melakukan pecutan akhirnya di Alor Setar, Kedah pada 14 Januari ini menerusi Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3, dengan perlaksanaan pelbagai agenda sebagai hala tuju bersama parti-parti gabungannya.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemilihan tema "Bersihkan Malaysia" bagi konvensyen itu merupakan gambaran komitmen yang tinggi di kalangan parti-parti gabungan Pakatan Rakyat bagi mengatasi masalah-masalah yang berlaku dalam negara sejak BN memerintah.
Menurutnya, dalam hubungan itu, tumpuan utama Pakatan Rakyat adalah terhadap persoalan krisis kepimpinan beramanah yang berlaku di dalam Kerajaan BN sehingga menyebabkan rakyat tertindas dalam pelbagai aspek.
Katanya, akibat krisis kepimpinan beramanah telah mencetuskan pelbagai krisis lain di negara ini termasuk krisis politik, ekonomi dan sosial.
"Semua itu telah menyebabkan negara berada dalam keadaan tidak sihat dan Pakatan Rakyat perlu mengatasinya dengan meletakkan kembali kepimpinan beramanah demi kepentingan negara serta rakyat dengan tindakan-tindakan yang tegas," katanya pada sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat, di sini, hari ini.
Pemilihan Kedah sebagai tempat konvensyen itu, menurutnya, berdasarkan pusingan, hasil persetujuan bersama parti-parti gabungan Pakatan Rakyat untuk mengadakan program tersebut di negeri-negeri yang berada di bawah pemerintahan pakatan itu.
"Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-1 telah diadakan di Shah Alam, Selangor pada tahun 2009, kedua di Kepala Batas di Pulau Pinang pada tahun 2010 dan kini tibalah pula ke Alor Setar di Kedah," jelasnya yang juga Pengerusi Induk Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menjelaskan, dengan itu dalam masa yang sama, semua pihak akan beralih tumpuan ke Kedah yang berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak, untuk dinilai perkembangannya yang jauh lebih baik berbanding negeri itu berada di bawah pemerintahan BN sebelum ini.
Pada konvensyen tersebut, beberapa kertas kerja akan dibentangkan oleh pembentang-pembentang kertas kerja yang berwibawa meliputi empat aspek terpenting terutama dalam konteks semasa termasuk perkhidmatan awam, federalism, ekonomi dan Felda.
"Kertas kerja mengenai aspek perkhidmatan awam yang melibatkan cadangan kerajaan untuk melaksanakan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dibentangkan oleh Datuk Husam Musa dari PAS, kertas kerja mengenai aspek federalism akan dibentangkan oleh Anthony Loke dari DAP.
"Manakala kertas kerja mengenai aspek ekonomi akan dibentangkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR dan kertas kerja mengenai Felda pula akan dibentangkan oleh Haji Suhaimi dari PKR," tegas beliau.
Konvensyen tersebut akan berlangsung di Stadim Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Suka Menanti dengan melibatkan 600 perwakilan bagi setiap parti gabungan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP, bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang, manakala pada sebelah malamnya akan diadakan Rapat Rakyat Perdana.
Pada acara Ucapan Pembukaan Pimpinan yang bermula jam 9.15 pagi, pemimpin-pemimpin yang akan berucap termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Senator Tunku Abdul Aziz, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
Mulai jam 10.30 pagi pula, akan bermula acara Ucapan Suara Nurani Rakyat Malaysia yang dipengerusikan oleh Datuk Johari Abdul yang turut melibatkan wakil Felda, Siti Khalijah; wakil penjawat awam, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab; wakil Sabah, Tan Sri Simon Sipaun; wakil Sarawak, Nicholas Mujah; wakil budayawan, Dinsman; wakil akademik, Profesor Dr Nazari Ismail; wakil NGO, Datuk Ambiga dan wakil pemuda atau pelajar, Shukri Razab.
Mulai jam 11.45 pagi akan diadakan perbahasan perwakilan sehingga ke waktu rehat jam 1.15 petang yang akan disambung pula ke jam 2.30 petang dan akan disusuli dengan Pembacaan Ikrar Setia Para Perwakilan pada jam 3.00 petang.
Ini akan disusuli dengan ucapan penggulungan pimpinan yang dipengerusikan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dengan melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha DAP, Lim Guan Eng; Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi DAP, Karpal Singh; Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Acara Rapat Rakyat Perdana yang akan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bermula jam 7.00 malam dengan solat Maghrib dan Isyak berjamaah dan kemudian disusuli dengan ceramah oleh tokoh-tokoh penting Pakatan Rakyat.
Mereka terdiri daripada Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Tan Seng Giaw, Tan Sri Khalid Ibrahim, Mohamed Azmin Ali, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Karpal Singh, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir pada sidang media itu, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Naib Presiden PKR, N Surendran dan Naib Pengerusi DAP, Tan Kok Wai.
DS Anwar Masih Belum Selamat...!!
Anwar tak bersalah: Rayuan akan dibuat, kata Yusof -MK
Pihak pendakwaan kes perbicaraan liwat II yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu membuat rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan ketua pembangkang itu daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Isnin lalu.
Dalam laporan berita Buletin Utama, terbitan TV3, Peguam Cara II Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dipetik berkata keputusan membuat rayuan dibuat setelah mengkaji semua bukti berhubung kes berkenaan.
Mohd Yusof juga dilaporkan berkata cadangan berkenaan akan dikemukakan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak lama lagi supaya rayuan boleh difailkan dalam tempoh 10 hari.
Isnin lalu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, mengambil masa kurang dari lima minit dalam membuat keputusan untuk membebas dan melepaskan Anwar selepas memutuskan untuk tidak menerima bukti DNA. Beliau sebelum ini, menerima bukti berkenaan ketika dibentangkan oleh pihak pendakwaan.
Pada peringkat akhir pembelaan, katanya, beban membuktikan mesti melampaui keraguan munasabah.
Menurut Mohamad Zabidin, meskipun mahkamah menerima bukti yang dikemukakan oleh ahli kimia yang dilantik oleh kerajaan - Dr Seah Lay Hong dan Nor Aidora Saedon, namun mahkamah memilih menolak kenyataan mereka selepas mendengar keterangan dari dua saksi pakar Anwar dari Australia.
Semalam, Azlan Mohd Lazim, bapa kepada pengadu kes liwat II, Mohd Saiful Bukhari berkata beliau akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil sekiranya Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan.
Sebelum ini, beberapa peguam kes jenayah memberitahu Malaysiakini bahawa hak untuk membuat rayuan terletak di tangan Peguam Negara yang mempunyai 14 hari untuk berbuat demikian.
Harapkan Pagar..Pagar Makan Padi...!!
. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Yb. Datuk Jamil Khir Baharom dan Datuk Che Mat Che Ali Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan tidak boleh lari dari tanggungjawab setelah berdepan dengan dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa. Paling ringan, tanggungjawab yang mesti diambil oleh mereka ialah meletakkan jawatan. Perletakan jawatan itu kelak akan memudahkan proses siasatan diambil apabila dakwaan rasmi telah dikemukakan ke atas salah laku mereka.
2. Menggunakan RM 63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman mereka mengadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suatu perbuatan tercela justeru ia melibatkan wang milik asnaf yang sewajibnya diagihkan
[ Merujuk kepada laporan Ketua Audit :
a] 11 Januari 2010 MAIWP menerima bil berjumlah RM63,000 daripada peguam Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir kerana mewakili ketiga-tiga mereka di atas bagi kes permohonan qazaf Anwar.
b] Datuk Che Mat Che Ali Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [MAIWP] telah meluluskan bayaran RM31,500 daripada peruntukan Am pada 28 Januari 2010. Geran kerajaan masih lagi belum diterima, bayaran dibuat menggunakan peruntukan zakat pada 9 Februari 2010.
c] MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman RM32,150 pada 29 April 2010 menggunakan peruntukan zakat.]
3. Timbul beberapa persoalan besar yang jelas bertentangan dengan nilai integriti dan tanggungjawab seorang pemegang amanah.
a] Mereka tiada hak dan kelayakan menggunakan wang zakat justeru mereka bukanlah asnaf yang berhak menerimanya . Persoalan dan kedudukan hukum ini akan saya jelaskan dalam kenyataan saya pada siri kedua nanti.
b] Berlaku Penyalahgunaan kuasa apabila yang meluluskan sejumlah wang zakat tersebut atas nama Setiausaha MAIWP kepada Pengarah JAWI untuk pembiayaan kos guamannya, sedang pemegang kedua - dua jawatan itu adalah orang yang sama iaitu Datuk Che Mat Che Ali.
4. Kelihatan Yb Datuk Jamil Khir cuba untuk melarikan diri dari isu ini apabila menuding kononnya ini adalah propaganda pembangkang. Sedang isu ini adalah jelas bagaimana beliau menggunakan wang zakat dan ternyata beliau tidak boleh menafikan kesohihan dakwaan tersebut.
5. Lebih kesal apabila mufti turut diseret oleh beliau untuk mengeluarkan kenyataan mempertahankan kebathilan yang dilakukan oleh beliau selaku Menteri Agama iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap amanah ummat Islam. Mufti selayaknya mengeluarkan kenyataan untuk memelihara dan memihak kepada kebenaran bukan mencari aqal untuk membebaskan salah laku mereka yang bertaraf menteri.
Tugas utama Mufti ialah jaga agama bukan jaga menteri.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Subscribe to:
Posts (Atom)