Sep 27, 2011
Tinggal 2 Minggu Lagi..., Apa Khabar Bersih 2.0..?
Bersih 2.0/PAS/Pakatan Rakyat pernah memberi tempoh 3 bulan kepada SPR/BN agar melaksanakan segera 8 tuntutan Bersih 2.0. Kini hanya tinggal tidak sampai dua minggu tempoh yang diberikan akan berakhir.
Nampaknya SPR/BN tidak melakukan apa-apa. Mereka tiada rasa bersalah dan tiada rasa gentar. Malah mereka sudah berkira-kira dan membuat persiapan untuk pilihanraya ke-13.
Habis bagaimana dengan Bersih 2.0/PAS/Pakatan Rakyat? Kepala rakyat yang berdarah telah berparut. Yang gugur di medan juang, tanah kuburnya makin kesepian . Asap gas pemedih mata telah hilang aromanya. Apakah langkah susulan seterusnya sedangkan SPR/BN tampak akan melaksanakan pilihanraya tidak beberapa lagi. Maknanya, rakyat sekali lagi akan menghadapi PRU13 tanpa apa-apa perubahan berbanding dengan PRU sebelumnya yang tempang dan tidak adil.
Nampaknya kita akan bertanding lagi tanpa akses media yang adil. Di manakah akhbar harian kita, Purnama, yang tidak berjawab sekian tahun? Kita akan bertanding lagi berpandukan daftar pemilih yang penuh dengan kemuncup. SPR hanya membuang beberapa bunga kemuncup yang dibantah oleh agen Pakatan Rakyat. Bagaimana dengan pengundi klon yang tidak dapat dikesan atau terlepas pandang yang jumlah berpuluh kali ganda banyaknya?
Kita akan bertanding lagi tanpa dakwat kuku. Belum ada kemuktamadan oleh pihak SPR tentang kaedah pengundian ini. Yang ada hanyalah baru ura-ura yang boleh berubah nada apabila tiba saatnya seperti PRU12.
Kita akan bertanding lagi dalam perangkap undi pos yang diberitakan ada sedikit sentuhan kosmetik. Apakah perubahan itu mampu menjadikan pengundian lebih telus dan boleh dipercayai.
Bagaimana pula dengan empat lagi tuntutan iaitu, pengukuhan institusi awam, tempoh kempen minimum 21 hari, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor? Sudah lupakah kita setelah diberi pil kuda oleh UMNO/BN melalui isu komunis dan hududnya.
Harap-harap Bersih 2.0/PAS/Pakatan Rakyat sudah ada pelan A dan pelan B. Sebaik-baiknya ada pelan pra dan pascanya. Apa yang akan dilakukan sebelum PRU13 sekiranya tuntutan tidak dipenuhi dan apa pula tindakan selepas PRU13 sekiranya BN terus berkuasa melalui penipuan dan demokrasi tempang?
Tekanan terhadap SPR/BN mesti diutamakan. Ini isu kita. Bukannya kita tenggelam oleh isu yang dilontarkan oleh pihak lawan sehingga kita berebut-rebut menghurunginya. Tuntasnya, rakyat mahu mendengar apakah strategi, pelan dan tindakan segera setelah tempoh tiga bulan akan berakhir tidak lama lagi. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Tak perlu berdakwat, kalau tidak sampai hitam.
Mimipi Ngeri Buat Rakyat Malaysia..!!
GST masa terdekat, 10 juta rakyat tanggung beban-KD
PETALING JAYA: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam keadaan inflasi masih tinggi, akan menambah bebanan sara hidup rakyat.
Menurut pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, Sekiranya GST dilaksanakan dalam masa terdekat, 10 juta rakyat Malaysia yang selama ini tidak layak membayar cukai, terpaksa menanggung bebanan cukai baru.
“Ini akan menambah beban mereka yang terpaksa berdepan dengan persoalan gaji yang rendah, inflasi yang meningkat dan bebanan cukai yang baru,” kata beliau ketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.
KEADILAN katanya tidak menolak GST sebagai satu kaedah percukaian, tetapi mempertikaikan kesesuaian pelaksanaannya pada ketika hanya 1.7 juta rakyat Malaysia dianggarkan layak membayar cukai pendapatan.
“Sebahagian besar rakyat Malaysia tergolong di dalam kategori yang dikecualikan dari membayar cukai pendapatan kerana gaji yang rendah,” ujarnya.
Pada masa yang sama, kenyataan Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu itu masih samar, malah tidak menetapkan tarikh pelaksanaan cukai tersebut.
“Oleh yang demikian, KEADILAN menyeru Barisan Nasional supaya menjelaskan pendiriannya mengenai pelaksanaan GST termasuklah tarikh pelaksanaan sebelum pilihanraya umum ke-13 (PRU13) diadakan, untuk membolehkan rakyat membuat keputusan yang telus dan tepat,”.
“Di kebanyakan negara-negara yang telah melaksanakan GST, isu ini telah dibawa menjadi isu utama pilihanraya dan keputusan pilihanraya menjadi referendum sama ada rakyat mempersetujui pelaksanaan GST atau tidak,” katanya.
Menurut Rafizi, PRU13 perlu digunakan sebagai referendum untuk mengambil kira pandangan rakyat mengenai pelaksanaan cukai baru ini.
“Di negara-negara yang telah melaksanakan GST, cukai ini diperkenalkan sebagai ganti kepada cukai pendapatan,”.
“Kadar cukai pendapatan diturunkan serta merta apabila GST diperkenalkan, lantas rakyat tidak mengalami bebanan cukai tambahan kerana sumbangan cukai dari rakyat hanya dialihkan dari cukai pendapatan kepada GST,” katanya.
Hentikanlah Kekejaman Polis...!!
Pekerja pembersihan dakwa dipukul selepas tegur polis buang sampah-MR
Seorang pekerja syarikat pembersihan sisa pepejal mendakwa dipukul oleh anggota polis ketika sedang menjalankan tugas di sebuah taman perumahan di Kodiang dekat sini pada 11.30 pagi Sabtu lepas.
Mohd Ridzuan Mohd Noor, 23, berkata ketika kejadian dia sedang mengangkut sampah di kawasan itu dan dia menegur seorang lelaki yang tidak membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan di situ.
"Saya hanya menegur supaya dia buang sampah ke dalam tong sampah. Mungkin dia tidak puas hati dengan teguran saya dan dia terus tinggikan suara dan masa tu berlaku pertengkaran mulut."
"Dia juga mengugut nak tembak saya kalau dia ada pistol sebelum dia beredar dari tempat itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Katanya kira-kira 30 minit selepas kejadian pertengkaran mulut berlaku, dia didatangi lima lelaki lain yang datang dan memukulnya tanpa sebab.
"Depa (mereka) menendang saya hingga jatuh. Kemudian depa heret saya dengan tangan bergari bawa saya ke Balai Polis Kodiang dengan menaiki motosikal. Sampai di balai, saya dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dan dipukul."
"Kemudian lelaki yang bertengkar dengan saya datang ke bilik itu dan turut memukul saya sebelum saya dibawa masuk ke dalam lokap tanpa sebab. Masa tu baru saya tahu dia (lelaki yang bertengkar dengannya) adalah anggota polis," kata mangsa.
Dia berkata dia ditahan di dalam lokap kira-kira setengah jam sebelum anggota polis tersebut melepaskannya.
"Selepas kejadian itu, saya pergi ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan dan doktor memberitahu pipi kiri, bahu dan tulang rusuk kiri ada kesan lebam. Saya juga membuat laporan polis tentang kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Ibrahim Mohamad Yusof ketika dihubungi berkata beliau telah menerima laporan tentang kejadian itu.
"Kita telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan," katanya. - BERNAMA
Adakah Mismah Layak Mendapat Status Penduduk Tetap..??
Laporan Utusan Malaysia pada 23 September 2011, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad telah membuat ulasan mengenai tuduhan rakyat Bagladesh mendapat status Penduduk Tetap atau Permanent Residen(PR) di negara kita. Kenyataan beliau adalah seperti berikut :
''Peraturan Imigresen sedia ada tidak membenarkan pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara untuk memohon PR di negara ini.”
“Di bawah Akta Imigresen 1963, hanya suami atau isteri warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia berserta anak-anak berusia di bawah enam tahun dan menetap selama lima tahun berturut-turut di Malaysia layak memohon PR”.
“Permohonan turut dibuka untuk kumpulan pelabur, pakar serta golongan profesional yang diperakukan oleh agensi kawal selia.”
Pemuda PAS berpendapat bahawa kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen adalah merujuk peraturan di jabatan tersebut
Dalam peraturan yang terdapat dalam Jabatan Imigresen memberi syarat bahwa mereka yang memohon PR hendaklah memiliki Entry Permit dan telah tinggal di negara ini selama 5 tahun. Kumpulan yang berkelayakkan untuk mendapat Entry Permit adalah seperti berikut :
1. Kumpulan profesional.
2. Anak kumpulan profesional di bawah enam tahun.
3. Isteri kumpulan profesional.
4. Mempunyai kebenaran daripada Menteri Dalam Negeri atas kepentingan ekonomi negara.
5. Anak bagi warganegara yang berumur bawah enam tahun.
6. Kes-kes khas.
Pemuda PAS ingin merujuk kes Mismah yang di siarkan pada 12 dan 14 Ogos 2011 oleh akhbar Sinar Harian. Mismah atau nama sebenarnya adalah Nismah Binti Naim, 47 tahun berasal daripada kepulauan Bawean, Indonesia. Suami beliau bernama Mawasi Bin Mawardi 51 tahun juga mendapat status Penduduk Tetap. Mismah masuk negara kita pada tahun 1982 sebagai buruh binaan. Pada tahun yang sama iaitu 17 Julai 1982 Mismah sudah mendapat satus PR.
Ini memberi maksud bahawa tidak sampai satu tahun Mismah tinggal di negara ini beliau sudah memperolehi status PR. Kes Mismah ini bertentangan dengan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad yang menyatakan bahawa hanya suami atau isteri warga asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia berserta anak-anak berusia di bawah enam tahun dan menetap selama lima tahun berturut-turut di Malaysia layak memohon PR.
Pemuda PAS berpendapat bahawa terdapat kemungkinan 4 perkara yang bertentangan dengan peraturan Jabatan Imigresen dalam kes Mismah mendapatkan status PR iaitu :
1. Mismah bukan seorang perofesional
2. Suami Mismah bukan seorang warganegara.
3. Suami Mismah bukan seorang profesional
4. Mismah hanya tinggal tidak sampai satu tahun di negara kita.
Pemuda PAS mohon agar Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Alias Ahmad menjawab isu Mismah ini kepada rakyat Malaysia.
Pemuda PAS mohon agar Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datin Jariah Bin Mohd Said memberi jawapan kepada rakyat Malaysia bagaimana Mismah yang mendapat status PR daripada Jabatan Imigresen tidak sampai satu tahun boleh diterima sebagai warganegara Malaysia pada 31 Januari 2011. Bukankah Mismah sudah melanggar peraturan Jabatan Imigresen ? Apakah beliau layak untuk menjadi warganegara ?
Mismah ini hanyalah satu kes contoh sahaja. Pemuda Pas sangat khuatir berkenaan pemberian status PR kepada ribuan warga asing dalam negara ini. Pemberian hak kerakyatan kepada mereka yang tidak layak dan bertujuan untuk kepentingan parti politik tertentu adalah suatu pengkhianatan kepada negara. Pemuda Pas akan terus mendedahkan kepada rakyat Malaysia berkenaan manipulasi dalam pilihanraya khususnya yang berkait dengan daftar pemilih dan undi pos.
Suhaizan Bin Kaiat
Pengerusi Pemulihan Demokrasi & Mobilisasi, Pemuda PAS Malaysia.
Ketua Pemuda PAS Johor.
Utusan Meloya Hina Islam Lagi...!!
Apa nak jadi ni ,Utusan Malaysia, akhbar yang mengaku membela Melayu dan Islam.. Sedarkah apa yang anda lakukan? Di mana batasan anda bermain politik sehingga perkara yang jelas nasnya di dalam al-Quran pun anda ingin permainkan??
Mana perginya PERKASA... para mufti... NGO Melayu/Islam..para ulama... tidak jelaskah ini sebagai menghina perundangan Islam?
kalau menghina keluarga polis British , ramai sungguh yang prihatin,siap buat laporan polis lagi.ada yang siap masuk mahkamah lagi...tapi bila hukum Allah dihina,tidak ada siapa peduli.
Kapal Selam Negara Kita Akan Dijadikan Muzium...!!
Entahlah, tak tahu nak cakap apa lagi. Kapal selam Agosta 70 yang Malaysia beli digunakan untuk melatih krew kapal selam pada tahun 2005 akan dijadikan muzium di Melaka.
Di Pakistan, kapal selam jenis sama masih digunakan dan akan dinaik tarak dengan sistem pertempuran yang baru. Di Colombia mereka boleh buat kapal selam dari kayu dan gentian kaca, begitu juga di Sri Lanka, mereka boleh buat kapal selam dalam hutan belantara.
Tapi kita di Malaysia, kapal selam dijadikan muzium. Indonesia masih menggunakan kapal selam yang dibeli pada tahun 1981 dan akan membuat kapal selam mereka sendiri pada tahun 2012.
Malaysia Boleh !
Malaysia-Perancis Tandatangani Pemindahan Pemilikan Kapal Selam Ahad September 25, 2011
KUALA LUMPUR: Satu majlis menandatangani pemindahan pemilikan kapal selam Agosta 70 daripada kerajaan Perancis kepada kerajaan Malaysia diadakan di Kedutaan Malaysia di Paris, Perancis pada Jumaat.
Agosta digunakan untuk tujuan melatih krew pertama kapal selam Malaysia dari 2005 hingga 2009 dan latihan itu dijalankan berikutan kontrak yang ditandatangani Malaysia untuk pemilikan kapal selam Scorpene Perancis pada 2002.
AGOSTA AKAN DIANGKUT DI ATAS SEBUAH LIMBUNGAN TERAPUNG KE MALAYSIA PADA MINGGU PERTAMA OKTOBER OLEH FELDA TRANSPORT DAN IA AKAN DISERAHKAN KEPADA KERAJAAN NEGERI MELAKA YANG KEMUDIAN DIJADIKAN SEBUAH MUZIUM DI KLEBANG, MELAKA. – BERNAMA
Hudud & UMNO...!!
Kenyataan Najib bahawa BN tidak akan laksanakan hukum hudud menggambarkan beberapa perkara:
- Aqidahnya sebagai seorang Islam boleh diragui darjah keimanannya.
- UMNO sebagai tunggak parti pemerintah memang tidak boleh diharap langsung menjaga Islam dan memartabatkan Islam di tempat yang sebenar.
-Kejahilan pemimpin UMNO terhadap hukum Islam sangat ketara. Kewujudan penasihat agama PM, beberapa institusi Islam seperti IKIM, YADIM, JAKIM dan golongan agamawan dalam UMNO tidak memberi kesan positif kepada cara berfikir dan kefahaman Islam sebenar kepada pemimpin UMNO.
-BN lebih rela negara disuburkan dengan jenayah di bawah pemerintahannya.
Jenayah di Malaysia sekarang begitu dahsyat. Bukan lagi jenayah yang ringan, tetapi jenayah berat yang seolah-olah menjadi bahan bacaan harian.
Bagi saya jenayah tidak dapat diturunkan kadarnya atau diatasi melainkan dengan kembali kepada kaedah terbaik mengatasi jenayah itu. Tidak lain melainkan kembali kepada hukum Allah yang antaranya hudud, qisas dan takzir. Hakikat sebenarnya Hudud itu adalah salah satu hukum Allah yang wajib dilaksanakan. Seperti kita meyakini solat, puasa, zakat, haji itu sebagai hukum Allah yang wajib diimani dan wajib dilaksanakan, maka demikianlah hukum hudud.
Ini bukan soal politik semata-mata. Bukan soal siapa yang menerima hudud atau menolak hudud. Ini soal keselamatan dan kestabilan negara. Bagaimana negara boleh aman dan stabil kalau jenayah menjadi begitu mengganas dan berleluasa.
Dalam ayat 186 surah al-Baqarah, Allah menyebut tentang kefardhuan puasa. Beberapa ayat sebelum itu Allah menyebut dengan seruan sama kepada orang beriman, dan dengan lafaz yang hampir sama dengan puasa, tetapi kefardhuannya ialah Qisas-pembalasan setimpal terhadap jenayah yang dilakukan.
Di Malaysia, sistem kewangan Islam berkembang dengan baik. Di celah sistem kapitalis yang begitu dominan, beberapa aspek kewangan Islam boleh menumpang dan menyelit sama. Bahkan mendapat sambutan dari banyak institusi kewangan konvensional pula.
Kita tidak pula mengatakan sistem kewangan Islam itu lapuk atau hanya slogan. Sistem jenayah pula yang meliputi hukum hudud, takzir dan qisas juga adalah sebahagian dari komponen ajaran Islam sendiri. Kalau kita boleh meyakini sistem kewangan Islam, mengapa kita sebagai orang Islam tidak boleh meyakini sistem jenayah Islam?
Hudud atau sistem jenayah Islam ini pula mempunyai tiga fungsi. Menghukum penjenayah dengan balasan setimpal, mencegahnya dari mengulangi jenayah yang sama di masa hadapan dan menghindarkan bakal-bakal penjenayah dari melakukan jenayah tersebut. Dan tentulah perlaksanaan ini mesti berjalan secara holistik. Bukan hanya menjatuhkan hukuman atau melaksanakan hudud, masyarakat pula mesti dididik dengan agama, perkara mungkar mesti dijauhi dan segala elemen yang menyuburkan jenayah mesti dibanteras. Soalnya ialah setakat mana kerajaan bersungguh mendidik rakyat dengan agama. Setakat mana mungkar dibanteras (sedangkan pemimpin UMNO/BN juga terlibat dalam mungkar dan jenayah: tuduh liwat, pembunuhan, rasuah dan lain-lain) dan tidak pelik jika ada agensi tertentu yang melindungi penjenayah, samseng atau kongsi gelap.
Tidak sepatutnya timbul keraguan terhadap hukum hudud, ucapan hanya slogan, atau menjadi mainan politik selamanya. Kesungguhan melaksanakannya mesti ada pada ahli politik Islam dan terutamanya pemerintah di peringkat kerajaan pusat yang mempunyai bidangkuasa yang besar.
Kerajaan Kelantan berhasrat melaksanakan perintah Allah itu. Dalam tempoh lebih 20 tahun pemerintahannya, suasana kondusif untuk melaksanakan hukum itu disediakan. Pelbagai aktiviti kebajikan terhadap rakyat dibuat. Kefahaman Islam disampaikan kepada rakyat. Rakyat dididik dengan program agama. Kebajikan rakyat diutamakan. Pemimpin kerajaan negeri diajar dan ditarbiyyah menjauhi rasuah. Akhirnya kalau berlaku kecurian, maka yang mencuri itu tentunya penjahat yang mesti dihukum. Justru, kenapa takut dengan hukum hudud?
Terengganu di bawah pemerintahan PAS akhir 1999 hingga 2004 telah meletakkan batu asas pentadbiran dan pemerintahan negeri berdasarkan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Saya masih ingat ketika pihak kerajaan negeri Terengganu di bawah PAS ketika itu yang membuat seminar pelaksanaan syariah di tahun 200an itu, saya yang ketika itu masih menjawat jawatan pensyarah Pengajian Islam turut menghadiri seminar tersebut. Dalam sebuah bengkelnya, saya kebetulan bersama dengan bekas ADUN Seberang Takir dari BN, Dato’ Rashid Ngah. Perbincangan tersebut rancak tentang hukum hudud. Dato’ Rashid Ngah hanya diam, tidak banyak bercakap, dan tidak pula membantah.
Tempoh yang lama di bawah pemerintahan Dr Mahathir menyaksikan hukum hudud menjadi mainan, momokan dan sinis dari kejahilan pemimpin UMNO/BN nombor satu ketika itu hinggalah juak-juaknya yang juga jahil tentang Islam. Orang Melayu yang jahil dan orang bukan Islam yang kurang memahami Islam termakan dengan dakyah UMNO/BN mengenai hukum Islam hinggalah PAS berjaya meruntuhkan tembok itu kemudiannya.
Hanya mereka yang masih tidak faham tentang hukum hudud dan penjenayah (kolar putih atau biru) sahaja yang cepat melatah apabila diajak supaya melaksanakan hukum hudud. Sekali lagi ditegaskan, tiada pilihan untuk menurunkan kadar jenayah melainkan mesti kembali kepada hukum ajaran Allah, bukan sahaja dalam soal jenayah tetapi bersedia menerima sistem Islam dalam bentuknya yang holistik dan menyeluruh. PAS komited dengan perjuangannya ‘Islam Adil Untuk Semua’ dan ‘Membangun Negara Berkebajikan’ bersama rakan dalam Pakatan Rakyat bagi menumbangkan UMNO/BN yang mewarisi sifat-sifat ‘penjajah’ ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)