Seperti yang dijangka, kehadiran Mat Sabu malam tadi mendapat sambutan yang hangat. Tidak kira daripada penyokong PR ataupun puak-puak yang tidak bersetuju beliau masuk ke negeri Johor sama ada datang melawat atau dengan apa jua tujuan. Pada tanggapan mereka, Mat Sabu tidak mengenang budi atas jasa bakti pahlawan yang membawa keamanan dan kemerdekaan negara.
Keadaan persekitaran tempat ceramah begitu meriah dengan kain rentang yang mengecam Mat Sabu dan perang bendera antara UMNO/BN dan bendera PAS,PKR. Sekumpulan 20 anak muda motor dipercayai penduduk kampung telah berada di luar tapak ceramah bersama bendera BN bersedia menunggu arahan untuk menggempur Mat Sabu. Namun seperti biasa, Unit Amal, SAMM, Skuad AMK Johor sudah bersedia untuk berhadapan dengan puak-puak ini. Jika mereka datang secara baik, maka baiklah sambutan yang diberikan. Jika mereka datang secara samseng, mungkin itulah yang diharapkan kumpulan ini supaya Polis seterusnya dapat menghentikan program pada malam tadi.
Sekumpulan anak muda bersama bendera BN, berkumpul di atas motorsikal menunggu arahan untuk menggempur tempat ceramah.
Akhirnya selepas giliran Chegu'Bard berucap selesai dan tiba giliran kepada Mat Sabu, kumpulan anak yang berkumpul di atas motor ini bergabung pula dengan sekumpulan JKRT (Jawatan Kuasa Rukun Tetangga) yang lengkap memakai vest JKRT. Sebelum itu kumpulan JKRT ini hanya berada disepanjang jalan dan ramai yang menyangkakan mereka antara anggota keselamatan yang bertanggungjawab menjaga lalulintas yang sesak dengan kehadiran orang ramai malam tadi.
Rupa-rupanya sangkaan itu meleset sama sekali apabila. Kumpulan JKRT ini rupanya menjadi pencacai UMNO untuk mengangkat poster-poster provokasi terhadap Mat Sabu. Kumpulan yang bergabung ini dianggarkan sekitar 50 orang berarak sehingga di luar pintu pagar masuk ke rumah Sdr Zainudin, iaitu tuan rumah yang menjadikan rumahnya sebagai tempat ceramah. Mereka tidak dapat masuk ke dalam kawasan ceramah kerana Unit Amal, SAMM dan skuad AMK sudah bersedia di situ menantikan kehadiran mereka.
Sekitar 50 orang yang mendakwa sebagai penduduk yang menentang kehadiran Mat Sabu bersedia untuk menggempur betul-betuldi hadapan pagar masuk ke tempat ceramah bersama kain rentang provokasi terhadap Mat Sabu.
Ahli Rukun Tetangga (memakai vest) sekadar menjadi pencacai UMNO malam tadi untuk mengangkat poster provokasi.'PERGI JAHANAM SABU KEPARAT'... lagi poster yang dianggkat oleh pemuda bertopi logo JKRT.
Dan seperti biasa... selepas kumpulan tadi tiba dihadapan pintu pagar tempat ceramah dan melaungkan pelbagai kata cacian dan hinaan terhadap Mat Sabu, barulah FRU tiba untuk membuat benteng bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Akhirnya selepas perbincangan, dua orang wakil daripada kumpulan ini diberikan keizinan untuk berjumpa Mat Sabu dan menyampaikan memorendum. Dua wakil ini ialah Sdr Mohd Radzi bin Hj.Amin yang datang di atas kapasiti sebagai Pengerusi Belia 4B Parlimen Bakri. Dan seorang lagi ialah Ketua PBTM cawangan Muar, Shamsuddin Rais. Apa yang mereka tidak jangka dan tahu, sebenarnya pihak penganjur malam itu telah merancang untuk membawa wakil-wakil ini naik di atas pentas ceramah PR bagi menyuarakan sendiri di atas dasar apakah menyebabkan mereka tidak bersetuju dan menghalang kehadiran Mat Sabu.
Sdr Mohd Radzi bin Hj.Amin yang naik ke pentas ceramah sebagai Pengerusi Belia 4B Parlimen Bakri. Dalam masa yang sama, beliau juga merupakan Ahli UMNO Seumur Hidup (03109330) dengan memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bakri, Setiausaha UMNO Cawangan Sri Serdang, Pegawai Khas Kepada YB. Datuk Hj. Abdullah bin Md. Ali (ADUN Bukit Naning, Johor), AJK Gerakan Belia 4B Negeri Johor dan Timbalan Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bakri.
Ketua PBTM cawangan Muar, Shamsuddin Rais diberikan ruang untuk berucap sambil diperhatikan oleh Chegu'Bard.
Alhamdulillah, walaupun budaya politik cacian, hinaan dan samseng yang ditunjukkan oleh kumpulan ini pada awalnya bertujuan untuk menimbulkan huru-hara. Namun kematangan yang ditunjukkan oleh Unit Amal, SAMM, Skuad AMK Johor malah para penyokong PR lainnya yang tidak memperdulikan laungan dan ejekan mereka. Sebaliknya memberikan ruang kepada wakil-wakil mereka untuk bertemu sendiri Mat Sabu dan diberi ruang untuk berucap. Tujuan mereka supaya huru-hara berlaku sekaligus memaksa pihak Polis menamatkan program malam tadi lebih awal tidak berlaku.
Tahniah kepada PR kerana mengajar kumpulan ini erti politik matang apabila setiap wakil ini diberikan ruang untuk berucap dipentas mereka.
Antara yang menarik di dalam ucapan wakil-wakil mereka malam tadi, Mat Sabu sekali lagi disebut sebagai 'YB' dan 'Datuk Mat Sabu'. Jika sebelum ini Mat Sabu dipanggil oleh YB dan Datuk oleh PERKASA ketika berhadapan secara empat mata. Tetapi malam tadi, gelaran 'YB' dan 'Datuk Mat Sabu' diucapkan sendiri di atas pentas kepada orang ramai. Gelaran-gelaran yang 'tidak tepat' itu menimbulkan rasa lucu dan geli hati pada orang ramai apatah lagi Mat Sabu yang tersenyum mendengar gelaran-gelaran itu.
Sebenarnya asas ketakutan UMNO itu tidak sukar dibaca. Namun begitu, UMNO masih berselindung dibawah ngo-ngo dan badan belia bagi menggambarkan ketakutan mereka ini di atas kebangkitan rakyat, terutama rakyat di Muar khususnya. Gambar-gambar di bawah menjadi bukti kehadiran ribuan pengunjung tempatan yang datang untuk mendengar ceramah Mat Sabu malam tadi. Perkarangan tapak ceramah yang penuh sesak sehingga melimpah ke luar jalan, menunjukkan rakyat Muar sudah muak dengan UMNO dan dahagakan perubahan pimpinan di Muar. Inilah sebabnya, dan puncanya mereka takut dengan aura Mat Sabu yang mampu menarik rakyat keluar untuk mendengar hujah-hujahnya.
Akhirnya selepas dua wakil kumpulan yang hendak mengusir Mat Sabu ini selesai berucap dan menyerahkan sendiri memorendum kepada Mat Sabu. Kumpulan yang berkumpul di luar pintu pagar masuk tadi bersurai dengan aman tanpa sebarang perkara yang tidak diingini. Namun begitu ada di antara mereka yang tidak pulang, tetapi menyorok ditempat-tempat yang gelap untuk mendengar ceramah Mat Sabu.
Chegu'Bard sedang menyampai ceramah
Aura Mat Sabu berjaya menarik ramai pengunjung malam tadi.
Mat Sabu, Chua Jui Meng menerima 300 borang kemasukan PKR dan PAS daripada Sdr Zainudin,selaku tuan rumah dan juga antara bekas pemimpin UMNO yang kuat di Simpang Pt No.3 sebelum ini.
Sdr Zainudin berucap dan menyeru penduduk Pt No.3 supaya meninggalkan UMNO dan bersama Pakatan Rakyat.
Dec 12, 2011
UMNO Ingin Menjerat Hassan Ali...!!
Setelah perhimpunan agung UMNO puas memaki dan memfitnah DAP, kini lidah rasmi parti itu Utusan Malaysia kembali memasang jerat "percintaan" di antara PAS dan UMNO. Isu yang dibangkitkan adalah pemimpin PAS Selangor Hasan Ali yang diketahui umum berbeza pandangan dalam beberapa perkara melibatkan pelaksanaan dasar kerajaan negeri Selangor.
Perbezaan pendapat
Walau pun perbezaan pendirian itu tidak bermakna prinsip perjuangan politik beliau sudah berubah, Utusan melalui kolum "Cuit" tulisan pengarang kanannya Zaini Hasan, sengaja membangkitkan pergeseran politik di antara Hasan Ali yang juga EXCO kerajaan negeri Selangor dan beberapa tokoh politik Pakatan Rakyat.Perbezaan pendapat dalam proses pelaksanaan sesuatu agenda sebenarnya indikasi politik yang demokratik. Mungkin itu sesuatu yang tidak akan difahami oleh Utusan Malaysia yang menganut ajaran ketuanan satu kaum.
Sedangkan jika Utusan dan pengarang kanannya membuka mata, mereka akan melihat perbezaan pendapat di antara Presiden UMNO Najib Razak dan tokoh besar UMNO Tengku Razaleigh Hamzah dalam banyak perkara.
Perbezaan mereka begitu ketara sehingga Ku Li menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) untuk bersuara kerana ruang untuk meluahkan pandangan semakin sempit dalam parti itu.
Adakah ini bermakna Ku Li membenci UMNO yang didokongnya sekian lama dan mahu keluar dari UMNO?
UMNO memancing Hasan Ali
Memancing Hasan Ali agar segera melompat ke dalam UMNO dalam persiapan Barisan Nasional untuk menawan kembali Selangor pada pilihan raya yang akan datang, hanya akan merosakkan imej pemimpin PAS itu sendiri secara peribadi.
Malah ia tidak membawa apa-apa makna kepada UMNO kerana parti itu sangat menolak pelaksanaan hukum hudud sedangkan Hasan mendukung hudud. Bukankah itu sangat hipokrit kepada kedua-dua belah pihak?
Strategi murahan pengarang kanan Utusan itu tidak menunjukkan sikap politik yang bijak. Tetapi apalah yang diharapkan sangat daripada lidah rasmi UMNO itu. Seperti mana UMNO sekarang, Utusan hari ini bukan lagi suara perjuangan umat Melayu menentang Malayan Union pada 1946 atau menuntut Merdeka pada 1957.
Hasan sebagai pemimpin PAS bukanlah ahli politik yang mudah gelap mata dengan tawaran wang, jawatan atau gelaran sebagai hero Melayu di Selangor. Rakyat di Selangor tahu bahawa beliau tidak bercita-cita untuk menjadi wira, apatah lagi hero buatan UMNO.
Malah beliau sendiri pernah menuturkan bahawa perjuangannya hanya untuk mengharapkan keredhaan Allah dan balasan syurga.
Erti gelaran hero
Apalah sangat gelaran hero UMNO ini. Malah kita pelik, mana dia hero Melayu dari parti UMNO yang sebelum ini diwarwarkan sebagai yang paling hebat di Selangor? Senator Ezam Mohd Noor sudah tidak bertenaga lagikah? Atau Noh Omar sudah karamkah?
Maka tidak perlulah Utusan bersusah payah untuk memancing Hasan Ali menyeberangi ke kapal UMNO yang hendak karam itu. Hasan lebih sedar bahawa jika UMNO menang sekali pun di Selangor, tiada apa-apa yang UMNO janji dan berani lakukan kecuali hanya "janji-janji manis" yang biasa dituturkan sepanjang zaman.
Sekali pun Hasan Ali mempunyai pengaruh besar di Selangor, kita yakin beliau lebih redha jika gelaran hero yang ingin Utusan nobatkan itu datangnya dari rakyat Selangor sendiri.
Tiada apa-apa harga gelaran hero yang diberi oleh Utusan. Ia lebih merupakan jerat terhadap Hasan.
Jika Sultan Selangor mengurniakan anugerah kepada Hasan Ali, ia adalah pengiktirafan kepada PAS dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.
Tentunya rakyat Selangor gembira dengan pengiktirafan diraja untuk pemimpin kerajaan negeri Pakatan Selangor.
*Tulisan ini dipetik dari Roketkini.com.
Nik Amar Ganti TG Nik Aziz...??
YAB Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat yang didakwa oleh mereka yang rapat dengannya sebagai menghidapi barah prostat akan tidak lagi menjadi Menteri Besar Kelantan jika PAS masih mengekalkan pegangannya di negeri pantai timur itu selepas Pilihanraya Umum ke 13.
"Ambo nok gi doh, ambo sakit perut...." walaupun itu ayat kegemaran Nik Aziz untuk mengelakkan diri dalam sesuatu keadaan, tetapi kali ini diyakinkan itu bukan alasan yang diguna.
Bagaimanapun Nik Aziz akan kekal bertanding di DUN Chempaka manakala anaknya, Nik Mohd Abduh akan bertanding kerusi Parlimen Pengkalan Chepa. Menantu Nik Aziz pula, Abdul Ariffahmi Ab Rahman di katakan akan dicalonkan bertanding salah satu kerusi DUN di bawah Parlimen Machang.
Demikian maklumat yang diberikan oleh orang kanan PAS Kelantan kepada seorang ahli politik terkemuka negeri itu.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, iaitu Mohd Amar Abdullah sebagai berkata bahawa Nik Aziz sudah bersetuju dengan senarai calon yang disiapkan oleh Perhubungan Negeri.
Mohd Amar juga mengesahkan bahawa senarai itu sudah diserahkan kepada PAS Pusat.
Antara perubahan yang dikatakan berlaku ialah Ahli Parlimen Kubang Kerian, Sallahuddin Ayub akan kehilangan kubunya di Parlimen Kubang Kerian yang akan diambil oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Kubang Kerian iaitu Husam Musa.
Husam, akan ke Parlimen dengan alasan dia diperlukan sebagai Menteri di Pusat?
Antara nama besar lain yang turut digugurkan ialah Bekas Timbalan Menteri Besar, Halim Abdul Rahman untuk memberi laluan kepada anak Nik Aziz. Timbalan Menteri Besar sekarang, Ahmad Yaacob yang bergelumang dengan isu Ladang Rakyat dan Air Kelantan Sdn Bhd turut tergugur.
Takiyuddin, sudah lama ada usaha menyingkirkannya ke Parlimen oleh faction tertentu dalam PAS Kelantan.
Sementara itu, Takiyuddin Hassan turut akan menerima nasib yang sama seperti Husam apabila dipindahkan dari DUN Bunut Payung untuk bertanding di Parlimen Kota Bharu.
Kamarudin Jaffar, Ahli Parlimen PAS Tumpat sejak 1999 pula akan dipindahkan untuk bertanding DUN Pengkalan Kubur untuk menentang Noor Zahidi Omar, Setiausaha UMNO Kelantan. Zahidi merupakan ADUN Pengkalan Kubur sejak 2004.
Sekiranya Kamarudin Jaffar berjaya di Pengkalan Kubur dan PAS berjaya mengekalkan kuasanya di Kelantan, beliau akan di lantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Kamarudin bersama ADUN GAAL, Dr Nik Mazian.
Mohd Amar, yang kini exco Kerajaan Negeri sejak 2004 akan di lantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru menggantikan Nik Abdul Aziz. Mohd Amar dikatakan menjadi pilihan Nik Aziz setelah beliau berkali-kali membuktikan sebagai pemimpin yang bersedia berhadapan dengan krisis dan tidak seperti calon pilihan Nik Aziz sebelum ini, Husam Musa.
Bakal Menteri Besar Kelantan yang baru?
Sementara itu PAS dan PKR juga dikatakan telah bersetuju untuk bertukar-tukar kerusi Parlimen. Salah satu kerusi yang dipersetujui dikatakan sebagai kerusi Parlimen Machang yang sebelum ini dimenangi oleh Saifuddin Nasution Ismail dari PKR.
Kerusi DUN Pengkalan Kubur yang dikatakan bakal di tandingi oleh Kamarudin Jaffar dari PAS juga merupakan kerusi yang ditandingi oleh PKR pada 2008.
Sumber dari pihak UMNO Kelantan pula mengatakan hampir 80% Ketua Bahagian UMNO negeri itu akan diletakkan sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri termasuklah Pengerusi Perhubungannya, Mustapa Mohamed. Mustapa dikatakan pasti menjadi pilihan UMNO sebagai Menteri Besar jika UMNO berjaya mengambil semula Kelantan setelah kehilangan negeri itu sejak 1990.
Namun begitu, bekas calon Menteri Besar hKelantan dalam kempen UMNO 2008 dan juga Ketua Bahagian Bachok, Awang Adek Hussin akan bertanding kerusi Parlimen Bachok. Manakala bekas Pengerusi Perhubungan Negeri, Annuar Musa dikatakan tidak akan dicalonkan walaupun sahamnya dikatakan naik semula setelah berjaya mentransfomasikan pasukan bolasepak Kelantan.
Presiden UMNO Najib Razak perlu mengutamakan prestasi di Kelantan dan Kedah sekiranya beliau benar-benar mahu mengukuhkan kedudukan UMNO di Parlimen dan memungkinkan BN kembali menikmati majoriti 2/3. Ini kerana BN dikatakan sudah pasti tidak akan dapat merampas semula Pulau Pinang dan kedudukan UMNO sendiri di Perak dan Selangor dalam bahaya terutamanya di kerusi-kerusi campuran. - Olahan Tulisan Sheikh
Subscribe to:
Posts (Atom)