Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Mar 5, 2012

Tahu..Tak Pe....!!


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai kedudukan beliau sebagai Senator.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno berkata, terserah kepada Perdana Menteri sama ada melanjutkan tempoh penggal beliau sebagai senator yang akan berakhir bulan depan.

"Semuanya terpulang kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis program kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis julung kali diadakan itu dirasmikan Perdana Menteri dan dihadiri hampir 20,000 orang termasuk 1,627 wakil NGO dari seluruh negara.

Sebuah akhbar berbahasa Cina dilaporkan membuat spekulasi bahawa Shahrizat berkemungkinan tidak dilantik semula sebagai Senator apabila penggalnya berakhir pada 8 April ini.

Shahrizat dilantik sebagai Senator pada 9 April 2009.

Shahrizat terpalit dalam isu National Feedlot Corporation (NFC) yang diterajui suaminya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail, yang terbabit dalam projek lembah daging Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Ia mendapat perhatian selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyatakan beberapa kelemahan projek itu yang bertujuan meningkatkan pengeluaran daging tempatan serta mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.

Ia semakin panas selepas wujud dakwaan berlaku penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

- Bernama

Dok Soh Bimbe Ku....UMNO Tok Sir...PR Ado....Ku...!!


Pakatan Rakyat sedia berunding dengan ahli veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah jika beliau berhasrat bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang yang dipegangnya atas tiket Pakatan Rakyat, kata naib presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Salahuddin mengulas kenyataan Razaleigh baru-baru ini bahawa beliau akan bertanding di kerusi Parlimen yang dipegangnya sejak pilihan raya umum 1969 meskipun tidak dicalonkan oleh Umno.

"Sama ada Pakatan terima atau tidak, ia tidak Ku Li bertanding di bawah Pakatan Rakyat, saya tidak boleh putuskan. Perkara ini perlu persetujuan semua (parti yang bergabung dalam Pakatan, iaitu PAS, PKR dan DAP).

"Saya percaya sekiranya beliau menyatakan hasrat itu, kita (Pkatan) sedia berbincang,” katanya dipetik akhbar Sinar Harian, hari ini, sambil menambah bahawa bekas menteri kewangan itu masih relevan dalam landskap politik semasa.

Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li, baru-baru ini memberitahu media bahawa hanya rakyat dapat membuat keputusan berhubung kerjaya politik beliau.

Sebelum ini, ada ura-ura bahawa putera Kelantan itu tidak akan dicalonkan semula kerana beliau didakwa sebagai lantang membidas BN, khususnya Umno.

Bagaimanapun akhbar milik parti itu, Utusan Malaysia dalam satu laporan pada bulan lalu melaporkan Pengerusi BN Kelantan Tan Sri Annuar Musa mengesahkan bahawa Ku Li antara 16 muka lama yang akan dicalonkan semula pada pilihan raya umum akan datang.

Ramalanku Mungkin Benar Belaka....!!


Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan ada membuat beberapa ramalan melalui wawancara khas dengan akhbar China Press.Ramalan beliau akan wujud keadaan “Parlimen Tergantung” atau dikenali sebagai “Parlimen Seimbang”. Ia wujud dalam negara demokrasi yang mengamalkan sistem dua parti di mana keputusan sesuatu pilihan raya memperlihatkan tidak ada mana-mana parti yang berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mutlak. Antara beberapa ramalan lain beliau ialah:

- Orang ramai sudah bosan dengan pertelingkahan politik yang tidak putus-putus antara Barisan Nasional-BN dan Pakatan Rakyat-PR, dan ini mungkin menyebabkan mereka tidak akan turun mengundi dalam PRU yang akan datang dan keadaan tersebut mewujudkan ‘Parlimen Tergantung’ atau Hung Parliament.

Pentadbiran BN di Pahang tidak akan terjejas akibat isu Lynas.

-Rakyat juga bosan dengan pertelingkahan dalaman di kalangan para pemimpin PR di Kedah dan Selangor. Dapatkan anda bayangkan pertelingkahan yang akan wujud jika PR memerintah Kerajaan Pusat? (Soal Daim)

-Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin menunggu sehingga tahun hadapan sebelum mengadakan PRU ke-13.

-Mana-mana kerajaan akan melakukan kesilapan apabila memerintah sesebuah negara untuk tempoh yang lama.

-PR akan mengekalkan kuasa di Pulau Pinang dan Kelantan tetapi berkemungkinan besar kehilangan negeri Kedah.

-BN dan PR akan bertarung sengit di Selangor dan Perak.

-Hampir 20 peratus undi masyarakat Cina terutama dari kawasan luar bandar akan berpihak kepada BN.

-BN masih mampu mengekalkan kuasanya di Johor.

-Sukar untuk meramalkan berapakah jumlah kerusi yang BN akan menang atau tewas. Perhatian khusus harus diberikan kepada kelompok pengundi muda.

Nota :

Sebelum ini Daim Zainuddin juga pernah secara terbuka membuat ramalan dalam PRU-12 yang BN akan kehilangan beberapa negeri @ menerima kekalahan terburuk dalam sejarah. Adakah ramalannya kali ini menepati seperti 2008!!