Feb 17, 2012
Seluruh Dunia Tak Iktiraf Rosmah Sebagai "First Lady Of Malaysia"....
Universiti Curtin di Australia memohon maaf kerana merujuk kepada Datin Seri Rosmah Mansor sebagai wanita pertama Malaysia, apabila mengumumkan bahawa isteri perdana menteri itu akan dianugerahkan dengan ijazah Doktor Kehormat Persuratan.
Dalam satu kenyataan hari ini naib canselor universiti itu, Jeanette Hacket, berkata Curtin mengambil perhatian berhubung bidasan orang ramai atas pemberian ijazah berkenaan dan juga mengenai penggunaan istilah "wanita pertama".
"Kami juga mengakui penggunaan istilah ‘wanita pertama’ mungkin menyinggung sesetengah pihak dan kami memohon maaf mengenainya.-
“Kami tidak lagi akan menggunakan istilah itu dan telah menerbitkan semula kenyataan media kami dengan perubahan yang dibuat itu," kata Hacket.
Kenyataan itu dipaparkan pada laman web rasmi universiti itu di Facebook. Sebelum ini, warga maya, khususnya dari Malaysia yang tidak berpuas hati telah membuat bantahan dan mencemuh Curtin.
Mengenai kritikan sama ada Rosmah layak dianugerahkan ijazah Doktor Kehormat Persuratan, Hacket berkata bahawa universiti berkenaan tetap dengan pendirian mereka.- Malaysiakini
Nota :
Walaupun tidak layak digelar wanita pertama..namun rosmah tetap muncul sebagai isteri perdana menteri malaysia yg pertama yg lebih mengada2 dari isteri2 perdana menteri terdahulu....
Rakyat Malaysia Terus Di Perbodohkan....!!
Meskipun tidak secara langsung menyatakan bahawa Dewan Rakyat akan dibubarkan tidak lama lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin BN Sabah di Kota Kinabalu malam semalam terus memberi bayangan bahawa pilihan raya umum ke-13 semakin hampir.
Menurut Bernama, ahli parlimen Kudat Datuk Abdul Rahim Bakri yang ditemui selepas perjumpaan itu dipetik berkata pada pertemuan itu Najib mengingatkan para pemimpin dan semua anggota parti supaya bersiap sedia.
"Najib berkata ia boleh menjadi satu lagi lawatan atau tiada lagi lawatan... jadi ia boleh jadi sangat dekat.
“Tetapi, adalah penting bagi semua anggota parti untuk bersiap sedia," kata Abdul Rahim yang juga adalah Timbalan Menteri Pengangkutan dipetik agensi berita nasional itu.
Penggal lima tahun kerajaan sekarang akan tamat pada Mac tahun depan.
Menurut beliau, presiden Umno itu juga mengingatkan ahli-ahli dan pemimpin parti bahawa tiada ruang untuk mereka yang tidak menunjukkan taat setia.
"Ia bukan mengenai Najib atau para pemimpin parti tetapi ia mengenai parti dan juga masa depan BN. Saya percaya ia satu mesej kuat bahawa kita akan pergi "berperang" (pilihan raya umum)," katanya lagi.
Perjumpaan kira-kira dua jam itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.
Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.
Terdahulu, Najib diiringi Musa mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin selama kira-kira 45 minit di Istana Negeri.
Hari ini, Najib yang juga Pengerusi BN dijadual melawat Lahad Datu. - Malaysiakini
Nota :
PRU RAHSIA TERUS RAHSIA DAN RAHSIA.....
Inilah negara yang ketinggalan zaman, inilah negara yang ditadbir bukan orang sepatutnya, PRU pun terus menjadi teka teki terus menjadi tanda tanya buat rakyat yang dahagakan menjatuhkan BN. kalau di Amerika bila ada jer election lebih awal mereka umum. Malaysia yang kononnya demokrasi tapi demokrasi untuk memperbodohkan rakyat...
Hari Sedih Untuk Malaysia...!!
KUALA LUMPUR, 16 Feb: DAP menyifatkan, beberapa hari ini adalah hari sedih untuk Malaysia apabila gagal menjaga yang terbaik untuk negara dan terlepas ke pihak lain.
Ini berikutan perlantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican (gambar) sebagai Pengerusi Singapore Power Limited (SP) pada bulan Jun selepas Ng Kee Choe bersara.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini merupakah hari sedih apabila Hassan Marican termasuk dalam senarai terbaru dalam penghijrahan bakat (brain drain) dan sekarang bekerja luar negara di Singapura.
Tan Sri Hassan meninggalkan syarikat minyak negara, Petronas pada tahun 2010 berpunca daripada pergeseran dengan pentadbiran semasa.
Sejak itu beliau telah dilantik sebagai pengarah dalam firma- firma luar negara seperti syarikat- syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan Singapura seperti SembCorp Industries Ltd, SembCorp Marine Ltd dan Singapore Power.
Beliau juga merupakan Pengarah di Sarawak Engergy Bhd & US oil dan syarikat gas gergasi Conoco Philips.
"Jelas Tan Sri Hassan diiktiraf di peringkat antarabangsa dan amat diperlukan oleh syarikat- syarikat besar multinasional tetapi tidak di rumah sendiri," kata Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Ini adalah amat sedih terutamanya apabila Tan Sri Hassan diangkat sebagai seorang lelaki yang telah meletakkan Petronas ke dalam senarai syarikat gas dan minyak antarabangsa seperti hari ini, tambahnya.
Tahun lepas, pakar ekonomi kanan Bank Dunia, Philip Schellekens memberi amaran bahawa situasi penghijrahan bakat (brain drain) rakyat Malaysia dijangka meruncing tambahan asas kemahiran negara sememangnya sempit.
Schellekens menambah bahawa bilangan rakyat Malaysia yang mahir tinggal di luar negara telah meningkat tiga kali ganda dalam dua dekad yang lalu dengan dua daripada setiap 10 rakyat Malaysia memilih untuk meninggalkan negara sama ada untuk Organisasi Pembangunan Kerjasama Ekonom ( Organisationfor Economic Cooperation and Development, OECD) atau ke Singapura.
Sekarang Tan Sri Hassan telah menyertai senarai hampir 2 juta rakyat Malaysia yang telah dibiarkan untuk tinggal dan bekerja di luar negara sejak merdeka.
Bakat seperti Tan Sri Hassan Marican tidak datang setiap hari dan Kerajaan mesti mengambil langkah- langkah segera menyumbat kebocaran ini untuk mengekalkan bakat atau risiko kehilangan beliau dan ramai lagi seperti beliau ke negara- negara luar, tekan beliau.
Jika seorang ikon pemimpin korporat seperti Tan Sri Hassan Marican terpaksa berlepas ke Singapura di mana bakat beliau tidak diabaikan, program transformasi kerajaan Najib untuk menarik bakat manusia adalah gagal, dakwa beliau.
Jelasnya, sebagaimana diketahui dalam politik - sesiapa yang dikenali ditekankan berbanding dengan ilmu dan pengetahuan, perjanjian melalui rundingan terus adalah lebih disukai berbanding tender terbuka kerana ianya tiada akautabiliti dan transperensi, Malaysia akan kalah di dalam pertempuran untuk membendung perpindahan bakat. - Harakahdaily
Kenyataan Media Dato Seri Anwar Ibrahim Berkenaan Isu Palestin – Israel
KEADILAN JUNJUNG ASPIRASI DAN HASRAT RAKYAT PALESTIN
Telah dihebahkan kenyataan saya dalam Asian Wall Street Journal, “I support all efforts to protect the security of the state of Israel,” (Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel) sedangkan kenyataan penuh selepas itu, “a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians.
(pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin) tidak pula disiarkan sepenuhnya. Media, pimpinan UMNO dan Dato’ Seri Najib Razak berterusan menabur fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin
Kenyataan saya kepada Asian Wall Street Journal secara jelas meletakkan aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keadilan, keamanan dan maruahnya dihormati sebagai syarat kepada tuntutan Israel agar keselamatannya dijamin .
Pendirian saya ternyata diterima pimpinan dunia Islam seumpama Kerajaan Arab Saudi seperti yang diungkapkan Menteri Luar nya, Putera Saud al Faisal bahawa:
“This [2002 Arab Peace Initiatve] is the way toward security.. Israel can’t keep the land and want security at the same time. It has to withdraw and give the Palestinians their rights. If Israel does that, the Arab states will put an end to the state of war. That will give Israel its security”.
Baru-baru ini Raja Abdullah dari Jordan juga mengulangi pendirian yang sama:
“The Palestinian right to statehood and their cry for justice and a homeland free of occupation remain the Arab people’s foremost cause. In Jordan, the “final-status” issues—including borders, refugees, security and Jerusalem—are at the heart of our priorities. This means making real the promise of a viable, independent, sovereign Palestinian state, as part of a two-state agreement that resolves all final-status issues and guarantees security for Israel.”
Makanya, persoalan tuntutan jaminan keselamatan Israel yang bersyaratkan kepada keadilan dan keamanan diberikan kepada rakyat Palestin bukanlah perkara baru. Sedangkan saya tuntas mendokong aspirasi rakyat Palestin sekian lama, bermula dari memimpin demonstrasi membantah keganasan Israel yang mendapat dokongan Amerika pada tahun 1973 di hadapan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur dan mewakili Malaysia pada tahun 1983 ke Persidangan PLO di Algiers setelah menerima undangan dari Yasser Arafat.
Pendirian saya tuntas menjunjung aspirasi rakyat Palestin yang mahukan keamanan, keadilan dan kehidupan yang bermaruah bertepatan dengan semangat yang disuarakan oleh Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Palestin :
“If Israel withdraws to the ’67 borders, then we will establish a peace in stages.. Number one, we will establish a situation of stability and calm which will bring safety for our people – what (Hamas founder) Sheikh (Ahmed) Yassin called a long-term hudna (truce). If Israel declares that it will give the Palestinian people a state and give them back all their rights, then we are ready to recognise them”.
Saya hargai pandangan dan semangat sahabat-sahabat dari PAS, Majlis Syura PAS dan seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.
Ketetapan PAS yang menentang keras pencerobohan dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia. Saya memahami perbezaan pendirian PAS dengan KEADILAN. Parti Islam SeMalaysia berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama dengan Israel.
Walaupun begitu Parti Keadilan Rakyat berkongsi hasrat dengan PAS untuk melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur, yang juga merupakan hasrat seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan.
Ini berbeza dengan adu domba UMNO yang bermuka-muka dan mengambil kesempatan di atas sentimen kuat pro-Palestin di negara ini bagi matlamat politik sempit mereka. Tatkala media UMNO menyerang saya sebagai ejen Israel, Menteri Luar dari UMNO secara terbuka mengesahkan kewujudan Israel berdasarkan penyelesaian dua negara (two-state solution) di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu .
Manakala saya dituding mengkhianati aspirasi rakyat Palestin, Menteri Pertahanan dari UMNO jugalah yang duduk berbincang dengan Menteri Pertahanan Israel pada tahun 2009 , walaupun perkara ini cuba dipadamkan. Namun rakyat tidak lupa bahawa pentadbiran Perdana Menteri bergegas melantik APCO yang turut diterajui Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Malah, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus menerus memfitnah saya pernah bertemu Perdana Menteri Israel dan menteri luarnya, Shimon Peres di Paris pada tahun 1994. Pada masa yang sama sesuatu yang tidak dapat dinafikan pimpinan UMNO bahawa Malaysia merupakan rakan dagang Israel ke 15 terbesar. Jumlah dagangan antara Malaysia dan Israel mencecah 667.6 juta Euro.
Sikap bermuka UMNO dalam isu Palestin bukanlah perkara baru, sebab itu saya jelas menyeru sahabat-sahabat dan rakyatMalaysia supaya menumpukan tenaga membantu meringankan penderitaan saudara-saudara di Palestin.
Derita ini ditanggung setiap hari tatkala rakyat Palestin menyabung nyawa menyelamatkan diri dari serangan dan pendudukan tentera Israel. Ini kenyataan kehidupan seharian seorang rakyat Palestin yang harus kita insafi.
Saban hari, keperluan asas seperti air minuman, makanan, ubat-ubatan, simen untuk pembinaan dan pelbagai keperluan lain tidak dibenarkan masuk ke Gaza akibat sekatan Israel. Sengsaranya rakyat Palestin bila mana 80% dari mereka memerlukan bantuan makanan, 90% hidup dalam kemiskinan, lebih separuh daripada isirumah hanya makan sekali sehari dan lebih 60% kanak-kanak menghidap anemia dan kekurangan zat makanan.
Sebab itu saya yakin bahawa aspirasi rakyat Palestin yang mengambil kira kepayahan seharian mereka seperti yang disuarakan oleh pimpinan-pimpinan mereka wajib dijunjung dan dihargai. Semangat setiakawan rakyat Malaysia yang selari dengan aspirasi itu bukanlah satu pengkhianatan kepada perjuangan mereka, sebaliknya menjadi dokongan utama kepada usaha mewujudkan keamanan dan memberikan keadilan kepada rakyat Palestin.
Oleh kerana itu wajar buat kita memahami, menghargai dan menjunjung aspirasi rakyat Palestin yang disuarakan melalui dua pertubuhan utama tersebut. Sepertimana pertemuan saya baru-baru ini di Doha dengan Khalid Mashaal, sebelum termeterainya persetujuan bersama tersebut, saya ulangi dokongan saya buat perjuangan rakyat Palestin, Hamas dan Fatah. Manakala pengiktirafan negara Israel tertakluk selagi mana Israel menghormati kedaulatan wilayah dan keselamatan rakyat Palestin.
Justeru adalah mustahak untuk kita sedari suara rakyat Palestin mutakhir ini adalah melalui Hamas dan Fatah sebagaimana yang tertera dalam persetujuan bersama Hamas dan Fatah di Doha hari ini. Persetujuan tersebut antaranya mengungkapkan dokongan terhadap aspirasi rakyat Palestin, pengunduran tentera Israel dari tanah Arab, menghentikan keganasan dan memperakui kewujudan Palestin. Seandainya ini dihormati maka kewujudan Israel akan diiktiraf. Inilah juga semangat yang terkandung dalam kenyataan saya, “a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians.” (pendirian tersebut tertakluk kepada syarat bahawa Israel mesti menghormati aspirasi rakyat Palestin).
ANWAR IBRAHIM
KETUA UMUM
PARTI KEADILAN RAKYAT
Subscribe to:
Posts (Atom)