Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Feb 27, 2012

Kenapa Kita Mesti Tolak Lynass...???


Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah meluangkan masa untuk menyokong perjuangan ini.

Forum ini merupakan satu tindakan aktif and agresif untuk memberi sokongan kepada rakyat Kuantan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor menolak sekeras-kerasnya pembinaan Loji Pemprosesan Nadir Bumi LYNAS di Gebeng, Kuantan.

Saya juga ingin menggesa semua warga negeri Selangor untuk turut serta dalam Himpunan Hijau 2.0 yang akan berlangsung esok pagi di Gebeng, Kuantan sebagai salah satu cara dalam usaha untuk selamatkan Malaysia.

Sudah tentu tiada siapa yang ingin tanahair kita dianggap sebagai ‘tempat pembuangan sampah” kepada masyarakat sedunia.

Pihak Syarikat Lynas tidak mahu mendirikan loji pemprosesan nadir bumi di negara mereka sendiri, tetapi menggunakan alasan pelaburan untuk mendirikan loji tersebut di Malaysia.

Hakikatnya, hampas atau sisa ini bukanlah sekadar kotoran atau sampah tetapi merupakan sisa radioaktif yang mengandungi gelombang radiasi yang amat merbahaya kepada kesihatan manusia dan kepada persekitaran kita.

Dewasa ini, dalam era tanpa sempadan, dunia semakin kecil. Pembinaan loji pemprosesan ini boleh berlaku dalam kawasan terdekat kita juga.

Bandar Kuantan merupakan sebahagian dari negara ini dan bukanlah sejauh yang kita sangkakan sebelum ini. Rakyat Malaysia mesti mengubah sikap ‘tidak apa’ khususnya yang berkaitan dengan isu Lynas yang telah menjadi kebangsaan ini yang perlu diambil tindakan proaktif dengan kadar segera.

Sekiranya sisa toksik radioaktif ini menyerap masuk kedalam sistem perairan kita dan ke dalam tanah kita, sudah tentu aktiviti-aktiviti kita akan turut terjejas.

Dari upacara perkahwinan kepada bidang perniagaan kepada arena pelancongan, semuanya akan terjejas dengan peninggalan kesan jangka panjang.

Kita sering mendengar “mencegah adalah lebih baik dari dirawat”. Ini merupakan poin utama kita untuk hari ini dalam usaha untuk menghalang penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dari berlaku.

Kami tidak mahu hidup dalam suasana ketakutan dan kebimbangan akan pendedahan kepada sisa radioaktif kerana ianya sukar dikesan dengan mata kasar.

Radiasi ini adalah hasil penyalahgunaan kuasa pihak yang tidak bertanggungjawab dan kesan pendedahan kepada radiasi bukanlah sesuatu yang dapat dikesan dengan serta merta.

Haruskah kita membenarkan ‘time bomb’ ini yang boleh meletup pada bila-bila masa berada berdekatan dengan kita? Mengapa Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan loji pemprosesan Lynas tanpa mangambil kira keselamatan rakyat jelata?

Mengikut sumber laporan akhbar, loji pemprosesan Lynas mempunyai banyak kekurangan dari segi infrastruktur, tidak mematuhi piawaian keselamatan dan banyak tanda tanya berkenaan dengan prosedur menandatangani kelulusan loji ini.

Loji ini nampaknya mengengkari keperluan untuk mendapat kelulusan untuk beroperasi? Selain daripada itu, pihak Syarikat LYNAS belum lagi mengemukakan kertas cadangan untuk cara menguruskan dan membuang sisa radioaktif ini.

Pihak Syarikat LYNAS hanya mempunyai idea untuk menguruskan sisa radioaktif menggunakan “kaedah sementara” dimana sisa radioaktif akan disimpan dahulu.

Yang mengerikan bukan hanya sisa radioaktif pepejal sahaja malah air kumbahan dan sisa gas toksik yang dihasilkan dalam proses ini cukup untuk mencemarkan alam sekitar.

Pemprosesan nadir bumi ini akan menghasilkan 500m3 sisa sejam yang boleh memenuhi 5 kolam renang Olimpik. Air tercemar ini turut mengandungi sisa radioaktif yang akan meresap kedalam makanan kita melalui satu rantaian dimana air tercemar yang mengalir ke laut akan menjejaskan hidupan laut yang akhirnya akan dimakan oleh manusia.

Sisa radioaktif yang terkandung dalam hidupan laut akan mengesahkan kemudaratan kesihatan. Gas yang dihasilkan dari pemprosesan tersebut adalah sebanyak 100 000m3 bagi setiap satu jam.

Gas ini yang dibebaskan ke udara akan terlarut bersama molekul air hujan yang akan menyebabkan pencemaran jangka panjang kepada kesihatan dan persekitaran.

Di samping itu, dalam dunia perniagaan negara China memegang monopoli pembekal terbesar didunia bagi nadir bumi ini.

Di inner Mongolia, kawasan Bautou Ia sudah lama menjadi tempat penapisan nadir bumi terbesar di dunia. Disebabkan kebocoran sisa air ini, 70.9 peratus daripada penduduk tempatan mengalami penyakit kanser dan kerajaan negara China telah membayar pampasan kepada mangsa pendedahan sisa radioaktif ini tetapi sudah tentu tidak mencukupi.

Menyedihkan lagi, penduduk Bautou tidak mampu untuk meninggalkan tempat tersebut dan tidak dapat menampung kehidupan yang lebih tinggi diluar. Oleh itu mereka terpaksa menjalani kehidupan disana walaupun mengalami keracunan yang kritikal.

Mengikut penduduk tempatan di sana, sumber utama pendapatan mereka disana adalah daripada kegiatan pertanian tetapi pada hari ini, hasil tanaman disana tidak boleh dimakan kerana mengakibatkan cirit-birit.

Sumber air disana juga tidak boleh diminum kerana selepas air itu dididihkan, bahan sisa dapat dilihat terapung di atas air. Kegiatan perlombongan juga terjejas, begitu juga sumber mata air untuk kegiatan pertanian juga terjejas kerana sumber air tercemar. Ini jelas menunjukkan tahap pencemaran yang serius di kawasan tersebut.

Selain daripada penyakit kanser, penduduk dikawasan Bautou juga mengalami masalah osteoporosis, hemiplegia, kelonggaran gigi dikalangan golongan orang dewasa. Kanak-kanak mengalami kerosakan gigi dan boleh dicabut begitu sahaja.

Kerajaan negara China sudah mula risau mengenai tahap pencemaran di kawasan Baotou kerana tanda-tanda pencemaran berskala besar telah dikenalpasti di Sungai Huang He dan mungkin akan mengakibatkan masalah yang tidak dapat diduga.

Sebagai rakyat negara ini, kita tidak mahu melihat Malaysia sebagai negara yang mengerikan. Kerajaan pusat melalui penyalahgunaan kuasa mereka, akan memusnahkan kehidupan rakyat ini untuk ‘menikmati’ manfaat dari pihak Syarikat LYNAS jika tidak menutup loji tersebut.Rakyat Malaysia berharap Malaysia tidak akan tergolong dalam negara-negara yang “tidak selamat” didiami.

Kerana itu, kita mesti bersatu mengatakan tidak kepada LYNAS dan tidak berjudi dengan kesihatan kita. Contoh terbaik adalah kesan dahsyat daripada Pengeboman Bom Atom Nagasaki dan Hiroshima dalam Perang Dunia Kedua yang berkekalan sehingga ke generasi anak-cucu-cicit mereka.

Malaysia negara yang tidak dibelenggu dan tidak berada dalam zon peperangan, oleh kita mesti menentang sekeras-kerasnya pembinaan loji seumpama ini dimana sahaja di Malaysia.
---------------------------
Penulis adalah Exco kerajaan negeri Selangor. Tulisan ini berasaskan ucapan penulis dalam satu forum di Selangor menjelang hari bantahan Lynas pada 25 Februari.

UMNO/BN Hina Islam Lagi....!!


KUALA LUMPUR, 27 Feb: Kenapa gambar seperti di atas boleh disiarkan di akhbar The Star - Star 2 - Music ms 17 - hari ini, 27 Februari.

“Dan kenapa penyanyi Erykah Badu boleh buat persembahan di Kuala Lumpur setelah seolah-olah menghina Islam dengan gambar ini?” demikian pertanyaan dilontar seorang pembaca Harakahdaily yang menamakan dirinya Hamba Allah.

Beliau merujuk kepada satu artikel yang disiarkan akhbar tersebut hari ini mengenai Erykah Badu yang akan membuat persembahan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Justeru, penyanyi Neo-Soul kelahiran Texan, Amerika Syarikat, Erykah Badu yang bakal mengadakan persembahan di Malaysia hujung Februari ini disifatkan menghina Islam.

Perkara itu jelas melalui tatu kalimah Allah yang terdapat di dadanya seperti gambar yang disiarkan akhbar The Star.

Kehadiran penyanyi yang berusia 40 tahun itu tidak sepatutnya berlaku kerana pihak berkuasa sepatutnya memantau sebarang artis luar yang ingin membuat persembahan di negara ini. - Harakahdaily

ABU Dah Mula Merebak....!!


ABU MENYERANG KUBU GEROMBOLAN

Menjelang program Pelancaran Gerakan Asalkan Bukan UMNO (ABU) Peringkat Negeri Johor pada 26 Februari ini di mana SAMM Johor turut terlibat sebagai penggerak Asalkan Bukan UMNO (ABU) Johor, semalam beberapa aktivis SAMM Johor telah menerima kecaman dan ugutan dari individu-individu semasa memasang poster-poster promosi program tersebut di beberapa tempat sekitar Pasir Gudang. Malahan, beberapa poster-poster promosi program tersebut telah dikoyakkan, diconteng dan disabotaj oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini, dalam beberapa siri program Pelancaran Gerakan Asalkan Bukan UMNO (ABU) di negeri-negeri lain telah berlaku provokasi dan gangguan tindakan tidak bertamadun yang gemar melacurkan minda anak muda. Sehubungan itu, SAMM Johor merasakan segala ugutan-ugutan, kecaman-kecaman dan tindakan mensabotaj poster-poster promosi ini hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan aktivis kami dalam berjuang menentang rejim korup. SAMM Johor percaya tindakan ini adalah langkah awal pihak-pihak lawan sebelum aksi samseng digunakan semasa program pelancaran ini berlangsung Ahad nanti. Bahkan baru-baru ini, kita dikejutkan dengan aksi ganas sekumpulan anak muda upahan di Sembrong, Kluang hingga menyaksikan cermin kereta Ketua Pembangkang Malaysia pecah.

SAMM Johor dengan tegas menyatakan bahawa kami tidak akan bertoleransi dengan pihak-pihak yang menjajah minda anak muda dengan anasir politik sebegini. Seharusnya, UMNO dan Parti Politik yang ada di Malaysia mendidik anak muda untuk berpolitik secara matang, secara ilmiah sebagai pewaris masa depan negara bukannya melakukan tindakan sembrono yang membonsaikan pemikiran masyarakat khususnya anak muda. Anak muda tidak seharusnya dijadikan mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab demi survival politik melampau mereka.

UMNO seharusnya menghormati lunas-lunas demokrasi dan kebebasan bersuara. Program yang dianjurkan adalah berlangsung di kawasan premis persendirian serta ini merupakan platform untuk rakyat negeri Johor yang telah ditindas bertahun lamanya untuk menyuarakan keperitan dan kepayahan mereka selama ini. Asalkan Bukan UMNO bukanlah satu gerakan yang dinaungi oleh mana-mana parti politik sebaliknya merupakan satu gerakan dari rakyat kepada rakyat. Sewajarnya, UMNO menghormati perbezaan pandangan dan meraikan demokrasi. Ini sahaja platform yang ada untuk rakyat tertindas meluahkan penderitaan mereka apabila media-media cetak dan elektronik telah dirantai oleh rejim Pemerintah.

Hujah biarlah dilawan dengan hujah. Namun jika keras yang dijual maka keras jugalah yang dibeli. Jika baik budi bicara, kami anak muda sedia memberi laluan agar anda berhujah di pentas yang telah kami sediakan, dengan etika dan syarat yang ditentukan seperti yang telah kami lakukan semasa Ceramah Timbalan Presiden PAS di Muar tempohari. Tetapi jika kehadiran mereka ini jelas lagi terang hanya untuk mengacau majlis rakyat, kami anak muda SAMM sentiasa bersedia di barisan hadapan, begitu juga dengan unit amal serta aktivis-aktivis ABU lain. Adalah menjadi tugas anak muda untuk memastikan keselamatan orang ramai ketika kemungkinan pihak berkuasa 'terlepas pandang' dalam menjalankan tugas.

Justeru itu, SAMM Johor akan menggerakkan kesemua aktivis untuk membantu pihak penganjur dalam menjaga keselamatan lokasi program daripada terjadinya tragedi-tragedi seperti di Klang, Selangor dan Semberong, Kluang baru-baru ini. Malahan, beberapa NGO dan NGI telah menyatakan kesediaan untuk bersama dalam mengawal keselamatan orang ramai sepanjang program tersebut berlangsung. SAMM Johor dan rakan-rakan Sekretariat Asalkan Bukan UMNO (ABU) Negeri Johor amat bersedia kali ini untuk berdepan dengan asakan provokasi tidak bertamadun pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini.

SAMM Johor juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput rakyat Johor hadir ke Pidato Pelancaran Asalkan Bukan UMNO (ABU) untuk mendengar luahan teman-teman dari segmentasi masyarakat seperti Bekas Penduduk Tasek Utara dan Plentong Tengah, Generasi Kedua FELDA, Orang Asal, Pekerja dan pelbagai lagi segmentasi masyarakat yang telah menjadi mangsa penindasan rejim UMNO pada :

Tarikh : 26 Februari 2012 (AHAD)
Jam : 9 malam
Tempat : PASTI Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor


Akhir, SAMM Johor sekali lagi menyeru UMNO untuk menghormati lunas-lunas demokrasi serta jangan mengeksploitasi dan meracuni pemikiran anak muda dengan permainan politik kotor, politik ugutan dan politik samseng demi survival politik anda.

ASALKAN BUKAN UMNO !!

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras SAMM Johor
www.anakmudamalaysia.com

Jangan Cuba Nak Klentong...!!



HIMPUNAN HIJAU GAGAL CAPAI SASARAN

KUANTAN 26 Feb. – Himpunan Hijau 2.0 bagi membantah operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4 di sini hari ini gagal mendapat sambutan apabila hanya disertai kira-kira 3,000 orang, jauh daripada sasaran 20,000 yang ditetapkan.

Lebih malang, himpunan yang diuar-uarkan bakal melimpah ke jalan itu juga gagal menarik kehadiran ramai pemimpin tertinggi pembangkang kecuali daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai Anwar Ibrahim yang sememangnya mempunyai program pemukiman di Balok, di sini sejak kelmarin.

Daripada Pas, yang kelihatan cumalah Naib Presiden, Salahuddin Ayob manakala pemimpin utama DAP pula hanya, Lim Kit Siang.

Malah sebahagian yang hadir dibawa dengan bas dari luar bandar Kuantan yang digerakkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro pembangkang, manakala janji Pas untuk mengumpulkan 10,000 ahlinya juga tidak menjadi kenyataan.

NOTA:


ini bukti 20,000 diatas padang rugby kuantan
jangan nak kelentong
jangan nak tipu

semua kutuk gerombolan
semua nak humbankan gerombolan
semua anti lynas
semua dah tahu siapa terima rasuah...
Kah...Kah...Kah...!!!

Kenyataan Rasmi..!!!


DR BADRULAMIN DINASIHAT BERCUTI SEBULAN UNTUK BERSIHKAN NAMA

Ketua Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahrom dinasihatkan supaya mengambil cuti selama sebulan sehingga beliau dibersihkan dari tuduhan yang dikatakan berkhalwat pada Sabtu lalu.

Kerajaan Negeri telah menerima penjelasan Dr Badrulamin berhubung kejadian itu dan mendesak pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan siasatan secara telus, adil dan professional demi menjaga maruah beliau sebagai muslim sebagaimana yang dituntut dalam ajaran Islam.

Kerajaan Negeri berharap cuti rehat yang diberikan ini dapat digunakan untuk menumpukan perhatian kepada musibah yang sedang ditanggung oleh beliau dan melakukan usaha-usaha bagi membersihkan nama beliau.

Sepanjang tempoh bercuti ini, tugas-tugas beliau sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Selangor akan diambil alih sementara waktu oleh Sekretariat akhbar Pejabat Menteri Besar yang diketuai oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar.

Akhir sekali Kerajaan Negeri Selangor menyeru semua pihak supaya tidak membuat andaian-andaian negatif dan menyerahkan hal ini kepada pihak berwajib melakukan penyiasatan.

DIkeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR



SIASAT DR BADRUL AMIN BAHARON SECARA PROFESIONAL

KEADILAN mengambil maklum bahawa Dr. Badrul Amin Baharon diminta oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk membantu siasatan berikutan sebuah insiden di Kuantan pada 25 Februari 2012.

Justeru, KEADILAN menuntut agar JAIP dan pihak berkuasa membuat siasatan secara telus dan profesional.

KEADILAN juga mengulangi komitmen parti untuk terus memelihara prinsip keadilan bagi semua pihak yang terlibat.

DATO’ SAIFUDDIN NASUTION
SETIAUSAHA AGUNG
PARTI KEADILAN RAKYAT