Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Feb 5, 2011

Kalau Nak Bangang Pun...Bangang Lah Sorang-Sorang...!!

Inilah Muka ADUN bangang....!!

RISALAH HINA MELAYU: LIM MAHU ADUN MINTA MAAF – MK

Ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menuntut ADUN Pulau Betong Muhammad Farid Saad agar memohon maaf atas tuduhan bahawa kerajaan negeri itu bertanggungjawab ke atas satu risalah yang didakwa "menghina orang Melayu."

Lim berkata, ADUN berkenaan perlu menarik balik kenyataan berkenaan yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada hari Khamis lalu.

"ADUN Umno Pulau Betong didesak menarik balik dan meminta maaf secara terbuka kepada kerajaan negeri (Pulau Pinang) atas fitnah jahat ini. Sekiranya beliau gagal pada minggu depan maka tindakan tegas akan diambil," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim menjelaskan, risalah 'My Balik Pulau' itu sebenarnya dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan dan bukannya oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Sekiranya betul 'My Balik Pulau' lupa sejarah dan hina Melayu, maka yang lupa sejarah dan hina Melayu tidak lain tidak bukan adalah Umno dan kerajaan persekutuan sendiri," kata Lim lagi.

Lim berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar harian tersebut pada Khamis lalu yang menyebut risalah berkenaan "mengandungi fakta sejarah tidak tepat" dan "disifatkan sebagai berbahaya kerana boleh mengundang perbalahan kaum."

Muhammad Farid dipetik dalam laporan tersebut sebagai berkata, "meskipun tidak diketahui niat sebenar risalah tersebut diedarkan, dipercayai ia merupakan cubaan pihak tertentu untuk mengaburi rakyat tentang sejarah kawasan yang dihuni majoriti orang Melayu itu."

ADUN berkenaan turut mendakwa, risalah berkenaan "seolah-olah mahu menggambarkan bahawa Balik Pulau bukan dibuka oleh orang Melayu."

Dalam laporan sama, Muhammad Farid turut mendakwa, bahan dalam risalah berkenaan turut "menghina orang Melayu."

Nota:

Si bangang ini cuba nak raih simpati dari orang melayu
kalau pun nak jadi wira melayu di pulau pinang
bacalah dulu risalah itu – jangan pakai rembat aje
selidik dahulu – gunakan akal.

kalau masih bodoh juga
sila main di lebuh raya plus
padam lah cepat cepat boleh ada pilihanraya kecil
ini pengorbanan yang di nanti nanti
Kah...Kah....Kah...!!

Beri Peluang Islam Memerintah....!!


MARANG - Ekoran kegagalan kerajaan-kerajaan pro-barat yang gagal memerintah di negara-negara umat Islam, PAS membuka peluang mempelawa masyarakat antarabangsa agar memberi peluang kepada Islam memerintah.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata situasi ketegangan dan tunjuk perasaan yang berlaku di Mesir menuntut perubahan kerajaan yang memerintah kerana kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah

“Di Mesir juga berlaku kezaliman dan kekejaman, sudah beberapa orang pemimpin yang syahid di tali gantung, yang dibunuh, yang hilang. Akhirnya, berlakukan satu ledakan yang dahsyat pada hari ini.

“Rakyat Mesir keluar ke jalan raya. Mereka keluar bagi menunjukkan kemahukan mereka untuk membuat perubahan di Mesir

“Mereka mendesak supaya Hosni Mubarak berundur dan menubuhkan kerajaan peralihan yang tidak melibatkan pemimpin-pemimpin rasuah dan khianat,” tegasnya ketika berucap pada demonstrasi aman menyokong kebangkitan rakyat Mesir, dedakt sini semalam.

Himpunan itu juga adalah bertujuan memeberi amaran kepada Amerika Syarikat supaya jangan campur tangan dalam krisis yang melanda negara-negara Timur Tengah kini.

Menurut Ustaz Abdul Hadi, Amerika dan sekutunya telah mula bersuara agar Hosni Mubarak berundur dengan meletakkan orang yang boleh meneruskan dasarnya.

Katanya, pihak barat dan sekutu Amerika mahukan kerajaan berubah tetapi bukan dari kumpulan Islam yang memerintah.

“Dan telah ada kenyataan-kenyataan Amerika dan sekutunya supaya Mubarak berundur dengan meletakkan orang-orang yang dasarnya sama dan caranya sama, semata-mata untuk menjaga kepentingan Amerika.

“Sudah ada kenyataan mereka (barat) mahu kerajaan (Mesir) berubah tetapi bukan dari kumpulan Islam yang memerintah (Mesir),” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menjelaskan perubahan yang ingin dilakukan oleh rakyat Mesir akibat tindakan zalim dari pemerintahnya.

Katanya, meski pun kumpulan Islam menyertai pilihan raya tetapi pelbagai penipuan dilakukan bagi mengekalkan kerajaan Mubarak di Mesir

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya (I) PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik dan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Atap Biru Memang "Dok Paka...."


MARANG - “Setiap kali hujan lebat kami tidak dapat tidur dalam bilik dan terpaksa berpindah ke ruang tamu kerana atap rumah bocor walhal bantuan atap baru sahaja diterima setahun lalu,” demikian kata Maimun Mat Zain, 37.

Ibu kepada empat anak dari Kampung Padang Terik itu mendakwa bantuan atap diterima daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tidak berkualiti berbanding penerima lain di kampung itu.

Maimun juga mendakwa, sebelum ini pihak JKKK hanya menggantikan sebahagian sahaja atap rumah manakala sebahagian lagi iaitu bahagian hadapan dan bilik tidur masih menggunakan atap lama iaitu atap zink yang sudah reput serta berkarat.

“Kami menerima bantuan atap daripada JKKK pada Disember 2009 dan sebelum itu turut menerima bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sebanyak RM4,000 untuk membina dapur pada 2008.

“Kami kecewa bantuan diterima melalui JKKK seolah-olah hanya untuk 'memenuhi syarat' bahawa kami menerima bantuan atap sedangkan atap yang diganti hanya sebahagian,” katanya kepada Sinar Harian.

Maimun berkata, dia tidak membuat laporan kepada JKKK sebelum ini kerana suaminya, Roslan Zin Mamat, 42, masih lberada dalam tahanan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut sebelum dibebaskan beberapa hari lalu.

Sehubungan itu, Maimun dan suami berharap keperluannya mendapat perhatian semula pihak kerajaan kerana keadaan atap rumah yang bocor menyebabkan mereka tidak dapat menjalani kehidupan dengan sempurna.

“Saya dan suami tidak mampu untuk membaikinya sendiri dengan wang untuk sara hidup tidak mencukupi anak masih bersekolah dan keperluan mereka perlu diutamakan terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, bagi mendapat gambaran lebih jelas mengenai perkara itu Sinar Harian menghubungi Pengerusi JKKK di kampung berkenaan, Zainal Mat Yusof, 39, melalui nombor yang diberikan oleh isterinya, namun berapa panggilan yang dibuat tidak dijawab.

Sinar Harian turut menghubungi Setiausaha JKKK Kampung Padang Terik, Jeffry Ahmad melalui nombor telefon diperoleh daripada Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan namun gagal dihubungi.

Sinar Harian kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Siti Solehah Ahmad dan beliau akan menyemak semula status bantuan diberikan kepada keluarga berkenaan untuk tindakan lanjut

Pada 2 September, 2010, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencehgahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan program 'bantuan atap biru' kerajaan yang didakwa terlibat dengan unsur-unsur penylewengan dan salah urus.

Setiausahanya , Wan Faizul Abas, bersama Exco, Ustaz Khalil Abdul Hadi telah menyerahkan laporan tersebut ke pejabat SPRM negeri Terengganu di Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu (gambar)

Namun sehingga kini, tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh pihak terbabit.

Jawapan Anak Muda Kepada Dr Madey...!!


Tun Dr M yang dihormati,

Kami adalah golongan muda yang membesar di bawah kepimpinan Tun. Dahulunya kami mengenali Tun sekadar sebagai Dr M. Bahkan pernah pada suatu ketika, Perdana Menteri pada kami, hanyalah Tun sahaja. Sewaktu kami membesar, mungkin Tun lah orang pertama yang memperkenalkan kepada kepada perkataan-perkataan seperti 'mega', 'wawasan', 'visi', 'yang pertama' dan sebagainya. Walaupun kita tidak pernah sampai ke Everest, namun semangat kita pernah bersama-sama menawan puncak dunia. Walaupun kita tidak pernah berlayar mengelilingi dunia, namun semangat kita pernah bersama-sama mengiringi Jalur Gemilang merentas lautan dan benua.

Dari segi umur, Tun boleh dianggap sebagai abang kepada Tok Guru Nik Aziz. Kami pula ialah cucu kepada Tun dan Tok Guru. Usia kita jauh berbeza, pengalaman kita juga tidak setara. Kami mungkin tidak sempat melalui zaman-zaman sejarah lalu yang ditempuh oleh Tun dan Tok Guru, dan seolah-olah tidak layak berhujah dengan Tun. Namun kami merasakan kami perlu bangkit menyatakan pendapat kami selaku golongan yang akan mewarisi kepimpinan negara daripada Tun dan Tok Guru pada suatu ketika nanti.

Tun seorang yang bijak, lalu Tun suruh rakyat membaca, dan kami pun membaca. Pepatah pun ada mengatakan, banyak membaca , luas pengetahuan. Dan syukur kepada Allah, kami tidak rugi daripada membaca dan mencari kefahaman.

Tulisan ini bukan untuk menyokong mana-mana pihak. Sebagai pihak ketiga, kami keliru pada mulanya apabila Tun mendakwa bahawa Tun menegakkan Islam, dan Tok Guru juga berdakwah memperjuangkan Islam. Namun mengapakah tidak ada titik pertemuan? Ada angin, ada pokoknya. Pastinya ada perbezaan yang nyata yang membezakan Tun dan Tok Guru, dan pasti salah seorang berkata benar kerana mesej Islam yang dibawa oleh Rasulullah hanyalah satu, dan kesemua Nabi dan Rasul termasuk Adam, Ibrahim, Musa dan Isa sebelum baginda membawa mesej Islam yang sama.

Seruan-seruan kepimpinan Tun nampak hebat, tapi kami mendapati ianya tidak lengkap. Kita sudah ada segala macam 'mega', namun sehingga ke hari ini, isu-isu utama seperti perpaduan nasional, rasuah, pemerintahan yang tidak adil dan tidak bersih, kemiskinan rakyat dan jenayah masih belum ada penyelesaiannya. Rumah siap, pahat berbunyi. Kami berpendapat pastinya ada 'missing piece of jigsaw puzzle'.

Rupa-rupanya kami mendapati kehebatan Tok Guru ialah pada politik beliau yang juga merupakan ibadah kepada Allah swt. Tiada pengasingan antara keduanya. Ucapan-ucapan pembangunan dan kesatuan kepada kami sebagai rakyat tidak pernah lari daripada peringatan persiapan akhirat. Tun mencanangkan 'Wawasan 2020', namun Tok Guru mendidik kami lebih daripada itu, iaitu 'Wawasan Akhirat'. Inilah wawasan yang jelas dan lengkap, yang memberikan kami kejayaan dunia dan akhirat. Hari esok belum pasti bagaimana bentuknya bagi kita, namun mati menjadi satu-satunya perkara yang pasti buat kita semua. Sebab itulah setelah memerintah, Tok Guru tidak semakin kaya, bahkan rakyat menjadi lebih kaya daripada beliau.

Tun ada membangkitkan persoalan pengharaman arak di dalam majlis rasmi kerajaan. Kami merasakan tidak perlu Tun selak satu persatu 'kejayaan' nasionalis zaman lalu, cukup sekadar jika Tun menjawab mengapa ada di kalangan pemimpin negara yang masih bergelumang dengan arak pada hari ini? Kami musykil mengapakah masih ada para teknokrat Melayu Muslim yang masih 'setia' dengan arak pada hari ini? Kami keliru mengapakah masih ada teknokrat Melayu Muslim yang tanpa segan silu mengetuai syarikat-syarikat dan perusahaan judi yang masyhur seantero Asia Tenggara? Kita tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja anak-anak Tun dan San Miguel, apa cerita? Katanya 'nilai-nilai Islam', 'negara Islam', 'Islam Hadhari', tapi kami musykil dan keliru kerana bunyinya serba tidak kena.

Jika Tun benar-benar ikhlas kepada seruan persaudaraan sesama Muslim, mengapakah setelah kami, rakyat, mengundi pemimpin secara sah di dalam pilihanraya, secara tiba-tiba dilantik dan 'ditauliahkan' JKKK Persekutuan di negeri-negeri yang tidak diperintah Barisan Nasional? Sewaktu berlakunya Tragedi Sauk pada 2001, mengapakah Tun gagal memimpin semua pihak untuk duduk semeja, berdiskusi bagi memperoleh cara terbaik menangani isu keselamatan nasional pada ketika itu? Sebaliknya beduk perbezaan terus dipalu dan pemimpin parti Islam dituduh bersubahat. Pada ketika Islam dituduh sebagai pengganas di Amerika dan seluruh dunia, Tun menambah api kemarahan masyarakat dunia kepada agama Islam kita. Adakah ini seruan yang wajar daripada pemimpin utama negara? Bahkan Barrack Obama yang usianya separuh daripada usia Tun komited mengajak Democrat dan Republican untuk sama-sama menghadapi cabaran nasional yang lebih besar, namun semangat jiwa besar ini gagal Tun jadikan contoh tauladan kepada pengganti Tun.

Antara 'tragedi' terbesar Tun sewaktu menjadi Perdana Menteri ialah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pada 2002, yang akan dimansuhkan sepenuhnya pada tahun hadapan. Kami di luar negara meggunakan medium bahasa Inggeris, namun kami dukacita melihat nasib bahasa kita ini. Analoginya, bahasa Melayu kini ibarat peminta sedekah yang hidup melarat di kampung sendiri. Dato' Najib dan kerajaan hari ini kini acuh tidak acuh dengan mepertahankan keutuhan bahasa kita, kerana sibuk dengan politik dalaman dan mempertahankan kedudukan UMNO yang semakin rapuh. Buktinya jelas nyata daripada iklan-iklan di jalan raya, kaca televisyen, drama-drama tempatan dan sebagainya. Rakyat pula ditanam dengan pemikiran 'dengan bahasa kebangsaan, anda tidak mampu maju'. Bahasalah yang menjadi jiwa bangsa Malaysia. Barangkali Allahyarham Tan Sri Dol Ramli ingin menyuarakan pendapat yang sama, namun lidahnya kelu di hujung usia. Persoalan bahasa Melayu bukan tanda kami ini pro-Melayu atau anti mana-mana kaum, bahkan inilah tanda kami cintakan perpaduan dan mahukan keharmonian negara. Kami mahukan bahasa sepunya yang mampu menjadi menyatukan kami di dalam komunikasi dan percakapan seharian diperkukuh, namun jelas sekali bahasa Melayu semakin rapuh.

Ini berbeza dengan pendekatan Tok Guru yang benar-benar membawa Islam. Walaupun Kelantan bukanlah negeri yang paling kaya, namun negeri Kelantan telah diiktiraf oleh SPRM yang tahap rasuahnya amat kecil. Lain ceritanya dengan barisan kabinet Tun yang sehingga ke hari ini masih dibicarakan dengan tuduhan rasuah. Walaupun dilemparkan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah melalui media-media pro-Tun dan rakan-rakan, namun Tok Guru terus menjadi titik penyatuan masyarakat berbilang kaum di Kelantan dan seluruh negara. Serban Tok Guru beliau tidak menambah ketakutan kaum India, Melayu dan Cina, bahkan bertambah kasih dan yakin dengan pemerintahan yang bersih dan cekap yang ditunjukkan Tok Guru. Tun mengilhamkan slogan 'Bersih, Cekap, Amanah', namun Tok Guru lah yang berjaya merealisasikan slogan ini dalam bentuk praktikal di dalam kepimpinan beliau. Dulunya Tun pernah berkata Rasulullah menyimpan janggut kerana tiada pisau cukur pada zaman tersebut, namun hakikatnya janggut sejemput Tok Guru tidak menjadi penghalang kepada kepimpinan yang adil untuk semua kaum dan agama, dan kami dapat hidup dengan harmoni. Lantas selayaknya Tok Guru digelar Bapa Perpaduan sebenar pada abad ini, kerana kekuatan beliau bukan pada slogan, tapi beliau berjaya untuk 'walked the talk'.

Akhir kata, sebagai anak muda, kami berharapkan agar Tun menyahut seruan Tok Guru Nik Aziz agar menggunakan kebijaksanaan Tun untuk Islam. Apabila Islam ditegakkan, semua kaum dan agama boleh hidup harmoni dan bahagia tanpa sengketa, kerana Islam itu adil untuk semua. Anggaplah ini sebagai nasihat daripada si adik yang ikhlas mahukan kebaikan buat si abang, lantas kami cucu-cucu yang sedang membesar ini dapat menjadikannya sebagai suri tauladan dalam mewarisi pemerintahan negara yang kita cintai.

Kami sayang Tun dan Tok Guru. Semoga Allah memanjangkan usia Tun dan Tok Guru, untuk menyumbang kepada Islam.

Yang benar,
Anak Muda

Kebangkitan Rakyat Mesir Gusarkan Amerika & Barat....!!


Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) menyokong kebangkit rakyat Negara Mesir ketika ini dan mungkin perkara yang serupa juga akan berlaku di Malaysia jika Umno / Barisan Nasional (BN) masih kekal menipu rakyat di dalam mengurus pentadbiran kerajaan terutama berkaitan penipuan Pilihan Raya, penindasan kaum-kaum lain dan yang terkini tentang kenaikan harga barang.

Sesungguhnya Amerika sebenarnya gusar akan regim Hosni Mubarak yang akan jatuh pada bila-bila masa sahaja dan sudah tentu Islam akan naik di serata dunia. Sama seperti di Malaysia yang mana Amerika amat selesa dengan Umno / BN yang tidak inginkan Islam ditegakkan di Malaysia . Sudah tentu juga sekutu Amerika, iaitu Negara Haram Isreal juga risau kerana Mubarak adalah penyokong kuat penindasan kepada rakyat Gaza, malah pernah menutup Rafah dan juga membunuh dengan menggunakan gas beracun di terowong Gaza dahulu.

Tahkala Mahmoud Abbas juga begitu risau dengan kejatuhan Mubarak kerana selama ini penyokong kuat bagi memastikan tindakan menindas Hamas selama ini. Dapat dilihat kesungguhan Amerika dan barat kelihatan bagi membantu Mubarak dari belakang dan di atas faktor tersebut memberikan amaran bahawa kebangkitan rakyat atas nama Islam sudah mula berkumandang kini di Mesir.

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Pengerusi
Lajnah Antarabangsa
Dewan Pemuda PAS Pusat.

Sah...Kerajaan Malaysia Pro Husni Mubarak...!!


1. Berprinsip bahawa demokrasi itu perlu dipertahankan.
2. Berprinsip bahawa rakyat punya hak dan kebebasan untuk berhimpun.
3. Menyedari bahawa rejim yang zalim itu harus ditumbangkan.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia pada hari ini menyatakan kekecewaan terhadap tindakan yang diambil oleh pihak polis dalam Perhimpunan Anti-Mubarak, yang berarak daripada Masjid KLCC ke Kedutaan Amerika.

AMK Malaysia merasakan bahawa penahanan 7 orang demonstran anti-Mubarak adalah tidak professional.
Kekasaran dan penahanan ini memperlihatkan bahawa kerajaan kita pada hari ini mengambil pendirian Pro-Mubarak. Sikap tidak professional ini juga membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah mengambil iktibar
daripada kebangkitan rakyat di Mesir.

Oleh yang sedemikian, AMK Malaysia berpendirian bahawa;

1. Mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Malaysia khususnya pihak polis dalam demonstrasi Anti-Mubarak.
2. Kerajaan sama sekali tidak menghormati hak dan kebebasan rakyat untuk berhimpun dan menyatakan sokongan kepada rakyat Mesir.
3. Mendesak Ketua Polis Negara untuk menyiasat pihak polis yang bertindak secara tidak professional dengan menggunakan kekerasan sebagaimana yang telah berlaku.
4. Membebaskan dengan segera 7 demonstran yang ditahan dengan cara yang zalim petang tadi.

Sekian, terima kasih.

Shamsul Iskandar Mohd Akin,
Ketua AMK Malaysia.

Feb 4, 2011

Ribuan Sertai Himpunan Kebangkitan Rakyat Mesir...!!


KUALA LUMPUR, 4 Feb: Lebih 5000 rakyat hari ini berhimpun di hadapan Masjid As-Syakirin KLCC bagi menyertai perarakan ke Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyatakan bantahan terhadap campurtangan negara itu terhadap Mesir.

Himpunan tersebut yang telah memulakan perarakan mereka diketuai Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ridhuan Mohd Nor.

Biarpun pihak polis menghalang laluan menuju ke bangunan kedutaan tersebut, peserta himpunan bagaimanapun berjaya melepasinya.

Turut serta dalam perarakan tersebut, pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat lain termasuk, Salahudin Ayub, Mohamad Sabu, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Suhaizan Kaiat dan shamsul Iskandar Mat Akin.

Ucapan pembakar semangat sebentar tadi turut disampaikan Mohamad Sabu yang mengecam Presiden Mesir Hosni Mubarak.

Himpunan yang menggabungkan parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini dinamakan Himpunan Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir.

Mereka akan membuat tiga desakan terhadap Amerika Syarikat iaitu menggesa ejen negara itu berundur dari Mesir, tidak campur tangan dalam urusan rakyat Mesir memilih pemimpin mereka serta mendesak seluruh dunia memberi tekanan kepada Presiden Mesir, Husni Mubarak agar meletakkan jawatan.

Kesemua mereka berarak selepas selesai solat Jumaat sebentar tadi di Masjid As-Syakirin KLCC.

Sekurang-kurangnya 50 NGO turut sama dalam himpunan tersebut.

Bilangan peserta kini makin bertambah apabila mereka yang menunggu di tepi jalan kini menyertai perarakan.

Feb 3, 2011

Ucapan Selamat Tahun Baru Cina Oleh Presiden PAS...!!


Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Malaysia berbangsa Cina. Masyarakat Cina di Malaysia yang merupakan komuniti kedua terbesar di negara ini, merupakan juga penyumbang besar kepada pembinaan negara Malaysia.

Tahun Baru Cina yang biasanya dimulakan dengan semangat kekeluargaan dengan majlis makan besar setiap anggota keluarga merupakan sesuatu yang sangat baik ke arah membina masyarakat yang sejahtera. Di tengah kemelut masyarakat Malaysia yang berhadapan dengan keruntuhan moral dan jenayah yang parah, yang antaranya juga berpunca daripada keruntuhan institusi keluarga, masyarakat Cina tampil membawa budaya baik iaitu ‘makan besar’ yang merapatkan semangat kekeluargaan.

Kita juga berhadapan dengan kemelut ekonomi yang menyebabkan rakyat berhadapan dengan tekanan hidup akibat kenaikkan harga barang keperluan. Masyarakat Cina juga tidak terlepas menyambut Tahun Baru Cina dalam situasi tersebut. Keadaan ekonomi yang parah ini juga dibayangi oleh pengumuman-pengumuman manis pemerintah yang menjanjikan persekitaran ekonomi yang lebih baik, namun dalam masa yang sama keperluan rakyat terus terhimpit akibat salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku.

Saya menyeru kepada seluruh masyarakat Cina di negara ini, semoga terus melakukan perubahan untuk menukar pemerintah yang ada kepada Pakatan Rakyat, bagi mencuba alternatif yang baru untuk menyelesaikan kemelut ekonomi negara. Semoga dengan sambutan Tahun Baru Cina ini akan meningkatkan lagi hubungan kekeluargaan dan hubungan antara kaum di negara ini dan seterusnya berjaya membina masyarakat dan negara yang lebih sejahtera.

Selamat Tahun Baru Cina.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Isu Nasionalisme : Jawapan Tok Guru Kepada Mahathir...!!


Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya. Firman Allah SWT :

يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi. Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Firman Allah SWT :

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya. Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh? Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. Allah SWT berfirman :

وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ

Yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya :

فرقت به جماعتهم!

Yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang? Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT. Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan. Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : اللهم قد بلغت (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)

Sekian.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.
Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011
..

Sila Hadir Beramai-Ramai...!!

Sedih sedih...kerana bershoping terganggu...kerana ada tunjukan perasaan...!!

HIMPUNAN BANTAH CAMPURTANGAN AMERIKA DI MESIR JUMAAT INI - HD

KUALA LUMPUR, 2 Feb: Gabungan parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menamakan diri mereka sebagai Himpunan Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir akan membuat tiga desakan terhadap Amerika Syarikat, Jumaat ini.

Desakan itu akan dibuat dalam himpunan besar-besaran bagi menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat 4 Februari ini.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiyat berkata, tiga desakan tersebut ialah menggesa Amerika berundur dari Mesir, tidak campur tangan dalam urusan rakyat Mesir memilih pemimpin mereka serta mendesak seluruh dunia memberi tekanan kepada Presiden Mesir, Husni Mubarak agar meletakkan jawatan.

"Kita mengajak seluruh rakyat untuk menyertai himpunan yang akan bermula di Masjid As-Syakirin KLCC selepas solat Jumaat.

"Kita akan berarak dari masjid menuju ke kedutaan Amerika Syarikat dan akan disertai oleh beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Menurutnya yang juga pengarah himpunan tersebut, sebanyak lebih 50 NGO telah menyatakan persetujuan untuk turut sama dalam himpunan yang dijangka akan dihadiri lebih 1,000 orang itu.

Antaranya Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Citizens International, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) dan lain-lain pertubuhan.

Tambahnya, mereka turut mempelawa BN dan parti komponennya serta NGO di bawahnya untuk menyertai himpunan ini kerana ianya merupakan isu nasional tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.

"Kita mengajak pertubuhan lain yang barangkali tak bersama hari ini seperti Umno, MCA, MIC dan pertubuhan-pertubuhan bukan Islam juga digalakkan untuk hadir. Ini merupakan isu besar yang memerlukan sokongan semua pihak tanpa mengira politik dan agama," katanya.

NOTA:

Berkumpul jam 1.30 hari di Masjid KLCC
Bergerak dari Masjid KLCC pada jam 2.00
Semua dijemput datang untuk menunjukkan
setiakawan dengan warga Mesir.