Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Sep 19, 2011

Nak Termuntah Tengok Pengampu BN Komen Pasal Mansuh ISA....!!


Pihak yang paling gembira dengan pengumuman pemansuhan ISA oleh Perdana Menteri tentulah ratusan ribu manusia yang pernah disembur air kimia dan gas pemedih bata dalam demonstrasi baju merah mendesak penghapusan ISA serta seluruh rakyat yang bencikan kezaliman ISA.

Perlukah berterimakasih kepada PM? Ia mengingatkan kepada sejarah Firaun yang menghimpun dua manusia, satu dilepaskan hidup dan satu dibunuh...lalu memberitahu rakyatnya: Tengok aku berkuasa menghidup dan mematikan seseorang.
Orang yang tidak dibunuh lantas berterima kasih kepada Firaun. Sebenarnya orang yang yang tidak dibunuh itu tidak perlu berterima kasih kepada Firaun, kerana kalau dia dibunuh pun bukan kerana apa-apa kesalahan tetapi semata2 kerana kezaliman Firaun. Dalam kes ini, Firaun bukan melakukan kebajikan kerana 'memberi nyawa' kepada seseorang tetapi cuma berhenti melakukan kezaliman pada waktu itu.

Bagaimana pula rakyat biasa yang melihat peristiwa itu? Mereka lagilah tidak perlu BERTERIMA KASIH kepada Firaun atau MEMINTA MAAF apa2 dari Firaun.

Tapi dalam kisah kefiraunan ISA, puak2 pengampu Be End beriya-iya berterima kasih memuja muji Najib kerana memansuhkan ISA. Ahli politik BN, ahli akademik dan NGO pengampu inilah yang beriya-iya mempertahankan ISA dengan segala hujah.. Hari ini orang yang sama muncul di TV mengalu-alukan tindakan Najib seolah-olah mereka tidak pernah berkata2 mengenai ISA sebelum ini... Nak termuntah tengok.

Cuma yang terkantoi sekarang ialah bloggers pro Be End, mereka yang pulun habis pertahankan ISA. Sekarang mengapa tak serang Najib, seranglah?!! Nampak sangat dalam apa isu yg berlaku dalam dunia ini mereka bukan golongan yang mempertahankan kebenaran tetapi mempertahankan UMNO/BN walau apa parti dokongan mereka itu lakukan.

Sep 18, 2011

Tak Ada Maknanya....!!


Nama lain tapi ‘maksudnya’ ISA – Anwar - KD

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak terlalu ghairah dengan pengumuman mengenai pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana undang-undang baru bakal menyusul.

Ketua Pembangkang itu berkata, langkah Datuk Seri Najib Razak itu wajar dibimbangi kerana Perdana Menteri bakal menggantikan akta yang sama dengan nama berbeza.

“Langkah Najib membatalkan ISA, kita alu-alukan, cuma kita harus waspada sebab pembatalan itu berlapik kerana Najib akan perkenalkan dua undang-undang baru dan tidak diketahui secara terperinci.

“Menteri Dalam Negeri (KDN) mengatakan dia akan kaji undang-undang sedia ada yang ada dalam negara lain, maknanya mungkin perkenal beberapa cara tahanan tanpa bicara.

“Kalau ada undang-undang baru, mempertahankan prinsip yang sama, namanya mungkin lain tapi maksudnya ISA,” katanya pada sidang media di ibu pejabat hari ini.

Pada 15 September lalu, Najib yang terdesak untuk mengekalkan kuasa akibat tekanan pembangkan dan puak dalaman Umno membuat pengumuman untuk memansuhkan ISA yang akan diganti dengan dua akta baru tetapi tidak memberi perincian.

Anwar berkata, dua akta baru itu tidak akan mengubah sistem autokrasi yang sedia ada, malah meneruskan amalan penindasan terhadap rakyat.

“Bahayanya kerana undang-undang baru yang akan diperkenalkan dan ini hanya satu sudut sistem penindasan autokrasi ada.

“Kita minta batalkan ISA, timbulkan suasana yang lebih lunak menghormati prinsip demokrasi, maka ia harus ada ruang yang lebih terbuka,” kata Ketua Umum KEADILAN itu.

Berkaitan isu sama, Anwar menyebut tanpa menghalang pihak lain menuntut ganti rugi, tidak akan menuntut pampasan walaupun dua kali tahan mengikut ISA.

Hanya Orang UMNO Saja Yang Akan Masuk UMNO...!!


Hasan Ali nafi spekulasi masuk Umno - MK

Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini menafikan dakwaan dalam blog bahawa beliau akan keluar PAS dan menyertai Umno.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat, menyifatkan dakwaan tersebut, bersifat "spekulasi".

"Saya bersama dengan PAS dan yakin dengan perjuangan PAS kerana slogannya kepimpinan ulamanya yang memanggil Hasan Ali menyertai PAS.

"Kedua, bukan sahaja kerana kepimpinan Ulama, (tapi PAS) nak menegakkan negara Islam yang berpaksikan Al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak Ulama dan Qias," katanya dalam sidang media di kediamannya hari ini.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi dengan tegas, menafikan akan menyertai Umno.

Katanya lagi, sehingga semalam beliau mendapat tidak kurang 15 panggilkan telefon dan 25 SMS bertanyakan berhubung perkara tersebut.

Hasan turut menafikan dakwaan bahawa berjumpa dengan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk berbuat demikian.

"Tidak ada perjumpaan. Saya tidak pernah berjumpa dan tidak ada rancangan untuk berjumpa.

"Mungkin ada orang lain yang berjumpa, mungkin Hasan lain, Hassan putu mayung ka...(Tapi) bukan Hasan Ali," katanya berseloroh.

Hasan yang juga ADUN Gombak Setia menolak dakwaan dalam media dan blog bahawa sebelum ini pernah menganggotai atau berkecimpung dengan Umno.

"Saya tidak pernah sebarang masa, sebarang ketika berkecimpung dalam Umno dan tidak pernah berniat untuk berkecimpung dalam Umno.

"Semoga penjelasan ini, dapat diberitahu kepada mereka yang ingin mengetahuinya, saya rasa dapat meredakan spekulasi-spekulasi yang sedemikian.

"Saya tidak berkata spekulasi ini berniat jahat, saya tidak kata spekulasi ini mahu menimbulkan ketegangan mana-mana pihak, tetapi saya rasa, redakanlah.

"Kalau kamu tidak dapat daripada 'horse mouth' (dari mulut saya tentang perkara itu), janganlah mereka mewakili kuda-kuda itu untuk bercakap," katanya.

Ditanya mengapa desas-desus untuk menyertai Umno selalu dikaitkan dengannya, Hasan berkata macam-macam orang boleh mendakwa sedemikian terhadapnya.

"Saya public figure, macam-macam orang dakwa...Ia kena keluar dari mulut saya. Selagi tidak keluar dari mulut saya, kenapa perlu diwakil-wakilkan," katanya.

Nota :

Macam ni la pemimpin yang bagus..
Saya percaya yb datuk hasan ali tak kan keluar dari pas.
Dia akan terus bekerja untuk merealisasikan dan mengekalkan selangor ditangan PR dan bersama mengambil alih putrajaya....
Allahuakbar....!!

Pakatan Rakyat Maknanya Rakyatlah....!!


Pakatan bukan rakyat, soal Nik Aziz - MK

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuh bukan kerana tuntutan Pakatan Rakyat, sebaliknya bagi mendengar luahan hari rakyat.

"Hairan saya, (angggota) Pakatan Rakyat bukan rakyatkah?" soalnya yang juga menteri besar Kelantan.

Najib semalam dilapor menegaskan, keputusan memansuhkan ISA dibuat kerajaan BN mendengar isi hati rakyat yang inginkan perubahan sedemikian.

Justeru, katanya, jangan ada pihak yang mahu mendapat nama bahawa pengumuman itu hasil perjuangan mereka.

Menulis di laman Facebook beliau hari ini, Nik Aziz berkata, baginya perkara baik tidak salah untuk ditiru.

"Bukankah Rasulullah SAW memerintahkan supaya mengambil apa jua hikmah (kebijaksanaan) di mana saja ia ditemui?" katanya.

Dalam perutusan Hari Malaysia beliau pada Khamis lepas, Najib mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan negara.

Najib menjelaskan keputusan itu selaras dengan hasratnya untuk mengkaji ISA ketika mengambil alih jawatan perdana menteri dua tahun lepas.

Nota :

Sebelum ini yang luahkan tak puasan hati dengan ISA adalah dari Pakatan Rakyat... Parti2 dalam BN menyokong dan mempertahankan ISA....
Sekarang ni ISA dimansuhkan dan Najib kata ISA dimansuhkan kerana luahan rakyat dan bukannya dari tuntutan Pakatan Rakyat....
Rasa Nak tergelak....kelakar...
Kah...Kah...Kah....

UMNO Kian Terdesak...!!


KUALA LUMPUR, 18 Sept — Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan tindakan menyiarkan satu lagi sedutan klip, menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan lif apartmen lokasi didakwa melanggani pelacur asing, sebagai perbuatan terdesak Umno-BN berterusan dan terancang dengan bantuan pihak berkuasa.

Naib Presiden PKR N Surendran berkata, pihaknya yakin tindakan sedemikian akan dipertingkatkan ketika pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat.

Sambil menegaskan orang ramai sudah bosan dengan perbuatan sedemikian, peguam ini menambah, beliau yakin Umno-BN akan meneruskan serangan sedemikian selepas ini.

“Saya hendak sebutkan dengan ringkas ... ini kerja terdesak musuh politik Datuk Seri Anwar, mereka merancang dan adakan klip-klip rekaan, dan saya yakin setiap bulan akan ada terbitan macam ini ... ini dilakukan oleh Umno-BN, dengan kerjasama pihak berkuasa, saya berani untuk mengatakan yang ini,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider malam tadi.

“Sebagaimana kami katakan sejak timbulnya klip rakaman sebelum ini, dalam dunia teknologi yang canggih pada masa sekarang, bukan sukar untuk mengadakan bahan-bahan macam ... saya yakin mereka akan terus dengan perbuatan mereka sehingga pilihan raya,” kata beliau yang turut mengakui bahawa warna pakaian dikenakan oleh ahli perniagaan Datuk Shahzryl Eskay Abdullah dalam video yang dipertontonkan pada Mac lalu dan disebarkan menerusi Internet kemudian berbeza dengan dalam sedutan klip terbaru dilihat semalam.

“Ya, kedua-duanya jauh berbeza ... ini sudah cukup untuk mengatakan bahawa ada unsur rekaan dan manipulasi, yang penting untuk dikatakan di sini ialah pihak terbabit mereka cipta bahan macam ini,” katanya lagi sambil menambah, biar rakyat menilai perbuatan mereka.

Kata beliau, musuh politik seharusnya berani untuk berhadapan isu-isu dasar daripada menggunakan taktik dan serangan macam ini.

Selepas mendedahkan klip rakaman video seks, didakwa pelakunya Anwar awal tahun ini, semalam blog pro-Umno menyiarkan sedutan klip menunjukkan Ketua Pembangkang itu memasuki lif premis lokasi kejadian.

Sedutan yang dibawa blog papagomo menunjukkan Anwar memasuki lif sebuah apartmen dengan diiringi Shahzryl Eskay, dirakamkan melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Ia menunjukkan Anwar memakai baju ungu dan berselipar manakala Shahzryl Eskay sut berwarna hitam.

Dua sedutan klip dimuatkan iaitu masing-masing satu ketika masuk ke dalam lif dengan Anwar di depan dan satu lagi ketika keluar dari lif. Ketika keluar lif, Shahzryl Eskay berada di depan.

Butiran pada sedutan itu menunjukkan mereka masuk ke dalam lif pada pukul 10.09 malam dan keluar pada pukul 10.52 malam, 21 Februari lalu.

Tarikh itu sama dengan tarikh kejadian hubungan seks dengan pelacur dari China didakwa diadakan, yang didedahkan oleh “Datuk T” pada 21 Mac lalu.

Sedutan ini berwarna manakala klip rakaman yang didedahkan pada 21 Mac lalu pula berwarna hitam. Sedutan klip rakaman hitam putih telah pun didedahkan kepada umum melalui blog-blog Umno sebelum ini.

Kata blog papagomo, “rakaman yang mana dirakam oleh CCTV dengan warna jelas dan muka Anwar juga jelas kelihatan. Waktu rakaman juga selari dengan apa yang dilakukan oleh Dato Seri Anwar bersama pelacur China tersebut.”

Blog itu juga mendakwa waktu yang dicatatkan pada video seks tersebut seiring

dengan rakaman CCTV yang menunjukkan Anwar masuk ke dalam lif dan kemudian keluar.

24 Jam Selepas Pendedahan... Pengakuan PM Bangladesh Dipadam


Cetakan dari komputer (print screen) yang kini dipadamkan

KUALA LUMPUR: Laman web yang memapar pengakuan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed mengenai rakyatnya di Malaysia, mudah memperoleh status penduduk tetap (PR) dan layak mengundi, dipadamkan hari ini. Semakan Keadilan Daily pada jam 7 malam ini mendapati laman itu tertera No item to show (tiada paparan kandungan) tetapi tiada alasan diberi. Bagaimanapun, halaman depan web berkenaan masih boleh ditemui di sini.

Semalam, portal ini mendapati Sheikh Hasina dilapor berkata pekerja Bangladesh di Malaysia diberi kewarganegaraan dengan mudah asalkan mengundi parti yang mewakili kerajaan pemerintah.

Beliau juga mengesahkan sebilangan pekerja Bangladesh dalam beberapa sektor di Malaysia, diberi taraf kewarganegaraan sejak tahun lalu, selain diberi hak mengundi.

Berikutan itu, Naib Presiden KEADILAN Fuziah Salleh ketika diminta mengulas hal itu, mendesak siasatan dibuat terhadap pengakuan berkenaan.

“Kita desak tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kenyataan Perdana Menteri Bangladesh berkenaan perkara ini.

“Jika perkara ini berlaku, Najib perlu bertanggungjawab dan berani tampil memberikan penjelasan,” katanya.

Sah Rakyat Asing Boleh Mengundi...!!


Pengakuan PM Bangladesh: Anwar minta siasatan, penjelasan NajibKD

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa siasatan terhadap pengakuan Perdana Menteri Bangladesh bahawa rakyatnya memperoleh kerakyatan Malaysia dan layak mengundi.

“Kita minta pengesahan lanjut kerana keterangan itu dari laman web kerajaan Bangladesh, inikan aneh.

“Saya anggap kecurangan, ini isu nasional. Bagaimana boleh sebuah negara yang kononnya yang begitu cekap dan canggih dengan kemudahannya mengizinkan pemalsuan terang-terangan,” kata Anwar.

Ketua Pembangkang itu berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu berlaku ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat supaya lebih patriotik dan menjaga keamanan bersama.

Turut menyemak laman web berkenaan selepas pendedahan Keadilan Daily, Anwar berkata:

“Saya ikuti website (laman web) kerajaan Bangladesh malam tadi (17 September), benar atau tidak rakyat Bangladesh yang diberi izin mengundi di Malaysia. Itu kenyataan Perdana Menteri Bangladesh. Ini dakwaan serius,” katanya.

Bagaimanapun, semakan Keadilan Daily pada jam 7 malam ini mendapati pengakuan itu dipadamkan dari laman web berkenaan atas sebab yang tidak diketahui.

Sep 17, 2011

Teruskan Perjuangan "Selamatkan Malaysia"...!!


Saya mengucapkan tahniah kepada semua pejuang kebebasan dan hak asasi manusia kerana kerajaan UMNO-BN akhirnya terpaksa akur dengan kebenaran dan keadilan yang mereka perjuangkan selama berdekad-dekad. Ribuan pejuang ini dipenjara, difitnah dan menderita pelbagai kezaliman demi untuk hak dan kebebasan rakyat yang dinodai oleh UMNO-BN sejak merdeka lagi.

Tanpa kegigihan perjuangan mereka yang sentiasa memberikan tekanan kepada Najib Razak , pastinya Perdana Menteri tidak akan membuat kenyataan semalam untuk menamatkan darurat dan menyarankan untuk memansuhkan ISA. Semangat perjuangan rakyat telah menjadi sebahagian dari darah daging perjuangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat meneruskan perjuangan ini dengan memasukkannya ke dalam Buku Jingga.

Justeru itu apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri bukanlah suatu kurnia kepada rakyat sempena Hari Malaysia, sebaliknya ia adalah hasil dari perjuangan getir. Maka tahniah yang sebenar adalah untuk para pejuang kebebasan dan hak asasi baik dari parti-parti politik mahupun dari NGO. Sebagaimana kita tidak memberikan tahniah kepada British kerana memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 tetapi tarikh tersebut kita rayakan sebagai kemuncak kejayaan perjuagan menentang penjajahan.

Namun kita mengalu-alukan langkah yang diambil Perdana Menteri yang tentunya membuka lembaran baru kepada persekitaran politik Malaysia sekiranya apa yang diumumkan dikotakan dan tidak sebagai satu retorika serta sekadar bersifat kosmetik demi memulihkan imej politik.

Oleh kerana itu sejajar dengan pengumuman Najib semalam yang berhasrat memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan menamatkan perintah darurat, kita menuntut agar:

1. Segera membebaskan semua tahanan yang ditahan tanpa bicara atau hadapkan mereka ke mahkamah untuk diadili.
2. Menutup pusat tahanan yang menempatkan tahanan yang ditahan tanpa bicara seumpama Pusat TahananKamunting dan Simpang Renggam.
3. Segera melaksanakan proses siasatan terhadap segala aduan siksaan terhadap para tahanan.

Kita juga perihatin dengan pengumuman Najib untuk menggubal dua akta baru yang dipayungi Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Akta itu menurut Perdana Menteri bakal digunakan untuk memerangi keganasan dan aliran subversif. Kita berpandangan adalah penting bagi Pakatan Rakyat, NGO dan pentadbiran Najib Razak untuk duduk semeja bersama-sama mendapatkan maklum balas dari segenap lapisan masyarakat sebelum rang undang-undang ini dibentangkan di Parlimen kelak. Oleh itu kita menyeru agar diwujudkan Majlis Perundingan Kebangsaan bagi mengkaji serta bersama-sama menggarap dua rang undang-undang mencegah keganasan dan aktiviti subversif yang bakal dibentangkan di Parlimen kelak.

Kita tidak mahu undang-undang yang bakal digubal ini masih menerapkan unsur perundangan antaranya yang mirip dengan peruntukan Seksyen 73(1) dan Seksyen 8 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kedua-dua peruntukan tersebut memberi kuasa kepada Menteri untuk menahan sesiapa sahaja dan membolehkan Menteri itu menyalahguna kuasa demi kepentingannya semata-mata. Pastinya pengumuman pemansuhan ISA tidak membawa sebarang erti sekiranya kedua-dua akta yang bakal digubal itu itu masih membolehkan Tahanan Tanpa Bicara.

Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa rakyat dapat membedakan antara slogan dengan hakikat dan rakyat akan meneruskan perjuangan mereka sehingga segala hak dan kebebasan mereka dikembalikan sepenuhnya termasuk hak mereka untuk berhimpun secara aman untuk menjayakan demokrasi tulen.

Rakyat tidak menerima perubahan yang bersifat tempelan. Selagi pemerintahan UMNO-BN tidak menerima perhimpunan BERSIH 2.0 sebagai hak dan kebebasan rakyat, rakyat akan beranggapan bahawa tuntutan mereka belum dipenuhi. Demokrasi yang berwibawa dan sistem piliharaya yang adil dan bebas adalah sebahagian dari hak asasi dan kebebasan rakyat.

Parti Keadilan Rakyat juga mahu menegaskan bahawa kita tidak akan menerima kenyataan yang dibuat oleh Najib sebagai bermakna selagi lidah rasmi Keadilan iaitu Suara Keadilan dihalang penerbitan dan pengedarannya oleh Kementerian DalamNegeri.

Rakyat akan menerima sekiranya pembaharuan yang dilakukan adalah benar-benar ikhlas, berdasarkan penghayatan kepada nilai-nilai murni demokrasi dan karamah insaniah dan tidak sebagai gimik politik.

Sekiranya Najib benar-benar menerima nilai-nilai ini beliau sebagai wakil kerajaan harus membuat kenyataan terbuka bahawa kerajaan sebelum ini telah melakukan pelbagai kezaliman di bawah undang-undang kuku besi ISA dan undang-undang drakonian lainnya. Pengakuan ini harus diikuti dengan permohohan maaf kepada mereka yang dizalimi dan kepada mereka yang sudah meninggal, permohonan maaf tersebut disampaikan kepada keluarga mereka.

Perlaksanaan kepada janji Perdana Menteri juga bergantung kepada kebebasan dan integriti institusi kehakiman. Selagi institusi kehakiman tidak bebas dari cengkaman politik dantidak memiliki integriti, institusi tersebut boleh dijadikan alat kepada kezaliman baru dan melakukan "political persecution". Bahkan ini yang sedang dilakukan oleh Najib kepada Anwar Ibrahim sekarang.

Jenteru itu sementara saya mengajak mengalu-alukan kenyataan positif yang dibuat oleh Perdana Menteri saya juga menyeru rakyat terus istiqamah dalam perjuangan menuntut keadilan dan kebebasan.

Kenyataan media oleh :
Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden PKR.

ISA Dah Mansuh...AUKU Apa Cerita...??


Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menyambut baik pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekaligus kerajaan mengesahkan bahawa berlaku kezaliman terhadap mangsa akta tersebut sejak ia ditubuhkan pada tahun 1960.

Dalam perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011, Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa dua undang-undang baru akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959, di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Di samping itu, tambahnya, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dikaji semula dengan pembaharuan tahunan dihapuskan dan digantikan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Najib berkata, selain itu kajian semula komprehensif turut melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan seksyen 27 Akta Polis 1967, mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Bagi saya, ini merupakan pembaharuan yang baik dilakukan oleh kerajaan dan transformasi seperti ini yang rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik. Mungkin ini juga disebabkan oleh tempias gelombang himpunan BERSIH 2.0 yang lalu. Dan pengumuman ini juga titik tolak penentuan tarikh PRU yang ke-13.

Najib juga berkata kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan apa-apa undang-undang yang tidak lagi relevan. Bagi saya kerajaan juga perlu meneliti semula Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), 1971 yang saban tahun diperjuangkan oleh mahasiswa untuk memansuhkannya.

AUKU menjadi halangan kepada mahasiswa dan ahli akademik dalam menyuarakan pandangan secara bebas bertepatan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan. Ia menggariskan bahawa hak kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan adalah hak kepada mana-mana individu yang sah sebagai warganegara Malaysia.

Pembatasan hak-hak asasi warga institusi pengajian tinggi (IPT) dalam AUKU juga bersalahan dengan piawaian Hak Asasi Manusia PBB. Perkara ini merupakan suatu keaiban kepada Malaysia yang mendokong prinsip demokrasi.

Sewajarnya sebagai negara demokrasi berperlembagaan, mahasiswa dan ahli akademik perlu turut sama diberi ruang untuk berkongsi rasa dan pandangan secara murni bersama-sama kerajaan dan pihak pentadbiran universiti bagi membentuk masyarakat dan negara yang adil serta sejahtera.

Oleh itu, saya minta untuk kerajaan juga turut mengkaji dan memansuhkan AUKU ini.

Kenyataan media oleh :

Mohd Yusof Hadhari
Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS).

BN Menang Kerana Menipu...!!


Program 'syok sendiri' antara punca BN tewas di S'gor - MK

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menempelak pemimpin tertentu dalam parti itu yang masih menjalankan program "syok sendiri" dan memberi laporan tidak tepat berhubung sokongan masyarakat akar umbi.

Katanya, anggota parti itu sepatutnya sedar bahawa tindakan seperti itulah yang menyebabkan BN kehilangan Selangor dalam pilihan raya 2008.

Tambahnya, pemimpin berkenaan hanya "menipu diri sendiri" sekiranya melaporkan bahawa program yang diadakan itu merupakan satu kejayaan.

Walhal ia hanya dihadiri oleh 300 orang di kalangan mereka sendiri, katanya ketika bercakap kepada kira-kira 3,000 orang yang hadir dalam konvensyen BN Selangor di Shah Alam hari ini.

"Jangan hantar laporan, 300 orang berhimpun, berjaya. Siapa 300 orang itu?

"Kalau 300 orang itu orang yang menentang kita, barulah berbaloi buat perhimpunan," katanya lagi dalam perhimpunan yang diadakan di Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah.

Beliau turut menyebut mengenai satu program "Sirih Pulang Ke Gagang" yang akan dihadirinya selepas itu di kampus Universiti Teknologi Mara.

"Saya dengar banyak ribu nak masuk balik. Kalau betul, we are on the upward swing," katanya lagi.

Tambahnya, pemimpin akar umbi perlu memberi bacaan politik yang tepat ke atas kawasan masing-masing.

"Jangan tipu pemimpin di atas. Kalau (kawasan) hitam, jangan kata putih. Mesti beritahu betul-betul.

"Laporan macam dulu tak boleh pakai lagi. Mesti dengan tindakan dan penilaian tepat dan jujur.

"Bukan nak sedapkan kita saja. Kita rasa kita cukup kuat. Tapi kalau laporan kita betul, kita tak akan kalah di Selangor, kita boleh buat tindakan pemulihan," katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut menyeru kepada jentera parti itu supaya menjalankan kerja berterusan.

"Jangan harap pada kerajaan, pada (Jabatan) Penerangan, pada JASA (Jabatan Hal Ehwal Khas), pada KEMAS sahaja," katanya.