Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Oct 10, 2010

Katakanlah Kebenaran Walaupun Ia Pahit...!!!


Baru-baru ini, kita digemparkan dengan penangkapan dan penahanan seorang kartunis tanahair, Zunar di bawah Akta Hasutan 1948. Umumnya, perkataan hasutan membawa sebuah konotasi berbentuk negatif, di mana perkataan hasutan merujuk kepada perbuatan mengajak atau mempengaruhi seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan yang salah dan berniat jahat.

Seorang kartunis adalah seorang pelukis yang menggunakan seni lukisan kartun yang dihasilkan bagi tujuan menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat. Hasil karya seni seorang kartunis ini dikenali sebagai "satira". Satira mengikut definisi Kamus Oxford bermaksud "penggunaan janaka, ironi, atau sindiran yang bertujuan untuk mengkritik sesuatu kebodohan atau kejahatan terutamanya dalam konteks politik dan isu-isu semasa."

Satira telah menjadi medium penyampaian sesuatu mesej berbentuk politik dalam proses mengetengahkan sesuatu maklumat yang berkait rapat dengan konflik poltik yang melanda sesebuah masayarakat. Seni satira merupakan salah satu bentuk manifestasi prinsip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat sepertimana yang telah diperuntukkan dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 19 Pengisytiharan Hak Asasi Sejagat.

Satira politik

Satira politik secara khususnya dihasilkan bertujuan untuk menimbulkan isu-isu penting berkenaan kepincangan sistem politik yang seringkali cuba ditenggelamkan pihak pemerintah dalam usaha menyembunyikan hakikat sebenar sesuatu isu atau sesuatu fakta yang menjurus kepada kebenaran yang terselindung di sebalik pembohongan. Satira politik seringkali memaparkan episod-episod hangat sesuatu isu politik yang dicemari penyalahgunaan kuasa, pencabulan hak asasi dan pembohongan secara terang-terangan yang bisa dirujuk dengan fakta yang tidak pernah berdusta.

Satira politik yang dihasilkan seseorang kartunis untuk paparan masyarakat bukan sahaja bertujuan untuk meraikan prinsip kebebasan bersuara seseorang individu, tetapi ia juga dipaparkan kepada masyarakat untuk mencuit nurani dan daya pemikiran masyarakat untuk memikirkan secara mendalam kepincangan politik yang menular dalam pemerintahan negara, dan bagaimana ia mampu memberi kesan buruk kepada negara dan kehidupan masyarakat sekiranya ia dibiarkan bermaharajalela.

Proses yang berakar umbi daripada prinsip kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat ini amat penting dalam melahirkan masyarakat yang peduli dan tidak hanya mementingkan diri sendiri. Melalui proses ini, nilai-nilai keadilan, kebebasan dan kebaikan diberikan tempat yang tertinggi dalam senarai tanggungjawab yang wajib diperjuangkan oleh setiap rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran. Perjuangan dalam memartabatkan kemuliaan manusia dan perjuangan untuk membina masyarakat madani adalah berlandaskan prinsip menegakkan kebenaran dalam apa cara jua sekalipun di mana kebenaran tidak boleh dibiarkan berkubur tanpa pembelaan.

Dengan kesedaran yang dizahirkan melalui penggunapakaian prinsip kebebasan bersuara, kebenaran dapat ditegakkan di mana ia tidak mampu lagi untuk disembunyikan di mana rakyat akan menjadi hakim yang mengadili pembohongan dan cubaan untuk menyembunyikan sesuatu kebenaran oleh pihak pemerintah.

Oleh yang demikian, cubaan-cubaan untuk mengekang kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat dengan menggunakan undang-undang yang tidak berlandaskan prinsip kebebasan dan hak asasi seperti Akta Hasutan oleh pihak pemerintah adalah satu tindakan bacul dan primitif yang jelas bertentangan dengan norma-norma masyarakat yang mendukung prinsip demokrasi dan hak asasi sejagat. - Sumber : MR

Nota :

Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit. Kepahitan yang jelas tergambar dalam sistem pemerintahan yang korup, sistem kehakiman yang tidak berpaksikan keadilan, penyalahgunaan kuasa, penindasan dan kezaliman terhadap rakyat kebanyakan, bukanlah isu-isu yang asing bagi kita.

Isu-isu ini jika dibiarkan tanpa diketengahkan oleh rakyat yang peduli soal keadilan akan menular dan lama-kelamaan akan menghakis nilai-nilai keadilan dan kebenaran yang sekian lama dicabar dan dicabuli pihak berkuasa

No comments:

Post a Comment