Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Nov 23, 2010

Kejahilan, Kemiskinan & Politik


"BEKAS Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Sanusi Junid pernah bercakap mengenai apa yang disebutnya 3P; yakni poverty, padi and Pas. Apa yang hendak disampaikan oleh bekas Menteri Besar Kedah itu ialah bahawa di mana ada kemiskinan, yang kebanyakannya dalam kalangan penanam padi, maka di situ ada Pas.

Secara mudah Sanusi melihat kemiskinan sebagai punca kewujudan Pas. Teori Sanusi itu pernah dipegang oleh media yang semuanya milik Barisan Nasional (BN). Mereka mendakwa bahawa jiwa dan semangat 'kepembangkangan' timbul kerana kemiskinan dan rasa tidak puas hati. Semua itu akan tamat bila ada kemajuan. Mereka juga mengaitkan kemenangan dan kekuatan BN dengan pembangunan dan kemajuan.

Bagaimanapun sejak PRU 12 pada 2008 teori (kalau ia boleh dikatakan teori) yang dibawa bekas Menteri Pertanian yang pernah mencadangkan tanaman padi di atas bumbung itu nampaknya semakin meleset. Ini terbayang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi di Sabah dan DUN Galas di Kelantan.

Fenomena yang sama juga kelihatan dalam PRK sebelumnya; yakni di Batang Ai (Sarawak), Bagan Pinang (Negeri Sembilan), Bukit Gantang (Perak) dan Hulu Selangor (Selangor).

Malahan keputusan PRU 2008 yang menyaksikan BN tewas di Semenanjung (ia hanya dapat 48 peratus undi popular) sebenarnya memaparkan kenyataan yang tidak berbeza.

Semua sedar bahawa BN dapat terus berkuasa kerana undi dari Sabah dan Sarawak. Dan hakikatnya ialah kedua-dua ini (meskipun kaya daripada segi sumber dan hasil mahsul) mempunyai rakyat yang miskin dan tinggal di pedalaman.

Kemiskinan dan kemunduran adalah penghalang kepada perubahan. Khususnya perubahan ke arah ketelusan dan pertanggungjawaban. Sifat ini adalah idea pokok di sebalik pelbagai peruntukan dalam perlembagaan kita. Untuk memastikan ia berlaku perlembagaan menjamin tiga hak penting yang bersifat asasi; yakni hak bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan. Malangnya perlembagaan tidak menjadikan peruntukan ini kebal apabila ia mengizinkan Parlimen mengadakan sekatan melalui undang-undang. Sepatutnya undang-undang ini dihalusi oleh mahkamah. Bagaimanapun mahkamah gagal berbuat demikian. Sebab itu model terbaik ialah Amerika Syarikat di mana Kongres tidak dibenarkan langsung menyentuh hak yang tiga itu.

Kemiskinan dan kemunduran menyebabkan maklumat tidak tersebar. Apabila rakyat tidak bermaklumat mereka tidak peduli apa yang berlaku. Inilah yang kelihatan di kawasan yang disebutkan tadi. Hatta di Bukit Gantang sekalipun ada kampung yang begitu. Tapi calon Pas, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin, bernasib baik sebab ada kawasan, khususnya kawasan Cina, yang tidak begitu.

Jika dilihat kepada sifat kawasan yang mereka menangi agak jelas bahawa BN bergantung kepada kemiskinan, kejahilan dan kemunduran. Kawasan bandar, sejak dulu lagi, memang azab buat Barisan. Sebab itu tidak hairan mengapa mereka hapuskan pilihan raya kerajaan tempatan pada 1960an, Kawasan-bandar juga diberi kerusi Parlimen yang sedikit meskipun daripada segi perlembagaan kawasan bandar sepatutnya diberi kerusi yang lebih selaras dengan prinsip demokrasi. Ini semua menyebabkan BN selesa berkuasa sejak 1955.

Orang miskin yang melarat tidak peduli ketelusan dan kebebasan kerana perut mereka kosong. Mereka juga tidak peduli perkembangan negara. Di Batu Sapi umpamanya saya diberitahu beras dijual dalam paket kecil. Begitu juga dengan minyak masak. Paket kecil ini saja yang mampu dibeli penduduk yang rata-ratanya berpendapatan sekitar RM10 sehari.

Mereka benar-benar kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Tetapi orang miskin itu berasa bertanggungjawab untuk terus mengundi BN; satu-satunya parti yang mereka kenal dan yakin. Kemiskinan yang hampir mutlak itu menafikan mereka akses kepada maklumat. Mereka tidak tahu apa itu hak dan bagaimana ia penting untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Kebanyakan orang Melayu masih miskin dan hidup susah. Kalau mereka mampu membeli TV atau akhbar pun mereka tidak boleh berfikir dengan baik kerana apa yang disajikan tidak merangsang minda mereka.

Kebanyakan menteri UMNO mendakwa, demokrasi adalah barang mewah yang tidak sesuai untuk rakyat di luar bandar. Ini tidak tepat kerana demokrasilah yang akan memperkasa mereka yang lemah tadi. Contohnya dengan kebebasan yang lebih rakyat boleh menuntut itu dan ini. Jika rakyat sedar dan bermaklumat rumah setinggan tidak boleh dirobohkan dengan mudah dan secara paksa.

Sebenarnya tidak terlalu susah untuk meratakan demokrasi dan kebebasan yang amat penting untuk perubahan itu. Tetapi ini tidak akan berlaku selagi parti yang menguasai kerajaan persekutuan adalah parti yang mahu mengekalkan segala kekangan yang disebutkan tadi. Apalagi sekiranya ia sedar bahawa kejahilan dan ketiadaan maklumat itulah yang menyelamatkan kedudukannya selama ini.

PROF. ABDUL AZIZ BARI
Pakar Undang-undang & Perlembagaan

No comments:

Post a Comment