Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Dec 7, 2010

Siapa Tuan Orang Melayu..??

Adakah Ini Tuan Bagi Orang Melayu..?? Wanauuzubillahiminzalik...

ISU KETUANAN MELAYU: JANGAN LARI DARI PERSOALAN REKOD PEMBELAAN RAKYAT TERBANYAK

Saya merujuk kepada pelbagai kenyataan yang dibuat berkenaan isu
ketuanan rakyat, terutamanya dari kalangan pimpinan Umno.

Pertamanya, saya mengucapkan tahniah kepada pimpinan Umno, PERKASA dan
kaum-kerabat mereka yang tidak pernah gagal mengingatkan rakyat
Malaysia bahaya politik perkauman sempit. Dalam satu minggu yang
lepas, segala usaha pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak melalui
kempen 1Malaysia yang menelan belanja puluhan juta ringgit menggunakan
wang rakyat; hancur musnah apabila pimpinan-pimpinan Umno dan PERKASA
menunjukkan kembali wajah sebenar mereka.

Tidak kira berapa banyakwang yang dibayar kepada perunding antarabangsa sekalipun, budaya perkauman sempit yang dibawa oleh Umno dan Barisan Nasional tidak akan
hilang kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada darah daging mereka.

Pun begitu, saya melahirkan rasa kesal kerana Umno dan PERKASA tidak
mahu berdepan dengan gagasan yang dibawa oleh KEADILAN dalam Kongres
Nasional Ke-7 baru-baru ini. Gagasan tersebut, seperti yang
disampaikan oleh Presiden parti Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail,
menyentuh mengenai mekanisme terbaik untuk membela orang Melayu.
Persoalan yang dilontarkan oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah adalah mudah;
iaitu kaedah bagaimana yang boleh menjamin kelangsungan dan darjat
orang Melayu yang akan dihormati dan bermaruah, dalam kerangka
masyarakat pelbagai kaum yang ada di Malaysia dan arus globalisasi
yang deras meninggalkan kita?

Kaedah sedia ada dibawa oleh Umno – iaitu mengabui mata rakyat
mengenai hak mereka (melalui Umno) untuk terus berkuasa tidak kira
prestasi mereka dan kebajikan rakyat keseluruhannya, terutamanya nasib
orang Melayu. Konsep “Ketuanan Melayu” yang dilaungkan secara terbuka
dan dibisikkan secara senyap ini oleh BTN dan agensi-agensi lain,
menakut-nakutkan orang Melayu bahawa perubahan kerajaan kepada pakatan
politik yang lain akan menyebabkan orang Melayu hilang kuasa. Apabila
orang Melayu hilang kuasa, maka nasib orang Melayu akan terjejas dan
akan tertindas.

Sebab itu, saya menganggap bahawa tindakan Umno dan PERKASA mengheret
institusi Raja-Raja Melayu dengan mentaklikkan “Ketuanan Melayu”
sebagai “Ketuanan Sultan” adalah satu tindakan yang bacul di pihak
Umno dan PERKASA. Mereka tidak mampu berdepan dengan persoalan penting
membicarakan kaedah terbaik membela orang Melayu terbanyak seperti
yang ditimbulkan KEADILAN, lalu mereka cuba menggunakan institusi
Raja-Raja Melayu.

Tindakan seperti inilah sebenarnya yang menghina
institusi Raja-Raja Melayu kerana ia tidak menghormati kedudukan
Raja-Raja Melayu yang memayungi seluruh rakyat jelata tidak mengira
kaum, agama dan pegangan politik.

Namun, tindakan Umno dan PERKASA itu bukanlah perkara baru. Rekod
mereka mencalarkan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu di mata rakyat
sudah diketahui umum. Krisis-krisis perlembagaan yang melemahkan
institusi Raja-Raja Melayu dalam tahun 1983 dan 1993 dicetuskan oleh
Umno. Lebih malang, dalam kedua-dua siri krisis perlembagaan yang
disusun oleh Umno itu, berlaku serangan-serangan yang bertujuan
mengaibkan Raja-Raja Melayu dalam akhbar-akhbar dan media milik
mereka.

Ada beza yang besar diantara cakap-cakap seorang dua rakyat
jelata yang dituduh mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, dengan
satu gerakan tersusun yang dilaksanakan secara besar-besaran oleh
sebuah parti politik yang mengaku mempertahankan Ketuanan Melayu.

Saya beri amaran supaya Umno dan PERKASA jangan lagi cuba memfitnah
KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam perkara ini. Dasar Bersama Pakatan
Rakyat yang diluluskan pada 19 Disember 2009, secara jelas
mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra dan
institusi raja berpelembagaan.

Ini dinyatakan dalam Fasal 1 Perkara a(i) “Pakatan Rakyat akan
mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi
Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai
di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang
Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak serta
kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153”; dan Fasal
1 Perkara a(ii) “Pakatan Rakyat akan mempertahankan peranan dan
tanggungjawab institusi raja berpelembagaan”.

Makanya, KEADILAN ingin membawa kembali polemik “Ketuanan Melayu” ini
kepada perkara dasar yang diulas oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail
– iaitu wacana kaedah terbaik untuk melahirkan anak bangsa Melayu yang
beriman, boleh berdikari, berprinsip dan berdaya juang supaya mereka
kekal bermaruah dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum di negara ini
dan arus globalisasi mutakhir.

Apakah kaedah Umno yang memperkecilkan kebolehan anak Melayu, dengan
menakut-nakutkan mereka dan menimbulkan rasa curiga terhadap semua
yang bukan Melayu, akan berjaya melahirkan anak bangsa Melayu yang
bermaruah?

Apakah “Ketuanan Melayu” yang berpaksikan kepada sistem kroni dan
mendokong rasuah dengan menghamburkan kekayaan negara kepada beberapa
kroni rapat Umno (tanpa mengira kaum) akan melahirkan golongan peniaga
Melayu yang berdaya maju? Apakah budaya rasuah yang berleluasa di
dalam Umno akan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu tidak akan
dijual suatu hari nanti?

Apakah anak bangsa Melayu yang membesar dengan perasaan curiga akan
dapat mengambil pendekatan positif menunggang arus globalisasi untuk
menjadi pemimpin antarabangsa?

Persoalan yang dibawa oleh KEADILAN adalah persoalan jatidiri dan
kaedah terbaik membina jatidiri tersebut. Kaedah “Ketuanan Melayu”
yang dibawa oleh Umno dan PERKASA bukan sahaja terbukti gagal membina
jatidiri orang Melayu, malah menyebabkan kebajikan rakyat terbanyak
(terutamanya golongan berpendapatan rendah yang majoritinya orang
Melayu) terabai.

Sehingga kini, selepas 3 dekad “Ketuanan Melayu”, 75% dari bilangan
keluarga yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM2,000 adalah orang
Melayu. Golongan ini jugalah yang dikategorikan sebagai golongan 40%
paling miskin di Malaysia, seperti yang dihuraikan Perdana Menteri
sendiri dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Selepas 3 dekad “Ketuanan Melayu”, rakyat terbanyak juga yang
dibebankan dengan pemotongan subsidi sedangkan subsidi korporat
sebanyak RM19 bilion setahun (dalam bentuk subsidi gas kepada penjana
bebas) tidak disentuh.

Umno dan PERKASA tidak melahirkan sedikit
keluhan pun apabila bantuan kepada rakyat termiskin, yang rata-ratanya
orang Melayu ditarik setiap enam bulan untuk menampung perbelanjaan
boros kerajaan membayar perunding antarabangsa, sedangkan tidak ada
satu mekanisme pun diperkenalkan untuk menyalurkan kembali
rasionalisasi subsidi kepada golongan termiskin ini.

Justeru, KEADILAN yakin bahawa polemik “Ketuanan Melayu” ini adalah
benteng terakhir Umno dan PERKASA yang kian rapuh dan ditolak rakyat.
Demi melahirkan Malaysia yang majmuk, mengamalkan toleransi dan
berdaya saing, KEADILAN akan konsisten membawa gagasan Ketuanan Rakyat
melalui bangsa yang bermaruah – kerana kami yakin gagasan ini tidak
dapat dijawab oleh Umno dan PERKASA.

YB SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

6 DISEMBER 2010

No comments:

Post a Comment