May 30, 2011
Himpunan Sejuta Belia Untuk Sokong UMNO...!!
Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam tindakan Barisan Nasional (BN) yang mengeksploitasikan aktiviti Himpunan Sejuta Belia 2011 sebagai platform untuk mempertahankan kuasa memerintah yang penuh dengan agenda politik sempit. Himpunan belia yang berlangsung di Putrajaya telah menjadi majlis menyokong BN yang membazirkan dana awam (public fund).
Tahun lepas, Perdana Menteri Najib Razak pernah menyatakan bahawa BN akan mempertahankan Putrajaya walau apa pun terjadi semasa di Mesyuarat Agung UMNO. Kini, beliau telah menggunakan Himpunan Belia sebagai alat untuk menyerang parti pembangkang.
Keadaan ini telah menunjukkan PM tidak memahami fungsi Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Di bawah konteks sebuah negara yang demokrasi, Putrajaya adalah dimiliki rakyat Malaysia dan ia merupakan kawasan pentadbiran kerajaan yang dipilih oleh rakyat semasa Pilihanraya. Putrajaya bukan dimiliki mutlak oleh mana-mana parti politik.
AMK amat kesal dengan Himpunan Belia yang telah dijadikan sebagai majlis menyokong BN. Kebanyakan anak muda dipercayai tidak mengetahui bahawa perhimpunan tersebut merupakan rapat umum BN untuk mempertahankan Putrajaya. Akan tetapi, terdapat juga pemimpin-peminpin anak muda dalam NGO menyatakan bahawa NGO tidak akan dipengaruhi oleh mana-mana parti politik selepas mengambil bahagian dalam program tersebut.
Sebagai seorang Perdana Menteri, Najib Razak seharusnya menjadi satu teladan yang baik kepada anak muda dan bukan semata-matanya melaungkan bahawa hendak mempertahankan Putrajaya bersama-sama dengan pemuda-pemudi.
PM perlu membersihkan sistem pilihanraya yang tidak adil, kotor dan ketidaktelusan terlebih dahulu sekiranya ingin disokong oleh rakyat. Sebagai satu negara yang demokrasi, PM perlu memberi ruang dan peluang kepada rakyat khasnya anak muda untuk memilih kerajaan yang dilihat sebagai berupaya memimpin rakyat.
Sehubungan itu, PM juga tidak patut menyalahgunakan jentera negara seperti polis, media, penjawat awam dan juga NGO-NGO demi mempertahankan kuasa memerintah sendiri.
Oleh itu, AMK menyeru Kerajaan Persekutuan supaya tidak menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan sokongan pada pilihanraya yang akan datang. Sebaliknya, Kerajaan harus sokong Himpunan Bersih pada 9 Julai yang dianjurkan oleh NGO untuk melaksanakan satu pilihanraya yang bebas, bersih dan adil.
AMK juga menyeru kepada anak muda supaya melibatkan diri dalam politik dengan lebih aktif serta pemikiran yang bebas dan kritis. Dengan penglibatan aktif anak muda barulah sistem dua parti yang sihat dapat diwujudkan dan tidak membiarkan parti politik yang monopoli dan kerakusan kuasa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment