Jun 24, 2011
Buku Terbaru Zunar Di Pasaran....!!
EVEN MY PEN HAS A STAND - ZUNAR
"EVEN MY PEN HAS A STAND" adalah buku keempat saya bersama penerbit Kinibooks, anak syarikat kepada Malaysiakini. Sebelum ini dengan syarikat yang sama, saya menerbitkan "Cartoons On Tun… and Others" (2005), "1 Funny Malaysia" (2009) and "Cartoon-O-Phobia (2010)."
"Even My Pen Has a Stand..." adalah koleksi karya-karya kartun politik yang tersiar dalam laman web Malaysiakini dari September 2010 sehingga Jun 2011 dan juga yang tersiar dalam laman web antarabangsa, Cartoonmovement.com. Turut dimuatkan kali ini ialah sebuah kartun yang saya lukis ketika di dalam lokap polis September tahun lepas.
Selain itu terdapat satu artwork istimewa dari koleksi peribadi saya, iaitu karikatur wajah saya yang dilukis oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dari dalam penjara Sungai Buloh pada August 2001.
Dalam pada itu, sebagai menjawab soalan dari peminat mengenai di mana saya berkarya sebelum era reformasi, di dalam buku ini turut dimuatkan 12 muka surat "Cartoonology" iaitu sejarah karya saya sejak tahun 1974.
"Even My Pen Has a Stand" dipilih sebagai tajuk kerana selepas saya ditangkap dan diugut, adalah penting untuk saya menegaskan pendirian saya, iaitu "akan terus melukis sehingga ke titisan dakwat terakhir."
Pendirian saya jelas. Saya akan terus melukis kartun dan membongkar perlakuan rasuah kerajaan BN dan juga isu-isu penting lain seperti salah guna kuasa, kekejaman polis, pelanggaran hak asasi dan penyalahgunaan serta pembaziran wang rakyat.
Isu-isu utama yang disentuh dalam "Even My Pen Has a Stand" ialah isu Altantuya ,Scorpene, PM dan Isteri, kenaikan tarik eletrik dan petrol, konspirasi terhadap Anwar, kehakiman, Apco, Mesir, FLOM, pilihanraya Sarawak dan perkauman, antara lainnya.
Pada 24 September tahun lepas, saya ditahan dan dilokap selama dua hari selepas penerbitan buku buku Cartoon-O-Phobia. Sebelum itu kerajaan mengharamkan enam judul buku saya; Gedung Kartun, Perak Darul Kartun, 1 Funny Malaysia, Isu Dalam Kartun Vol 1, Isu Dalam Kartun Vol 2 and Isu Dalam Kartun Vol 3.
Adakah saya akan ditangkap lagi kali ini? Saya tidak mempunyai jawapan untuk itu, tetapi ingin menasihati kerajaan Najib bahawa menangkap kartunis politik adalah satu tindakan tidak bertamaddun.
Tangkapan dan ugutan mungkin perkara biasa dihadapi kartunis-kartunis dari negara Amerika Selatan atau Afrika sebelum kurun ke 19, tetapi dalam dunia moden sekarang ini, kartunis editorial telah diiktiraf sebagai ejen demokrasi.
Malah di Kazakhstan kartunis seperti Vladimir Kadyrbaev bebas mengritik kerajaan dan karyanya disiarkan dalam akhbar perdana!
Penangkapan saya telah menjadi bahan ketawa di kalangan masyarakat kartunis seluruh dunia. Maklum balas yang saya terima dari teman-teman kartunis di Amerika, Indonesia, Thailand, Eropah dan Jepun ialah mereka menyatakan, "Kartun saya lucu, tetapi tindakan kerajaan menangkap saya lagi lucu,"
Tetapi saya bersedia menghadapi sekiranya berlaku tangkapan.
"Even My Pen Has a Stand" adalah setebal 104 muka dengan warna penuh. Sekiranya ia tidak dapat dijual di pasaran terbuka, saya berharapkan sokongan dari peminat, penyokong, pembaca dan masyarakat Malaysia yang perihatin untuk membeli buku ini secara online.
Ini penting bagi memastikan saya dapat terus berkarya bagi menerbitkan kartun-kartun politik yang bermutu untuk manfaat bersama.
Kerana itu, saya ingin menjemput anda semua untuk hadir ke majlis pelancaran yang akan diadakan pada 2 Julai depan, jam 8 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLSCAH). Buku ini akan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
"Even My Pen Has a Stand" dijual dengan harga RM25.00 senaskah dan ia boleh dibeli secara online melalui link ini:
http://www.kinibooks.com/product_info.php?products_id=1232
Zunar
zunar49@gmail.com
03 22724049
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment