Jun 20, 2011
Kenyataan Rasmi Presiden Keadilan...!!!
BERSIH 2.0 ADALAH KEPERLUAN; MEMANGKIN KEMATANGAN DAN KETERBUKAAN MASYARAKAT
KEADILAN amat mengesali sikap antagonisme pihak berkuasa terhadap perhimpunan aman BERSIH yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 ini. Kenyataan-kenyataan keras yang berbaur ugutan yang dibuat oleh pimpinan tertinggi Kementerian Dalam Negeri mengesahkan bahawa Barisan Nasional tidak akan memberi ruang kepada tuntutan rakyat untuk bersuara dan berhimpun.
Hakikatnya, perhimpunan BERSIH bukan menjaguhi dan menangani isu hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun semata-mata. Persoalan pokok yang dibawa oleh perhimpunan BERSIH adalah kejujuran dan kebebasan sistem pilihanraya di negara ini, yang menjadi asas sebarang usaha untuk menambahbaik kedudukan masyarakat secara ekonomi mahupun sosial.
Sikap Barisan Nasional yang masih percaya bahawa janji-janji ekonomi yang tidak dikuatkan dengan pertanggungjawaban sosial dan integriti politik sudah memadai; akan terus menggoncang keyakinan rakyat kepada sistem kebangsaan di negara ini. Ruang dan hak rakyat untuk memilih wakilnya secara bebas dan tanpa manipulasi adalah aspek integriti politik terpenting yang dituntut oleh rakyat mutakhir ini.
Justeru, KEADILAN menganggap perhimpunan BERSIH sebagai satu keperluan untuk memangkin keterbukaan masyarakat kita. Perhimpuan BERSIH sebenarnya akan menguji pendokong dan penentangnya – di pihak pendokong, ia akan menguji kesepakatan mereka menuntut sistem pilihanraya yang lebih adil dan telus; pihak penentang pula perlu membuktikan kesediaan mereka untuk menjadi lebih terbuka dan bertolak ansur.
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab penganjur dan peserta perhimpunan BERSIH untuk mengelak dari sebarang konfrontasi akibat dari cubaan provokasi pihak-pihak yang bertujuan mewujudkan kacau bilau. Saya menyeru supaya penganjuran perhimpunan ini mengambil kira langkah-langkah segera yang boleh diambil oleh peserta untuk mengurangkan ketegangan jika wujud provokasi. Peserta juga wajar mengetahui selok belok mengenai amalan berhimpun secara aman dan melengkapkan diri dengan pengetahuan keselamatan sebelum menyertai perhimpunan.
Di pihak berkuasa, saya terus berharap mereka menyambut baik tawaran penganjur untuk bekerjasama bagi menjamin perhimpunan berjalan lancar. PDRM mestilah menjamin keselamatan peserta dan bertindak secara profesional untuk mengelakkan sebarang cubaan menimbulkan provokasi atau kekacauan oleh mana-mana pihak pun.
Perhimpunan BERSIH adalah satu mercu tanda baru dalam usaha rakyat negara ini mencapai demokrasi yang berfungsi sepenuhnya. Tuntutan agar sistem pilihanraya menjadi lebih telus dan bebas adalah satu kehendak masyarakat yang berkekalan, maka adalah lebih baik sekiranya tuntutan ini ditangani dengan terbuka dan rasional.
Dalam konteks ini, masyarakat sudah mual dengan ugutan dan kenyataan provokasi yang dibuat terhadap penganjur perhimpunan BERSIH. Sewajarnya kumpulan-kumpulan yang menentang perhimpunan BERSIH menghormati hak sebahagian besar rakyat negara ini yang mahu melihat perhimpunan ini berjalan dengan aman, sebagaimana hak mereka berhimpun dihormati selama ini.
Sejak penubuhannya, KEADILAN memberi komitmen sepenuhnya kepada usaha-usaha membaiki sistem pilihanraya Malaysia. Perhimpunan BERSIH adalah lambang kepada usaha tersebut. Maka, KEADILAN akan memastikan anggota kami turun beramai-ramai menyertai ratusan ribu rakyat Malaysia yang akan berkumpul pada 9 Julai 2011.
Sebagai permulaan awal, KEADILAN akan menguji keupayaan mobilisasi jentera parti pada hari Ahad ini bersempena Konvensyen Pilihanraya Kebangsaan. Sepanjang konvensyen tersebut, arahan agar anggota KEADILAN turun beramai-ramai akan menjadi tema utama.
Saya menyeru supaya pihak berkuasa menunjukkan sedikit keterbukaan dan prihatin dengan hak dan kebajikan rakyat. Keputusan yang bijak adalah dengan memberi ruang agar perhimpunan BERSIH dapat berjalan dengan baik dan aman; kerana ini akan mempercepatkan proses kematangan dalam masyarakat kita untuk menangani pendapat dan pendekatan yang berbeza. Kematangan ini adalah kunci kepada potensi masyarakat kita di hari-hari akan datang.
DR WAN AZIZAH ISMAIL
Presiden KEADILAN
18 Jun 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment