Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Jul 6, 2011

Kenyataan Rasmi...!!


PAS mengucapkan syabas kepada semangat kental yang ditunjukkan oleh para penganjur Bersih 2.0 yang berjaya menunjukkan tahap ketabahan yang mengkagumkan sepanjang minggu lepas walaupun diasak, diugut dan dipersenda oleh mereka-mereka yang berkuasa tapi tidak menghormati undang-undang sehingga mendapat Bersih 2.0 mendapat pengiktirafan diRaja apabila diberi peluang untuk menghadap Yang DiPertuan Agong.

PAS juga mengucapkan setinggi tahniah kepada kebijaksaan Yang DiPertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut yang sengaja diwujudkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata kerana ketakutan menghadapi pilihanraya pada satu padang yang sama rata.

Di sini, PAS ingin menegaskan bahawa Bersih 2.0 ialah sebuah badan bukan politik dan berkecuali. Namun, oleh kerana dasar perjuangannya untuk menuntut satu pilihanraya yang bebas dan adil demi masa depan negara dan generasi akan datang, maka PAS menyokong Bersih 2.0, termasuklah keputusannya untuk mengadakan perhimpunan aman pada Julai 9 ini di Kuala Lumpur.

Walaupun tempat perhimpunan aman bertukar daripada demonstrasi aman di jalanraya kepada stadium, PAS menyeru seluruh ahlinya untuk tetap menghadirkan diri di stadium yang ditentukan nanti untuk menyokong Bersih 2.0 kerana dasar perjuangannya tetap sama iaitu untuk menuntut satu pilihanraya yang bebas dan adil di negara ini.
Kepada para penyokong Bersih 2.0 yang kecewa dengan kompromi ini, bersangka baiklah pada jawatankuasa Bersih 2.0 telah melakukan yang terbaik demi rakyat.

Daripada digelar sebagai satu pertubuhan haram, diasak oleh Kementerian Dalam Negeri dengan menggunakan polis dan akta-akta yang zalim seperti Akta Ordinan Darurat 1966 sehinggalah mendapat restu dan pengiktirafan diRaja dengan diberi peluang menghadap Agong, rakyat perlu kagum dan bangga dengan kegigihan aktivis-aktivis Bersih 2.0 untuk meneruskan agenda mereka tanpa gerun demi rakyat.

Dengan kegigihan jawatankuasa Bersih 2.0 dan juga publisiti percuma daripada Umno Barisan Nasional dan medianya serta tindakan KDN yang mengarah polis untuk bertindak melampau dengan mengada-adakan konspirasi tak masuk akal terhadap Bersih 2.0, pergerakan itu kini dikenali di seluruh pelosok negara.Rakyat kini tahu akan apa itu Bersih 2.0, apakah tuntutan mereka dan juga keganasan kerajaan Barisan Nasional.

Bersih 2.0 sudah mencapai 60% matlamatnya – kebanyakan rakyat hari ini sedar akan kewujudannya, namun segalanya tidak bermakna sekiranya perhimpunan di stadium nanti tidak melimpah hadirinnya.

Rakyat kena yakinkan diri sendiri dan kawan-kawan kita yang lain yang sedar tentang kewujudan dan fungsi Bersih 2.0 dengan menghadirkan diri secara beramai-ramai ke perhimpunan awam nanti.

Dengan stadium yang melimpah, percayalah bukan sahaja rakyat sendiri berasa yakin mereka tergolong dalam golongan majoriti yang menuntut perubahan dalam sistem pilihanraya, bahkan juga kerajaan pimpinan Barisan Nasional bahawa rakyat menuntut perubahan dilakukan segera sebelum pilihanraya ke 13 diadakan.Itulah 40% lagi, yang hanya boleh diusahakan oleh rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan dan keadilan untuk menjayakan Bersih 2.0 sepenuhnya.

Namun begitu, PAS juga ingin mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap Bersih 2.0 dan kecaman mereka terhadap keganasan yang digunakan kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap penyokong Bersih 2.0 bukanlah petanda sokongan rakyat kepada kita.

Rakyat menyokong Bersih 2.0 hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak di’offset’kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi siapa-siapa.

8 tuntutan Bersih 2.0 adalah untuk memastikan wakil yang dipilih menang nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa.

Pakatan Rakyat juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, kita bakal dapat menewaskan Umno Barisan Nasional. Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara.

Untuk kerajaan Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya, PAS menasihatkan agar menunaikan 8 tuntutan Bersih 2.0 ini. Barisan Nasional akan menghayati kepentingannya sekiranya di pilihanraya umum ke 14 apabila tewas di pilihanraya ke 13nanti.

Namun demikian, tidak perlu bimbang, sekiranya Pakatan Rakyat diberi kuasa memerintah nanti, kita akan pasti supaya 8 tuntutan ini dilaksanakan supaya kita dapat bersaing secara sihat dan seimbang di padang yang sama rata dengan semua pembangkang - dengan penuh keyakinan daripada rakyat bahawa demokrasi negara adalah subur, telus dan tulen.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
6 Julai 2011..

No comments:

Post a Comment