Jul 2, 2011
UMNO Layan Mat Sabu Macam Komunis....!!
"Sepatutnya malam semalam berlangsung program CERAMAH PERDANA BERSAMA TIMBALAN PRESIDEN PAS - pada 1 JULAI 2011 di Markaz Pas Parit Pechah, Muar.
Ini bukan kali pertama PAS membuat program ceramah sebegini di premis mereka. Telah puluhan kali program seperti ini dibuat di dalam Markaz mereka.
Tetapi yang pastinya semalam mencatat sejarah tersendiri apabila hampir seluruh jentera kerajaan yang 'mengikut arahan' telah turun beramai-ramai untuk menggagalkan program ceramah bersama Timbalan Presiden Pas - MAT SABU.
Sejak dari seawal jam 4.00 petang, JPJ dan Polis telah mengadakan sekatan jalan raya di Muar-Batu Pahat dari kedua-dua arah menuju ke Parit Pechah. Dalam masa yang sama tiga hingga empat trak FRU sudah berkampung di hadapan Balai Polis Parit Jawa.
Keadaan di Markaz PAS juga sudah mula meriah dengan kehadiran anggota Polis yang ramai. Percaya atau tidak, Balai Polis bergerak sudah ditempat di situ lebih awal lagi. Kereta peronda Polis dan motosikal Polis sentiasa meronda di sekitar Markaz PAS. Dalam masa yang sama JPJ dan Polis membuat sekatan jalan raya dari kedua-dua arah jalan menuju ke MArkaz PAS.
Tidak cukup setakat itu, jentera kerajaan yang lain iaitu MPM (Majlis Perbandaran Muar) telah menghantar sekumpulan penguatkuasa untuk menghalang peniaga-peniaga kecil untuk berniaga di sekitar Markaz. Inilah kali pertama situasi seperti ini, di mana MPM turut terlibat dalam usaha untuk menggagalkan program PAS. Peniaga-peniaga kecil ini diugut untuk tidak berniaga atau barangan mereka akan dirampas. Begitu terdesak sekali 'pemberi arahan' ini sehingga penguatkuasa MPM turut dijadikan alat kali ini.
Selepas solat Maghrib, bilangan Polis mula bertambah. Dan kira-kira jam 8.00 malam Polis sudah menutup pintu masuk Markaz PAS. 10 anggota FRU mula ditempatkan dihadapan pintu Markaz untuk menghalang pengunjung yang ingin menghadiri program ini daripada memasuki premis PAS yang sah. Ini memaksa ramai pengunjung hanya dapat berkumpul diluar Markaz. Termasuklah beberapa pemimpin PAS turut tidak dapat memasuki Markaz sepeti Dr Mohamad Taslim, ADUN Maharani.
Provokasi-provakasi Polis juga sering dibuat terutama disasarkan kepada Unit Amal yang bertugas bagi menimbulkan suasana yang tidak selesa. Kata-kata seperti "Unit Amal menjadi orang yang pertama kami tangkap", "Ambil gambar mereka, senang kita nak cam", "Rakam gambar mereka, biar senang bila kita serbu", sering diulang-ulang oleh beberapa anggota Polis.
Dipercayai jika ada sambutan terhadap provokasi ini tangkapan akan dibuat. Syabas kepada Unit Amal dan pengunjung kerana sentiasa bersedia dan tidak termakan dengan pelbagai provokasi dari pihak Polis.
Anggota Polis dan FRU membuat benteng di hadapan Markaz PAS bagi menghalang orang ramai daripada memasuki ke dalam premis sah PAS.
Dalam masa yang sama, Penyelaras PKR Muar, Sdr Hizwan Ahmad yang sedang dalam perjalanan ke Markaz PAS telah ditahan semasa sekatan jalan raya. Beliau turut diberi kata dua oleh anggota Polis sama ada ingin meneruskan perjalanan ke Markaz PAS dan akan ditahan dan dibawa ke balai, atau berpatah balik. Kerana tidak mahu menimbulkan provokasi Sdr Hizwan telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perjalanan ke Markaz PAS walaupun sepatutnya beliau adalah salah seorang panel pada malam itu.
Ketika program PAS berjalan di dalam Markaz, pengunjung yang dihalang daripada masuk ke dalam Markaz terus diprovok oleh pihak Polis dan FRU. Ini disusuli dengan ketibaan 5 trak FRU dihadapan Markaz PAS, sebuah bas PDRM yang dipercayai untuk menangkap tahanan, dan sebuah water canon FRU. Ini semua dilakukan untuk menakutkan pengunjung supaya bersurai dan jika mereka gagal bersurai, tangkapan dan semburan air kimia akan dibuat.
Anggota Polis dan FRU yang berkawal pada malam itu dianggarkan menghampiri 100 orang. Mereka telah berkawal di kedua-dua belah jalan bagi menghalang kehadiran pengunjung.
Bagaimanapun sehingga hampir 12.00 tengah malam. Program PAS itu hanya diteruskan tanpa kehadiran Timbalan Presiden PAS, Hj Mohamad Sabu. Keadaan yang sentiasa tegang dan Polis yang seakan menantikan kehadiran Hj Mohamad Sabu untuk ditahan, menyebabkan PAS mengambil keputusan untuk 'tidak membawa' beliau untuk hadir pada malam itu. Walaupun sebenarnya Hj Mohamad Sabu sudah berada di Pt Jawa sejak petang lagi.
Begitulah rakusnya pemerintah sehingga sanggup mengerahkan semua pihak keselamatan dan badan kerajaan yang lain untuk memenuhi 'arahan' mereka. Adakah ini erti demokrasi bagi mereka?. Setelah semua saluran media, akhbar dan radio mereka kawal, satu-satunya saluran pembangkang menggunakan pentas ceramah di dalam premis mereka sendiri pun telah dihalang sebegini rupa.
Menariknya, ada rungutan daripada beberapa anggota Polis yang bertugas malam itu. Mereka sendiri mengakui mereka 'tidak rela' datang untuk menghalang program ini, tetapi kerana sudah menerima arahan mereka tidak berdaya untuk membantah. Ada seorang anggota Polis yang berkata sepatutnya shif tugas mereka sudah tamat pada waktu siang. Tetapi kerana 'menerima arahan' mereka terpaksa sambung tugas sehingga ke tengah malam tanpa dapat pulang bersama keluarga dan sambung semula bertugas pada shif siang keesokan harinya.
Nota :
Tahniah kepada kerajaan Malaysia yang berjaya mendesak anggota keselamatan untuk bertugas 'mengikut arahan' sebegini rupa sehingga menimbulkan rasa 'jelek' dan 'meluat' mereka dengan 'arahan' yang diterima. Syabas!.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment