Aug 14, 2011
Giliran PERKASA Tibai Najib...!!
Perkasa beri Putrajaya kata dua jika gagal hukum Anwar, Ambiga, DAP - MI
KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Perkasa hari ini mengugut akan “melakukan sesuatu” terhadap kerajaan jika gagal mengambil tindakan berhubung tiga perkara tertunggak — perhimpunan Bersih 2.0, video seks didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan “konspirasi Kristian” DAP.
Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata ahli-ahlinya sudah hilang keyakinan ke atas pentadbiran Najib sambil mendakwa Putrajaya gagal mempertahankan keluhuran undang-undang.
“Ini keputusan kami hari ini,” kata beliau pada sidang media sempena majlis berbuka puasa Perkasa di Kelab Sultan Sulaiman di sini.
“Jika tiada tindakan diambil berhubung tiga isu ini dalam waktu tertentu, kami akan melakukan sesuatu,” kata beliau sambil menambah, kelewatan keadilan bermakna keadilan dinafikan.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini tidak menjelaskan tindakan mereka jika gesaan pihaknya tidak menemui hasil atau dipenuhi.
Katanya, Perkasa “sangat bersabar” meskipun berhadapan dengan penghinaan daripada pihak lain khususnya berhubung perhimpunan Bersih 2.0.
“Kami dipanggil pengecut kerana tidak meneruskan perarakan kami apabila kami menghormati undang-undang dan nasihat Yang di-Pertuan Agong,” selar Ibrahim.
Pada awalnya Perkasa merancang untuk mengadakan perhimpunan balas pada 9 Julai lalu, hari Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bebas dan adil.
“Jadi sekarang, jika kerajaan tidak mengambil tindakan dalam tempoh masa tertentu, kami akan ambil tindakan dan kerajaan tidak harus menyalahkan Perkasa,” katanya.
“Kami diminta untuk menghormati kerajaan dan undang-undang, dan kami melakukan semua itu, tetapi kerajaan tidak responsif,” katanya lagi.
Ibrahim juga mendakwa “majoriti senyap” kemungkinan akan menghukum pentadbiran Najib jika beliau gagal menyelesaikan tiga isu terbabit.
Katanya, satu dunia tahu bahawa Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan yang bertindak secara tidak sah apabila meneruskan perhimpunan 9 Julai.
Katanya, pakar-pakar asing juga merumuskan bahawa 99.99 peratus lelaki dalam rakaman video seks adalah Anwar.
Mengenai konspirasi Kristian yang dibawa oleh Utusan Malaysia, akhbar milik Umno, Ibrahim berkata seorang ahli DAP beragama Islam telah membuat laporan polis dan ia menunjukkan adalah betul.
“Apa lagi kita perlukan? Apa lagi perlu disoal siasat? Ada 4,000 laporan polis ke atas Ambiga, sebagai contoh.
“Kami mahu Peguam Negara teruskan dengan tindakan ke atas isu-isu ini dan sama ada ada kes prima facie, biar mahkamah yang menentukan,” kata Ibrahim.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment