Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Aug 1, 2011

KENYATAAN MEDIA


HENTIKAN LYNAS, UTAMAKAN RAKYAT

Isu pembinaan loji Lynas di Gebeng masih belum menemui jalan penyelesaian yang mampu melegakan keresahan rakyat. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) tegaskan bahawa mahasiswa menyokong sepenuhnya pendirian rakyat Gebeng yang menolak pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi di kawasan mereka. Dalam Jelajah Mahasiswa di Gebeng pada 25 – 26 jun lalu, mahasiswa mendapati hampir 99 peratus daripada 400 responden yang ditemui menolak pembinaan loji Lynas ditempat mereka. Oleh itu SMM dengan kerjasama 11 kumpulan mahasiswa sepakat untuk meneruskan Jelajah Mahasiswa Selamatkan Rakyat Gebeng pada 30 Julai bertempat di ibu kota Kuala Lumpur

Jelajah 30 Julai ini memberi fokus untuk mendedahkan kepada warga kota mengenai situasi semasa yang sedang menimpa rakyat Malaysia ditempat lain yang mungkin kurang diketahui umum. Dalam hal ini, mahasiswa merasakan Isu Lynas perlu diberi perhatian oleh setiap rakyat Malaysia kerana membabitkan soal keselamatan segelintir rakyat yang sedang terancam. Mahasiswa mengharapkan dengan aktiviti penerangan yang dijalankan pada hari ini dapat menarik perhatian lebih ramai rakyat Malaysia untuk bersama dengan perjuangan masyarakat di Gebeng.

Walaupun pihak Lynas telah memberi penjelasan demi penjelasan berhubung konflik yang berlaku, namun mahasiswa tetap berpendirian untuk mendahulukan kehendak rakyat sebagai prioriti utama. Hal ini kerana,mahasiswa merasakan dengan wujudnya isu Lynas, beberapa hak rakyat yang sepatutnya terjamin di bawah Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat sudah tergugat seperti hak untuk merasa aman dan hak untuk kesejahteraan. Oleh itu bagi mahasiswa, selagi hak rakyat ini tercabar, apa juga alasan yang dikemukakan oleh pihak lynas adalah tidak boleh diterima.

Selain itu, mahasiswa juga berpendirian untuk menyokong usaha menghentikan operasi lynas atas alasan yang telah kemukakan rakyat gebeng. Antara faktor yang mendesak rakyat untuk menolak pembinaan kilang lynas ditempat mereka ialah pembinaan loji lynas yang terlalu hampir dengan kediaman penduduk setempat. Kilang lynas telah dibina dengan jarak 2 kilometer daripada kediaman penduduk sedangkan syarat untuk membina kilang yang sama di Australia telah ditetapkan mesti mempunyai jarak minimum 35 kilometer daripada kediaman terdekat.

Sektor ekonomi masyarakat Gebeng juga dilihat akan terjejas terus akibat kehadiran projek Lynas. Menurut masyarakat di sana, tiga aktiviti utama masyarakat Gebeng iaitu perikanan, perlancongan dan industri kecil dan sederhana akan mengalami masalah sekiranya operasi loji Lynas dijalankan. Hal ini kerana kerisauan akibat sisa radioaktif lynas mungkin akan menyebabkan gebeng tidak lagi menjadi tumpuan orang luar bahkan penduduk gebeng sendiri berkemungkinan besar akan berhijrah keluar bagi mengelak risiko keselamatan. Hal ini dapat dilihat sendiri oleh mahasiswa yang telah turun ke Gebeng jun lalu apabila kami dimaklumkan bahawa sektor hartanah Gebeng telahpun mengalami implikasi yang serius dengan susut nilai sehingga 75 peratus.

Oleh itu, SMM mewaikili mahasiswa Malaysia, mendesak pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri agar tidak meneruskan operasi Lynas di Gebeng. Mahasiswa menuntut agar Kerajaan Malaysia mempamerkan keseriusan dalam isu ini dengan meletakkan keinginan rakyat sebagai prioriti utama berbanding prioriti lain seperti ekonomi dan teknologi.

Mahasiswa juga menyeru kepada semua badan-badan bukan kerajaan (NGO) agar turut sama memberi fokus dalam konflik yang sedang dihadapi oleh masyarakat di Gebeng. Sebagai mana banyak NGO boleh bersatu dalam tuntutan Bersih 2.0 sehingga mampu mencetuskan gelombang perubahan, maka mahasiswa menyeru untuk rakyat Gebeng mendapat perhatian yang sama. Bagi mahasiswa, isu rakyat di Gebeng adalah isu sejagat yang memerlukan perhatian semua pihak bagi menjamin kesejahteraan secara bersama.

Mahasiswa juga menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya anak muda untuk turut serta dalam perjuangan rakyat Gebeng dalam mendapatkan semula hak untuk kesejahteraan yang dirampas. Bagi Mahasiswa, adalah tidak keterlaluan sekiranya rakyat memohon untuk sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu ini kerana isu keselamatan tidak kurang pentingnya berbanding isu isu lain yang telah melanda negara.

Ramzul Nasri Bin Kamaruzaman
Pengerusi
Gerakan Mahasiswa Selamatkan rakyat

No comments:

Post a Comment