Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Sep 22, 2011

PRU-13 November Ini..??


KUALA TERENGGANU – PAS menjangka Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan selewat-lewatnya pada akhir tahun ini, sekitar bulan November.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, tarikh tersebut adalah bagi memastikan seluruh jentera PAS pelbagai peringkat bersiap sedia dengan segala kemungkinan.

Ia adalah kerana katanya, amalan politik Malaysia yang pelik dimana tarikh sebenar pilihanraya hanya diketahui oleh Perdana Menteri sahaja berbeza dengan amalan demokrasi di negara lain.

Oleh itu beliau berkata, sekiranya tarikh sebenar pilihan raya lebih lewat daripada yang dijangkakan ia memberi kelebihan kerana segala persiapan telah pun dilakukan.

“Kita memang ‘set’ tarikh tersebut sejak dua tahun lalu kerana jika tarikh diumumkan pada saat kecemasan, kita tidak akan terkejut sebaliknya bersedia menghadapinya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tarikh tersebut relevan kerana ia berkemungkinan diadakan selepas pembentangan bajet pada Oktober depan yang dianggap bajet pilihan raya untuk menjaga hati rakyat.

“Parlimen bersidang pada 3 Oktober dan bajet dibentang pada 7 Oktober. Pilihan raya berkemungkinan besar diadakan selepas pembentangan bajet yang mungkin akan membentangkan perkara untuk menjaga hati rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama PAS berasa kesal mengenai tarikh pilihan raya di negara ini yang sentiasa menjadi teka-teki sedangkan perkara sedemikian tidak berlaku di negara lain.

Timbalan Pesuruhjaya I, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, tarikh pilihan raya tidak patut disembunyikan kepada rakyat memandangkan ia adalah perkara penting dalam menentukan kepimpinan negara.

Menurutnya, tarikh itu juga perlu dibincangkan bersama kerana melibatkan kepentingan semua pihak termasuk orang awam dan jabatan.

“Sepatutnya tarikh pilihan raya tidak menjadi teka-teki sebagaimana negara lain yang sudah tahu setahun atau dua tahun tetapi di negara kita hanya ALLAH SWT dan Perdana Menteri sahaja yang tahu.

“Perkara sebegini patut dibincangkan bersama kerana melibatkan semua pihak. Kalau buat kenduri kahwin pun, tarikhnya tidak dibuat senyap-senyap, inikan pula tarikh untuk memilih pemimpin,” katanya

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melewatkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan merasakan Perdana Menteri sewajarnya menggunakan masa yang ada untuk meneliti calon terbaik untuk mewakili Barisan Nasional (BN).

Mantan perdana menteri itu mendakwa, ketua bahagian komponen BN sedang bertelingkah untuk menjadi calon pilihan raya.

Satiful Bahri bagaimanapun berkata, tarikh pilihan raya patut ditetapkan lebih awal dan menyerahkan kepada rakyat untuk mengundi pemimpin parti pilihan untuk mentadbir negara.

Bagi PAS katanya, pihaknya sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya walaupun tarikhnya sudah dekat atau sebaliknya.

“Apa yang berlaku dalam UMNO itu masalah dalaman mereka tetapi tidak sepatutnya tarikh pilihan raya menjadi teka-teki,” katanya dipetik akhbar Sinar Harian
..

No comments:

Post a Comment