Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Sep 27, 2011

Tinggal 2 Minggu Lagi..., Apa Khabar Bersih 2.0..?


Bersih 2.0/PAS/Pakatan Rakyat pernah memberi tempoh 3 bulan kepada SPR/BN agar melaksanakan segera 8 tuntutan Bersih 2.0. Kini hanya tinggal tidak sampai dua minggu tempoh yang diberikan akan berakhir.

Nampaknya SPR/BN tidak melakukan apa-apa. Mereka tiada rasa bersalah dan tiada rasa gentar. Malah mereka sudah berkira-kira dan membuat persiapan untuk pilihanraya ke-13.
Habis bagaimana dengan Bersih 2.0/PAS/Pakatan Rakyat? Kepala rakyat yang berdarah telah berparut. Yang gugur di medan juang, tanah kuburnya makin kesepian . Asap gas pemedih mata telah hilang aromanya. Apakah langkah susulan seterusnya sedangkan SPR/BN tampak akan melaksanakan pilihanraya tidak beberapa lagi. Maknanya, rakyat sekali lagi akan menghadapi PRU13 tanpa apa-apa perubahan berbanding dengan PRU sebelumnya yang tempang dan tidak adil.

Nampaknya kita akan bertanding lagi tanpa akses media yang adil. Di manakah akhbar harian kita, Purnama, yang tidak berjawab sekian tahun? Kita akan bertanding lagi berpandukan daftar pemilih yang penuh dengan kemuncup. SPR hanya membuang beberapa bunga kemuncup yang dibantah oleh agen Pakatan Rakyat. Bagaimana dengan pengundi klon yang tidak dapat dikesan atau terlepas pandang yang jumlah berpuluh kali ganda banyaknya?

Kita akan bertanding lagi tanpa dakwat kuku. Belum ada kemuktamadan oleh pihak SPR tentang kaedah pengundian ini. Yang ada hanyalah baru ura-ura yang boleh berubah nada apabila tiba saatnya seperti PRU12.

Kita akan bertanding lagi dalam perangkap undi pos yang diberitakan ada sedikit sentuhan kosmetik. Apakah perubahan itu mampu menjadikan pengundian lebih telus dan boleh dipercayai.

Bagaimana pula dengan empat lagi tuntutan iaitu, pengukuhan institusi awam, tempoh kempen minimum 21 hari, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor? Sudah lupakah kita setelah diberi pil kuda oleh UMNO/BN melalui isu komunis dan hududnya.

Harap-harap Bersih 2.0/PAS/Pakatan Rakyat sudah ada pelan A dan pelan B. Sebaik-baiknya ada pelan pra dan pascanya. Apa yang akan dilakukan sebelum PRU13 sekiranya tuntutan tidak dipenuhi dan apa pula tindakan selepas PRU13 sekiranya BN terus berkuasa melalui penipuan dan demokrasi tempang?

Tekanan terhadap SPR/BN mesti diutamakan. Ini isu kita. Bukannya kita tenggelam oleh isu yang dilontarkan oleh pihak lawan sehingga kita berebut-rebut menghurunginya. Tuntasnya, rakyat mahu mendengar apakah strategi, pelan dan tindakan segera setelah tempoh tiga bulan akan berakhir tidak lama lagi. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Tak perlu berdakwat, kalau tidak sampai hitam.

No comments:

Post a Comment