Dec 29, 2011
Benteng Tak Benteng...Sama Saja....!!
KEMAMAN – Ombak besar dan angin kencang yang datang bersama musim tengkujuh sejak minggu lalu meranapkan benteng yang baru dibina , di pantai Kemasik, dekat sini.
Menurut Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Kemasik, Ustaz Alias Abdul Hamid, (Gambar atas kiri) pembinaan benteng ‘pelik’ yang digelar benteng 1Malaysia tersebut siap pada bulan Ogos 2011.
“saya terima rungutan dari penduduk mengenai rekabentuk benteng (yang pelik) tak pasti samada benteng (itu) pemecah ombak atau benteng penahan hakisan,
“benteng itu siap (tapi) tak sampai tiga bulan, ranap dipukul ombak,”ujarnya ketika ditemui selepas melawat tempat kejadian pada Selasa 27 Disember.
Ekoran kejadian itu, beberapa rumah penduduk mengalami kerosakan teruk .
Di antara mangsa yang sempat ditemui ialah Md Ariffin Muda, 62 tahun, seorang buruh binaan yang tinggal bersama 7 orang anaknya.
Ariffin berkata kejadian tiga hari lalu membawa kenangan yang amat pahit kepada kehidupan keluarganya.
“ia melupakan detik - detik ngeri sewaktu rumah saya dipukul ombak dan angin kuat, antara hidup dan mati, tak tahu ke mana nak lari,”katanya.
Menurutnya, sejak dari awal pembinaan, beliau amat sangsi dengan pembinaan benteng an menyifatkan ia adalah satu kerja yang sia-sia.
Katanya, projek itu sia-sia dan hanya menghabiskan wang rakyat, umpama ‘mencurahkan garam ke laut’ sahaja.
Ariffin turut dukacita kerana permohonan beliau untuk mendapatkan rumah yang lebih selamat tidak dilayan oleh kerajaan negeri.
'Saya ada memohon Perumahan Penduduk Rakyat Termiskin (PPRT) dan surat sokongan dari JKKK telah diterima tetapi sampai ke hari ini tiada apa berita mengenainya', ujarnya dengan perasaan sedih.
Seorang lagi penduduk, Haji Wan Abdullah Wan Ali, 70 tahun, (gambar kiri, bawah) turut mengalami pengalaman pahit apabila rumahnya ‘dilambung ombak’.
Beliau yang bekerja sebagai seorang nelayan memaklumkan, rumahnya sekarang adalah di atas tanah milik kerajaan dan berharap pihak berkenaan dapat menyediakan lot rumah atau rumah PPRT bagi beliau meneruskan kehidupan sehariannya.
Wan Abdullah bersetuju dengan pedapat Ariffin, benteng yang dibina tidak kukuh dan diragui ketahanannya.
Beliau melahirkan rasa kesal kerana walaupun hasil minyak diproses tidak berapa jauh dari kampung itu, namun tidak dapat menikmatinya.
“Saya harap pihak berkenaan dapat cakna keadaan kami disini apatah lagi Kampung Pantai ini terletak berhampiran dengan Kuwait Malaysia, dimanakah kekayaan hasil bumi yang dapat dinikmati oleh orang seperti kami ini”, rayunya Wan Abdullah.
Sehubungan itu, Ustaz Alias yang juga Setiausaha PAS Kawasan Kemaman berharap kerajaan dapat bertindak seadilnya dan membuat pertimbangan yang wajar ke atas permohonan mangsa-mangsa terbabit.
“saya menyeru pihak yang berkenaan agar membuat pertimbangan yang sewajarnya terhadap kesemua rumah - rumah yang berada di persisir pantai di Kampung Pantai ini,
“seperti menyediakan penempatan baru atau memberi rumah alternatif bagi mereka meneruskan kehidupan dengan suasana yang selamat,”jelasnya.
Beliau berkata, sekiranya PAS diberi mandate oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum akan datang, PAS akan melaksanakan janji manifesto, memberikan tapak rumah kepada mereka.
Turut bersama Ustaz Alias dalam lawatan tersebut adalah ialah Ketua PAS Cawangan Kemasik Pantai, Hj. Salleh Mohd Amin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment