Jan 16, 2012
Kenyataan Media...!!
SKANDAL NFC:KENYATAAN PENGURUSAN NFC BERCANGGAH DENGAN PENGUMUMAN BEKU ASET OLEH PERDANA MENTERI
Saya memandang serius kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif NFC, Encik Wan
Shahinur Izmir Salleh (yang juga anak kepada Dato’ Seri Shahrizat
Jalil) bahawa operasi NFC berjalan seperti biasa walaupun kerajaan
mengarahkan agar aset NFC dibekukan, yang dikeluarkan semalam.
Kenyataan itu menimbulkan persoalan apakah Dato’ Seri Najib Tun Razak
hanya membuat kenyataan kosong tanpa memberikan arahan khusus, atau
NFC mengingkari arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan?
KEADILAN konsisten mendesak supaya aset NFC dibekukan dan pentadbir
korporat (corporate administrator) dilantik untuk mengambil alih
pengurusan NFC dan melakukan audit penuh bagi membongkar kesemua
penyelewengan yang telah berlaku.
Tindakan “membekukan aset NFC” sepatutnya bermakna:
1. Sebarang perbelanjaan selain dari membayar gaji pekerja-pekerja
yang bertugas dalam operasi penternakan lembu (seperti yang
dimandatkan di dalam perjanjian pembiayaan oleh kerajaan) perlu
dibekukan;
2. Pengurusan sedia ada yang terdiri dari kaum keluarga Dato’ Seri
Shahrizat Jalil tidak dibenarkan membuat sebarang keputusan bersabit
operasi, kewangan, sumber manusia dan keputusan-keputusan penting
lain;
3. Sebarang pemindahan wang keluar dari NFC, termasuk pembayaran gaji
dan perbelanjaan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh keluarga
Dato’ Seri Shahrizat Jalil perlu dihentikan serta-merta; dan
4. Sebarang keputusan mengenai aset atau struktur syarikat dan
pelaburan tidak dibenarkan dibuat bagi mengelakkan pemindahan aset.
Secara lazimnya dalam amalan korporat yang berdasarkan tata kelola
yang baik, apabila seseorang disiasat akibat tuduhan pecah amanah,
beliau tidak dibenarkan masuk ke pejabat dan digantung serta-merta
bagi mengelakkan cubaan menghapuskan bukti.
Kenyataan NFC yang menunjukkan kaum keluarga Dato’ Seri Shahrizat
Jalil masih bebas menggunakan wang dan menguruskan operasi NFC membawa
risiko besar yang menjejaskan bukti dan rekod kewangan NFC.
Oleh yang demikian, KEADILAN mengulangi desakan supaya Dato’ Seri
Najib Tun Razak bertindak lebih berani dengan menggantung penglibatan
kaum keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di dalam operasi NFC dan
melantik pentadbir korporat (corporate administrator) untuk mengambil
alih pengurusan dengan mandat membongkar semua penyelewengan yang
telah berlaku.
Sekiranya ini tidak berlaku, KEADILAN tidak ada pilihan kecuali terus
membongkarkan pelbagai penyelewengan yang ada di dalam rekod kami
untuk meningkatkan tekanan politik terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak
untuk bertindak dengan telus dan tidak berdolak dalih.
Petang esok (17 Januari 2012, jam 2 petang di Balai Polis Dang Wangi),
aktivis KEADILAN diketuai Saudara Fariz Musa, ahli Majlis Pimpinan
Pusat akan membuat satu lagi laporan polis mengenai perbelanjaan kad
kredit oleh keluarga Dato’ Seri Sharizat Jalil dalam tahun 2009 yang
melampaui batas.
Penelitian KEADILAN menunjukkan bahawa dalam tahun 2009, perbelanjaan
kad kredit oleh kaum keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil mencecah
RM593,500 yang dibiayai sepenuhnya oleh wang rakyat melalui NFC
seperti berikut:
JUMLAH SETAHUN PURATA SEBULAN
Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail RM182,525 RM15,210
Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh RM160,673 RM13,389
Wan Izzana Fatimah Mohamad Salleh RM127,900 RM10,658
Wan Shahinur Izmir Mohamad Salleh RM122,402 RM10,200
Pendedahan sebegini akan diteruskan sehinggalah Dato’ Seri Najib Tun
Razak mengambil tindakan yang melambangkan beliau dan rakan-rakan
kabinet beliau menerima sepenuhnya pertanggungjawaban ke atas
penyelewengan yang berlaku di dalam NFC.
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
16 JANUARI 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment