Feb 13, 2012
PRU 13 : Fikir...Pilih...& Pangkah....!!
Dekat, tidak lama atau pun lambat lagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) gendang sudah dipalu, lagu semboyan dinyanyikan berkali-kali. Presiden Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah sedia meletakkan nasib dan kerajaannya di tangan rakyat dalam usahanya mencari mandat peribadi hampir 18 bulan atau 15 bulan atau lebih awal daripada dia wajib mengadakan PRU. Najib nampaknya sudah yakin mengundi awal manfaatkan kerajaan, berhijrah dari status quo kepada yang lebih cemerlang, selamat. Tiada risiko tiada untung!
PRU13 satu game changer bagi Umno-BN dan DAP-PKR-Pas. Perang politik tersengit bagai PRU Mei 1969 menunggu. Perubahan, transformasi pada yang berjaya, padah bagi yang tewas. Keputusan PRU13 telah dijangka – kemenangan dalam tangan – barang kali itulah kesimpulan Najib. Dia dan Umno masuk padang penuh cekal, berani dan yakin walaupun landskap politik Malaysia kian berubah akibat Politik Baru. Sudah muncul trend itu di samping yang lama. Gandingan baru dan lama mengejar kuasa apa harga pun sanggup dibayar asal dapat memerintah!
Sudah ada yang mabuk, terlalu suka pilihan raya hampir tiba. Ada tergila-gila ingin jadi calon.
Najib berikrar dia tetap membela Melayu juga bukan Melayu. Ucapan Presidennya di Perhimpunan Umno penuh dengan sejarah Umno yang ditubuhkan 66 tahun dahulu bagi menyelamatkan bangsa, agama, bahasa, watan dari dijadikan Malayan Union, konsep asal Malaysian Malaysia yang dianjurkan oleh penjajah British bagi menghargai bantuan masyarakat Cina, termasuk Parti Komunis Malaya, memerangi Jepun dalam Peperangan Dunia Kedua. Timbalannya, Muhyiddin Yassin juga bersumpah berjihad untuk Melayu, Islam dan ibu pertiwi, berikrar sehidup semati dengan Najib bagai cincin dan intan.
Siapa kata ketuanan Melayu atau Social Contract telah dilupakan oleh Umno - prinsip asal tatkala parti itu bernama Pekembar? Saya tiada masalah kerana itulah tujuan founding fathers Umno yang saya ulangi dalam ucapan di Singapura 26 tahun lepas. Sekarang Melayu/Pribumi 65 peratus dari jumlah penduduk seramai 29 juta, pada tahun 2035 Pribumi meningkat kepada 75 peratus mengikut kiraan dan jangkaan pakar populasi, dalam dan seberang laut.
Apa pun kita mesti bertindak dalam landskap Politik Baru yang berubah pantas menuju ke arah ketuanan rakyat berbilang bangsa, agama, bahasa dan kebudayaan. Kita semua menerima baik sifat kemajmukan ini dipelihara, diperbaiki seperti Singapura, Indonesia, United Kingdom dan Amerika Syarikat melindungi kelangsungan landskap majmuk mereka. Pribumi turun menurun tiada prasangka terhadap orang lain. Orang lain’(baca DAP dan Malaysian Malaysia) seperti kata Dr Mahathir yang ada prasangka buruk terhadap kita.
Mengikut sebuah organisasi penyelidikan Jepun Nomura, PRU13 mungkin dalam masa tengkujuh ini atau awal 2012 kerana Najib mahu mengelakkan makro ekonomi Malaysia buruk tahun depan dan selepasnya. Ekonomi kita adalah ekonomi terbuka ketiga terbesar dalam rantau A selepas Hong Kong dan Singapura akan terjejas dan besar kemungkinan GDP kita akan jatuh pada -5.8 peratus, satu malapetaka.
GDP kita mudah jadi mangsa kerana tiga faktor ejen kemajuan – sektor awam dan swasta, ekspot barangan perkilangan dan ekspot komoditi berada dalam keadaan lemah. (Malaysian Reserve 30 November 2011). Saya tidak fikir PRU13 akan berlangsung masa musim monsoon, musim banjir barangkali selepas kedua-duanya yakni antara Mac hingga Ogos. Kita, seperti Najib tegaskan, bisa bertahan daripada tekanan ekonomi yang lemah, tekanan dari luar kerana transformasi ekonomi dan politik dan pentadbiran yang dia telah laksanakan. Sama-sama kita lihat.
Benar seperti kata ketua propaganda Umno, Ahmad Maslan Umno-BN tidak boleh menang PRU13 dengan hanya bergantung kepada ahlinya yang kononnya berjumlah 3.4 juta itu. Kalaulah jumlah itu sahih tiada jaminan kesemua keluar mengundi. Kalau pun mereka terbit, ada yang tidak akan mengundi partinya kerana pelbagai sebab! Pengalaman PRU12, PRU 1969 juga PRU 1959. Jumlah pengundi tidak keluar mengundi tahun 2008, 2.58 juta.
Jangkaan saya besar kemungkinan kerana PRU13 ini soal perang hidup mati politik Najib dan Anwar Ibrahim maka jumlah yang akan keluar mengundi lebih tinggi antara 9-10 juta yang boleh mengundi. Mutakhir 3.7 juta rakyat belum lagi daftar menjadi pengundi. Saya yakin ramai antara mereka juga ahli dan penyokong Umno – maaf, ‘orang Umno’! Sayugia diingat hanya 384,688 undi yang memisah BN dengan parti pembangkang dalam tsunami 2008. Hanya pilihan raya ala Westminster (cara British) yang menyelamatkan kerajaan UMNO-BN di peringkat nasional. Parti pemerintah menang tipis dan hilang lima buah negeri termasuk ibu kota Kuala Lumpur.
Di atas kertas kehadiran pengundi baru – muda-mudi pemilih kali pertama - menyukarkan kerajaan tetapi apa pun PRU13 lebih meriah, lebih mahal, lebih kritikal, satu watershed kata Speaking, yakni titik perubahan, akan jadi rentetan peristiwa kepada yang menang juga yang kalah. Saya setuju dengan Najib kalau UMNO-BN menang dengan majoriti yang selesa yakni pada saya antara 40-50 kerusi parlimen PRU selepasnya 14 dan 15 lebih mudah.
Bagi Anwar, ketua pembangkang, kalau dia terus kalah walaupun menang di Permatang Pauh peluangnya dan Pakatan Rakyat dalam PRU14 sukar. Kekalahan PR harus mengakhiri kerjaya politik Anwar. Kalau UMNO-BN tewas – tidak mustahil tetapi atas kertas tidak bisa.
Maka bagi Najib dan Umno tiada pilihan. Umno mesti menang apa jadi pun. Tegas Speaking, ‘there is no substitute for victory’. Padah hukumannya kalau tumpas. Se pandir pandir Badawi pun dia tidak kandas! Walaupun dia hilangkan lima negeri dan majoriti 2/3 dalam parlimen dia menang juga tetapi cita-citanya mahu memanaskan kerusi dua penggal remuk dalam tangisan dan dipersarakan ibarat berpakaian dan berhias permata mutiara manikam.
Masakan anak Tun Razak yang lebih karismatik, lebih pintar, lebih cekap, lebih lihai seperti rubah/musang yakni lebih wily daripada Badawi walaupun landskap politik terus berubah tidak boleh memperbaiki keputusan 2008? Saya percaya persembahan atau pementasan Najib akan lebih baik daripada 2008. Tidak ada pilihan baginya kalau tidak tragedi mengekorinya – lebih parah dari kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment