Lebih 10 ribu manusia berbilang kaum berhimpun di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 4 pada pagi ini, dengan nada yang tegas melaungkan Berambus Lynas!. Di samping itu, Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim berjanji untuk membatalkan projek Lynas, seandainya Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa pemerintahan.
Tiada penangkapan berlaku dimaklumkan sehingga perhimpunan bersurai dengan aman pada jam 11.30 pagi. Belasan ribu orang berhimpun di Padang MPK tepat pada jam 9.30 pagi, tadi. Mereka datang dengan kad-kad dan banner yang membawa mesej "Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia", "Kita tidak mahu jadi Bukit Merah Kedua", "Kita bukan tikus putih" dan sebagainya. Polis yang hadir hanya berperanan untuk mengawal lalu lintas di sekitar bandar Kuantan.
Selain itu, Anwar Ibrahim ketika berucap pada kira-kira jam 11.20 pagi, menyatakan pendirian Pakatan Rakyat untuk membatalkan projek kilang pemprosesan nadir bumi Lynas, jikalau mengambil alih kuasa pemerintahan. Malah beliau membidas kerajaan Barisan Nasional tidak memahami hubungan antara manusia dengan alam semula jadi, kerana apa yang mereka nampak hanyalah "wang, wang, wang!"
Ahli parlimen Permatang Pauh ini turut berjanji untuk membawa usul tergempar dalam sidang parlimen pada Mac akan datang, untuk membincangkan isu Lynas di Gebeng, Kuantan.
Feb 26, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment