Apr 4, 2012
Catatan Seorang MP : Dewan Rakyat Kecoh Tentang Laporan Minoriti....!!
Hari ini kecoh dewan sebab pada pukul 3.30 hari ini Tuan Speaker telah menangguhkan sidang sehingga jam 10 pagi keesokannya. Tuan Speaker juga telah membuat keputusan untuk meluluskan laporan Jawatankuasa Penambahbaikan Proses Pilihanraya dalam keadaan kekecohan di dewan petang tadi dan sebelumnya telah mengarahkan tiga Ahli Parlimen untuk keluar dewan dalam keadaan yang penuh kegawatan di Parlimen. Saya boleh angkat topi kepada Tuan Speaker kerana dapat melakukan semua keputusan tersebut dalam masa tak sampai 15 minit. Tapi apakah sebenarnya yang berlaku di dalam dewan sebentar tadi pada saat semua pihak menanti-nanti laporan JK untuk memperbaiki sistem pilihanraya negara kita?
Sebenarnya Dewan telahpun kecoh sebelum berhenti rehat pukul 1 tengahari tadi apabila Speaker telah menolak usul awal dari pembangkang supaya minority report dibentangkan berserta dengan laporan JK kerana ada beberapa perkara yang tidak dipersetujui oleh anggota JK dari pembangkang yang berpendapat ia tidak menyentuh isu dasar tentang kepincangan SPR dari sudut Daftar Pemilih yang masih tempang. Speaker bertugas sebelum rehat tengahari iaitu Pandikar Amin Mulia menolak dengan alasan bahawa telah cukup laporan JK tanpa perlu pembentangan minority report. Apabila Speaker berhujah bahawa tidak ada kes awalan yang membenarkan minority report dibentangkan, di sinilah belengu kekecohan pun terlepas dan bermulalah perbalahan. Ramai dari Ahli Parlimen menghujahkan bahawa ada kes awalan (preceding cases) yang membenarkan laporan minoriti dibentangkan lalu menolak itu sebagai alasan menolak minority report.
Untuk pengetahuan pembaca minority report adalah istilah yang digunakan untuk laporan dari kalangan anggota sesebuah jawatankuasa yang mempunyai pandangan yang berbeza dari pandangan majoriti dalam jawatankuasa tersebut. Ia diperakui sebagai satu laporan untuk merakamkan pandangan yang berbeza dalam sesebuah jawatankuasa.
Namun persoalan yang diperdebatkan ialah adakah perlu dibentangkan dalam mesyuarat penuh? Pastinya laporan minority report itu adalah pandangan anggota pembangkang dalam JK yang menyentuh persoalan daftar pemilih yang masih lagi dipertikaikan dari sudut pembersihan nama dari warga asing yang tidak diselesaikan dan dijelaskan. Tujuan kami meminta untuk dibentangkan ialah supaya pandangan ini dirakamkan untuk diminitkan dalam dewan bahawa kami masih tidak berpuashati dengan laporan JK yang tidak menyelesaikan masalah pokok iaitu Daftar Pemilih.
Hanya waktu rehat sidang telah menyelamatkan keadaan apabila keputusan Speaker waktu itu ialah meneruskan perbahasan ahli tentang laporan JK tersebut tanpa menerima usul laporan minoriti dibentangkan bersama. Semasa sesi bersidang selepas rehat, Ronald Kiandi bertugas. Kebetulan saya sempat menyapa beliau di cafeteria Parlimen dan kami berseloroh tentang bagaimana Pandikar Amin Mulia pagi tadi berada dalam keadaan sukar untuk membuat keputusan, saya memberitahu Ronald Kiandi yang akan ambil alih sesi petang bahawa dia mesti bersiap sedia untuk mengawal keadaan kerana kami belum berpuas hati. Rupanya sapaan saya secara berseloroh terhadap beliau menjadi kenyataan apabila dia turut didesak seperti tengahari tadi untuk membenarkan minority report dibentangkan.
Semasa Ronald Kiandi berada dalam keadaan tertekan itu, Pandikar Amin masuk ke dewan lalu dengan gaya seorang "pendekar" ambil alih tempat Ronald Kiandi untuk mengawal keadaan. Malangnya tindakan "kependekaran" beliau itu hanya memburukkan lagi keadaan apabila Pandikar mengarahkan beberapa Ahli Parlimen keluar dewan. Ketua Pembangkang berdiri untuk menyelamatkan keadaan dengan meminta Speaker supaya tidak menggunakan kuasanya dalam keadaan kekecohan ini hanya kerana ada pandangan dari ahli parlimen yang lain berhujah bahawa keputusan awalnya berlandaskan kepada kes awalan sudah tidak boleh diterima kerana ada kes yang membenarkan minoriti report dibentangkan. Suasana semakin tegang dengan bunyi hiruk pikuk Ahli Parlimen di kedua-belah pihak sehingga kedengaran suara dari pembangkang "Leave the Chair, Leave the Chair!" (semacam menghalau keluar) terhadap Pandikar.
Dalam kekecohan itulah Pandikar terus meluluskan laporan dalam keadaan tidak ada sesiapa pun yang mendengar apa yang diucapkan, hanya bunyi penukul speaker yang kedengaran meminta semua diam. Kekecohan berakhir dengan semua kami keluar dewan dan Ketua Pembangkang bersama pipimpinan PAS dan DAP serta PKR mengadakan sidang media dan semua mata tertumpu kepada Anwar Ibrahim kerana ingin mengetahui apa yang berlaku di dalam dewan tadi. Sememangnya hari ini hari yang bersejarah apabila Speaker yang diarahkan keluar dewan setelah menggunakan kuasanya untuk memerintahkan beberapa ahli keluar hanya kerana menganggap Tuan Speaker tidak melakukan keadilan untuk mendengar pandangan dan hujahan pembangkang supaya minority report dibentangkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment