Jul 24, 2010
Isu Perpadu..Wangg....!!!
Sekali lagi isu perpaduan Melayu ditonjolkan oleh UMNO. Kononnya mereka sahajalah yang mengambil berat akan isu ini. Hakikatnya, PAS selama penubuhannya, telah sekian lama memperjuangkan perpaduan Melayu. Hanya bezanya ialah perpaduan yang diusahakan oleh PAS adalah berasaskan Islam sedangkan perpaduan yang diusahakan oleh UMNO adalah berasaskan "Melayu". Yang bersetuju dengan Islam sebagai dasar yang kukuh, bersatu dibawah PAS. Semua yang setuju dengan Melayu sebagai asas, bersatu di bawah UMNO!
Persoalan perpaduan adalah sesuatu yang diusahakan semua pihak. Tiada yang siuman yang inginkan perbalahan dan perpecahan. Semua inginkan supaya bangsa dan masyarakatnya untuk bersatu. Yang membezakan ialah asas perpaduan yang diusahakan.
Bagi PAS dan mereka yang berjuang di atas dasar Islam, UMNO adalah punca perpecahan ummat Islam kerana UMNO membawa dasar selain dari Islam sebagai dasar perpaduan ummat Islam. UMNO membawa sebuah dasar yang bukan dari Islam dan dalam banyak segi, bercanggah dengan Islam. Oleh itu ummat Islam terpesong dari dasar perpaduan sebenar yang diperjuangkan oleh PAS. Usaha PAS untuk menyatupadukan ummat Islam atas dasar Islam digagalkan UMNO melalui berbagai cara termasuk fitnah, penyelewengan maklumat dan tidak ketinggalan juga penggunaan ISA terhadap pimpinan PAS. Ummat Islam ditakut-takutkan oleh media yang dikuasai UMNO dan dikelirukan dengan sengaja supaya menolak perpaduan yang diusahakan PAS. UMNO adalah punca mengapa ummat Islam tidak bersatu di atas dasar Islam!
Bagi UMNO yang ingin melihat orang Melayu bersatu di bawah kepimpinan mereka di atas dasar Melayu, PAS adalah punca perpecahan. Ini adalah kerana PAS membawa satu dasar yang berbeza, iaitu Islam. UMNO gagal menyatupadukan orang Melayu atas dasar Melayu kerana PAS membawa persoalan agama ke dalam arena politik, satu tindakan yang ditolak UMNO. PAS memberitahu orang Melayu bahawa dasar "Melayu" yang mengharuskan rasuah, kezaliman, penyelewengan, penindasan, kronisma dan segala yang tercela "demi kepentingan Melayu", adalah sesuatu yang menyesatkan. Oleh itu sebahagian dari orang Melayu tidak bersama UMNO dan sebaliknya memilih untuk bersama PAS. Dengan itu usaha UMNO untuk menyatupadukan Melayu atas dasar bangsa Melayu telah digagalkan oleh PAS.
UMNO memberitahu orang Melayu bahawa bangsa Melayu akan hilang kuasa politik sekiranya tidak bersatu di bawah payung mereka dan menakutkan orang Melayu dengan ramalan-ramalan seperti orang Melayu menggemis di Negara sendiri dan sebagainya. PAS memberitahu ummat Islam bahawa keadaan "lemah" mereka adalah hasil dari perjuangan "Melayu" yang diperalatkan segelintir elit Melayu untuk mengayakan diri mereka sendiri di atas nama semangat Melayu. PAS menyeru ummat Islam untuk kembali kepada Islam dan menolak dasar Melayu ini. Sekiranya tidak, maka pendekatan yang dibawa UMNO selama ini akan menyebabkan ummat Islam menjadi semakin lemah dan yang paling dikhuatiri sebagai ummat Islam ialah semakin dimurkai Allah.
UMNO menuduh PAS sebagai penghalang perpaduan Melayu dan PAS menuduh UMNO sebagai pemusnah perpaduan Islam. Hakikatnya, kedua-dua pihak inginkan perpaduan tetapi atas di dasar yang berbeza dan oleh itu kedua-dua pihak menyebabkan cita-cita kesatuan pihak satu lagi tidak tercapai dengan sepenuhnya!
Namun, persoalannya sekarang, apakah yang merupakan intipati yang terpenting? Adakah ianya "perpaduan", walau di atas dasar apa sekalipun, atau adakah ianya sebuah perjuangan yang berasaskan wawasan dan cita-cita mulia yang akan menghasilkan perpaduan manusia di atas dasar keadilan sejagat?
Bagi UMNO yang tidak mempunyai sebarang asas yang boleh dianggap mulia atau boleh dibanggakan, perpaduan di bawah kepimpinan UMNO ialah di mana mereka akan terus kekal berkuasa, itulah yang mereka inginkan. Itulah cita-cita mereka.
Bagi PAS pula yang mempunyai dasar dan asas perjuangan yang mulia dan bernilai tinggi, perjuangan Islam adalah yang perlu diutamakan dan melaluinya akan tercapai perpaduan.
Kaedah yang diusahakan oleh PAS adalah semestinya kaedah dan pendekatan yang tepat dan saya yakin segala kekecohan berhubung "perpaduan Melayu" yang dibawa oleh UMNO tidak akan mampu mengelirukan rakyat. Kita semua tahu dan kenal siapa itu UMNO. Mereka hanya teringat persoalan Melayu apabila mereka tersepit dan terdesak. Selama ini, semasa mereka berkuasa dalam keadaan yang selesa, PAS merupakan sasaran mereka. Tidak pula teringat akan persoalan "perpaduan Melayu".
Maka adalah tidak wajar bagi PAS yang telah berjuang selama ini, membina asas perpaduan Islam di kalangan ummat Islam bagi menyelamatkan mereka dari asas perpaduan yang palsu di bawah UMNO, untuk secara tiba-tiba menyatakan, "kita tidak berbeza. Kita sama sahaja. Marilah kita bersatu". Adalah lebih wajar untuk UMNO menyatakan "kita tersilap selama ini dan Syaitan telah menyesatkan kita sehingga rasuah, salah guna kuasa, penindasan, penyelewengan dan sekularisma diperlihatkannya sebagai penyelamat bangsa Melayu. Kita perlu bubarkan UMNO dan kembali kepada perjuangan Islam bersama PAS".
Itu sahajalah kaedah perpaduan yang bermakna.
Kerjasama dalam Pakatan Rakyat
Ada pula yang bertanya, "kalau begitu, bagaimana pula kerjasama PAS dengan PR?"
PKR dan DAP ada wawasan mereka masing-masing yang inginkan keadilan sosial. Walaupun konsep keadilan mereka berbeza dengan konsep keadilan PAS, namun dari segi praktiknya ada banyak persamaan. Perjuangan mereka turut menolak rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, penindasan dan sebagainya dan walaupun mereka berpegang kepada fahaman politik sekular, mereka tidak menafikan bahawa sekularisme itu adalah sesuatu yang bercanggah dengan fahaman Islam. Pada masa yang sama, keadilan sosial yang mereka perjuangkan meliputi keadilan untuk semua, termasuk orang Melayu dan ummat Islam. Lagipun, perlembagaan Negara yang sedia ada terus akan diguna pakai di mana persoalan institusi raja-raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, hak istimewa Melayu dan sebagainya akan terus diterima tetapi tidak disalahgunakan. Oleh itu adalah lebih mudah PAS bersama PR dari bersama UMNO yang tidak mempunyai sebarang prinsip.
Berhubung isu perjumpaan pemimpin PAS dengan Mufti Perak pula, ianya amat mudah untuk dirumuskan. SEKIRANYA ada mana-mana pemimpin PAS, walaupun atas kapasiti peribadinya, bertemu dengan Mufti Perak untuk meminta beliau mengusahakan kesatuan UMNO dengan PAS, maka pemimpin tersebut TIDAK WALA' kepada parti. Ini adalah kerana dasar parti jelas dan ditegaskan di dalam tiga Muktamar berturut-turut. Kukuhkan PR dan tolak perpaduan dengan UMNO!
Pemimpin tersebut patut diberi surat tunjuk sebab dan sekiranya didapati benar beliau bertemu dengan tujuan tersebut, maka beliau patut diminta tinggalkan parti dan sekiranya enggan, dipecat dari parti. Tindakan beliau telah menyulitkan PAS, mengelirukan ahli-ahlinya dan menimbulkan fitnah di kalangan parti-parti rakan dalam PR. Ianya tindakan yang disambut dan disahut oleh UMNO serta rakan-rakan mereka dalam BN kerana berpotensi untuk melemahkan PR.
SEKIRANYA ianya benar berlaku maka PAS perlu menyedari bahawa, malangnya, masih ada di kalangan pimpinannya mereka yang tidak boleh membezakan di antara Melayu dan Islam dan menganggap Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu. Ini bermakna ada pimpinan yang "tidak cukup tarbiyyahnya" dan oleh itu mereka perlu diturunkan dari kedudukan mereka sebagai pemimpin. Mereka bukanlah seperti saya, seorang ahli biasa (sehingga hujung bulan ini) tetapi mereka "pemimpin" dan oleh itu perlu dipertanggung-jawabkan atas tindakan mereka dengan lebih tegas lagi.
Kalau tidak, maka akan semakin celaru.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Ahli Parlimen Shah Alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment