24 JUN 2011
LANGKAH-LANGKAH MENGGALAKKAN PEMBINAAN RUMAH DI BAWAH KONSEP “BINA DAN
JUAL” DI NEGERI-NEGERI PAKATAN
Ramai rakyat Malaysia yang kini tidak lagi berkemampuan membeli rumah
yang sesuai terutamanya bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang,
Pulau Pinang dan Johor Bahru. Harga rumah terus meningkat secara
berterusan sedangkan purata kenaikan gaji rakyat Malaysia adalah lebih
rendah sehingga menyukarkan rakyat Malaysia memiliki sebuah kediaman
yang sesuai dengan keperluan mereka.
Bagi mereka yang berjaya membeli rumah pertama, mereka terpaksa
berdepan pula dengan risiko hutang yang berpanjangan apabila projek
rumah yang dibeli akhirnya terbengkalai. Keadaan ini memburukkan lagi
nasib pembeli dari golongan berpendapatan rendah kerana mereka
terpaksa membayar pinjaman rumah sementara masih menyewa. Ramai dari
mereka akhirnya tidak mampu meneruskan bayaran pinjaman rumah dan
disenaraihitamkan dari mendapat pinjaman di masa hadapan. Bagi mereka
ini, memiliki rumah yang sesuai menjadi satu kemustahilan.
Statistik terkini dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
menunjukkan bahawa sehingga 31 Disember 2009, terdapat 115,788 unit
rumah yang tidak siap melibatkan 492 projek di seluruh negara.
Walaupun ada beberapa langkah di peringkat persekutuan dan negeri
untuk memulihkan projek-projek ini, ia tidak dapat menyelesaikan
masalah projek perumahan terbengkalai kerana struktur industri
perumahan tidak banyak berubah.
Pakatan Rakyat percaya campur tangan yang berterusan diperlukan untuk
memulihkan projek-projek perumahan terbengkalai yang sedia ada. Namun,
beberapa langkah proaktif juga diperlukan untuk melindungi rakyat dari
risiko keberhutangan akibat rumah terbengkalai; apatah lagi dalam
suasana harga barang naik dan gaji rendah yang semakin menekan rakyat.
Beberapa langkah boleh dilaksanakan di peringkat negeri termasuklah
kemudahan untuk mendapatkan kelulusan perancangan dari pihak berkuasa
tempatan dengan cepat bagi projek-projek yang dibina di bawah konsep
ini. Anak-anak syarikat yang terlibat dalam industri perumahan juga
boleh diminta melaksanakan projek di bawah konsep ini mengikut sasaran
yang ditetapkan kerajaan negeri.
Isu ini akan dibawa ke dalam mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat akan
datang untuk mencari konsensus bahawa negeri-negeri yang ditadbir
Pakatan Rakyat akan menggalakkan pembinaan rumah di bawah konsep “bina
dan jual” secara berperingkat, agar industri perumahan dapat
membiasakan diri untuk melaksanakan konsep ini sepenuhnya dalam masa
terdekat.
Pakatan Rakyat mengakui bahawa masih terdapat beberapa isu pokok yang
perlu diselesaikan sebelum konsep “bina dan jual” ini boleh
dilaksanakan sepenuhnya. Keperluan mendesak melindungi hak pembeli
mesti diseimbangkan dengan langkah-langkah memastikan harga rumah
tidak naik mendadak atas alasan kos pembiayaan projek yang lebih
tinggi di bawah konsep ini. Pelaksanaan konsep ini juga perlu
mengambil kira keperluan nasional untuk menjamin keterlibatan
pemaju-pemaju yang lebih kecil; dengan memastikan mereka juga diberi
ruang untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan projek pada kadar yang
berpatutan.
Semua ini memerlukan peralihan sikap dan struktur dalam industri
perbankan dan perumahan, yang hanya boleh dicapai jika kerajaan
persekutuan ada kemahuan politik.
Sementara itu, Pakatan Rakyat akan menumpukan kepada langkah-langkah
di dalam bidang kuasa dan pengaruhnya yang boleh dilaksanakan segera
untuk melindungi hak pembeli rumah.
ANWAR IBRAHIM
24 Jun 2011
Jun 26, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment