Apr 19, 2012
Antara Dua Darjat : Kisah Sedih Si Ibu Tunggal & YB UMNO/BN....!!
SETIU - Dalam suasana negeri Terengganu didakwa semakin maju, dengan belanjawan RM2 bilion setahun berturut-turut sejak 7 tahun lalu, di sebuah kampung pinggiran Bandaraya Kuala Terengganu tinggal seorang ibu tunggal, Siti Jahara Awang, yang berumur 54 tahun.
Beliau yang menetap di Kampung Tepi Kubur Lingai, Batu Rakit sebaliknya menghadapi kehidupan yang semakin sukar dan sempit, sejak kematian suaminya lapan tahun yang lalu.
Beliau yang hanya bekerja mengambil upah menoreh getah tidak mampu membaiki rumah lama tinggalan arwah suaminya.
Pada waktu malam, angin dingin dari bukit menyelinap masuk melalui dinding dapurnya yang semakin mereput.
Tatkala musim tengkujuh diantara bulan Oktober hingga Januari setiap tahun, rahmat hujan yang turun mencurah-curah menjadikan sebahagian rumahnya lembab dan basah.
Atap rumah lama itu, yang bocor tidak mampu di tukar, kerana upahnya menoreh getah hanya dapat menampung makan minum dan pakai, menyara hidup tiga orang anak yang masih bersekolah.
Hidup Siti Jahara, lebih ‘getir’ dan mencabar apabila musim hujan, beliau tidak dapat turun menoreh getah, berbulan lamanya.
Hidup ibu tunggal tiga beranak sekeluarga itu, hanya menumpang ehsan jiran dan taulan yang masih ada perasaan.
“Sejak kematian suami pada tahun 2004, hidup kami anak-beranak semakin susah dan saya terpaksa bekerja ambil upah menorah getah.
“Pendapatan tidaklah seberapa sangat hingga nak baiki atap bocor dan dinding berlubang pun tidak mampu. Cukup sekadar makan anak-beranak sahaja,” ujar ketika ditemui di rumahnya.
Tidak sampai sampai sepuluh kilometer dari Kampung Lingai, menelusuri jalan baru dari Padang Nenas ke Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, tersergam sebuah ‘mahligai indah’.Berbeza dengan rumah ibu tunggal Siti Jahara, rumah batu ‘konkrit’ beratap genting, dengan hiasan kayu dan perabot mewah, baru setahun dua ini disiapkan.
Secara perbandingannya, nilai garaj ‘mahligai indah’ itu sudah pun lebih tinggi melambung, berbanding rumah si ibu Tunggal.
Kalau Siti Jahara sedih dengan kematian suami pada tahun 2004, pemilik ‘mahligai’ itu bergembira pada tahun tersebut kerana beliau dipilih menjadi Wakil Rakyat Batu Rakit sejak tahun 2004.
Di Mahligai itulah menetap Khazan Che Mat, seorang bekas pegawai kerajaan yang dikenali sebagai ‘Ustaz’ menjadi calon bagi parti Umno dan Barisan Nasional pada pilihanraya ke-11 tahun 2004.
Apalah yang dapat Siti Jahara lakukan, setelah hilang tempat bergantung selain merayu bantuan daripada pihak lain, khususnya kepada kerajaan Umno/BN yang berkuasa.
Namun, bagi Khazan, semuanya dapat diperolehi sejak menjadi wakil rakyat kepada kerajaan yang berkuasa Umno/BN.
Siti Jahara pernah memohon bantuan dari kerajaan namun katanya, sebarang bantuan tidak pernah diterima dengan alasan kerana tidak aktif dalam Umno/BN di kampung.
“Sebelum ini, ketika arwah suami masih hidup kami cuba baiki sikit rumah ini tetapi tidak sempat siap, suami meninggal dulu.
“Nak minta bantuan kerajaan, pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lingai kata kami tidak aktif dengan Umno-BN,” jelasnya.
Berapalah sangat nilai bantuan untuk membaiki rumah yang dipohon oleh Siti Jahara, berbanding nilaian harta yang dipohon oleh Khazan Che Mat.
Mungkin sekitar RM10,000 sudah memadai, untuk membaiki didinding yang reput dan atap yang bocor bagi Siti Jahara, berlindung dari sejuk malam dan basah dek hujan.
Sebaliknya, berapakah pula nilaian tanah di Mengabang Bakong yang diperolehi oleh Khazan Che Mat, yang dengan mudah diluluskan oleh kerajaan Umno/BN.
Tanah cantik ditepi sungai berhadapan dengan laut China Selatan tidak kurang harganya RM50,000 bagi satu lot.
Khazan bukan mendapat dua atau tiga lot tetapi keluasan satu hektar tanah kerajaan yang diperolehinya boleh dipecahkan kepada 15 lot, yang menjadikan nilai keseluruhan tidak kurang RM750,000.00
Menurut Siti Jahara yang terus miskin sejak tahun 2004, dan Khazan yang sudah menjadi kaya raya sejak menjadi wakil rakyat sejak tahun 2004, Khazan tidak pernah datang bertanya khabar atau mengambil cakna tentang masalah rakyat, apatah lagi melihat kedaifan hidup Siti Jahara sekeluarga.
Bukankah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Khazan Che Mat sepatutnya tidak membiarkan keluarga Siti Jahara susah dan ‘melarat’?
Tetapi kerajaan parti Umno/BN yang didokong Khazan Che Mat menjadikan bekas ‘Ustaz’ Yayasan Islam Terengganu itu menjadi buta? Buta mata dan hati……
Sekarang saat hampir pilihanraya umum sekali lagi dan mungkin seorang pegawai kerajaan akan mewakili Umno/BN sebagi calon pula!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment