Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Mar 1, 2011

Bob Kini Di Kerdau....!!!


Setelah muncul di Merlimau sebelum ini, pelawak dan penulis lirik terkenal Bob Lokman hari ini turun ke Kerdau dengan misi memenangkan calon PAS Hassanuddin Salim.

Beliau dijadual berada dua hari di DUN bagi menarik seramai mungkin sokongan orang ramai, khususnya golongan muda yang agak ramai daripada keseluruhan 8,999 pengundi.

Dalam penampilan pertama di majlis jamuan petang dan melawat pasar malam di Desa Murni dalam daerah mengundi Kerdau, Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman berucap kira-kira 30 minit sebelum bersalaman dengan orang ramai.

Kira-kira 100 orang hadir mendengar celotehnya yang masih lucu walaupun penampilannya kini berbeza apabila berjubah, berkopiah dan bertongkat ala Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Bila ada kopiah ini lain. Dulu saya buat apa sahaja sebab saya raja lawak.

"Sekarang bila sudah ada kopiah, lain," katanya sambil disambut gelak ketawa orang ramai yang kebanyakannya sudah berumur dan berkopiah.

Hassanuddin turut hadir dalam program itu ketika Bob, 47, sedang berucap dan disambut dengan gurauan juri program jenaka terkenal Raja Lawak musim lalu itu.

"Sama ke?" katanya sambil menunjukkan gambar calon.

Tak perlu sijil Al-Azhar

Dalam ucapannya yang penuh humor, Bob yang terkenal dengan lirik lagu "Isabella" nyanyian kumpulan rock Search itu menceritakan, beliau menyertai PAS secara tiba-tiba sejurus selepas keluar daripada pintu Raja Lawak.

"Tak ada sesiapa pengaruh, saya masuk saja," kata anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan yang juga cicit kepada ulama terkenal nusantara Tok Kenali.

Beliau juga mendedahkan beberapa kali terlibat dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil bagi membantu calon BN dan dibayar antara RM2,000 hingga RM3,000 ribu.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada dakwaan itu dibuat secara serius memandangkan hampir separuh ucapannya petang ini diselangi dengan gurauan menyebabkan hadirin tidak kering gusi ketawa.

Bob juga berjenaka dengan menyentuh pelbagai perkara, antaranya bertanyakan penonton sama ada calon BN bernama "Side Effect" (kesan sampingan) dan tidak akan percaya lagi pada Datuk Seri Najib Razak walaupun walaupun perdana menteri berucap "dengan golek kepala".

Bob juga berkata calon PAS sebagai bekas juru ukur tanah patut dipilih sebagai wakil rakyat kerana beliau "tahu keluasan bumi Allah."

"Tak perlu ada sijil daripada (Universiti) Al-Azhar pun," katanya merujuk kepada calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad, lulusan bahasa Arab daripada universiti paling terkenal dalam dunia Islam itu.-/ malaysiakini

Pesan TGNA Pada Pengundi DUN Kerdau & Merlimau...


Salam Sejahtera.

Sesungguhnya, segala puji-pujian kepada Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam untuk junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Pesuruh Allah pengakhir zaman.

Didoakan kepada semua pengundi, sanak-saudara dan kaum keluarga warga Dun Merlimau dan Dun Kerdau berada dalam selamat dan sejahtera dengan izin Allah, Tuhan Yang Maha Esa.

Tuan-puan dan Saudara-saudari yang dihormati sekalian.

Bersempena dengan pilihan raya kecil N.27 Merlimau, Melaka dan N.28 Dun Kerdau, Pahang ini, saya dengan ini mengambil kesempatan untuk menyampaikan seruan ingatan kepada diri saya dan pengundi sekalian yang berkebetulan berlaku dalam bulan sambutan Maulidur Rasul 1432H. Maka, ambillah pengajaran daripada sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat bukannya laknat kepada sekalian alam. Mengamalkan ajaran Nabi baik dari segi ibadatnya, mahu pun segenap urusan hidup (mauamalat) adalah pelengkap kepada mencapai keberkatan di akhirat nanti. Oleh kerana itu, kita kena bergantung kepada Islam di dalam segala-gala segi perjuangan hidup. Ajaran Nabi Muhammad SAW sendiri tidak menerima perjuangan atas nama bangsa Arab, yang diterima hanyalah perjuangan atas nama keimanan yang hakiki terhadap Allah, Rasul dan hari akhirat. Selari dengan firman Allah:

“Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjidilharam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan hidayat petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Maksud Al-Quran, At-Taubah 9:19)

Justeru Islam mengutamakan iman bukannya perbuatan. Atas kebenaran ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW inilah, maka setiap apa yang kita buat hendaklah berserta dengan niat yang tulus di atas dasar keimanan.

Oleh itu, menghadapi pilihan raya kecil ini, saya mengajak para pengundi sekalian tetapkan niat dan iman semasa menggunakan hak mengundi “untuk ubah nasib hidup kita, demi menegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.”

Sesuai dengan niat tersebut, maka ubahlah kepercayaan kita dari mempercayai hanya Umno sahaja yang boleh memerintah dan membawa pembangunan, kepada memberi kepercayaan kepada PAS-Pakatan Rakyat yang juga boleh memerintah dan membawa pembangunan kepada bangsa, agama dan tanah air. Ini kerana parti Islam PAS sudah lebih 20 tahun berjaya sebagai sebuah kerajaan yang memerintah dan membangunkan rakyat dan negeri di Kelantan. Dan kini kejayaan itu turut berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Bagi PAS di Kelantan, kejayaannya adalah kerana mengamalkan dasar pentadbiran Islam berteraskan prinsip ubudiah (keyakinan kepada Tuhan), mas’uliah (penuh tanggungjawab mengikut kehendak agama) dan itqan (melakukan yang terbaik) yang selari dengan kehendak syariat. Justeru itu, Kerajaan Negeri Kelantan berjaya dengan rekod bersih, tiada amalan rasuah, berintegriti, bebas dari riba dan subur dengan hasil mahsul anugerah Tuhan. Malah berkat pentadbiran Islam, semua lapisan kaum hidup dengan aman, damai dan sejahtera berpandukan agama.

Ia sebagai bukti betapa syariat Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini berjaya mendidik pentadbir, pemimpin dan rakyat terus berpegang teguh kepada agama. Falsafah ini adalah selari dengan doa iftitah yang kita baca di permulaan sembahyang:

“Sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku adalah kerana Alllah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam (Lillahi Rabbi ‘alami).”

Maknanya kerajaan Negeri Kelantan tetap jujur dan ikhlas mendidik semua pemimpin dan rakyat untuk mengingati tanggungjawab beragama––bersembahyang dan beribadat, dosa dan pahala serta memikirkan soal hidup dan mati. Inilah natijah perjuangan PAS yang sentiasa mendidik rakyat ke arah kehidupan beragama, berkeamanan dan berharmoni.

Justeru Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh PAS sudah berjaya meyakinkan masyarakat semua kaum, bahawa apa yang kita laksanakan di Kelantan adalah yang terbaik, malah lebih baik berbanding dengan apa yang dibuat oleh Umno sebelum ini. Maka, Negeri Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain dalam banyak aspek pembangunan berteraskan ajaran Islam. Terbaru sekali ialah penggunaan wang syariah––dinar emas dan dirham (sistem kewangan Islam zaman Nabi Muhammad SAW), dan pemberian beras percuma kepada keluarga miskin di bawah Skim al-It’aam.

Tuan-puan dan saudara-saudari sidang pengundi sekalian.

Islam mengajar kita supaya berlaku adil kepada semua pihak, termasuklah ketika bertanding dalam pilihan raya. Setiap kali PAS bertanding, prinsip yang diamalkan ialah berkempen dengan adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok. Sentiasa memberi peluang kepada pengundi untuk menggunakan kebijaksanaan dan kebebasan memilih dan mengundi PAS. Maka demi masa depan kita, undilah PAS pada kali ini. Ubahlah undi kita, dari undi Umno kepada mengundi PAS.

Sebagaimana masyarakat Kelantan yang sudah menolak perjuangan Umno dan parti Umno bukan lagi parti kerajaan. Masyarakat Kelantan menolak perjuangan kebangsaan Umno adalah kerana dasarnya yang mengasing-asingkan dan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum, dan mengenepikan nilai-nilai keadilan yang diajar oleh Islam. Oleh sebab amalan itulah, Umno telah gagal mewujudkan perpaduan sebenar di kalangan semua kaum dalam negara ini. Kegagalaan itu membuktikan perjuangan Umno tidak selari dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut ajaran Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya. Maksudnya, kita hendaklah menerima Islam dan ke-Esaan Tuhan dengan tulus ikhlas. Hatta manusia yang berbagai-bagai bangsa itupun hendaklah disatukan di bawah satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam AS. Malangnya, ajaran seperti ini tidak diajar oleh perjuangan sekular dan kebangsaan Umno. Oleh itu, terimalah sistem Islam yang sentiasa benar dan adil untuk semua kaum.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam–tidak tali kebangsaan) dan janganlah kamu bercerai-berai .”

(Maksud Al-Quran, Ali-Imran 3:102-103),

Sebenarnya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Maka, menolak perjuangan Umno-BN adalah satu tindakan betul yang sekaligus menolak perjuangan sekular dan kebangsaan.

Oleh itu, saya penuh yakin bahawa calon PAS-Pakatan Rakyat, Haji Yuhaizad bin Abdullah (Dun Merlimau) dan Hassanuddin bin Salim (Dun Kerdau) adalah calon-calon yang mesra dan rapat dengan semua lapisan pengundi. Mereka berdua cukup berpengalaman selaku pimpinan parti dan masyarakat, maka sudah pasti mereka mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi menunaikan harapan rakyat. Dengan ini saya menyeru dan merayu kepada sekalian pengundi, terutamanya pengundi Melayu, Cina dan India, dan khasnya pengundi peneroka yang budiman lagi bijaksana, bersama-samalah kita mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat. Bulatkan hati, dengan lafaz ‘Bismillah...nama Tuhan yang Esa’ undilah Bulan pada hari Ahad, 6 Mac 2011 nanti. Keluarlah beramai-ramai untuk mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat dan jangan hiraukan ugutan dan sogokan pihak Umno-BN.

Selamat mengundi. Semoga dengan ‘sepangkah undi,’ tuan-puan dan saudara-saudari sekalian dirahmati Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

“Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Bersama PAS-Pakatan Rakyat”

*PAS UNTUK SEMUA *

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan, merangkap Mursyidul Am PAS.

Senyum Petang Selasa....!!

Seluraisme, Pluralisme Dan 1 Malaysia Adalah Sama....!!!


1. Islam adalah ad Deen [ Minhaajul Hayah ] atau cara hidup dan ianya adalah suatu yang telah diiktiraf oleh Allah swt Tuhan Yang Maha mencipta sekelian makhluknya termasuk manusia. Islam adalah jalan yang lurus, memimpin manusia dengan petunjuk dan pedoman wahyu Allah swt. Firman Allah swt :

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

Al Ana'am : 153

2. Islam adalah agama yang benar dan tiada syak pula pada kebenarannya serta kebenaran yang dibawanya adalah unggul sehingga hari ini malah hingga ke hari kiamat. Ia juga menolak anutan syirik dan berhala serta keercayaan ciptaan manusia dan aliran idealogi yang terpisah dari wahyu Allah swt. Firman Allah swt :

Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar. Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka Yang bahan-bahan bakarannya adalah manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang yang ingkar.

Al Baqarah : 23 - 24

3. Menganggap atau mempercayai bahawa Islam adalah sama dengan agama lain jua sebaliknya agama lain dianggap sama dengan agama Islam adalah merupakan tanggapan dan kepercayaan karut yang membatalkan syahaadatain [ dua kalimah syahadah ]. Ini adalah prinsip Islam yang sama sekali tidak boleh disama taraf dengan mana - mana agama atau aliran pemikiran dengan satu pembawaan pluralisme. Firman Allah swt :

Katakanlah (Wahai Muhammad): Hai orang-orang ingkar ! "Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang Aku sembah. Dan Aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara Aku beribadat. Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku".

al Kaafiruun : 1 - 6

4. Firman Allah swt dari surah al Kaafiruun itu adalah nas yang bersifat qatei bahawa pluralisme dalam agama adalah bercanggah dengan prinsip aqidah Islamiyyah. Namun begitu, ia tidak bermakna Islam tidak menghormati agama lain atau dalam erti nilai yang lain ialah Islam tetap menghormati prinsip kebebasan beragama justeru Islam tidak boleh memaksa manusia menganutnya kerana Islam adalah agama yang mesti dianut dengan penuh keinsafan, kesedaran, keyakinan dan kerelaan.

5. Sebagaimana Islam menolak faham pluralisme dalam agama, Islam juga menolak faham sekularisme yang memisahkan agama dari urusan kehidupan seperti memisahkan agama dari urusan pentadbiran negara atau apa yang disebut sebagai "politik suku agama suku" . Serahkan urusan pemerintah kepada pemerintah dan urusan agama kepada tuhan juga adalah sebahagian dari faham sekularisme yang merosakkan aqidah Islam.

6. Melihat pasaran Islam yang meluas dan cahayanya tidak mungkin boleh dipadam, maka faham sekularisme ini menelurkan aliran pemikiran yang boleh berlunak dengan prinsip sekularisme atau melunakkan ummat Islam lalu ianya disogok kepada ummat Islam yang jahil agar mereka keliru lantas menganggap ia sebahagian dari ajaran Islam, seperti Islam Liberal, Islam Progresif, Islam Kontemporary, Islam Tamadun [hadhari] dan lain - lain. Mutaakhir ini diperkenalkan pula oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib satu lagi aliran Islam baru iaitu Islam Sederhana.

7. Aliran pemikiran atau mazhab baru seperti Islam Sederhana ini adalah suatu fitnah bawaan oleh ummat Islam yang jahil tentang Islam. ianya adalah Islam jadian yang tidak mewakili ajaran Islam tulen yang dibawa melalui risalah an Nabawi. Mendakwa bahawa mereka [kerajaan UMNO dan BN hari ini ] membawa dan menawarkan pakej Islam Sederhana kepada dunia hari ini bererti mereka membawa satu pakej Islam yang asing dan berlainan dengan Islam yang wahyukan oleh Allah swt.

[ Jika pakej itu adalah pakej yang serupa dengan ajaran Islam maka kenapa perlu menawarkan pakej yang baru ? kenapa tidak sebut sahaja kami menawarkan Islam yang telah diperjuangkan oleh Rasulullah saw ? atau mereka mengganggap Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah Islam yang ekstrim ? Islam yang kolot ? Islam yang tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan pada hari ini ? atau mereka menganggap bahawa Islam mereka lebih baik dari Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw ? ]

8. Sebagaimana Islam tidak boleh disama taraf dengan agama lain [pluralisme], maka demikian juga Islam tidak mempunyai pakej yang berlainan antara satu zaman pemerintahan dengan zaman pemerintahan yang lain. Zaman Tun Dr Mahathir dibawa pakej Islamisasi, zaman Tun Abdullah Badawi bertukar kepada pakej Islam Hadhari dan kini dizaman Datuk Seri Najib Tun Abd Razak, sekali lagi pakej itu berubah menjadi Islam Sederhana. Islam apakah sebenarnya yang sedang dijaja oleh UMNO dan BN ini ? melainkan ini adalah satu kebhatilan dan kesesatan aqidah serta fikrah yang mesti ditolak oleh ummat Islam.

9. Pluralisme agama dan faham sekularisme tidak boleh dianut dan diperjuangkan oleh ummat Islam. Justeru itu saya nasihati diri saya sendiri dan seluruh ummat Islam agar berhati - hati dengan konsep 1 Malaysia yang masih kabur konsep dan perlaksanaannya. Jika 1 Malaysia hanya bermaksud membawa semua bangsa bersatu padu menjadi satu dengan prinsip saling hormat menghormati bangsa dan budaya antara satu sama lain maka ia dibenarkan. Namun jika memahami 1 Malaysia yang mengheret persamaan taraf antara pelbagai agama yang wujud dalam negara Malaysia ini, maka ia juga satu pluralisme yang ditolak oleh Islam.

10. Begitulah jika konsep 1 Malaysia dipisahkan dari prinsip agama Islam dengan maksud menggerakkan aktiviti berteraskan konsep 1 Malaysia tanpa mengambil kira soal halal dan haram maka ia adalah satu elemen dari faham sekularisme yang ditolak oleh Islam.

Murnikan Perjuangan dan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Kenyataan Media Pengarah Pilihanraya PRK Kerdau


Dakwaan Menteri Besar Pahang bahawa PAS tidak punya isu dalam PRK N28 Kerdau ternyata adalah satu kenyataan yang cukup meleset. Semalam, kami telah mengemukakan sekaligus mendedahkan pelbagai kebejatan serta ketempangan pengurusan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau. Kami akan terus membuat asakan tentang beberapa lagi kepincangan ini termasuk syarikat-syarikat yang menyaman kerajaan negeri atas pelbagai dakwaan pelanggaran perjanjian kontrak dalam urusan pembalakan dan perlombongan yang berjumlah hampir RM300 juta.

Hari ini kami mahu mendedahkan pelbagai perlakuan salah guna kuasa pemimpin Umno/BN Pahang khususnya dalam tempoh berkempen di PRK N28 Kerdau ini serentak menggambarkan betapa tertekannya Umno berhadapan dengan rakyat yang lebih matang dan bermaklumat. Pendedahan ini juga membuktikan bahawa DUN Kerdau jauh terpinggir dalam arus pembangunan negara.

Justeru kerana kegagalan merancang pembangunan secara bersistematik, maka Perdana Menteri dan Menteri Besarnya amat tertekan sehingga sanggup mengisytiharkan projek luar kawasan mengundi diresmikan dalam kawasan mengundi.

Janji yang dibuat dalam pilihanraya kecil Sanggang pada tahun 2000 bagi membekalkan air bersih di kampong orang Asli Paya Sendayan gagal ditunai sehingga kini. Pada PRK kali ini, PM sekali terpaksa menjanjikan peruntukan RM9.25juta bagi menaikan taraf loji air Batu Sawar. Tindakan membekalkan air 3 hari sekali yang sedang berjalan adalah gambaran sebenar pengabaian nasib rakyat yang kini mahu dipancing undi mereka.

Maka tepatlah tuduhan rasuah dan membeli undi rakyat oleh pimpinan tertinggi Umno/BN apabila Perdana Menteri sendiri melakukannya dihadapan umum tanpa segan silu dengan menyatakan bahawa ”Saya bukanlah hendak membeli undi. TETAPI kalau kamu menyokong kami (BN), saya akan tambah lagi peruntukan esok atau lusa. Dengan syarat kamu tunjukkan sokongan kepada BN terlebih dahulu”.

Ucapan ini mengingatkan rakyat apa yang juag diucapkan oleh Perdana Menteri dalam PRK Sibu dengan kata-kata rasuah beliau ”You help me, I help you!”. Sebagaimana pengundi di Sibu bijak menilai lantas menolak sogokan tersebut dengan terus memberi undi kepada calon Pakatan Rakyat, demikian juga harapan kami kepada pengundi DUN Kerdau.

Kerana terdesak bagi mendapat undi kaum Cina, India dan kaum asal, PM secara terbuka meluluskan peruntukan RM400,000 untuk Dewan Terbuka Kampong Seri Kerdau, RM150,000 untuk Balai Bomba sukarela dan RM100,000 untuk Kuil Hindu. Ini tidak termasuk pemberian berbentuk hampers dan makanan yang diedar di kampong Baru Kerdau oleh Menteri Kesihatan sebagaimana dilaporkan oleh RTM.

Keseluruhan peruntukan yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri adalah melebihi RM10juta yakni 10 kali ganda peruntukan sebenar pembangunan di setiap parlimen. PAS mengharapkan satu tindakan tegas mesti diambil oleh pihak SPRM dan SPR yang terang-terangan bertentangan dengan peruntukan Akta Kesalahan (Penjalanan) Pilihanraya (1960).

Sehubungan dengan ini, Dewan Pemuda PAS negeri akan membuat laporan Polis, SPRM dan SPR atas pelanggaran Akta Pilihanraya.

(Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man)
Naib Presiden PAS,
Pengarah Pilihanraya N.28 Kerdau
01 Mac 2011
..