Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير

Apr 5, 2012

Semua Ahli PAS Wajib Turun.....!!


PAS Sertai Himpunan "Duduk Bantah" Bersih 3.0 - HD

KUALA LUMPUR, 5 April: PAS hari ini secara rasmi menyatakan sokongan penuh terhadap perhimpunan Bersih 3.0 bagi menuntut reformasi pilihan raya pada 28 April ini.

Timbalan Presiden, Mohamad Sabu berkata, PAS akan mengerahkan seramai mungkin ahli untuk 'Duduk Bantah' di Dataran Merdeka, jam 2 petang.

"Saya menyeru ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat turun beramai-ramai bagi menuntut pilihan raya yang bersih.

"Saya menjangkakan setengah juta akan hadir pada 28 April ini," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Turut bersama pada sidang media Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Rani Osman, Setiausaha Dewan Pemuda, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Timbalan Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr. Siti Mariah Mahmud.

Mari Kita Ajar Kerajaan Macamana Nak Buat Pilihanraya......!!!


BERSIH 3.0 sasar 500,000 sertai himpunan 28 April -MK

Penganjur BERSIH 3.0 hari ini mengumumkan bahawa perhimpunan tersebut akan diteruskan pada penghujung bulan ini - jam 2 petang 28 April - di Dataran Merdeka, pusat bandar Kuala Lumpur.

Pengerusi bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Datuk A Samad Said ketika mengumumkan perkara itu turut menganggarkan 500,000 orang dijangka menyertainya kali ini.

Katanya, anggaran itu dibuat berdasarkan interaksi dan pertemuan beliau dengan anggota masyarakat dalam majlis tertentu dan juga di laman media sosial.

"Saya sendiri berjalan di mana-mana dan orang bertanya bila?

"Daripada interaksi sewaktu berjumpa dalam majlis atau dalam Facebook, saya mengkhayalkan setidak-tidaknya, himpunan ini akan mengumpul 500,000 orang," katanya.

Perhimpunan yang anjurkan bersama dengan 84 NGO lain itu juga akan diadakan serentak di seluruh negara dan dunia, kata sasterawan negara itu lagi.

Dalam perhimpunan kali ini, para peserta akan duduk di lokasi tersebut bermula jam 2 petang hingga 4 petang.

"Walaupun BERSIH 3.0 adalah duduk sahaja, tetapi dia memberikan impak yang kuat," katanya dalam sidang media di ibu negara pagi ini.

Sementara itu, Datuk S Ambiga yang juga pengerusi bersama berkata pada perhimpunan lalu, sebanyak 32 lokasi di seluruh dunia terlibat dengan BERSIH 2.0.

Katanya, jumlah itu berkemungkinan akan bertambah pada perhimpunan kali ini.

Lokasi luar negara itu akan diumumkannya pada sidang media selepas ini, katanya.

Perhimpunan kedua pada 9 Julai tahun lalu dihadiri puluhan ribu rakyat yang menuntut supaya lapan perkara itu dilaksanakan.

Kerajaan kemudiannya menubuhkan Jawatankuasa Penambahbaikan berhubung Pilihan Raya (PSC) untuk mencadangkan perkara untuk menambahbaik pilihan raya.

Laporan jawatankuasa itu dikemukakan ke parlimen semalam dengan bantahan oleh wakil pembangkang.

Mari Semua Kita Turun Ke Jalanraya...!!


Himpunan Hijau 3.0 juga 28 April -MK

Penganjur perhimpunan membantah loji nadir bumi Lynas, Himpunan Hijau mengumkan bahawa perhimpunan tersebut diadakan bersama dengan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April.

Anggota jawatankuasa pemandu Himpunan Hijau, Clement Chin berkata langkah itu diambil kerana gerakan tersebut percaya bahawa isu alam sekitar yang ditimbulkannya adalah berpunca daripada kerajaan yang "kotor."

"Kerjasama dengan BERSIH 2.0 sangat logik dan penting kerana alam sekitar yang bersih hanya boleh dicapai oleh kerajaan yang bersih," katanya dalam satu sidang media BERSIH 2.0 hari ini.

Beliau turut membacakan kenyataan pengerusi jawatankuasa pemandu Himpunan Hijau, Wong Tack yang antara lainnya berkata, badan tersebut sedang memperincikan rancangan untuk "Himpunan Hijau 3.0" itu.

"Keputusan rakyat muktamad. Lynas mesti keluar," katanya.

Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan di bandar tersebut pada 26 Februari lalu menarik kehadiran 15,000 orang.

5 Sebab Mengapa Dewan Rakyat Jadi Kecoh....!!


Speaker Dewan Rakyat tidak mempunyai hak untuk menghalang laporan minoriti daripada dimasukkan ke dalam laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya, kata wakil Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Jawatankuasa PSC, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) berkata, usul pindaaan dikemukakan kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah ditolak tanpa sebarang alasan kukuh.

"Kita minta supaya keputusan itu diteliti semula kerana tiada peraturan dari mana-mana peraturan mesyuarat yang menghalang Speaker untuk membolehkan laporan minoriti dimasukkan dalam laporan terakhir PSC.

"Walaupun pada awalnya Speaker mengaitkan beberapa beberapa amalan di beberapa buah negara, tetapi kita telah kemukakan beberapa amalan yang turut dilaksana, malangnya ia ditolak," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Azmin berkata, pihaknya bersedia sekiranya majoriti Ahli Parlimen menolak laporan minoriti tersebut tetapi Speaker tidak boleh menggunakan kuasanya untuk halang laporan ini dibentangkan bagi tujuan perbahasan.

"Ini perkara pokok dan sebab itu, kita desak laporan minoriti ini mesti dimuatkan dalam laporan terakhir sebelum perbahasan bermula jam 2.30 petang.

"Isu dibangkitkan dalam laporan minoriti ini bukan perkara baru seperti dikatakan Speaker, ia isu penting yang telah kita bincangkan panjang lebar dalam jawatankluasa induk di peringkat tertinggi, tetapi semua perkara ini dipadamkan dalam laporan trakhir," katanya.

Seorang lagi anggota jawatankuasa PSC, Loke Siew Fook (DAP-Rasah) berkata, mereka tidak berpeluang membentangkan laporan minoriti ini dalam PSC dan menyebabkan mereka terpaksa membawanya untuk dibentangkan dan diputuskan di Parlimen.

"Perkara yang telah dipersetujui tidak dimasukkan dalam laporan minoriti dan perkara pokok dan paling penting berkenaan daftar pemilih dimasukkan dalam minoriti," katanya.

Menurutnya, terdapat lima perkara berkaitan daftar pemilih yang dibuat secara khusus iaitu berkenaan dengan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen tanpa persetujuan.

"Sejak Mac 2008 hingga suku ketiga 2011, SPR telah memindahkan 31,294 pengundi keluar dari kawasan pilihan raya mereka. Ini melanggar prinsip belah bahagi yang telah ditetapkan sendiri oleh SPR.

"Keduanya, melibatkan 42,000 senarai pengundi baru belum dibersihkan oleh SPR pada akhir tahun lepas dan ia belum dibersihkan sehingga hari ini," katanya.

Selain itu berkenaan nama pengundi yang melebihi 100 tahun di mana kajian dijalankan mendapati 65,000 pengundi berusia 85 tahun ke atas dan terdapat 1,000 pengundi yang usianya melebihi 100 tahun.

Perkara keempat, menurut beliau, terdapat 15,000 nama pengundi yang didaftar dengan kad pengenalan berlainan jantina dan yang kelima, isteri anggota polis yang didaftarlkan sebagai pengundi pos.

"Kita dapati lebih kurang 4,500 isteri anggota polis yang didaftarkan jadi pengundi pos. Anggota tentera, isteri anggota tentera dan anggota polis sahaja yang layak jadi pengundi pos, manakala isteri anggota polis tidak layak jadi pengundi pos. Mereka sepatutnya jadi pengundi biasa," katanya.
Dewan Rakyat semalam menolak usul Pakatan Rakyat untuk melampirkan laporan minoriti dalam laporan PSC.

Laporan minoriti merujuk kepada laporan bertulis oleh sekurang-kurangnya dua anggota jawatankuasa untuk mengesahkan pandangan mereka yang bertentangan dengan pendapat majoriti.

Malaysia Sebuah Negara Berhutang Tinggi....Bukannya Berpendapatan Tinggi....!!


KETIKA Buku Jingga diluluskan oleh Konvensyen Pakatan Rakyat di Kepala Batas lebih dua tahun lalu, hutang yang ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia ialah RM466 bilion.

Dalam Himpunan Anak Terengganu di Perantauan di Kajang hujung Mac lalu, Prof. Dr. Anuar Ahmad dari Unisel berkata, hutang rakyat sekarang sudah melebihi RM700 bilion sekarang.

Apa yang Buku Jingga sebut dua tahun lalu tidak pernah dinafikan oleh pentadbiran Najib dan dipercayai kenyataan Dr. Anuar ini juga tidak akan dinafikan.

Dengan demikian ini bererti dalam masa dua tahun di bawah pemerintahan Najib, hutang rakyat sudah bertambah dari RM466 bilion kepada lebih RM700 bilion. Ia adalah kenaikan sebanyak sekitar RM234 bilion.

Dengan jumlah hutang RM700 bilion ini setiap rakyat menanggung hutang sebanyak RM3,000.

Bagi warga emas seperti Dr. Mahathir yang berusia lebih 80-an hutang mungkin ditanggung sehingga mati. Maka matinya dikira mati meninggalkan hutang. Beban dunia itu tidak ditanggungnya lagi sebaik matinya.

Tetapi bagi bayi yang baru dilahirikan, sebaik saja menyedut udara dunia, dia telah dibebankan dengan hutang RM3,000. Belum ada jaminan hutang itu akan susut sehingga dewasanya, dan tiada juga jaminan ia tidak bertambah dalam pentadbiran Najib yang boros itu.

Jika dalam masa dua tahun lalu hutang itu bertambah sekitar RM234 bilion ini bermakna hutang itu bertambah lebih RM100 bilion setahun. Jika pentadbirannya disambung selepas PRU 13 ini, mungkin ssebelum tahun 2020 hutang rakyat itu menjadi RM1,000 bilion. Ini bererti hutang setiap rakyat akan bertambah lebih dari RM3,000 seperti yang ada sekarang.

Ketika Najib mula menjadi Perdana Menteri, dia menjanjikan untuk menjadikan rakyat berpendapatan tinggi. Tetapi untuk beberapa tahun ini yang terjadi ialah rakyat berhutang tinggi.

Ada pun hutang negara pula di hujung pentadbiran Abdullah Badawi yang ditohmah lemah terutama oleh Dr. Mahathir adalah sekitar lebih dari RM200 bilion. Ia sudah dikira cukup parah.

Tetapi sekarang, selepas tiga tahun Najib mentadbirkan hutang negara sudah mencecah lebih dari RM450 bilion. Ia kira bertambah sekali ganda di bawah Najib.

Dr. Awang Adek, Timbalan Menteri Kewangan dikatakan berkata, negara akan jadi bankrap apabila hutang mencapai RM500 bilion.

Angka RM500 bilion itu sudah dekat. Kalau dalam masa tiga tahun hutang negara boleh melunjak dari sekitar RM200 bilion kepada kira-kira RM450 bilion, maka untuk mencapai hutang RM500 bilion – sekadar RM50 bilion saja lagi – tentulah tidak memakan masa yang lama jika program transformasi gagal masuk ke gear ajaib.

Kita sedang dikelamkabutkan oleh Ireland yang tiba-tiba bankrap. Sekonyong-konyong Greece juga bankrap. Perdana Menterinya terpaksa bertukar. Perdana Menteri Itali juga bertukar atas sebab yang sama. Berita celaka itu juga sudah melanda Sepanyol dan Pertugal.

Pertukaran Perdana Menteri Greece dan Itali belum menjamin negara itu keluar dari alam muflis. Seluruh Menteri Kewangan negara Eropah bersidang beberapa kali bagi menyelesaikan kepapaan Greece dan beberapa negara Eropah itu, belum nampak jalan keluar.

Malaysia sudah dekat ke ambang itu. Tan Sri Idris Jala telah meramalkan Malaysia akan bankrap tahu 2019 jika subsidi kepada rakyat tidak dipotong. Sekarang Dr. Anuar pula seolah-olah mengesahkan apa yang pernah dibimbangkan oleh Idris Jala.

Dalam masa tiga tahun pentadbiran Najib ternyata transformasinya tidak membawa apa-apa keajaiban, bahkan negara bertambah dekat ke alam bankrap.

Katanya, dia tidak membuat janji kosong. Lidah memang tidak bertulang. Dia boleh berkata apa-apa tetapi bagi orang Terengganu janjinya adalah lebong. Lebong itu tidak berisi.

Jika pentadbirannya disambung selepas PRU13, sekalian rakyat akan terjun ke gaung.

Ke Jalanraya Untuk Pastikan Pilihanraya BERSIH....!!

" Selepas himpunan BERSIH 2 yang menyaksikan kepungan amat luar biasa oleh penguasa yang menyebabkan ibunegara Malaysia lumpuh. Kuala Lumpur telah bertukar menjadi bandar 'hantu' tinggal kosong sepi sekurangnya untuk 36 jam. Itu semua untuk menggagalkan himpunan BERSIH 2 dan sememangnya hampir mustahil untuk melepasi kepungan sebegitu rupa.

Namun sungguh memeranjatkan iltizam tinggi rakyat akhirnya membawa puluhan ribu tetap berjaya berkumpul di beberapa lokasi di tengah ibu kota.

Tindakan ganas penguasa agak melampau di beberapa lokasi sehingga menyebabkan bukan sedikit jumlah yang cedera termasuk mengakibatkan kematian. Tindakan tidak masuk akal termasuk ribuan ditahan dan tembakan gas ke Hospital menunjukkan sikap panik penguasa terhadap kebangkitan rakyat.

Imej negara selepas itu menjadi buruk, isu keganasan penguasa telah menjadi penyubur kepada isu desakan pilihanraya BERSIH dimana 8 tuntutan diketengahkan. Tekanan dalam dan luar negara akhirnya menyebabkan Perdana Menteri akur dan menubuhkan Jawatankuasa terpilih parlimen ke arah pilihanraya BERSIH. Ini kejayaan BERSIH 2 di mana Perdana Menteri mengakui pilihanraya sememangnya pincang dan menubuhkan jawatankuasa terpilih parlimen untuk merungkai persoalan tersebut.

Walaupun sedikit kecewa dengan keengganan jawatankuasa itu menerima keanggotaan yang terdiri dari pihak profesional dan arif dalam bidang ini seperti Dato' Ambiga Sreenevasan namun SAMM mengambil sikap berbaik sangka dengan jawatankuasa yang terdiri dari ahli parlimen Bn dan PR itu.

Malangnya 'baik sangka' akhirnya diragut apabila semalam dengan meneliti laporan jawatankuasa tersebut dan mengikuti perbahasan di parlimen ternyata jawatankuasa ini hanya alat kosmetik regim bagi mengendurkan suasana tekanan dalam dan luar negara dalam isu (amalan demokrasi) pilihanraya BERSIH di Malaysia. Isu utama seperti pembersihan senarai pemilih langsung gagal diselesaikan. Malah peranan anggota jawatankuasa bukan Bn seolah dikesampingkan apabila mereka dinafikan dalam membuat laporan sendiri.

Nampaknya penguasa ini tidak pernah serius dalam usaha ke arah pilihanraya BERSIH. Hari ini jawatankuasa pemandu BERSIH telah mengumumkan Himpunan BERSIH 3. Rakyat Malaysia sekali lagi akan mengenepikan perbezaan dan turun bersama ke atas jalan atas semangat menyelamatkan amalan demokrasi negara.

SAMM menyambut baik pengumuman dan seruan BERSIH 3 tersebut dan juga sekali lagi bersedia memainkan peranan penting dalam menjayakan himpunan BERSIH.

SAMM mengumumkan untuk memastikan himpunan kali ini berjalan tersusun, aman dan mencapai matlamat, maka akan dilakukan siri penerangan umum ke seluruh negara seperti berikut :

Ceramah Umum
Jelajah Anak Muda - BERSIH 3
"ke jalan raya untuk pilihanraya BERSIH"
semua program bermula 9.00 malam

10 April : Parit Betak, Benut, Johor
11 April : Taman Desa Rhu, Seremban
12 April : Dewan Serbaguna Pekan Pendang, Kedah
13 April : Sg. Tiram, Bayan Baru, Pulau Pinang
15 April : Padang Bola bersebelahan Surau Al Aula,
PPR Sri Labuan, Bandar Tun Razak
16 April : Telok Mas, Melaka
19 April : Bt. 14, Kuala Kurau
21 April : Felda Bukit Jalor, Gemencheh, Tampin
26 April : KM 8, Jalan Berserah Kuantan / Kemaman
(depan poliklinik Berserah)


Antara yang akan bersama dalam siri ceramah tersebut ialah pimpinan jawatankuasa pemandu BERSIH juga pimpinan politik seperti Hj Mohamad Sabu, Aktivis Sosial Hishamuddin Rais dan ramai lagi khususnya aktivis dan pimpinan muda termasuk aktivis mahasiswa. Selain program ceramah umum dan pengedaran risalah yang akan mengajak rakyat bersama dalam himpunan BERSIH 3 di Kuala Lumpur pada 28 April 2012 akan juga diadakan taklimat tertutup kepada semua anggota SAMM dan sekutu.

SAMM menyeru semua warga Malaysia mengambil serius kepentingan himpunan BERSIH 3 ke arah menyelamatkan amalan demokrasi negara. Kepada penguasa jangan khuatir kami merupakan masyarakat bertanggungjawab, kami masih percaya jika berlaku pertukaran parti pemerintah ia hanya akan dilakukan melalui pilihanraya namun kami membuat keputusan ke jalan raya untuk mendesak 8 tuntutan wajib ditunai sebelum pilihanraya.

Untuk maklumat lanjut dan pengumuman terkini Jelajah Anak Muda BERSIH 3 sila ke http://anakmudamalaysia.com

sekian

che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia

Contoh Kotoran SPR Yang Perlu Di Bersihkan 3.0 Kan....!!


Ahli jawatankuasa pemandu BERSIH dan saintis politik Wong Chin Huat mendedahkan lebih banyak contoh pengundi "klon", yang didakwanya sebagai pengundi hantu.

Menggunakan daftar pemilih suku keempat 2011, Wong (kiri) menjelaskan empat kaedah pengundi boleh didaftarkan banyak kali, supaya mereka dapat mengundi beberapa kali.

"Anda boleh mendapati bahawa kita telah begitu maju dalam teknologi pengklonan sehingga kita boleh mengalahkan Korea dan semua orang lain di dunia," kata pensyarah Universiti Monash itu sinis.

Empat kaedah tersebut adalah:

Pengundi yang mempunyai nombor kad pengenalan lama dan alamat yang sama, tetapi berbeza nombor kad pengenalan baru;

Pengundi yang mempunyai nama yang sama, tetapi nombor kad pengenalan baru yang sedikit berbeza;

Nama yang sama dengan tarikh lahir yang sedikit berbeza, dan nombor kad pengenalan baru;

dan Pengundi pos dengan nama yang sama tetapi nombor kad pengenalan yang sedikit berbeza .

Wong memberi 10 contoh pengundi yang mungkin "diklon" dan berkata, terdapat sekurang-kurangnya 560 contoh "klon" bagi jenis pertama.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak tahu berapa banyak terdapat "klon" dalam tiga kategori yang lain, sambil menegaskan bahawa penyelidikan yang dijalankannya itu adalah membabitkan jumlah yang kecil sahaja.

Dalam satu contoh pengundi yang mempunyai nombor IC lama dan alamat yang sama, beliau menunjukkan cetakan 'screenshot' dari lamanweb semakan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).