Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير

Jul 6, 2011

Gua Tak Tau...Itu Lu Punya Hal Laaaaa...!!


PERKASA mahu berhimpun, pohon mengadap Agong-MK

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) akan meneruskan rancangannya untuk berhimpun pada 9 Julai di satu stadium memandangkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) juga merancang untuk berbuat demikian.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, pertubuhan itu merancang untuk mengadakan perhimpunan berkenaan sama ada di Stadium Merdeka, Stadium Negara atau di Stadium Titiwangsa.

Sebelum itu, PERKASA akan mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendengar titah dan nasihat Seri Paduka berhubung perhimpunan berkenaan.

"Jangan ambil kira permohonan mereka saja, kita mesti diberi (layanan adil) juga," katanya lagi yang turut berasa terkejut kerana pengerusi BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan diberi peluang untuk mengadap.

Ketika ditanya dalam satu sidang media hari ini, Ibrahim berkata surat bagi memohon perkenan mengadap itu telah diserahkan tengahari ini.

"Kalau Tuanku nasihatkan supaya jangan buat perhimpunan kita akan menjunjung duli.

"Tapi kita akan tengok di sebelah sana buat apa," katanya lagi yang sedikit lega kerana BERSIH memutuskan untuk berhimpun di dalam stadium.

Tegasnya, PERKASA hanya akan membatalkan perhimpunan sekiranya BERSIH turut berbuat demikian.

Tambahnya, PERKASA juga akan memohon permit bagi perhimpunan berkenaan, seperti juga perhimpunan yang dianjurkannya sebelum ini.

Beliau juga yakin PERKASA akan diberikan permit tetapi tidak bagi BERSIH yang masih diharamkan kerajaan.

Jelasnya, Seksyen 27 Akta Polis menetapkan bahawa permit berkenaan hanya boleh dipohon oleh pertubuhan berdaftar dan juga oleh tiga individu.

PM Dah Mula Kluk-Klek....!!


Najib: Saya tak kata akan jumpa BERSIH-MK

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata tidak semestinya beliau yang akan bertemu dengan pemimpin BERSIH 2.0 untuk berbincang mengenai perhimpunan di stadium, kerana ada orang lain yang boleh mewakili kerajaan.

Katanya, beliau tidak mengatakan yang beliau akan menemui BERSIH.

Semalam, katanya, beliau berkata kerajaan yang akan menemui
gabungan tersebut.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Klang petang ini, Najib berkata kerajaan tidak bermaksud beliau secara peribadi.

Beliau diminta mengulas cadangan pemimpin BERSIH untuk bertemu dengan beliau berhubung perhimpunan tersebut.

Najib juga berkata beliau masih belum menerima permintaan dari pemimpin BERSIH untuk bertemu dengannya.

Semalam, perdana menteri berkata beliau difahamkan yang BERSIH mahu mengadakan pertemuan dengan kerajaan mengenai perhimpunan di stadium "(dan) kita bersedia untuk bertemu dengan mereka."

Kenyataan Rasmi...!!


PAS mengucapkan syabas kepada semangat kental yang ditunjukkan oleh para penganjur Bersih 2.0 yang berjaya menunjukkan tahap ketabahan yang mengkagumkan sepanjang minggu lepas walaupun diasak, diugut dan dipersenda oleh mereka-mereka yang berkuasa tapi tidak menghormati undang-undang sehingga mendapat Bersih 2.0 mendapat pengiktirafan diRaja apabila diberi peluang untuk menghadap Yang DiPertuan Agong.

PAS juga mengucapkan setinggi tahniah kepada kebijaksaan Yang DiPertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut yang sengaja diwujudkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata kerana ketakutan menghadapi pilihanraya pada satu padang yang sama rata.

Di sini, PAS ingin menegaskan bahawa Bersih 2.0 ialah sebuah badan bukan politik dan berkecuali. Namun, oleh kerana dasar perjuangannya untuk menuntut satu pilihanraya yang bebas dan adil demi masa depan negara dan generasi akan datang, maka PAS menyokong Bersih 2.0, termasuklah keputusannya untuk mengadakan perhimpunan aman pada Julai 9 ini di Kuala Lumpur.

Walaupun tempat perhimpunan aman bertukar daripada demonstrasi aman di jalanraya kepada stadium, PAS menyeru seluruh ahlinya untuk tetap menghadirkan diri di stadium yang ditentukan nanti untuk menyokong Bersih 2.0 kerana dasar perjuangannya tetap sama iaitu untuk menuntut satu pilihanraya yang bebas dan adil di negara ini.
Kepada para penyokong Bersih 2.0 yang kecewa dengan kompromi ini, bersangka baiklah pada jawatankuasa Bersih 2.0 telah melakukan yang terbaik demi rakyat.

Daripada digelar sebagai satu pertubuhan haram, diasak oleh Kementerian Dalam Negeri dengan menggunakan polis dan akta-akta yang zalim seperti Akta Ordinan Darurat 1966 sehinggalah mendapat restu dan pengiktirafan diRaja dengan diberi peluang menghadap Agong, rakyat perlu kagum dan bangga dengan kegigihan aktivis-aktivis Bersih 2.0 untuk meneruskan agenda mereka tanpa gerun demi rakyat.

Dengan kegigihan jawatankuasa Bersih 2.0 dan juga publisiti percuma daripada Umno Barisan Nasional dan medianya serta tindakan KDN yang mengarah polis untuk bertindak melampau dengan mengada-adakan konspirasi tak masuk akal terhadap Bersih 2.0, pergerakan itu kini dikenali di seluruh pelosok negara.Rakyat kini tahu akan apa itu Bersih 2.0, apakah tuntutan mereka dan juga keganasan kerajaan Barisan Nasional.

Bersih 2.0 sudah mencapai 60% matlamatnya – kebanyakan rakyat hari ini sedar akan kewujudannya, namun segalanya tidak bermakna sekiranya perhimpunan di stadium nanti tidak melimpah hadirinnya.

Rakyat kena yakinkan diri sendiri dan kawan-kawan kita yang lain yang sedar tentang kewujudan dan fungsi Bersih 2.0 dengan menghadirkan diri secara beramai-ramai ke perhimpunan awam nanti.

Dengan stadium yang melimpah, percayalah bukan sahaja rakyat sendiri berasa yakin mereka tergolong dalam golongan majoriti yang menuntut perubahan dalam sistem pilihanraya, bahkan juga kerajaan pimpinan Barisan Nasional bahawa rakyat menuntut perubahan dilakukan segera sebelum pilihanraya ke 13 diadakan.Itulah 40% lagi, yang hanya boleh diusahakan oleh rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan dan keadilan untuk menjayakan Bersih 2.0 sepenuhnya.

Namun begitu, PAS juga ingin mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap Bersih 2.0 dan kecaman mereka terhadap keganasan yang digunakan kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap penyokong Bersih 2.0 bukanlah petanda sokongan rakyat kepada kita.

Rakyat menyokong Bersih 2.0 hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak di’offset’kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi siapa-siapa.

8 tuntutan Bersih 2.0 adalah untuk memastikan wakil yang dipilih menang nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa.

Pakatan Rakyat juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, kita bakal dapat menewaskan Umno Barisan Nasional. Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara.

Untuk kerajaan Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya, PAS menasihatkan agar menunaikan 8 tuntutan Bersih 2.0 ini. Barisan Nasional akan menghayati kepentingannya sekiranya di pilihanraya umum ke 14 apabila tewas di pilihanraya ke 13nanti.

Namun demikian, tidak perlu bimbang, sekiranya Pakatan Rakyat diberi kuasa memerintah nanti, kita akan pasti supaya 8 tuntutan ini dilaksanakan supaya kita dapat bersaing secara sihat dan seimbang di padang yang sama rata dengan semua pembangkang - dengan penuh keyakinan daripada rakyat bahawa demokrasi negara adalah subur, telus dan tulen.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
6 Julai 2011..

Doa TGNA Depan Kaabah....!!


Mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Sukalah patik ingin memaklumkan kepada pihak Tuanku bahawa patik sedang berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah untuk mengerjakan umrah dan Insya-Allah dijadualkan akan pulang ke tanah air pada 10 Julai 2011.

Patik di sini mendoakan agar KDYMM Tuanku serta Permaisuri sentiasa dilimpahi keberkatan yang berpanjangan daripada Allah SWT.

Patik mendengar khabar berita bahawa pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah diberi ampuni untuk mengadap KDYMM Tuanku pada pagi ini dan menyembahkan tuntutan-tuntutan ke arah memastikan perjalanan pilihan raya yang lebih bersih dan terjamin ketelusannya.

Patik juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah dinasihatkan agar tidak mengadakan perarakan di tempat terbuka dan memindahkannya di tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Justeru, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas keprihatinan KDYMM Tuanku terhadap kehendak rakyat untuk merasai keadilan melalui sistem demokrasi yang telah dijamin di dalam perlembagaan Malaysia.

Sukalah patik mempersembahkan pendirian patik bahawa sebarang pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihan raya yang adil tidak akan mendatangkan huru-hara sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain seperti Jepun dan terkini negara jiran iaitu Thailand.

Sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik.

Semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah SWT dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata.

Sesungguhnya KDYMM Tuanku adalah umpama ibu bapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah.

Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT.

Patik yang menjunjung kasih,

YANG AMAT BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am
Parti Islam Semalaysia (PAS).
Bertarikh: 3 Syaaban 1432H bersamaan 5 Julai 2011M

Puisi Untuk BERSIH....!!

Bila Agung bertitah
Ada orang melatah
Menteri menggelabah
Fatwa bisa diubah
Haram jadi mubah
Kalau buat tidak salah
Tak buat pun tak salah
Apa kata ulama pemerintah
Halal atau haram jadah
Bila Israel serang Gazzah
Bila kartun hina Rasulullah
Ulama muda baik duduk rumah
Kan haram berdemo rasa marah

Istihar pula Bersih haram
Fatwa diumumkan Hisham
Fatwa yang bau masam
Penuh dengan rasa dendam
Polis tangkap dan godam
Pakai baju kuning kelam
Pakai baju pun kira haram
Provokasi kaum tak haram
Tengok Berahim Perkasam
BarCouncil dimaki anakharam
Itu semua halalan toyibam

Bersih haram tapi Agung jumpa
Agung jumpa Zaid dan Ambiga
Turut bersama Sasterawan Negara
Rambut panjang tapi segak bergaya
Kalau haram mana boleh ke istana
Kalau komunis mesti Raja murka
Jangan bawa keluar cerita auta
Jumpa bom parang dan senjata
Rakyat bukan tak tau baca
Semua pandai cerdik belaka
Ini pergi janji stadium bola
Kalau PAS kalah pilihanaraya
Oghe Kelate tok seh Anuar Musa
Tok Guru for all pilihan semua.


Keris Silau
Rabu, 6 Julai 2011

Berwaspada...Ada Pihak Yang Nak Sabotajkan Himpunan Aman BERSIH 2.0....!!


MAKLUMAT yang baru diterima ini benar-benar memeranjatkan. Diharap pihak penganjur dan mana-mana pihak yang berkenaan memandang berat tentang isu ini. MiLo SuaM telah menerima sebuah email dari "orang dalam" yang membongkarkan bahawa tindakan sabotaj akan dilakukan ke atas Perhimpunan Aman BERSIH 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai nanti.

Difahamkan bahawa beratus-ratus baju BERSIH 2.0 yang dirampas sejak kebelakangan ini akan dipakai oleh puak-puak penentang perhimpunan tersebut dengan niat untuk melakukan sabotaj.

Bersih Tetap Di Teruskan...Berundur Tidak Sekali...!!


PERHIMPUNAN BERSIH TETAP DITERUSKAN – keadilan daily

Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka untuk mengadakan Perhimpunan Aman Bersih 2.0 di stadium , susulan pertemuan wakil NGO itu dengan Yang di Pertuan Agung tengahari tadi.

Pengerusi Bersih 2.0, S.Ambiga membuat pengumuman itu selepas mengadap Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Sasterawan Negara A Samad Said dan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin.

NOTA:

sila jangan kelam kabut
sila jangan kuntau muntau

jangan gosip gosai

sila baca laman harakah daily
sila baca laman keadilan daily
untuk maklumat tepat

tidak ada perubahan apa-apa

9 julai masih 9 julai
2 petang masih dua petang
sogo masih sogo
masjid kag baru masih masjid kampong baru

ikut apa yang telah disarankan

hanya ada penambahan
kita berkumpul akhirnya di stadium

bersih mahu stadium merdeka
jika ini yang akan dirancang
maka kita jumpa di sanaaa...

Kenyataan Rasmi BERSIH...!!


BERHIMPUN DI STADIUM MERDEKA

1. Mengadap DYMMSPB Yang Di-Pertuan Agong

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil 2.0 (BERSIH 2.0) menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di atas perkenan kami mengadap pada 5 Julai 2011. BERSIH 2.0 telah diwakili oleh Dato’ Ambiga Sreenevasan, Dato’ A. Samad Said dan Zaid Kamaruddin.

BERSIH 2.0 juga menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Tuanku di atas keprihatinan terhadap aspirasi rakyat untuk menikmati demokrasi dan hak asasi seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Rombongan BERSIH 2.0 telah mempersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Tuanku, di antara lain, kenyataan dan pendirian yang berikut:

a. BERSIH 2.0 menerima tawaran kerajaan untuk mengadakan rapat umum di stadium. BERSIH 2.0 berharap polis memberi kerjasama untuk memastikan perhimpunan berjalan dengan lancar. Wakil BERSIH 2.0 tidak melebihi 10 orang akan menyerahkan satu memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

b. Kerajaan menunjukkan good faith dengan membebaskan semua yang telah ditahan termasuk individu-individu yang ditahan di bawah EO dan memberhentikan tekanan, gangguan serta halangan kepada penyokong-penyokong BERSIH 2.0.

c. Menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk pembaikan sistem dan proses pilihan raya.

2. Tuntutan BERSIH 2.0

BERSIH 2.0 adalah gabungan yang sah kerana disertai oleh pertubuhan-pertubuhan dan entiti yang berdaftar.

BERSIH 2.0 menuntut:

a. Ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk mengkaji secara menyeluruh kelemahan-kelemahan di dalam dan mencadangkan penambahbaikan kepada sistem dan proses pilihanraya yang sedia ada. Suruhanjaya ini hendaklah dianggotai mereka yang berkaliber dan mewakili semua pihak yang berkepentingan (stakeholders).

b. Lapan (8) tuntutan-tuntutan jangka pendek BERSIH 2.0 dipenuhi sebelum PRU 13. Kelapan-lapan tuntutan rakyat itu adalah:

i. Bersihkan senarai undi
ii. Mereformasikan undi pos
iii. Gunakan dakwat kekal
iv. Masa kempen minima 21 hari
v. Akses media yang bebas dan adil
vi. Kukuhkan institusi awam
vii. Hentikan rasuah
viii. Hentikan politik kotor

c. Semua yang telah ditahan berkaitan sokongan kepada BERSIH 2.0 hendaklah dibebaskan. Ini bermakna BERSIH 2.0 menuntut:

i. Keenam-enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Dr Michael Jayakumar Devaraj yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) mesti dibebaskan serta-merta, atau dihadapkan ke mahkamah.

ii. Pendakwaan terhadap mereka yang ada kaitan dengan BERSIH 2.0 ditarik balik atau digugurkan.

iii. Mereka yang masih ditahan dibebaskan tanpa syarat.

d. Semua gangguan (harassment), ugutan, tuduhan dan fitnah terhadap penyokong-penyokong BERSIH 2.0 dihentikan. Ini bermakna:
i. Rakyat dibenarkan memakai baju kuning.
ii. Usaha-usaha menjayakan perhimpunan BERSIH 2.0 di stadium tidak dihalang.

e. Bahawa pihak Polis DiRaja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau mana-mana pihak lain tidak memberikan apa-apa halangan kepada semua rakyat yang menghadiri perhimpunan BERSIH 2.0 di Stadium Merdeka pada pukul 2-4 petang, 9 haribulan Julai 2011 (Sabtu) ini. BERSIH 2.0 bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana jua pihak bagi memastikan perhimpunan ini berjalan dengan aman dan lancar.

3. Pertemuan dengan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak

BERSIH 2.0 sedang berusaha untuk bertemu dengan YAB Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak dengan segera untuk membincangkan semua tuntutan di atas dan apa jua hal berkaitan BERSIH 2.0.

Yang benar,
Jawatankuasa Induk
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)


Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0 terdiri daripada:
Dato’ Ambiga Sreenevasan (Pengerusi), Andrew Khoo, Arul Prakkash, Arumugam K., Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato’ Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato’ Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.