Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Jul 18, 2011

Sebab Mengapa Kita Tuntut Pilihanraya Bersih Dan Adil...!!


Melaka lanjutkan tempoh operasi pusat hiburan-MK

Di sebalik usaha kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan PAS mahu menutup bar, disko dan kelab karaoke pada bulan Ramadan yang akan datang, lain pula yang berlaku di negeri Melaka.

Negeri Melaka di bawah kerajaan BN, baru-baru ini pada mesyuarat Exco telah memutuskan untuk melanjutkan tempoh masa operasi pusat hiburan di negeri itu dari sekitar jam 1 pagi hingga ke 3 pagi.

Malaysiakini difahamkan, tindakan itu seiring dengan kepesatan pembangunan sektor pelancongan Melaka di samping mendapat permintaan daripada pengusaha pusat hiburan terbabit.

Bagaimanapun Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika ditanya berkata, lanjutan masa hanya boleh dilaksanakan pada hari Jumaat sehingga Ahad.

Manakala, bermula Isnin sehingga Khamis, pusat berkenaan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 atau 2 pagi sahaja.

“Ini adalah atas permintaan pengusaha pusat hiburan dan pelaksanaan ini hanya dibenarkan untuk 15 premis sahaja di Melaka Raya.

“Bagaimanapun, sekiranya mereka ingkar melanjutkan waktu operasi dalam tempoh diberikan, kebenaran itu akan ditarik balik,” katanya.

Ditentang pelbagai pihak

Mohd Ali juga menjelaskan, kerajaan negeri telah pun mendapat maklumbalas daripada pihak polis bahawa keputusan itu tidak akan menjejaskan tahap keselamatan kawasan terlibat.

Sementara itu, keputusan yang dibuat kerajaan negeri Melaka itu ditentang banyak pihak termasuk dari kalangan ahli Umno sendiri.

Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tangga Batu, Muhammad Ahyad Abdullah yang merasakan keputusan itu mengambarkan keseronokan sesetengah pihak yang berkepentingan.

"Mereka lupa keadaan ini akan membiarkan lebih banyak perkara tidak senonoh berlaku di negeri Melaka. Sudahlah pusat hiburan muncul bagaikan cendawan tumbuh ditambahkan pula tempohnya dilanjutkan hingga ke jam 3 pagi.

"Cukuplah, keruntuhan akhlak yang berlaku kini di kalangan warga muda dan peningkatan kadar jenayah disebabkan pusat hiburan dan keseronokan yang tidak ada batasnya," katanya.

Ketua Pembangkang dari DAP, Goh Leong San berkata, kerajaan negeri sepatutnya mendapat maklum balas dari semua pihak dan bukannya semata-mata meminta pandangan daripada pengusaha pusat hiburan sahaja.

"Tindakan ini menampakkan kerajaan negeri mengenepikan kepentingan rakyat hanya semata-mata mahu mengejar keuntungan tanpa memikirkan kesan daripada tindakan itu," katanya.

Hanya Orang Bodoh Saja Yang Sukakan UMNO/BN...!!


Tidak Pernah saya Rasa Begitu Benci Pada Kerajaan - HD

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang terkenal dengan sikap kelembutannya kini menyimpan satu perasaan benci kepada kerajaan.

Ini berikutan tindakan polis menyuraikan perhimpunan Bersih2.0 genap seminggu lalu melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa rakyat.

(Gambar: Pak Samad menurunkan tandatangan pada baju seorang anak muda yang hadir pada malam itu.)

"Tidak pernah saya rasakan begitu bencinya saya pada kerajaan. Itulah waktunya saya lebih benci," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad yang mengimbau kembali pengalamannya di KL Sentral, tempat beliau mula-mula bertembung dengan polis.

Beliau menyifatkan tindakan polis menangani perhimpunan damai itu secara bengis.

Katanya, seluruh rakyat Malaysia yang telah menyertai himpunan itu terus mengkritis kerajaan Umno BN apabila melihat keganasan yang dilakukan oleh pihak polis.

Justeru, beliau kesal kerana pemimpin Umno BN membuat berbagai helah menyatakan polis yang menjalankan tugas ketika itu tidak melakukan tindakan yang kasar kepada rakyat sebaliknya menuduh rakyat yang bertindak kasar.

“Kata-kata itu menjadi luka berdarah buat rakyat Malaysia dan saya percaya Umno BN akan terkubur dalam PRU ke 13 nanti,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Yellow Saturday di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar malam kelmarin. Turut berucap ialah dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar serta anggota Unit Amal yang difitnah membawa pisau semasa himpunan Bersih 2.0, Abdul Razak

Pak Samad juga menceritakan peng.alamannya dalam himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

“Sebelum (gas) ditembak, ada himpitan dari belakang, kelompok polis juga. Jadi kami agak tersepit, seperti di (Hospital) Tung Shin, (kami) tiada jalan alternatif lain, jadi go through saja.

“Menghabiskan hari yang panjang daripada pagi sehinggalah disekat polis kali terakhir kira-kira 300 meter daripada Istana Negara di sebelah petang untuk menyampaian Memorandum yang merupakan amanah rakyat untuk di sembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, amat mengecewakan tiada pertimbangan yang sebaiknya oleh polis.

"Mata saya telah mengalami kecederaan akibat tembakan gas water canon, mereka (Polis dan FRU) nampak saya ketika itu, kalau boleh mereka hendak makan saya”.

“Berbeza dengan demonstrasi pertamanya pada Mac 2007 bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kali ini saya rasakan ujiannya terlalu kuat dengan menempuh pelbagai rintangan.

“Sepatu Nike saya juga hilang apabila dihimpit dengan ramai rakyat disitu lebih-lebih lagi apabila polis datang mengejar rakyat yang berhimpun di situ.

“Saya bukan sahaja hilang capal, tetapi peralatan yang saya bawa seperti garam, tuala kecil dan air mineral yang dibawa sebagai alat pelindung saya tepaksa diberikan orang lain apabila salah seorang peserta himpunan disitu kelihatan nafasnya menjadi sesak meminta-minta agar diberikan bantuan.

“Saya berikan semua peralatan saya kepada beliau untuk menyelamatkan dirinya, jika tidak mungkin orang itu juga mengalami nasib yang serupa seperti arwah Baharudin.

"Saya seharusnya diapit dua orang peguam, (tetapi) mereka juga hilang apabila kami semua dikejar oleh polis dan FRU untuk mengelak diri daripada ditembak dengan gas.

“Pada Sabtu itu, pakaian saya sudah basah lencun akibat hujan dan dengan tembakan meriam air, saya terus berjalan kira-kira 10 kilometer menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya berkaki ayam separuh jalan, berbatu-batu. Ada beberapa anak muda yang nampak saya ketika itu hendak beri saya sepatu Nike tetapi saya menolaknya kerana saya fikir sepatu itu cantik sangat dan biarlah saya bersusah payah untuk masa depan anak bangsa saya sendiri.

"Kemudian saya didatangi oleh seorang lagi anak muda dengan memberi saya sepatu yang besar, saya menerimanya kerana saya fikir perjalanan saya jauh dan banyak halangan yang perlu saya tempuhi untuk menyerahkan Memorandum kepada Agong. Ini merupakan satu pengalaman pahit dan tidak mungkin saya lupakan.

"Tidak pernah saya melihat satu kelompok orang muda yang berbilang bangsa itu bersatu oleh satu cita-cita. Itu sangat membanggakan.

“Saya berpesan berulang kali kepada generasi muda terutamanya kalian seharusnya bertekad bersatu hati untuk mengubah pentadbiran demokrasi Negara ini dalam pilihanraya umum ke -13 nanti, demi masa depan anak cucu kita.

“Orang tua mungkin tidak mampu lagi untuk bekerja kuat, namun kita akan sentiasa memberi sokongan padu bagi menukar pentadbiran kerajaan baru," kata Pak Samad Said disambut laungan Allahu akbar hadirin.

Sedarlah Wahai UMNO/BN...!!


BN merasakan kerajaannya terancam, kata Marina Mahathir -MK

BN yang berada dalam kedudukan panik merasakan kerajaannya kini terancam dan tidak mampu berfikir secara jelas lagi, kata anak sulung mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Paduka Marina Mahathir.

“Mereka rasa terancam kerana memandang remeh BERSIH pada 2007 dan pada pilihan raya umum 2008 mereka hilang banyak kerusi di parlimen dan dewan undangan negeri. Dan oleh kerana kini dalam keadaan panik, mereka tidak boleh berfikir dengan jelas lagi. Apa di kepala mereka adalah hanya cara untuk menang pilihan raya.

“Awak boleh dapatkan semula sokongan orang ramai dengan hanya berbaik kepada mereka. Awak tidak boleh dapatkan sokongan dengan bersikap jahat. Awak tak boleh tuduh peserta perhimpunan itu semuanya kumpulan samseng, mungkin ada segelintir. Tetapi bukan semua mereka.

“Majoriti mereka adalah kumpulan professional. Kumpulan itu adalah berbeza-beza dan ia sebenarnya 1Malaysia, muda, kaya, miskin, setiap bangsa dan agama menyertainya,” kata Marina dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Pada 9 Julai lalu, Marina juga mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 2.0. Beliau turun ke jalanan bersama anak dan rakan-rakannya.

Mereka bermula berhampiran Jalan Pudu (Berjaya Times Square) dan berarak sepanjang Jalan Hang Jebat di hadapan Stadium Negara menuju ke bangunan Majlis Olympik Malaysia.

Katanya, mereka yang turun pada hari itu begitu bangga dengan pertubuhan BERSIH 2.0.

“Saya mungkin tidak setuju dengan perjuangan mereka tetapi mereka melakukan perkara yang baik. Kami semua menjadi 1Malaysia.

“Sekarang kerajaan melabelkan kami dengan pelbagai nama. Biar saya beritahu, mereka kini kehilangan banyak undi.

Mereka mungkin beranggap mereka telah tewas tetapi biar saya beritahu, sebenarnya banyak yang masih di atas pagar dan sudah tentu (tindakan kerajaan itu) mereka akan menyokong pihak satu lagi. Saya lihat ini jelas dalam media sosial, terutamanya di emel, twitter dan blog,” kata Marina.

1 Malaysia : Rosmah Di Dahulukan, Rakyat Di Ketepikan...!!


CINCIN ROSMAH RM24.45 JUTA : DATA KASTAM CUBA DIPADAM – CHEGU BARD – keadilan daily

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendedahkan pihak kastam di raja Malaysia (KDRM) cuba melindungi
transaksi pembelian cincin berharga RM24.45 juta yang dibeli suami perdana menteri, Rosmah Mansor.

Menurutnya, sebaik sahaja siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilakukan ke atas individu bernama A. Krishnan, sistem kastam di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur telah mengalami masalah.

“Sebaik sahaja siasatan SPRM bermula maka sistem kastam di Kargo, KLIA telah ‘down’ hampir 3 jam.

“Kakitangan agen pengurusan kargo tidak lagi boleh mengakses sistem kastam seperti biasa selepas itu, pelbagai ‘syarat’ dikenakan semuanya dijalankan secara ‘manual’,” kata Badrul atau dikenali Chegu Bard.

Beliau berkata, satu pekeliling turut ditampal di papan kenyataan kargo di KLIA, namun ditanggalkan beberapa jam kemudian kerana mungkin tidak mahu arahan rasmi itu ‘dibocorkan’.

“Kami telah menjangkakan sebelum ini data dalam sistem ini mungkin saja akan dipadamkan atau dipinda untuk menjaga ‘Imelda Rosmah’. Bayangkan dalam kes lebih serius iaitu kes pembunuhan Altantuya rekod imegresen pun boleh dipadamkan,” katanya.

Menurut Chegu Bard, Sabtu lalu KDRM mengeluarkan borang asal yang hanya boleh dicetak oleh pegawai tinggi kastam atau agen pengurusan terlibat, berhubung transaksi itu.

Katanya lagi, borang yang dinamakan ‘borang 2′ dikeluarkan pihak kastam untuk membuktikan berlian itu dibawa keluar ke Singapura 4 hari selepas ia dibawa masuk ke negara ini.

“Kononnya belian itu hanya untuk pameran belian yang dibuat di rumah VVIP sahaja dan kemudian dibawa keluar semula ke Singapura,” kata Chegu Bard.

Menurut sumber dalaman, kata Chegu Bard, kewujudan borang kedua tersebut menyatakan pembelian berlian menggunakan ‘hand carry’ dan borang secara manual keluar ke Singapura.

Chegu Bard berkata, sumber itu juga memaklumkan Freight on Board (FOB) pembelian tersebut berbeza, sedangkan FOB adalah nilai sebenar barang yang dibeli mengikut
harga invois.

“Nombor daftar ROC Jacob & Co pun tak sama, sepatutnya jika barang masuk untuk pameran dan sebagainya seharusnya ada terma ikrar, tetapi sebaliknya dalam sistem kastam ketika belian itu masuk lansung tidak wujud sebarang terma ikrar hanya untuk pameran dan akan dibawa keluar semula,” Chegu Bard memetik sumber tersebut.

Chegu Bard berkata, sepatutnya sekiranya dakwaan itu tidak betul, Rosmah- yang digelarnya sebagai Imelda Rosmah perlu tampil untuk menafikan dakwaan itu.

“Bagaimana pula dengan gelang ‘zebra’ dan jam ‘zebra’ yang juga keluaran Jacob & co yang jelas ada gambar Imelda Rosmah menggunakannya ? Adakah Jacob & co hanya bagi pinjam kerana dia terpulih menjadi duta produk Jacob & co ?,” soal beliau.

Rakyat Di Tipu Lagi....!!

KENYATAAN RESMI

Kenyataan Media
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
Khamis 09 Jun 2011

CUKAI 6% TELEFON PRABAYAR : MOHON PENJELASAN SYARIKAT TELEKOMUNIKASI

Terdapat 3 syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia iaitu Digi, Celcom dan Maxis. Pada tahun 2006 terdapat 17.8 juta mendaftar sebagai pengguna talian prabayar. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) mendapati rakyat Malaysia membelanjakan RM17 juta sehari untuk penggunaan SMS(Sistem Pesanan Ringkas). Pada tahun 2004 terdapat 9.5 bilion SMS telah dihantar oleh rakyat Malaysia. Secara puratanya pengguna telefon menghantar 4 SMS setiap hari.

Bermula Januari 2011 pihak kerajaan telah menaikkan cukai perkhidmatan daripada 5% kepada 6%. Cukai perkhidmatan pengguna telefon prabayar juga tidak terkecuali. Selama ini cukai 5% telah diserap oleh syarikat telekomunikasi. Memandangkan beban yang terlalu besar ditanggung oleh pihak syarikat telekomunikasi maka terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa syarikat terbabit tidak lagi menyerap cukai tersebut mulai Julai 2011. Ini bermaksud bahawa cukai ini akan ditanggung oleh pengguna sepenuhnya. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mewakili anak-anak muda Malaysia yang majoritinya pengguna telefon prabayar memohon penjelasan daripada pihak syarikat telekomunikasi mengenai kebenaran dakwaan tersebut. Penjelasan ini adalah penting untuk maklumat pengguna kerana merekalah yang menerima kesan terhadap polisi ini.

Jika benar dakwaan tersebut maka anak-anak muda Malaysia merasa terbeban. Jika mereka membeli kad prabayar sebanyak RM10 maka mereka hanya memperolehi RM9.40. Baki RM0.60 diserahkan kepada kerajaan. Sebahagian besar anak muda Malaysia adalah pelajar sekolah, pelajar universiti dan tiada pekerjaan yang tetap. Mereka adalah pengguna aktif telefon prabayar. Berikutan kenaikan harga barang keperluan harian maka anak-anak muda Malaysia cukup terbeban dengan bayaran cukai ini.

Suhaizan Bin Kayat
Ketua Pemuda PAS
Negeri Johor
019-7285174


NOTA:

dengan senyap senyap
kita telah ditipu
dengan senyap senyap
najib nak kayakan kroni

Siapa Pelajar UiTM...Sila Angkat Tangan....!!!


UITM TAWAR ANUGERAH IBRAHIM ALI UNTUK PELAJAR - MK

Sebuah universiti tempatan membuka pencalonan bagi Anugerah Ibrahim Ali kepada pelajar yang membuktikan komitmen dan sumbangan mereka dalam memartabatkan bangsa Melayu.

Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak) UiTM memuatkan butiran terperinci anugerah berkenaan yang menawarkan RM5,000 yang ditaja oleh presiden PERKASA.

Selain mesti mempunyai prisip yang jelas dan konsisten, pelajar UiTM yang layak memohon juga mesti mematuhi empat kriteria.

Antaranya membantu merangsang pelajar bagi mengikuti program dan aktiviti berkaitan dengan peningkatan maruah dan martabat bangsa pelajar.


NOTA:

sesiapa pelajar uitm sila angkat tangan
kah kah kah

sesiapa pelajar uitm sila angkat tangan
kah kah kah

sesiapa pelajar uitm sila pangkah tangan
kah kah kah

sesiapa pelajar uitm sila pakai topeng
jika tak mahu di kenali
kah kah kah

Dr Lo' Lo': Mutiara Yang Tidak Akan Hilang Sinarnya


Dr LO' LO' binti Mohd Ghazali adalah satu nama besar dalam Pas. Meskipun kedudukannya dalam parti Islam itu khususnya dalam Dewan Muslimat bukan ditempat teratas, tetapi dewan itu seakan sinonim dengan namanya, Dr Lo' Lo'. Nama ini mula disebut dalam Pas sekitar tahun 90-an dan mulai mewangi pada awal akhir tahun 90-an. Kelopak perjuangannya mula berkembang dan disedari tatkala meletusnya era reformasi.

Era reformasi menerjahkan namanya ke tengah-tengah gelanggang. Era ini menguji kekuatan mental dan ketabahan feminis beliau sebagai seorang pejuang. Orangnya bertubuh kecil molek, berwarna putih kuning menjadi sekuntum bunga di dalam Pas.
Kelihatan manja tetapi tegas. Ia menjadi daya tarikan, istimewa kepada anak-anak muda terutamanya kaum wanita. Kelulusannya sebagai seorang doktor perubatan (profesional) telah memberi rangsangan kepada anak-anak muda lain untuk menuruti jejak langkahnya menyimbah peluh di padang perjuangan.

Kesungguhnya beliau berjuang dalam Pas, menjadi aktivis muslimat Pas yang gigih, tekun dan membawa Pas keluar dari kepompong muslimat pingitan sebelum ini ke jalan baru tidak boleh dialpakan. Beliau telah merintis membuka ruang lebih luas dalam Pas untuk kaum hawa mengibarkan panji Islam, duduk tinggi atau memberi pengorbanan sama besar dengan lelaki bersama rakan-rakan lain, Dr Siti Mariah Mahmud, Siti Zailah Yusuf dan lain-lain.

Sepanjang hayatnya beliau mendominasi dalam bidang kebajikan terutamanya dalam aspek kesihatan sesuai dengan kelulusannya sebagai seorang doktor perubatan. Jika tidak silap saya Dr Lo' Lo' juga pernah ikut sama memberi bantuan kemanusiaan, rawatan dan perubatan dalam tragedi gempa bumi di Yogjakarta tahun 2006.

Pada pilihan raya umum ke-11 (2004) beliau diberikan tanggungjawab oleh Pas bertanding di Parlimen Bukit Gantang, Perak tetapi tewas. Ketewasan itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya. Malahan kekalahan kali pertama itu menjadi perangsang untuk beliau terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Kekalahan dan pengalaman pertama itu mengajar beliau erti perjuangan menerusi berpilihan raya.

Siapa percaya pada tahun 2008, beliau seorang wanita yang lemah lembut boleh menang di sebuah kerusi bandaraya yang mempunyai berbagai lapisan masyarakat. Dr Lo' Lo' mengalahkan calon BN, Jamaluddin Aziz di kerusi Titiwangsa dengan majoriti 1,972. Kemenangan itu meletakkan namanya sebagai ahli Parlimen wanita pertama daripada Pas yang menang untuk mana-mana kerusi dalam Wilayah Persekutuan. Satu sejarah.

Nama yang sememangnya sudah bercahaya kerana Lo' Lo' itu sendiri bermaksud mutiara atau permata cepat mengharumkan Dr Lo' Lo'. Kerajinannya mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen menjadikan beliau popular dan disanjungi kawan dan lawan kerana komitmennya kepada tanggungjawab dan amanah. Isu-isu yang diambil bahagian ialah mengenai hak wanita dan juga isu-isu mengenai kepentingan Islam dan kebajikan insan.

Sebagai wakil rakyat wanita beliau tidak terelak terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah politik yang dilakukan lelaki. Lo' Lo' tidak dikecualikan atas persoalan gender. Kawasan Titiwangsa adalah pernah dimiliki oleh Sulaiman Mohamad, seorang politician Melayu yang dikenali sebagai samseng kampung dusun. Walaupun Sulaiman tidak lagi menjadi penghulu di situ namun Dr Lo' Lo' tetap menghadapi cabaran dan sindiran yang diwarisi dari Sulaiman yang diteruskan oleh penguasa Umno seterusnya.

Sekali lagi serangan dan kritikan terhadapnya selaku wakil rakyat oleh Umno tidak menjadi kudis gatal. Kemunculan Menteri Wilayah Baru Raja Nong Chik yang beriya untuk merampas Kampung Baru yang perlahan-lahan telah bertukar menjadi kubu untuk Pakatan Rakyat dan cuba merombak sokongan kepada Dr Lo' Lo' merupakan cabaran terhebat buatnya. Dr Lo' Lo' pernah dipersendakan oleh Raja Nong Chik kerana beliau seorang perempuan. Kalau tidak silap Dr Lo' Lo' pernah meminta Nong Chik meminta maaf kepadanya atas satu perbuatan Nong Chik yang kurang tamadun.

Keberaniannnya juga terserlah. Beliau mencabar untuk bersekemuka dengan sesiapa saja demi kebenaran dan keadilan untuk rakyat. Dalam berdepan dengan isu rampasan Kampung Baru beliau ke hadapan. Perjuanganya menjaga hak warisan orang Melayu Kampung Baru diperjuangkan sampai ke denyut-denyut nafas terakhir. Dalam keadaan beliau sudah sakit di mana seharus rakyat dilupakan namun beliau masih membela dan mempertahankan hak rakyat Kampung Baru. Beliau tidak rela Umno menzalimi penduduk Kampung Baru.

Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUU PPKB) pada sidang Parlimen Mac lalu sesuatu yang menggembirakan beliau. Penangguhan itu sedikit sebanyak adalah kerana kelancangan beliau menentang agenda berstrategi Umno itu. Dr Lo' Lo' tidak habis-habis memberi peringatan agar agenda untuk membangunkan Kampung Baru biarlah dilakukan secara adil dan hak orang Melayu di situ terbela selamanya.

Ternyata iltizam beliau kepada tanggungjawab dan amanah parti itu tidak pernah diabaikan. Walaupun beliau tidak dapat menyuarakan kepada Parlimen kerana dihalang kanser namun beliau tidak berputus asa. Jalan lain dicari bagi menyampaikan isi hatinya. Rakan-rakan seperjuangnya senantiasa membantu dan mewakili beliau bagi menyampai apakah yang tersekang di dadanya. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Sallahuddin Ayub pernah diwakilkan untuk menyampaikan ucapannya di Parlimen.

Meneliti dan mengimbau sejarah perjuangan dan keulitan serikandi ini, benarlah apa yang diungkapkan oleh Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat. Katanya; Dr Lo' Lo' adalah seorang mujahidah yang istiqamah di dalam perjuangan.

Mengapa tidak seperti dikatakan tadi beliau tidak mudah berputus asa dan berwalang durjana demi memastikan perjuangan partinya tegak di atas muka bumi ini. Selain itu beliau juga seorang yang rajin, ada masanya melebihi pejuang lelaki sendiri.

Saya ada secebis pengalaman dalam hal ini, melihat sendiri bagaimana rajin dan seriusnya beliau dalam perjuangan pada berkempen pilihan raya kecil bagi memastikan calon Pakatan Rakyat. Semasa berlangsungnya pilihan raya kecil Permatang Pauh yang melibatkan pertandingan Anwar Ibrahim, Dr Lo' Lo' adalah seorang tenaga kempen utama. Bagi memastikan kemenangan Anwar beliau telah turun naik ke pejabat-pejabat kerajaan untuk memberi risalah dan mendekati pengundi.

Beliau ada menceritakan bagaimana beliau dihalau keluar dari pejabat tetapi tidak diendahkannya. Hak demokrasi dan kebebasan bersuara dipergunakan seterusnya. Beliau memberi tahu ada kalanya beliau terpaksa bertengkar dengan kakitangan pejabat sebelum dapat meninggalkan risalah. Selamba saja beliau memberi tahu apa yang berlaku ke atasnya.

Pada pilihan raya kecil itu beliau juga turut sama mendekati para peniaga di sebuah pasar. Beliau melalui dari lorong ke lorong menemui segenap penjual di dalam pasar berkenaan. Sambil bertanya khabar beliau menghulurkan risalah kepada para peniaga. Cara diplomasi yang tinggi dan lemah lembut menyebabkan para peniaga senang menerima kunjungannya. Ini terbukti bila mana ada peniaga yang membelanjakan beliau dan rombongan untuk minum.

Demikian juga pada siri-siri kempen pilihan raya kecil lain atau acara refomasi. Wajah dan kelibat beliau akan senatiasa sahaja ternampak. Mengingati akan kerajinan beliau dalam membantu rakan dan memastikan kemenangan, teringatlah saya kepada seorang lagi ahli Parlimen yang seingat saya tidak pernah miss menjadi host kempen pada pilihan raya kecil. Orang yang saya maksudkan itu adalah Dr Mohd Hatta Ramli. Kalau dalam lelaki Pas ada Hatta yang rajin, komited maka dalam muslimat Pas ada Dr Lo' Lo' yang ulit dan tidak mengenang letih dan istiqamah.

Semalam jam 10:15 minit 15 Syaaban 1432 bersamaan 17 Julai 2011 dalam usia 54 tahun permata Pas yang bergemilang memancar sinar itu sudah pun tiada lagi. Dia sudah dipanggil pulang ke pangkuan penciptaannya untuk selamanya. Pas dan kita semua hanya diberikan pinjam sekejap saja permata penuh berazimat itu. Demikian takdir Allah, kita kena pasrah.

Namun sinar yang pernah hadir dan memberi cahaya kepada kita tetap akan terlekat kejap di sanubari. Kewujudannya ia bersama kita sebagai menandakan bahawa kita pernah bersama dalam mengibarkan panji-panji kebenaran ini dan selorong menuju ke mardtillah, insyaAllah.

Kalau kita semua benar sayang dan mengkagumi ratu jihad ini, ayuh.. terus kibarkan panji-panji ini yang ditinggalkan kerana ia akan meneduhkan rajuna itu di ambang Syurga. Penerusan perjuangan adalah doa kudus untuk Allahyarham. Al Fatihah

PAS Kehilangan Seorang Permata....!!


Lebih 2,000 Iringi Jenazah Dr. Lo' Lo' - HD

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Lebih 2,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakyat dan pemimpin parti politik menghadiri pengebumian ahli Parlimen Titiwangsa, Allahyarhamah Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk Keramat pagi tadi.

Suasana sedih dan suram menyelubungi majlis pengebumian bermula jenazah dibawa ke Masjid Al-Akram, Datuk Keramat tengah malam tadi.

Jenazah disolatkan di masjid tersebut jam 10.20 pagi tadi dengan dipimpin Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum dibawa ke tanah perkuburan, diiringi ribuan yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Rata-rata mereka yang hadir tidak dapat menahan sebak setelah jenazah selamat dikebumikan jam 11.10 pagi.

Sejak tengah malam tadi, orang ramai tidak putus-putus mengunjugi jenazah allahyarhamah yang disifatkan sebagai seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.

Anggota Unit Amal juga mula menjaga lalu lintas dan kawasan sekitar sejak tengah malam tadi bagi mengelakkan kesesakan di kawasan sekitar.

Anggota keluarga termasuk suami, Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim dan anak-anak allahyarahamahberada di samping jenazah sehingga selesai dikebumikan.

Walaupun kelihatan sedih, mereka melayani pertanyaan pemberita dengan baik.

Dr. Aminuddin dengan tenang berkata, beliau redha dengan pemergian Allahyarhamah dan kagum dengan kegigihan isterinya itu menjalankan amanah walaupun terlantar di atas katil ketika sakit.

"Allahyarharmah berpesan kepada petugas-petugas pejabat khidmat masyarakat Parlimen Titiwangsa agar terus menjalankan tugas melibatkan kepntingan penduduk.

"Sehingga ke saat-saat akhir, beliau sering bertanya mengenai kawasan terutamanya isu Kampung baru yang diperjuangkan beliau," katanya.

Selain pimpinan utama PAS, turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw, Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah dan lain-lain.

Allahyarhamah meninggal dunia di Hopital Selayang jam 10.15 malam tadi setelah beberapa tahun mengidap barah paru-paru.

Al Fatihah - Dr. Lo' Lo' Meninggal Dunia Sebentar Tadi...!!

KUALA LUMPUR, 17 Julai: Ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (gambar) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang kira-kira jam 10.15 malam ini.
Jenazah beliau kini sedang diusahakan untuk dibawa ke Masjid Al-Akram, Dato Keramat.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof ketika dihubungi Harakahdaily.

Maklumat berkenaan kematian itu juga turut dimuatkan pada laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarga.

Beliau sebelum ini menerima rawatan akibat kanser.

Dalam respons awal, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Allahyarhamuha seorang yang istiqamah berjuang untuk Islam sehingga akhir hayat.

"Saya dimaklumkan oleh keluarga terdekat almarhumah Dr Lo' Lo', MP PAS Titiwangsa tentang pemergian beliau sebentar tadi.

"Semoga Allah merahmati rohnya dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Beliau seorang yang istiqomah berjuang untuk Islam hingga ke saat akhir hayatnya," tulisnya di Facebook.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan pula menyifatkan Allahyarhamah seorang tokoh pejuang Islam yang tabah.

"PAS dan rakyat sebentar tadi kehilangan tokoh pejuang Islam yg tabah apabila sbentar td Dr Lo' Lo' telah kembali ke rahmatillah.. Al Faatiihah." tulisnya di Twitter