Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير

Apr 3, 2012

Di Ambang PRU 13....!!


Sudah lama saya tidak sempat mengemaskini blog saya ini. Ini adalah kerana terlalu sibuk dengan ceramah yang diadakan hampir setiap malam. Jemputan untuk berceramah semakin meningkat dan ini adalah disebabkan saya telah 'dipopularkan' oleh Hassan Ali. Malangnya, apabila sibuk berceramah, saya tidak berpeluang untuk menulis.

Hari ini, Alhamdulillah, ada sedikit ruang. Saya teringat peristiwa di Parlimen pada minggu lalu semasa Timbalan Menteri Luar Negara menimbulkan kembali isu kononnya sokongan DSAI terhadap Israel. Beliau membaca teks yang disediakan, termasuk dakwaan bahawa apabila DSAI mengutamakan keselamatan Israel, maka ini bererti menyokong dan redha dengan pembunuhan rakyat Palestine!

Sepertimana saya sebutkan dahulu, ini merupakan bukti betapa BN terdesak dalam usaha mencari isu untuk menyerang PR. Sehingga satu ayat, malahan sebahagian dari satu ayat yang datang dari kesulurahan rencana tersebut, dijaja dan ditonjolkan sebagai bukti bahawa DSAI pro-Israel. Bukan setakat pro-Israel, malahan sokong pembunuhan rakyat Palestine demi keselamatan Israel. Tuduhan tuduhan yang ekstrim seperti itu adalah apa yang dikatakan sebagai 'over-kill' atau keterlaluan dan ianya akan memukul BN kembali, insyaAllah. Ini adalah kerana rakyat akan mula sedar bahawa BN menipu dan memfitnah tanpa rasa bersalah.

Keadaan terdesak BN mencari isu untuk menyerang PR adalah hasil dari prestasi pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PR yang begitu menyerlah dari segi ketelusan dan bebas rasuah. Benar, kita tidak menganggap pentadbiran dan pengurusan kerajaan di bawah PR semuanya betul tanpa adanya kelemahan atau kekurangan. Namun ianya bebas dari rasuah dan penyelewengan!

BN ingin menyebut bahawa Selangor, Penang, Kedah dan Kelantan korup dan penuh penyelewengan tetapi setiap usaha untuk membongkar penyelewengan telah gagal untuk menghasilkan bukti adanya penyelewengan tersebut. Sebaliknya, pada masa yang sama, terbongkar satu persatu penyelewengan dan korupsi di pihak UMNO/BN seperti NFC dan pelupusan hutang Tajuddin Ramli. Dua kes ini sahaja telah mencecah hampir RM 900 juta wang rakyat yang terbuang hasil penyelewengan dan pilih kasih BN.

Saya boleh rumuskan dengan mudah bahawa sekiranya isu DSAI dan Israel adalah peluru terakhir BN dalam menghadapi PRU ke 13, maka PR akan berhadapan dengan laluan mudah dalam PRU ini dalam soal menjawab serangan BN. Oleh itu usaha penipuan di peringkat daftar pemilih sudah pasti akan menjadi usaha tumpuan BN. Dan ini jugalah apa yang ingin dibahaskan oleh Ahli Parlimen PR pada pagi 29 Mac 2012. Malangnya Menteri Dalam JPM, iaitu YB Nazri menjawab dengan mudah bahawa SPR menafikan segala dakwaan adanya penyelewengan dan menerima jawapan dari SPR sebagai muktamad. Apabila terus diasak, maka disebut bahawa beliau akan mengaturkan pertemuan di antara SPR dan Ahli Parlimen PR dengan kehadiran bersama dirinya.

Pada dasarnya saya melihat JPN dan SPR sebagai talian hayat utama BN dalam PRU ke-13 akan datang. Dari segi isu, BN kalah. Dari segi prestasi, BN jauh ketinggalan. Yang tinggal hanya JPN dan SPR, dua badan yang mampu mengubahkan kekalahan kepada kemenangan bagi pihak BN. Jawatankuasa Pilihan Parlimen (JPP) berhubung SPR dan PRU ke-13 akan membentangkan laporannya minggu ini. Desas-desus yang kedengaran kurang meyakinkan tetapi kita akan tunggu dan dengar apa yang akan dibentangkan nanti.

Adakah benar bahawa BN akan sanggup menerima penolakan rakyat terhadap kepimpinan mereka dan membenarkan rakyat menukar kerajaan BN dengan kerajaan PR di peringkat Pusat? Kita tunggu jawapannya apabila laporan JPP dibentangkan nanti.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Baca & Renungkanlah.....Sebelum Terlambat....!!


Pemergian Cheah Kok Leong pada malam 29 Mac 2012 mencungkil semula ingatan masyarakat Malaysia terhadap peristiwa silam yang berlaku di Bukit Merah pada tahun 1982. Sekali lagi kita diuji sama ada mengambil iktibar dari sejarah, sebelum kita memberi kata dua kepada Lynas yang bakal memulakan operasi kilang pemprosesan nadir buminya di Kuantan.

Kok Leong dilahirkan pada tahun 1983, dengan badannya yang kurus dan kecil, malah perlu tinggal di hospital untuk 20 hari sebelum dibenarkan keluar. Untuk 29 tahun ini, ibunya, Lai Kwan, 70, membesarkannya dalam keadaan yang serba kurang. Selama ini, mereka hanya menerima dana bantuan sebanyak RM150 setiap bulan daripada Jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC).

Satu wawancara telah dijalankan MerdekaReview bersama Lai Kwan pada Mei 2011, ketika wartawan menjejak langkah ke Bukit Merah. Teks ini telah disiarkan dalam edisi bahasa Cina pada 12 Mei 2011, kini diterjemah dan disunting untuk tatapan pembaca, sebagai penghargaan terhadap pengorbanan seorang ibu bernama Lai Kwan.

Sakit sejak zaman kanak-kanak

Ketika Kok Leong dilahirkan, degupan jantungnya pantas, disyaki terdapat lubang pada jantungnya. Selepas diimbas sinaran x-ray, doktor mendapati jantungnya tidak berlubang, tetapi terdapat sebatang tulang yang menonjol di sebelah jantungnya pada bahagian dada.

Sejak kecil Kok Leong gagal bertutur, dan gagal mengendalikan perkumuhan dirinya. Matanya dijangkiti katarak. Setelah menjalani pembedahan, Kok Leong menggosok matanya kerana gatal. Akhirnya mata kanan Kok Leong menjadi buta. Penglihatan mata kirinya lemah, hanya peka kepada warna merah dan cahaya.

Lai Kwan ialah pekerja pembinaan di tepi kilang pemprosesan nadir bumi Asian Rare Earth pada tahun 1982. Lai Kwan mengandung Kok Leong ketika itu, dan melahirkan Kok Leong pada tahun 1983. Menurut Lai Kwan, Kok Leong akan jatuh sakit untuk dua tiga hari dalam seminggu, malah akan sesak nafas ketika jatuh sakit. Pada waktu itu, Lai Kwan perlu memeluknya untuk semalaman.

Lai Kwan mendapati kelainan pada anaknya ketika Kok Leong berusia dua, tiga tahun. Tubuhnya lemah, bagai menghidap penyakit osteomalacia (tulang lembut), dengan badannya yang senget. Kok Leong hanya mampu berjalan ketika berusia empat atau lima tahun. Ramai orang yang menganggap anak ini gagal diperbesarkan. Masing-masing memujuk Lai Kwan untuk berpatah hati.

Tetapi, "Ini manusia, bukan ayam. Macam mana boleh bertindak zalim, untuk membuangkannya begitu sahaja?" persoal Lai Kwan, yang tidak sampai hati untuk membuangkan Kok Leong.

Lai Kwan menahan sebak, "Sebagai ibu bapa orang, melihat anak diri menjadi sebegitu. Kamu tidak terasa sakitnya jika jarum yang menusuk bukan pada daging kamu. Bila ditusuk jarum, maka terasalah sakitnya. Bagaimana boleh berlaku zalim sebegitu? Buangkannya dengan begitu saja? Saya kata, saya tetap akan membesarkannya walaupun terpaksa mengemis, sehingga saya tidak terdaya..."

Lai Kwan berhenti seketika, sebelum meneruskan, "Betapa susahnya untuk membesarkannya ketika itu. Tak boleh kerja. Tak mampu nak cari makan..."

Lai Kwan mempunyai lapan orang anak. Beliau tetap mahu membesarkan Kok Leong, meskipun merana kepapaan. Ada kalanya, Lai Kwan perlu menunggang basikal ke kilang bihun yang jauh dari rumahnya untuk membeli sisa bihun untuk dimasak.

"Saya meminjam 10 ringgit dengan dia orang. Dia orang tak bagi pinjam. Dia orang tanya, bila kau nak pulangkan (wang itu)? Air mata saya terus menitis. Saya kata, tak apa, tak apa."

Selama ini Lai Kwan (gambar kiri) berhempas-pulas, berulang-alik dari sini ke sana untuk mencari ubat bagi merawat anaknya. Kok Leong yang sudah dewasa semakin bertenaga. Dia akan mencederakan diri seandainya ibunya tidak menurut hasratnya.

Ditanya jika diberi peluang untuk memilih, apakah Lai Kwan masih mahu bekerja di kilang pemprosesan nadir bumi, "Seorang saja (Kok Leong) sudah cukup pilu buat saya. Mustahil untuk saya kembali bekerja di sana," jawabnya.

Menolak sogokan Asian Rare Earth

Lai Kwan memberitahu MerdekaReview, pihak kilang Asian Rare Earth pernah menawarkan sejumlah wang kepada dirinya, agar beliau tidak lagi membawa Kok Leong ke mahkamah sepanjang perbicaraan, dalam kes saman penduduk Bukit Merah terhadap kilang Asian Rare Earth. Lai Kwan menolak sogokan tersebut, "Saya tidak mahu wang kamu (Asian Rare Earth). Kalau saya terima wang kamu, tapi kilang kamu terus beroperasi, dan budak lain yang lahir pun macam Kok Leong, untuk apa saya ambil wang anda?"

"Satu (mangsa) pun sudah cukup menyedihkan. Entahlah berapa air mata yang menitis... Bagi mereka teruskan kilangnya? Saya kata tidak," tegas Lai Kwan.

Sepanjang 29 tahun ini, Lai Kwan tidak menerima sebarang pampasan dari pihak Asian Rare Earth. Beliau hanya menyara hidupnya dengan bantuan dana RM150 setiap bulan daripada Jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC). Lai Kwan memberitahu MerdekaReview, igauan itu terus menghantuinya sepanjang 28 tahun ini. Beliau tetap mengalirkan air matanya sebelum tidur. Malah, apa yang paling merunsingkannya adalah masalah penjagaan Kok Leong selepas dirinya meninggal dunia.

Akhirnya Kok Leong yang meninggal terlebih dahulu, pada 29 Mac 2012. Lai Kwan kelihatan tenang untuk menerima hakikat ini, ketika MerdekaReview mengunjunginya pada 30 Mac 2012. Ia mungkin satu pembebasan dari kesengsaraan, yang selama ini dialami Kok Leong dan keluarganya. Persoalannya, apakah Malaysia bakal membebaskan diri dari ancaman sisa radioaktif nadir bumi untuk selama-lamanya?

Jika Pilihanraya Boleh Merubah Apa-Apa...Dah Lama Ia Di Haramkan....!!


Lonjakan pengundi turut berlaku di kerusi BN -MK

Lonjakan mendadak bilangan pengundi bukan sahaja berlaku di kerusi yang diwakili Pakatan Rakyat, tetapi juga di kerusi BN, antaranya Parlimen Gua Musang dan Pekan.

Ia adalah antara 17 kawasan parlimen yang mencatatkan peningkatan lebih daripada 20 peratus bilangan pengundi sejak pilihan raya umum 2008.

Peningkatan tersebut, yang melebihi purata nasional sebanyak 13.8 peratus, dikesan dalam daftar pemilih yang dikemaskini pada suku akhir 2011.

Daripada 17 kerusi tersebut, sembilan dimenangi Pakatan dalam pilihan raya umum lalu - Bukit Gantang (kekal disandang Pakatan dalam pilihan raya kecil pada 2009), Gopeng, Hulu Selangor (dirampas kembali BN dalam pilihan raya kecil pada 2010), Selayang, Hulu Langat, Serdang, Puchong, Subang dan Kota Raja.

Tujuh lagi kerusi ialah di negeri Selangor yang ditadbir Pakatan, masing-masing tiga di Perak dan Johor, dua di Pahang dan masing-masing satu di Kelantan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Lonjakan bilangan pengundi di Gua Musang dan Pekan dilihat sebagai satu kejutan, kerana kedua-dua kawasan pilihan raya itu terletak di kawasan luar bandar dengan pertumbuhan penduduk yang perlahan. Di samping itu, ia merupakan kubu kuat BN yang dijangka tidak berdepan dengan persaingan politik yang sengit.

Di Gua Musang, yang terletak di negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS, bilangan pengundinya telah bertambah sebanyak 8,273 orang atau 28.5 peratus dalam tempoh tiga tahun yang lalu, menjadi jumlah pengundi keseluruhannya meningkat daripada 28,986 kepada 37,259 orang.

Ia telah diwakili pemimpin veteran Umno dan bekas menteri
kewangan Tengku Razaleigh Hamzah sejak tahun 1969. Beliau mengekalkan kerusi itu pada 2008 dengan majoriti 4,394 undi, untuk penggal kesembilan sebagai ahli parlimen.

Beberapa pemimpin akar umbi Umno di Gua Musang telah menggesa Tengku Razaleigh berhenti bertanding di situ, dengan mendakwa beliau tidak lagi mempunyai pengaruh. Beliau juga telah menyokong pembangkang dalam isu-isu tertentu seperti bayaran royalti minyak kepada Kelantan dan penyenaraian Felda.

Di Pekan pula, peningkatan bilangan pengundi bermula awal tahun lepas. Ini adalah sebuah pekan luar bandar yang dipenuhi dengan kilang industri berat. Pada 31 Disember 2011, ia mempunyai 76,741 pengundi - lonjakan yang menakjubkan seramai 18,524 orang atau 31.8 peratus sejak 2008.

Kerusi ini diwakili Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau menggantikan bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.

Najib memenangi kerusi itu pada tahun 1999 dengan majoriti tipis 241 undi. Tetapi jumlah majoriti itu naik semula dalam pilihan raya umum 2004 kepada 22,922 undi, dan meningkat lagi kepada 26,464 undi pada tahun 2008.

BERSIH 3.0 Bakal Bergegar Sekali Lagi....!!


Pakatan: PSC gagal tangani baik-pulih sistem p'raya -MK

Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai reformasi pilihan raya telah gagal untuk menangani baik pulih sistem pilihan raya yang amat diperlukan, kata ahli parlimen pembangkang yang menganggotai PSC.

Wakil Pakatan Rakyat mendakwa kebimbangan asas mengenai sistem
pilihan raya kekal masih tidak diselesaikan, yang paling penting ialah kekurangan langkah-langkah untuk membersihkan daftar pemilih.

Azmin Ali (PKR-Gombak), Anthony Loke (DAP-Rasah) dan Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) berkata mereka telah memfailkan usul di bawah Perintah Tetap 30 (1) menggesa supaya laporan PSC diagihkan kepada ahli parlimen dipinda.