Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير

Sep 16, 2011

Tak Perlu Ucap Terima Kasih Kepada PM...!!


Mansuh ISA: Ucap tahniah umpama terima kasih kepada British- KD

KUALA LUMPUR: Tidak perlu mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana bercadang memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.

Ini kerana, beliau berkata ia bukan suatu ‘kurniaan’ daripada Najib sebaliknya hasil perjuangan getir rakyat dari parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO), sejak berdekad-dekad.

“Ia bukanlah kurnia kepada rakyat pada Hari Malaysia sebagaimana kita tidak memberi tahniah kepada British kerana memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Perjuangan menuntut ISA dimansuh sudah wujud berdekad-dekad lama tanpa ada surutnya. Gambar Hiasan
Mengalu-alukan pemansuhan ISA, beliau mengucapkan tahniah kepada pejuang kebebasan dan hak asasi manusia kerana kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) terpaksa akur dengan kebenaran dan keadilan.

“Ribuan pejuang dipenjara, difitnah dan menderita pelbagai kezaliman demi untuk hak dan kebebasan rakyat yang dinodai Umno BN,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.

Tanpa kegigihan semangat yang kemudian meresap dalam Pakatan Rakyat dan terkandung dalam Buku Jingga, Azmin berkata, Najib pasti tidak akan mencadangkan pemansuhan ISA dan menamatkan darurat.

Menganggap ia membuka lembaran baru persekitaran politik, Beliau berharap cadangan pemansuhan itu bukan retorik politik atau bersifat kosmetik demi memulihkan imej politik Umno BN.

Justeru, katanya, KEADILAN menuntut supaya semua tahanan tanpa bicara dibebas atau dihadapkan ke mahkamah, menutup kem Tahanan Kamunting dan Simpang Renggam serta menyiasat aduan seksaan terhadap tahanan.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, Pakatan Rakyat dan NGO harus dilibatkan dalam menggubal dua akta baru yang bertujuan memerangi keganasan dan aliran subversif.

“Adalah penting bagi Pakatan Rakyat, NGO dan pentadbiran Najib duduk semeja bersama-sama serta mendapatkan maklum balas rakyat sebelum dibentang di Parlimen, selain menubuhkan Majlis Perundingan Kebangsaan.

“Kita tidak mahu undang-undang yang bakal digubal mirip peruntukan Seksyen 73(1) dan Seksyen 8 Akta ISA yang memberi kuasa kepada menteri untuk membuat penahanan hingga mudah berlaku salah guna kuasa.

“Pastinya pengumuman pemansuhan ISA tidak membawa erti jika dua akta yang bakal digubal itu itu masih membolehkan mengamal tahanan tanpa bicara,” katanya.

Perutusan Anwar: Memaknai Kemerdekaan & Pembentukan Malaysia


Kita baru sahaja menyambut ulang tahun ke 54 Kemerdekaan negara dan esok rakyat negara ini akan menyambut pula Hari Malaysia pada tanggal 16hb September. Setiap kali menjelang dua sambutan yang sungguh bererti itu, kita pastinya mengambil kesempatan tersebut untuk menghimbau sejarah negara.

Himbauan tersebut pada asalnya mahu menjana semangat patriotisme, keyakinan, dan kegigihan untuk berusaha membangun negara bernama Malaysia ini, yang usianya jika dibandingkan dengan negara lain, sebenarnya masih muda.

Namun sudah beberapa lama rakyat negara ini disogokkan dengan naratif sejarah yang dilakar oleh sesetengah pihak sahaja. Tujuan asal sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan disampaikan kepada generasi seterusnya ternyata menyimpang dari halatuju yang sebenarnya.

Sejarah diseleweng demi kepentingan sesetengah pihak sahaja sekaligus menafikan perjuangan golongan lain yang bersama bertungkus lumus menentang penjajahan.

Mana mungkin, kita menafikan perjuangan tokoh-tokoh yang dilatari pelbagai faham perjuangan, baik dari gerakan Islam, aliran kiri mahupun dari aliran kanan. Mereka ini walaupun berbeda pandangan, hakikatnya punyai matlamat yang sama, iaitu mahu tanah air kita merdeka dari penjajah.

Adalah suatu keangkuhan sekiranya kita menafikan sumbangan golongan tertentu menuntut kemerdekaan hanya kerana mereka tidak sehaluan dengan kita.

Jikalau kita jujur berhadapan dengan sejarah, ternyata selain dari Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman, ramai lagi seumpama Dr Burhanuddin al Helmi, Ishak Haji Muhammad, V.T Sambathan, Tan Cheng Lock, Rosli Dhobi di Sarawak dan Mat Salleh di Sabah ternyata gigih menentang penjajahan terutamanya penjajahan British.

Tidak wajar dilupakan juga sumbangan tokoh persuratan seumpama Syed Sheh al Hadi dan Pendita Zaaba yang berusaha membina kesadaran membawa pembaharuan kepada masyarakat. Berbekalkan senjata berupa mata pena, mereka tajam menembusi tembok kelesuan yang membarah akibat dari penjajahan.

Tokoh persuratan ini berhasrat membongkar mitos yang ditanam penjajah, kononnya kita tidak berupaya bebas merdeka memerintah tanah air sendiri. Jasa mereka semua wajar dikenangi dan tidak dilupakan.

Mutakhir ini, muncul suatu polemik pensejarahan yang tajam berkaitan siapa sebenarnya pejuang menuntut kemerdekaan. Akan tetapi yang dikesali polemik yang sewajarnya disusuli wacana berhasrat memahami latar perjuangan menuntut kemerdekaan, lebih banyak dibaluti mesej propaganda.

Fakta sejarah diabaikan manakala naratif sejarah terbabas dari landasan rasional sehinggakan ada mereka yang mendabik dada sebagai intelektual, kerana mahu mengampu pemerintah, menafikan negara ini pernah dijajah. Sekonyong-konyong filsafat yang disarankan filasuf Jerman, Hans Vaihinger melalui karyanya, Philosophie des Als Ob (Philosophy of As If) diterima para sarjana kita demi kepentingan penguasa.

Mereka mengiyakan agar diciptakan fiksyen demi memenangkan agenda politik. Meminjam judul karya Julien Benda, perbuatan mereka yang mendabik dada sebagai intelektual itu digelar La Trahison des Clercs (Pembelotan Kaum Intelektual). Seharusnya tragedi keganasan Hitler dan aliran Nazime itu dijadikan iktibar, jangan sesekali menidakkan kebenaran kerana keserakahan agenda politik golongan tertentu.

Teguran Almarhum Profesor Syed Hussein Alatas sepertimana yang terkandung dalam karyanya Intelektual Masyarakat Membangun janganlah dikesampingkan. Intelektual atau para sarjana jangan dihinggapi penyakit “Bebalisme,” suatu penyakit malas berfikir, kelesuan intelektual dan takut menyatakan yang benar.

Tidaklah menjadi suatu kesalahan sekalipun, tatkala kita mengakui sumbangan Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman, adalah fakta sejarah sememangnya Umno itu lunak dengan pemerintahan British berbanding golongan lainnya sehinggakan pendiri Umno itu pernah menyelar Hizbul Muslimin yang didirikan antaranya oleh Almarhum Ustaz Abu Bakar Baqir sebagai “bahaya dari gunung.”

Karya berjudul From Malayan Union to Singapore Separation tulisan Dr. Nordin Sopiee, mantan Pengerusi ISIS, sebuah badan pemikir bagi pemerintah turut mengakui hakikat ini.

Negara kini berada di persimpangan, ketika rakyat negara ini mahu mengetahui sejarah sebenar perjuangan kemerdekaan serta berhasrat menolak dogengan ciptaan pemerintah, para sarjana dan intelektual tidak boleh lagi tinggal diam membisu. Mereka harus bingkas bangun bersama rakyat keseluruhannya menjadi penyuluh menelusuri jalan memaknai Kemerdekaan dan Membangun Negara Malaysia ini.

Antara tugas intelektual ketika ini menjadi suara menyatakan kebenaran tanpa rasa takut. Kita masyhgul apabila wacana pensejarahan menjadi medan untuk mereka yang berkuasa menunding siapa pengkhianat dan siapa yang bukan. Sewajarnya wacana pensejarahan sebegini sesuai sebagai pentas menyemak kembali fakta memperkaya pengetahuan rakyat, bukannya sebagai upaya politik murahan hatta mengenepikan hakikat sejarah.

Polemik Mat Indera yang tercetus baru-baru ini menggasak pimpinan Umno bertindak balas dengan nada emosi. Retorika seumpama pengkhianat dan tidak kenang budi dicanang seluruh negara sedangkan rujukan seperti karya berjudul “Pengukir Nama Johor” terbitan Yayasan Warisan Johor serta disunting Profesor Dato’ Abu Bakar A. Hamid dan Md Ismail Zam Zam itu menjelaskan Mat Indera antara mereka yang gigih menentang penjajahan British.

Janganlah pula kerana kesediaan kita menghargai kegigihan Mat Indera itu, maka dilabelkan kita sebagai mendokong agenda komunisme. Kita tuntas menolak apa sahaja bentuk fahaman yang membenarkan pemerintahan satu parti, membungkam suara mereka yang tidak sehaluan dan berlandaskan keganasan. Kita tuntas mengecam tragedi Bukit Kepong yang mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.

Sejarah menunjukkan kepada kita asakan Komunisme dapat ditewaskan lantaran kekuatan muafakat terutamanya umat Melayu termasuk Umno, PAS dan seluruh kekuatan rakyat. Maka amat dikesalkam manakala Kemerdekaan berjaya dicapai, pihak penguasa kini cuba menafikan sumbangan mereka yang sudah berkorban nyawa, keringat dan harta demi perjuangan yang mulia itu.

Kerana itu kita tidak menafikan pengorbanan pihak keselamatan menumpaskan gerakan militan komunis sekaligus berjaya mengekalkan keamanan di seluruh negara. Berasaskan faham itulah juga memperkukuh tekad kita mahu melakukan perubahan dan
menumbangkan hipokrisi pimpinan Umno-Barisan Nasional.

Manakala komunisme dimomokkan sebagai pengkhianat, pimpinan Umno-Barisan Nasional tidak segan silu pula curang kepada semangat Kemderdekaan yang raih itu. Persoalannya, bagaimana kita menilai makna Kemerdekaan itu. Apakah kita sudah bebas dari segala bentuk penindasan dan kezaliman?

Tiada gunanya dicanang laungan kemerdekaan sekiranya masih ramai yang terpinggir tatkala khazanah negara dikongsi kelompok kecil yang rapat dengan penguasa. Apa makna Kemerdekaan jika Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat masih diteruskan, bahkan digunakan pula untuk memenjarakan musuh politik.

Kita rakyat Malaysia tidak mahu suatu pemerintahan yang sekadar menggantikan regim penjajah, sekadar bertukar bekas sedangkan isi dicurah dan disisihkan. Oleh kerana itu kita tuntas menuntut agar dikembalikan Semangat Kemerdekaan dan dipenuhi pula Makna Pembentukan Negara Malaysia itu.

Adalah suatu keutamaan agar negara ini senantiasa makmur, rakyatnya sejahtera, hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan terjamin serta pilihanraya umum dilaksanakan secara bebas dan adil. Moga negara ini yang sudahpun berusia 54 tahun senantiasa kekal merdeka dan rakyatnya makmur sejahtera.

Dirgahayu Negaraku Malaysia

ANWAR IBRAHIM

Nanti Dulu...Jangan Gopoh...!!


Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh berkata, secara peribadi beliau mahu gabungan isu dibubarkan susulan keputusan kerajaan mahu memansuhkan akta kontroversi itu.

"Saya secara peribadi mahu melihat GMI ini dibubarkan. Tetapi saya rasa, tugas kami belum selesai, sehingga kita melihat ISA ini benar-benar dimansuhkan," katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, pihaknya akan berbincang dengan anggota gabungan NGO itu untuk mengkaji cadangan tersebut pada masa yang sesuai.

"Di peringkat anggota gabungan, kita akan ada perbincangan nanti untuk kaji semula tindakan (membubar) yang kita akan ambil selepas ini," katanya.

Bercakap dalam sidang media di ibu negara pagi ini, Syed Ibrahim berkata pihaknya akan berbincang dengan anggota GMI "bila masa yang sesuai".

Perdana menteri malam tadi mengumumkan memansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri 1959 serta akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Katanya, untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan jenayah, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Syed Ibrahim berkata, sekiranya GMI dibubarkan, penggerak NGO itu mungkin beralih kepada "gerakan" lain, sekiranya masih terdapat peruntukan tahanan tanpa bicara dalam undang-undang yang lain".

"Jadi kita kena gerakkan (dengan nama) 'Gerakan Mansuhkan apa-apalah...," katanya.

GMI yang ditubuhkan sepuluh tahun lalu dianggotai lebih 80 organisasi terdiri daripada NGO, parti politik, badan hak asasi manusia, wanita, mahasiswa, Majlis Peguam dan pertubuhan pekerja.

Nota :

Jangan terlalu yakin sangat dengan Najib ni..
Kita tengok dulu adakah ia betul2 dimansuhkan...
Takut2 in hanyalah umpan Najib apabila dekat dengan pilihanraya....
kah..kah,...kah...!!

Gendang Pilihanraya Telah Di Palu....!!


Syukur Alhamdulillah, setelah sekian lama PAS berjuang dan kini bersama Pakatan Rakyat, menuntut keadilan dan kesaksamaan dalam sistem pemerintahan negara terutama tuntutan supaya dimansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kini hampir menjadi kenyataan setelah ramai pimpinan PAS dan aktivisnya terpaksa merengkok dalam tahanan kejam tanpa bicara itu, semata-mata kerana persaingan politik yang tidak matang.

Saya tidak lokek untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Abd Razak yang telah mengisytiharkan komitmennya untuk memansuhkan ISA sebentar tadi, biarpun Umno dan BN telah mengambil masa yang terlalu lama untuk memahami betapa kejam dan zalimnya undang-undang ISA ini ke atas makhluk yang bergelar insan. Sementara PAS telah menentang ISA sejak hari pertama ia dibentang dan diluluskan di Parlimen justeru ia bertentangan dengan semangat keadilan yang dianjurkan oleh syariat Islam.

Sejurus mendengar pengisytiharan Datuk Seri Najib pada malam ini, hampir mengalir air mata saya mengenang penderitaan dan kesengsaraan yang terpaksa dialami oleh bekas tahanan ISA sebelum ini. Alangkah jika ISA dimansuhkan sejak komunis menyerah diri dan membubarkan parti serta perjuangan mereka tempoh silam. Pastinya mereka tidak perlu menderita dan sengsara hanya kerana dendam politik sang pemerintah.

Datuk Seri Najib mesti mengotakan komitmennya dengan membentangkan secara rasmi kertas pemansuhan ISA ini di dalam Parlimen yang akan bersidang awal bulan depan dan disokong pula oleh keseluruhan ahli parlimen Umno dan BN sekaligus mengusulkan penutupan Kem Kemunting dengan membawa semua tahanan yang masih ada ke muka pengadilan untuk diadili mengikut proses undang-undang negara.

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan kerajaan Umno dan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib juga mestilah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka serta membayar pampasan kepada semua mangsa-mangsa tahanan ISA dan keluarga mereka yang terpaksa mengalami penderitaan dan trauma yang teruk akibat akta draconian ini.

Alhamdulillah, Sekali lagi saya lafazkan rasa syukur kepada Allah swt. berikutan komitmen yang diberi oleh Perdana Menteri untuk turut mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Subjek yang diumum dan diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri adalah merupakan jurus-jurus kecil dari pelan induk Reformasi yang digerakkan oleh Pakatan Rakyat khasnya melalui Buku Jingganya sebelum ini. Demikian juga apa yang ditawarkan oleh PAS menerusi Dokumen Negara Berkebajikan.

Tidak mengapalah siapa pun yang melaksanakannya asal ia membawa kebaikan kepada rakyat. Namun Kerajaan Umno dan BN mesti sedar dan insaf, bahawa masih terlalu banyak perkara yang perlu direformasikan secara menyeluruh. Tidak memadai Perdana Menteri pancing sokongan pengundi dengan hanya membuat beberapa perubahan atau pindaan yang bersifat jurus-jurus kecil sedang masaalah pokok masih tergantung diawangan.

Masalah pokok yang saya maksudkan di sini ialah pemulihan sistem demokrasi yang adil dan ketelusan sistem pengurusan pilihan raya. Tiada erti perubahan itu dilakukan sedang hak pengundi untuk mengundi secara adil, telus dan saksama ternafi atau dinafikan dengan pincangnya sistem demokrasi dan selewengnya pengurusan pilihanraya.

Hari ini, negara masih berdepan dengan pelbagai bentuk kekeliruan dan keraguan yang timbul dari daftar pemilih, corak pengendalian pilihan raya, identiti pengundi, mykad palsu, pengundi klon dan undi pos sebagaimana yang didedahkan oleh DPP (Dewan Pemuda PAS) Malaysia, malah ianya masih gagal dijawab dengan jawapan yang meyakinkan oleh pengendali pilihanraya iaitu SPR mahupun kerajaan sendiri.

Ketelusan sistem pengurusan pilihan raya menjadi perkara terpenting setelah dilihat kepada usaha Perdana Menteri cuba melakukan perkara yang serupa dengan apa yang mahu dilakukan oleh PAS dan Pakatan Rakyat. Apabila dilihat program dan subjeknya serupa, maka rakyat perlu kepada keadilan dan ketelusan untuk memilih siapakah yang lebih layak untuk menjadi kerajaan atau pemimpin bagi melaksanakan program reformasi negara tersebut.

Apa yang pasti, kini Pakatan Rakyat telah dilihat mampu memimpin dan memerintah. Tiada siapa boleh menafikannya lagi setelah banyak idea dan program reformasi negara yang dicadang oleh Pakatan Rakyat kini dilaksanakan oleh kerajaan Umno dan BN.

Saya sendiri bertambah yakin. Bahawa Pakatan Rakyat mampu mengambil alih teraju kepimpinan negara, kerana rakyat kini beralih perhatian untuk memilih siapa yang paling layak memimpin dan memerintah setelah dilihat idea dan program perubahan hampir serupa dari kedua-dua parti iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Malah rakyat tahu siapa yang menggerakkan program dan idea perubahan tersebut.

Ertinya selepas ini nilai integriti, akhlak pemimpin, kecerdasan dan karisma kepimpinan akan menjadi nilai fokus pada pengundi untuk diberi mandat kepimpinan negara, kerana tiada erti diserahkan urusan pemerintahan kepada manusia yang rosak nilai integriti, rasuah dan tidak diyakini kewibawaannya. Justeru itu, berikan ruang secukup dan seadilnya untuk rakyat membuat pilihan tepat tanpa sebarang tekanan dan ugutan jua tanpa sebarang manipulasi.

Dewan Pemuda PAS Malaysia percaya, pengumuman Perdana Menteri malam tadi adalah isyarat gendang tari pilihan raya telah dipalu. Pemuda PAS secara asasnya telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya di adakan pada bila-bila masa secara spiritual, mental, material dan fizikal.

Pembentangan belanjawan pada bulan hadapan juga pastinya akan dijadikan belanjawan pilihan raya seperti lazimnya dan akan banyaklah tawaran - tawaran dikemukakan kepada rakyat terutama rakyat marhaen dan menengah.

Kini DPP Malaysia telah memasuki gear lima untuk terus meluncur dengan persiapan dan gerakkerjanya ke arah memenangi pilihan raya umum ke-13, insyaallah.

Nasrudin Hassan
ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Perutusan Presiden PAS Sempena Hari Malaysia...!!


Adalah menjadi naluri semua manusia tanpa mengira latar belakang, kaum, agama, bahasa dan sebagainya untuk hidup sebagai manusia yang bebas merdeka, sama ada merdeka jasad dan akal fikiran dari sebarang bentuk perhambaan.

Tidak akan ada orang yang waras akal fikiran mahu hidup di bawah belenggu mana-mana penjajahan, apatah lagi dikawal minda dan tindakannya.

PAS ingin menegaskan bahawa kami menentang semua penjajah, sama ada komunis atau bukan komunis, mahupun oleh blok timur atau barat.

PAS amat menghargai peranan yang dimainkan oleh semua pihak dan tokoh seperti Sultan Abdul Samad, Sultan Zainal Abidin, Raja Abdullah serta Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Dr Burhanuddin Helmy, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan lain-lainnya (sekadar beberapa nama) yang menyumbang sehingga lahirnya negara kita dengan bentuknya yang ada pada ketika ini.

Mereka ini telah meletakkan asas negara kita, walaupun ada tindakan mereka yang kita tidak bersetuju kerana wujud kelemahannya yang tersendiri.

Namun segala kelemahan orang lalu yang telah pun meninggal dunia ini tidak wajar untuk kita balas dengan kata nista. Apa yang wajar dilakukan ialah kita memohon agar kesilapan yang mereka lakukan mendapat keampunan dari Allah SWT.

Apa pun, peranan baik yang telah dilaksanakan akan dibalas dengan pahala di sisi Allah SWT. Kelemahan dan kesilapan lalu dalam merangka sebuah negara yang bernama Malaysia pula perlulah diperbaiki oleh kita yang hidup di zaman ini dan berterusan menjadi tanggungjawab generasi akan datang.

Alangkah baiknya kehidupan berbagai bangsa dan agama, budaya dan bahasa yang wujud dalam negara kita ini mampu untuk menjadi resepi utama dalam melahirkan negara Malaysia yang benar-benar melindungi kebajikan rakyatnya.

Pada saat ini, kita sedang sama-sama melihat betapa kerajaan Umno BN yang ada ini sudah diberi amanah pemerintahan selama lebih 50 tahun dan semakin membawa negara kita kepada penyakit yang menyusahkan rakyat dengan daya saing negara yang makin merudum, kos hidup yang meningkat dan barang keperluan yang melambung harganya, keluhuran akhlak yang tidak lagi dianggap penting, kehidupan beragama ditinggalkan dan seribu lagi macam kerosakan, maka tentulah menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama melakukan perubahan.

Penipuan pilihan raya juga semakin berleluasa dan tidak lagi menjadi medan muhasabah sebenar kalangan rakyat terhadap kerajaan.

Jangan kita membiarkan Malaysia menjadi semakin lemah di bawah kerajaan Umno BN, kerana generasi anak cucu kitalah nanti yang akan menerima sengsaranya.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
..

Sah...Najib Ciplak Idea Dari Buku Jingga...!!


Najib " Tunduk" Tuntutan Buku Jingga - HD

KUALA LUMPUR, 15 Sept: Biarpun pengumuman perdana menteri malam ini dialu-alukan, namun hakikatnya ia adalah menciplak janji Pakatan Rakyat seperti dimuatkan dalam Buku Jingga, kata Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malah katanya, tawaran perubahan Pakatan Rakyat lebih luas berbanding beberapa perubahan yang telah diumum Datuk Seri Najib malam ini.

"Perjuangan kita menentang akta zalim ini sudah lama dahulu, cuma Umno BN ni lambat faham.

"Apa yang saya boleh kata, akhirnya BN tunduk dengan tuntutan kita dalam Buku Jingga," katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau mengulas perutusan khas Hari Malaysia perdana menteri malam ini yang mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selain memansuhkan ISA, katanya, kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, beliau yakin pengumuman Najib itu dibuat dalam keadaan BN sangat terdesak untuk menarik sokongan rakyat berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.

Apatah lagi ujarnya, ucapan Najib tersebut tidak memberi fokus kepada kemerdekaan negara, malah lebih kepada janji perubahan politik mendepani pilihan raya.

"Realitinya Najib dalam keadaan terdesak untuk meraih undi dalam PRU-13 sehingga beliau berani merombak apa yang sebelum ini dipertahankan sungguh-sungguh," kata Tuan Ibrahim lagi.

Jika benar Najib Ikhlas melakukan perubahan politik katanya lagi, perdana menteri itu perlu juga memastikan sistem pilihan raya negara ini diperbaiki termasuk lapan perkara yang terkandung dalam tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Sementara itu, beliau juga turut membidas sikap Najib dan Umno BN yang sehingga kini masih berdiam diri dalam menyatakan pendirian berhubung kenyataan Majlis Prefesor Negara (MPN) bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah, namun hanya dinaungi British.

"Rakyat masih menunggi pendirian rasmi kerajaan berhubung perkara itu," katanya.

Kita Tunggu Dulu....!!


KUALA LUMPUR, : PAS mengambil sikap "tunggu dan lihat" dahulu bagaimana bentuk perundangan alternatif bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum memberi respons lanjut berhubung pemansuhan akta itu yang diumum perdana menteri malam tadi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, masih terlalu awal untuk PAS menyatakan pendirian berhubung pemansuhan ISA yang diumum Datuk Seri Najib Razak dalam pertusan Hari Malaysia malam tadi kerana ianya akan diganti akta baru.

"PAS mengambil sikap untuk tunggu dan lihat dahulu berkaitan penghapusan ISA dan beberapa akta lain yang diumumkan Perdana Menteri.

"Ini kerana kita hendak melihat dahulu perundangan alternatif yang disebut kerajaan hendak dibuat menggantikan ISA. Terlalu awal untuk kita memberi respon terhadap pembatalan tersebut," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Ianya sebagai respon awal PAS berhubung pengumuman kerajaan memansuhkan akta yang sudah lama dituntut oleh Pakatan Rakyat agar dihapuskan itu.

Biarpun ISA diumum akan dimansuhkan, Najib juga mengumumkan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan akta itu.

Selain itu, PAS juga kata Tuan Guru Abdul Hadi masih sangsi dengan pengumuman itu ekoran ianya dibuat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Tambahan pula ia dibuat menjelang pilihanraya yang kita lihat sebagai tujuan politik dan tawaran pilihanraya Barisan Nasional.

"Setelah beribu orang menjadi mangsa kezaliman akta tersebut, menjelang pilihanraya barulah ia dihapuskan," katanya.

PAS dan Pakatan Rakyat sejak dahulu menentang akta ISA dan menganggapnya satu akta zalim kerana membuat "tahanan tanpa bicara" kepada mangsa akta itu.

Selain ISA, mereka juga sebelum ini mendesak beberapa akta serupa seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Ordinan Darurat (EO) dimansuhkan.

Sorry...Dah Terlambat...!!


KUALA LUMPUR, Pengumuman kerajaan untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengesahkan bahawa berlaku kezaliman terhadap mangsa akta tersebut sejak ia ditubuhkan pada 1960.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mula sedar kebangkitan rakyat yang mahukan kebebasan dalam demokrasi yang merupakan mesej yang dibawa oleh GMI sendiri.

"Ini sebagai pembuktian berlakunya kongkongan dan cengkaman ISA ke atas rakyat selama ini.

"Perdana Menteri menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, dan rakyat mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka dan dinamik demokrasinya," kata beliau pada sidang media tergempar GMI bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), dekat sini, hari ini.

Menyifatkan pengumuman itu sebagai kejayaan GMI, beliau juga berkata, pengumuman itu membuktikan ISA digunakan ke atas individu yang berbeza ideologi politik dengan kerajaan.

"Beliau (Najib) memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

"Ini jelas mengisyaratkan penahanan aktivis 10 reformasi atas dakwaan ingin menggulingkan kerajaan dengan bahan-bahan letupan merupakan satu kesilapan dan penyalahgunaan kuasa ISA," katanya.

Turut hadir pada sidang media tersebut bekas tahanan ISA, Mat Sah Satray dan isterinya yang juga aktivis GMI, Norlaila Othman dan ahli jawatankuasa PAS Pusat, Nuridah Salleh.