Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير

Mar 20, 2012

Mainan UMNO/BN Dulu Kini Dan Selamanya....!!


PKR dakwa PM campur tangan saman kes Felda -MK

Kerajaan BN didakwa cuba untuk mempengaruhi hakim yang membicarakan kes-kes yang membabitkan Felda, dakwa Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.

Katanya, dakwaannya itu berasaskan minit mesyuarat Felda yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang diadakan di bangunan Parlimen pada 27 Jun tahun lalu.

Beliau juga menunjukkan kepada wartawan, satu salinan minit mesyuarat berkenaan dengan tertera perenggan yang kontroversi itu.

"Bagi kes yang melibatkan kadar perahan minyak (oil extraction rate ‘OER’), di mana-mana kedua-dua kes masih belum ditetapkan untuk perbicaraan penuh pastikan hakim dan peguam diberi kefahaman subjek dan kaedah teknikal bagi pengiraan OER.

"Pastikan Felda memenang kes ini supaya tidak menjejaskan kes-kes seterusnya."

Menurut Saifuddin, kes yang dirujuk itu membabitkan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh 766 peneroka dari Serting Hilir dan penempatan Felda Raja Alias terhadap Felda, di Mahkamah Tinggi Seremban dan satu lagi saman oleh 645 peneroka dari penempatan Felda Maokil, yang difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bharu.

"Membabitkan hakim adalah jelas menunjukkan kes manipulasi mahkamah," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Mat Said Memang Zalim...!!


Dewan Pemuda PAS Malaysia sangat terkilan dengan tindakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang menarik balik membatalkan serta-merta penajaan pendidikan di bawah Yayasan Terengganu (YT) ke atas 6 pelajar lelaki setelah didapati terlibat dalam demostrasi BERSIH 2.0 di Mesir.

Tindakan ini dilihat sebagai satu tindakan yang bercanggah dengan pendekatan yang dibuat oleh Dato' Seri Najib yang cuba mesra mahasiswa dengan merombak semula Akta Universiti dan Kolej Universiti. Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat pembatalan bantuan ke atas mahasiswa terbabit adalah hasil daripada semangat AUKU di dalam diri Menteri Besar Terengganu yang cuba mengawal mahasiswa agar menjadi "pak turut" beliau sahaja.

Sekiranya indikator pembatalan bantuan oleh Menteri Besar Terengganu itu ke atas 6 pelajar tadi hanya kerana mereka memakai pakaian kuning dan memegang bendera Terengganu, Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan ianya sebagai satu agenda politik daripada Menteri Besar Terengganu untuk mencantas mahasiswa luar negara daripada memiliki pemikiran yang berkembang maju.

Ternyata sebagai seorang Menteri Besar, beliau tidak mampu untuk berfikir sebagai seorang pentadbir dan pemerintah. Beliau mendakwa himpunan pelajar tersebut adalah bermotifkan politik sedangkan pelajar-pelajar terbabit berkumpul hanya demi untuk memastikan negara yang bakal mereka curahkan bakti dan suci dan bersih dari segala kekotoran rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan kepada Datuk Seri Ahmad Said supaya jangan hanya pandai menjadi kerajaan yang hanya tahu meminta itu dan ini daripada mahasiswa tetapi tidak pula pandai menjadi pendengar kepada nasihat dan cadangan mereka. Jangan hanya tahu menyuruh mereka pulang berkhidmat tetapi apabila mereka lontarkan pandangan, pandangan tersebut dibakul sampahkan tanpa dinilai baik dan buruknya.

Dewan Pemuda PAS Malaysia membantah tindakan Datuk Seri Ahmad Said ke atas 6 mahasiswa ini. Tindakan kuno yang bersifat autokrasi yang menggunakan kuasa supaya mereka patuh dan buat apa sahaja yang diinginkan ini perlu dibanteras. Cara-cara seperti ini tidak lagi akan menghalang kebangkitan anak muda untuk membubar kerajaan korup UMNO-BN.

Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia DPPM sedia menawarkan khidmat guaman kepada 6 mahasiswa yang dianiyai oleh Menteri Besar mereka. Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan, inilah salah satu bukti yang menyatakan bahawa kerajaan UMNO-BN gentar dan takut menghadapi suara kebenaran anak muda. Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru kepada sekalian anak muda agar terus bangkit dan mendesak sehingga kerajaan korup UMNO-BN ini dapat ditumbangkan dalam PRU 13.

Dr Raja Ahmad al-Hiss
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Jangan Lupa Datang Ke Himpunan Anak Terengganu Di Perantauan 2012.....!!


Pilihanraya Umum ke 13 semakin hampir, tetapi tarikhnya menjadi tandatanya. Semua rakyat Malaysia yang berhak mengundi menunggu-nunggu Perdana Menteri mengumumkan tarikh keramat itu. Parti- parti politik dalam komponen Pakatan Rakyat hari demi hari semakin diasak dengan isu-isu mainan media Umno dan Barisan Nasional begitu teruk menandakan pilihanraya sangat hampir. Apapun yang terjadi di dada media, Parti Islam Semalaysia sebagai sebuah Parti Alternatif arus perdana mesti sentiasa bersiap siaga untuk berjuang di medan pilihanraya kelak.

Justeru, Jabatan Pilihanraya Negeri Terengganu melalui Unit Pengundi Luarnya dengan kerjasama Persatuan Anak Terengganu di Perantauan(PERANTAU) akan mengadakan program Himpunan Anak Terengganu di Perantauan bagi menghimpunkan seramai mungkin warga pengundi Terengganu yang tinggal sama ada sementara atau tetap di seluruh negara khususnya di Lembah Kelang, untuk mengikuti Pidato Manifesto Pas Terengganu oleh Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu, Yang Berhormat Tuan Haji Mohd Abdul Wahid Endut, yang bertajuk, 'Terengganu Maju: Negeri Berkebajikan, Islam Berdaulat'.

Program tersebut akan diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Kajang pada 25 Mac ini bermula jam 8.30 pagi.

Program ini juga akan dihadiri oleh Professor Mohamad Abu Bakar, Dr Zainal Abidin Kidam dan Dr Anuar Ahmad selaku pengulas manifesto yang dibentangkan. Peserta diberi peluang untuk berdialog bagi menghasilkan percambahan idea ke arah menambahbaik atau menambahnilai manifesto yang ada.

Kami mengharapkan objektif untuk mengumpul seramai mungkin warga Terengganu di perantauan tercapai, di samping bertujuan mengeratkan lagi hubungan ukhuwwah antara sebahagian petugas-petugas Unit Pengundi Luar Dun masing-masing dengan pengundi luar termasuklah dengan ahli perantau.

Warga perantau sendiri akan berpeluang untuk mendengar sendiri penjelasan isu-isu semasa secara langsung dari mulut Pesuruhjaya sendiri, di samping dapat mendengar amanat dan mutiara kata dari Dato' Seri Tuan Guru Presiden Pas, Haji Abdul Hadi Awang dalam slot Perasmian Penutup nanti.

Di samping manifesto pilihanraya, kami juga akan mengedarkan bahan-bahan penerangan isu semasa negeri Terengganu.

Akhir kata, kami seru kepada seluruh warga perantau Terengganu yang berada di mana sahaja untuk bersama-sama dengan kami di Kajang nanti, insyaAllah.

Sekian, Wassalam.

Setiausaha
Himpunan Anak Terengganu di Perantauan 2012.

Akidah Yahudi Lebih Bahaya...!!


Susulan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pensyarah Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM seperti yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian hari ini Isnin 19 Mac 2012 di halaman N4 yang bertajuk Presiden PAS Kelirukan Umat Islam, saya ingin membuat sedikit penjelasan lanjut. Selain itu sukalah saya turut merujuk kepada kenyataan beberapa orang pimpinan UMNO yang menyatakan bahawa Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim menerima dana daripada Yahudi.

Yahudi tidak meminta untuk menjadi Yahudi, sebagaimana Melayu tidak meminta untuk dilahirkan sebagai Melayu. Justeru, sedari dulu lagi saya sentiasa konsisten untuk menyatakan bahawa bangsa tidak ada apa-apa kelebihan dan kekurangan di sisi Allah SWT. Nilai yang melebihkan manusia ke atas manusia yang lain ialah imannya kepada Allah SWT. Menjulang keris ke langit menjerit ketuanan bangsa tidak akan membantu apa-apa ke arah keharmonian hidup antara kaum.

Bolehkah berurusniaga dengan Yahudi? Perlulah diingat bahawa ada beza antara Yahudi dengan Zionis. Yahudi sebagai seorang individu dan manusia tidak mempunyai apa-apa beban kesalahan yang dipikul di atas bahunya hanya semata-mata dirinya seorang Yahudi. Bahkan Rasulullah SAW sendiri berurusan dengan Yahudi. Di dalam hadis sahih Bukhari dinukilkan kata-kata daripada Ummul Mukminin Aisyah Radhiallahuanha :

تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدِرْعُهُ مَرْهُونَةٌ عِنْدَ يَهُودِيٍّ بِثَلَاثِينَ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ

yang bermaksud : "Telah wafat Rasulullah SAW dalam keadaan baju besinya tergadai kepada seorang Yahudi dengan (nilaian) 30 sho' gandum..."

Di dalam hadis ini, jelas sekali dinyatakan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi untuk mendapatkan 30 sho' (ukuran berat di zaman tersebut) gandum untuk keperluan harian baginda dan keluarga. Jika berurusniaga dengan bangsa Yahudi itu salah, sudah tentu ia tidak dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW. Contoh yang lebih untuk difahami ialah jika datangnya seorang Yahudi untuk membeli atau menjual sesuatu, adakah urusniaga tidak boleh dilakukan semata-mata kerana beliau seorang Yahudi? Jika ada yang menyatakan haram, tidak ada sebab lain melainkan hanyalah kerana kejahilan tentang Islam.

Adapun yang ditentang oleh PAS ialah melakukan urusniaga dengan kerajaan zionis yang tertegak pada hari ini di atas tanah yang dirampas daripada bangsa Palestin. Berurusniaga dengan kerajaan zionis Israel ertinya mengiktiraf kewujudan mereka dan mengiktiraf kewujudan Israel merupakan satu jenayah yang tidak boleh dimaafkan. Menjadi rakan dagang negara Israel juga termasuk dalam berurusniaga dengan entiti haram Israel. Hairannya, ada sesetengah pihak nampaknya cuba menjadi juara menentang Israel tetapi dalam masa yang sama menjalinkan hubungan dagang dengan negara Israel.
Saya ingin merujuk kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Kuala Krai, Mohd Hatta bin Mohd Ramli di Dewan Rakyat pada 13 Mac 2012 yang meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimana barangan dari Israel dikatakan boleh berada di dalam pasaran Malaysia. Agar mengejutkan apabila jawapan diberikan bahawa ".... larangan mutlak ke atas pengimportan barangan dari Israel yang diletakkan di Jadual Pertama Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) telah dipinda ke Larangan Bersyarat di bawah Jadual Kedua Perintah yang sama pada 26 Mei 1994. Selaras dengan ini barangan yang diimport dari Israel kini dibenarkan tertakluk kepada Lesen Import dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri..."

Tidakkah ini merupakan bukti cerah seterang matahari di siang hari tentang hubungan dagang dengan Israel? Hairan saya, tidak malukah akhbar milik UMNO memainkan isu ini sedangkan jawapan rasmi di dalam Dewan Rakyat menjelaskan keterlibatan hubungan dagang Malaysia - Israel?

Hakikatnya, menerima akidah Yahudi lebih bahaya daripada menerima wang dari Yahudi. Apakah yang dimaksudkan dengan akidah Yahudi? Ia adalah menolak sebahagian ayat-ayat Allah SWT dan hanya menerima apa yang selari dengan hawa nafsu mereka. Demikian juga dengan mereka yang mengaku muslim tetapi menolak Islam sebagai cara hidup dan menerima ideologi kebangsaan sekular untuk menjadi pegangan. Bukankah ikrar seringkali dilafazkan di dalam solat bahawa kita memohon dijauhkan terjebak dengan jalan orang-orang yang dimurkai Allah SWT, dan golongan itu ialah Yahudi. Firman Allah SWT :

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (6) صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ (7)

yang bermaksud : "Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat..." - Surah al-Fatihah, ayat 6-7

Muslim yang menolak sebahagian ayat-ayat Allah dan menerima ideologi kebangsaan sekular hakikatnya sedang menerima akidah Yahudi sekalipun nama mereka bukan Yahudi. Ini lebih merbahaya. Akidah inilah yang paling penting. Rasulullah SAW tidak diutuskan hanya untuk mengajar tentang solat dan puasa. Bahkan di dalam sejarah, solat lima waktu hanya difardhukan pada tahun ke-10 kenabian manakala puasa pula pada tahun ke-15 kenabian (tahun kedua hijrah). Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum pensyariatan solat dan puasa jika tidak menegakkan akidah?

Hari ini dalam keadaan kemelut jenayah yang semakin meningkat sekalipun negara semakin "selamat", tidak ada jalan lain untuk menjadi penyelesaian kecuali kembali kepada undang-undang Allah SWT. Inilah yang PAS lakukan sepanjang 22 tahun mentadbir negeri Kelantan. Pertanyaan saya yang dari dulu hingga sekarang, apakah yang dilakukan oleh PAS di Kelantan yang bertentangan dengan Islam?

Adakah mengharamkan premis judi bertentangan dengan Islam? Adakah menghadkan penjualan arak bertentangan dengan Islam? Adakah mengalihkan wang kerajaan dari perbankan riba kepada perbankan Islam bertentangan dengan Islam? Adakah mentadbir negeri dengan bebas daripada rasuah bertentangan dengan Islam? Ini hanyalah beberapa persoalan daripada ribuan persoalan yang wujud apabila UMNO bersungguh-sungguh untuk merampas Kelantan.

Nasihat saya, tinggalkanlah akidah Yahudi. Baliklah kepada akidah Islam yang sebenar, Islam yang syumul dan lengkap yang diturunkan oleh ALlah SWT. Jika andainya dijemput oleh Allah SWT, adakah dengan penerimaan terhadap Islam pada hari ini boleh menjadi bekal mengadap Allah SWT?

*Kenyataan media oleh Nik Aziz Nik Mat selaku Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan.

Abd Kadir Sheikh Fadzir Keluar UMNO...!!


Pemimpin veteran Umno yang juga bekas menteri kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini mengisytiharkan keputusannya untuk meninggalkan parti itu.

“Pada hari ini saya telah pun mengirim surat kepada Setiausaha Agong Umno Malaysia untuk meletakkan jawatan selaku ahli Umno Malaysia mulai hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media ringkas.

Abdul Kadir walau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa beliau berbuat demikian.

Pemimpin berusia 73 tahun itu menjadi ahli Umno dan memegang jawatan dalam parti berkenaan sejak tahun 1956 sehingga sekarang – selama 56 tahun.

Beliau pernah menjadi exco pemuda Umno selama 10 tahun dan ahli majlis tertinggi Umno selama 24 tahun di samping jawatan-jawatan lain seperti ketua pemuda Umno negeri Kedah dan sebagainya.

Beliau juga menjadi ahli pentadbiran kerajaan Malaysia sekitar 30 tahun, selaku setiausaha politik, setiausaha parlimen, timbalan menteri dan menteri. Antara kementerian yang pernah diterajuinya termasuk kementerian penerangan dan pelancongan.

Pada minggu lalu, Abdul Kadir meletakkan jawatannya selaku Bendahari Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu – jawatan terakhirnya dalam Umno.

Beliau kini adalah timbalan presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) yang diterajui seorang lagi pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Abdul Kadir sering mengeluarkan kenyataan yang membidas Umno, termasuk dakwaan BN membeli undi dan tiada kebebasan bersuara dalam parti itu.

17 Mac lalu, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Lembaga Disiplin Umno sedang mengumpul maklumat dan bukti berhubung dakwaan Abdul Kadir dan akan bertindak ke atasnya.- malaysiakini