Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Sep 8, 2011

UMNO Adalah Penipu Besar...!!


Mat Sabu: Kalau referendum, Tunku tak jadi PM -MK

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mungkin berdepan kontroversi baru apabila berkata, sekiranya diadakan referendum atau pungutan suara sejurus selepas merdeka, Tunku Abdul Rahman tidak akan menjadi perdana menteri yang pertama.

Ini kerana, tambahnya, pengaruh pejuang kemerdekaan sayap kiri – yang rata-rata dikehendaki British dan pertubuhan mereka diharamkan – amat kuat ketika itu.

“Kalau dibuat referendum antara Tunku Abdul Rahman, (pengasas Umno) Datuk Onn (Jaafar) dan (pemimpin kiri) Burhanudin Helmy, sudah tentu Burhanudin Helmy akan jadi perdana menteri Malaysia yang pertama.

“Tetapi mereka ini (golongan kiri) ditangkap, diburu dan pertubuhan mereka diharamkan,” katanya yang sebelum itu sinis apabila merujuk kemerdekaan tanah air sebagai “merdeka in bracket”.

Mempertahankan sumbangan golongan itu dalam menuntut kemerdekaan, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau tidak menolak pemimpin Umno dibariskan tetapi tokoh-tokoh lain juga tidak harus diketepikan.

“Perayaan merdeka ini sudah macam perayaan Umno. Cuba di televisyen letak sekali gambar Dr Burhanudin, Ahmad Boestamam, Mat Kilau... Barulah rakyat terpanggil merayakan hari kemerdekaan.

“Ini Umno saja raya,” katanya disambut gelak ketawa dan tepukan hampir 500 orang yang hadir dalam forum membincangkan perjuangan Mat Indera di Kuala Lumpur malam tadi.

Turut menjadi ahli panel forum tersebut ialah kolumnis dan bekas aktivis mahasiswa Hishamudin Rais dan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari.

'Chin Peng atau Henry Gurney baik?'

Mohamad berkata, walaupun ada antara aktivis haluan kiri, seperti Rashid Maidin dimomokkan sebagai komunis dan tidak percaya pada agama, perkara itu tidak betul sama sekali.

“Dulu ada seorang menteri besar melawat kem (pemimpin Parti Komunis Malaya – PKM) Rashid Maidin dan beri bantuan kepadanya di Selatan Thailand.

“Dia terkejut, masuk saja sana, ada surau. Petang-petang Rashid Maidin mengajar bahasa Melayu dalam tulisan jawi yang telah dimusnahkan United Malay National Organisation (Umno),” katanya.

Pergi lebih jauh, Mohamad juga menimbulkan persoalan sama ada benar bekas pemimpin kanan PKM Chin Peng seorang pengganas.

Sedangkan, menurut Mohamad, Chin Peng bertanggungjawab menyebabkan kematian bekas pesuruhjaya British di Tanah Melayu Sir Henry Gurney yang menjalankan usaha membuka perkampungan baru Yahudi di Palestin sebelum dihantar ke Malaya.

“Chin Peng bunuh Henry Gurney (kanan) yang jajah Malaya. Saya hendak tanya, siapa yang baik? Henry Gurney atau Chin Peng?

“Saya tak mahu jawab. Kalau silap, mampus aku esok. Lu fikirlah sendiri,” katanya yang terkenal dengan kelucuannya itu.

Estet, lombong British

Terus mempertahankan kenyataan kontroversinya – bahawa Mat Indera yang penyerang balai polis Bukit Kepong wira sebenar dan bukan “polis British” – Mohamad berkata, beliau kini menemui buku yang ditulis seorang bekas pegawai polis tentang peranan pasukan keselamatan pada era British.

Dalam buku itu, tambahnya, bekas pegawai polis itu sendiri mengakui antara tugas polis pada masa itu menjaga kepentingan British di estet dan lombong British.

“Lebih separuh daripada buku ini tulis pasal jaga estet mana, lombong mana. Ini polis yang tulis, bukan aku,” katanya sambil menjulang buku berkulit biru itu.

Setelah diserang bertubu-tubi di media arus pertama sebelum ini, Mohamad pernah mempertahankan pendapatnya menggunakan buku terbitan Yayasan Warisan Johor berjudul Pengukir Nama Johor sebelum ia dinafikan yayasan bawah kerajaan negeri itu semalam.

Bunyi Macam OK..Tapi Perlu Hati-Hati....!!


Laporan: Kabinet setuju guna dakwat kekal-MK

Kabinet telah bersetuju untuk menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya umum akan datang, demikian menurut laporan sebuah akhbar bahasa Cina.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai keputusan seumpama itu.

Memetik sumber, laporan akhbar Sin Chew Daily hari ini menyebut, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Laporan itu berkata kabinet berpandangan dakwat kekal lebih
sesuai, berbanding sistem biometrik yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dan telah diguna dengan jayanya oleh beberapa negara untuk menghindari pengundian berganda.

Ketika dihubungi hari ini, Nazri berkata: "Saya juga tak tahu."

Beliau menjelaskan bahawa keputusan kabinet adalah untuk menyerahkan kepada Jawatankuasa Khas Pilihan Raya memutuskan semua isu yang berkaitan dengan reformasi pilihan raya.

Sebelum ini, Nazri memberitahu Malaysiakini bahawa semua cadangan berhubung reformasi pilihan raya perlu dibincang dan diputuskan oleh jawatankuasa khas berkenaan.

Jawatankuasa khas itu yang akan dibentuk dalam sidang parlimen akan datang - mulai 3 Oktober ini - dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bulan lalu ekoran tekanan pembangkang dan pertubuhan sivil untuk reformasi sistem pilihan raya.

Pembangkang masih belum memutuskan sama ada akan menyertai jawatankuasa khas itu, dan mendakwa Najib gagal menunjukkan komitmennya untuk reformasi pilihan raya.

Tibai Biar Sampai Lunyai....!!


Suhaizan: Kalau Mat Indera pengkhianat, bagaimana dengan Tok Janggut? - MR

Berhubung kenyataan Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman, saya timbulkan beberapa persoalan kepada beliau:

1. Dalam konteks peristiwa yang berlaku sekitartahun 1948 hingga 1957, para sarjana masih sedang mengkaji dan masih tidak ada lagi (menurut kajian dan pembacaan saya) satu keputusan yang muktamad adakah pejuang-pejuang berhaluan kiri dikira sebagai pejuang atau pengkhianat. Tindakan beliau (Ghani) melabel Mat Indera dengan semudahnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim adalah sama sekali tidak rasional.

2. Saya juga ingin tanya Ghani, jika tindakan Mat Indera menyerang rumah pasung Bukit Kepong 1950 yang pentadbirnya ketika itu adalah British dan benderanya masih lagi bendera Union Jack, saya mahu beliau (Ghani) beritahu kepada saya apakah status Tok Janggut yang turut mengambil tindakan yang sama sewaktu menentang penjajah British di Kelantan?

3. Yang ketiga, bagaimanakah Ghani boleh bercanggah dengan penulisan berkaitan Mat Indera sebagai salah seorang pejuang kemerdekaandalam buku Pengukir Nama Johor yang beliau sendiri menjadi penaung dan penulis prakata bagi buku ini? Bahkan buku itu merupakan terbitan Yayasan Warisan Johor yang merupakan agensi kerajaan negeri itu sendiri? Bagaimana selama ini semuanya ok dan baru kini beliau menyanggah buku yang beliau iktiraf sendiri?

4. Bahkan, satu penemuan dan kajian baru tulisan Ismail Adnan berkaitan sejarah Bukit Kepong 1950 ini juga perlu dijadikan asas agar ruang kepada debat ilmiah serta kajian akademik dibuka semula, bukan dengan cara melabel secara semberono sepertimana dilakukan oleh Ghani.

Saya amat mempertikaikan kenyataan-kenyataan dikeluarkan Ghani pagi ini. Saya sendiri sebagai anak jati negeri ini (Johor) berasa amat kecewa dengan hujah-hujah dikemukakan beliau. Pada saya beliau seolah-olah berfikiran penjajah!

Hujah-hujah yang beliau gunakan adalah saling tak tumpah seperti alasan dan hujah dari seorang pagawai British untuk menentang kemaraan pejuang-pejuang kemerdekaan yang berjuang dengan darah dan airmata sewaktu negara kita masih dijajah dahulu.

Saya juga cabar Ghani untuk berdialog secara terbuka didaerah Muar, Johor!

31 Ogos Adalah Hari Malapetaka....!!


Hari Merdeka jadi perayaan untuk Umno – Mat Sabu - Keadilan Daily

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyelar Umno kerana enggan mengiktiraf pejuang kemerdekaan selain daripada parti itu, termasuk golongan berhaluan kiri yang turut berjuang menentang penjajah.

Beliau berkata, kemerdekaan negara bukan hanya diperjuangkan Umno semata-mata tetapi melibatkan banyak tokoh lain sebelum Umno ditubuhkan, dari zaman Mat Kilau hingga ke zaman Dr Burhanudin Helmi dan Ahmad Boestamam (Pemimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)).

“Termasuklah pemimpin kiri, Shamsiah Fakeh (pemimpin Rejimen ke 10). Sejarah adalah sejarah, yang penting pada masa akan datang kita kena highlightkan semua golongan yang memperjuangkan kemerdekaan Malaya,” katanya dalam Forum ‘Mat Indera: Pejuang atau Pengganas’ di hadapan lebih 400 hadirin di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur semalam.

Bahkan, menurut Mat Sabu, sambutan hari kemerdekaan juga dijadikan alat propaganda oleh Umno untuk hanya menonjolkan sumbangan pemimpin dari parti itu semata-mata.

“Perayaan merdeka ini dah macam perayaan Umno. Cuba di televisyen letak sekali gambar Dr Burhanudin, Ahmad Boestamam, Mat Kilau. Barulah rakyat terpanggil merayakan hari kemerdekaan. Ini Umno saja raya,” kata beliau.

Mat Sabu turut mengkritik filem-filem “Patriotik” yang dihasilkan seperti Bukit Kepong dan Sarjan Hasan kerana filem ini tidak menggambarkan tuntutan kemerdekaan sebaliknya menzahirkan perjuangan tentera dan polis dalam mempertahankan kepentingan penjajah British.

Beliau turut mencadangkan filem mengangkat tema tokoh seperti Mat Kilau, Tok Janggut dan Abdul Rahman Limbong yang lebih sesuai untuk menggambarkan penentangan terhadap penjajah.

“Dalam Sarjan Hasan, Hasan (Askar Melayu dibawah British) menentang Buang yang bekerja di bawah Jepun. Bukit Kepong, polis yang jaga Balai Polis berkhidmat dengan pemerintah British, siapa berani nafi?”

“Hasan askar di bawah British dan watak Buang berkhidmat untuk Jepun. Kedua-duanya bekerja untuk penjajah”

“Kenapa tak buat Filem pasal Mat Kilau yang memang jelas perjuangan menentang British? Ini tidak, Filem di Malaysia asyik pasal hantu sahaja, memanglah sebab Malaysia penuh dengan pengundi hantu,” Sindir beliau.

Antara panel yang membahas dan mengupas kembali sejarah ialah Ahli Akademik Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Abdul Aziz Bari dan aktivis sosial, Hishamudin Rais.

Turut hadir Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), bDr Nasir Hashim, Setiausaha PSM, S. Arutchelvan dan Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat.

Forum tersebut mendapat sambutan yang hebat terutamanya di kalangan anak muda turut menampilkan penampil khas adik Allahyarham Mat Indera, Baharom Indera di saat-saat akhir.

Mat Sabu Nak Di Gugurkan Kerakyatan...Beribu PATI Di Beri Kerakyatan...!!


Menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah – itulah ungkapan untuk menggambarkan walaupun negara telah merdeka 54 tahun, namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan sehingga ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah. Apa yang menyayatkan hati ialah kebutaan golongan ini dalam membakulsampahkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis.

Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah pula didewa-dewakan mereka sebagai hero.

Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan nama-nama parti politik masih menggunakan bahasa penjajah (Umno, MIC, MCA – semua adalah singkatan bahasa Inggeris) masih bangga mendabik dada dan berulang-ulang menyebut “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, Kami sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah.

Dalam bab menjaga Islam lagi menyedihkan. Selepas 54 tahun negara merdeka, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang menghalalkan rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk disembelihkan apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan.Bukan itu sahaja, malah majoriti institusi-institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan.

Banggakah kita sesudah 54 tahun merdeka, isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih teraba-raba mencari jalan keluar? Setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi.Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah.

Akhir-akhir ini, gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah telah menjadi satu budaya baru dalam negara.Segalanya dibuat seolah-olahlah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim.

Terbaru, timbul pula desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan. Tiada pula kedengaran, ada yang menyarankan mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang terang-bederang khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka untuk dibuang kerakyatan?

Ini bukan ke satu lagi mentaliti penjajah – di mana mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama, orang Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa.

Sekiranya perlu Mat sabu digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, yang dikatakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sebagai “penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan” yang mengangkat Mat Indera juga sebagai hero.

Bagaimana pula dengan kerakyatan Abdul Ghani apabila kenyataan beliau bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai “bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik” pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri? Desakan ini juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan.

Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – asalkan bercanggah dan menyebabkan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara.

Inilah contoh terbaik untuk mengungkapkan kata-kata P.Ramlee “fening, fening.”

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
8 September 2011

Ghani Othman Contoh Terbaik Talibarut British..??

Perdebatan sejarah kemerdekaan kembali panas dengan pengakuan MB Johor, yang menukar pendiriannya setelah mengatakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang suatu ketika dulu. Apakah tujuan MB Johor menukar pendirian? Apakah MB Johor ini ditekan oleh Umno Johor kerana kerisauan Johor juga bakal tumbang jika sejarah sebenar terungkai ?

Merujuk kepada kenyataan MB Johor dalam portal bernama;

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Beliau berkata berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera adalah anggota Parti Komunis Malaya (PKM), sebagai Ketua Rejimen ke-10 yang kejam dan zalim serta mengancam keselamatan orang awam pada ketika itu.

"Apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan.

"Oleh itu, ramai anggota gerakan berhaluan kiri memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM atau meneruskan hasrat berjuang atas landasan lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).


Sebelum diulas dengan lebih lanjut, mari kita renung apakah tindak tanduk penjajah British (atau boleh saya kata pengganas British?) ketika Mat Indera melancarkan gerakan kemerdekaan. British melabelkan Mat Indera sebagai pengganas komunis lalu meletakkan $75 000 untuk kepala Mat Indera. Keluarga Mat Indera juga diseksa dan dibuang daerah oleh British. Apabila Mat Indera ditangkap, hukuman untuk beliau adalah penyiksaan untuk berbulan lamanya dan akhirnya beliau dihukum gantung di Taiping.

Hari ini, Menteri Besar Johor membuat kenyataan bahawa Mat Indera seorang pengganas komunis yang kejam dan zalim walaupun dalam buku "Pengukir Nama Johor", MB Johor ini jugalah yang menamakan Mat Indera sebagai Tokoh Terbilang. Bukankah kenyataan MB Johor ini menyerupai imperialis Inggeris? Apakah kenyataan MB Johor ini melengkapkan kebenaran betapa Umno adalah talibarut British dan meneruskan legasi British?

Mungkin sedikit masa lagi akan ada pemimpin Umno yang tergamak mengatakan Tok Janggut juga sebagai pengganas kerana Tok Janggut juga membunuh polis melayu yang bernama Sarjan Che Wan di Pasir Mas, Kelantan. Tok Janggut yang dibunuh dan gantung secara terbali, kemudian diheret menyeberangi Padang Bank Kota Bharu, tidak pula dianggap pengganas dalam buku teks sejarah. Inikah yang dikatakan sejarah ?

Berbalik kepada kepahlawanan Mat Indera, beliau pada awalnya telah diiktiraf dalam buku Pengukir Nama Johor sebagai antara tokoh negeri Johor yang terbilang. Ironinya, yang mengiktiraf beliau sebagai tokoh terbilang itu adalah MB Johor sendiri, lantas MB Johor menyatakan;

Penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan.

Dengan kata-kata di atas, apakah kita juga boleh melebel sejarah kemerdekaan oleh Umno yang tertulis dalam mana-mana buku teks sejarah yang diiktiraf itu adalah semata-mata bahan kajian di atas prinsip 'kebenaran akademik' untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan ?

Kenyataan MB Johor hari ini juga menyebut, apabila British menguatkuasakan undang-undang darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu, semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan PKM telah diharamkan. Tetapi MB Johor tidak pula merungkaikan mengapa hanya hanya gerakan melayu Umno sahaja yang tidak diharamkan?

Ternyata pihak British tidak memberi ruang kepada semua gerakan kemerdekaan apabila mengharamkan PKMM, AWAS, API dan PKM. Semua nasionalis yang menuntut kemerdekaan tidak diberi pilihan. Hanya dengan menyertai kumpulan bangsawan elit Umno untuk kemerdekaan acuan British, atau berdepan dengan risiko merengkok dalam penjara atau lebih buruk, dibunuh menjadi pejuang tidak bernama.

Walaupun kenyataan MB Johor hari ini bersifat dangkal dan bodoh sombong, tetapi kita harus bersyukur kerana ia secara tidak langsung memberi petunjuk jelas betapa kemerdekaan yang dituntut Umno diberi laluan mudah oleh British dengan satu keraguan - Benarkah Umno talibarut British? Ia juga secara langsung membangkitkan ghairah lebih ramai anak muda untuk mengetahui sejarah sebenar kemerdekaan di sebalik sejarah doktrin penutup minda.

Nota :

Setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah buat MB Johor yang serba flip-flop. Moga lebih ramai pemimpin Umno yang bersuara sepertimana kenyataan MB Johor hari ini. Keraguan sejarah kemerdekaan semakin terserlah dan memasuki era perdebatan terbuka. Benarlah kata orang, Umno akan dimakan sejarah, Umno sejarah...