Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير

Apr 3, 2012

Baca & Renungkanlah.....Sebelum Terlambat....!!


Pemergian Cheah Kok Leong pada malam 29 Mac 2012 mencungkil semula ingatan masyarakat Malaysia terhadap peristiwa silam yang berlaku di Bukit Merah pada tahun 1982. Sekali lagi kita diuji sama ada mengambil iktibar dari sejarah, sebelum kita memberi kata dua kepada Lynas yang bakal memulakan operasi kilang pemprosesan nadir buminya di Kuantan.

Kok Leong dilahirkan pada tahun 1983, dengan badannya yang kurus dan kecil, malah perlu tinggal di hospital untuk 20 hari sebelum dibenarkan keluar. Untuk 29 tahun ini, ibunya, Lai Kwan, 70, membesarkannya dalam keadaan yang serba kurang. Selama ini, mereka hanya menerima dana bantuan sebanyak RM150 setiap bulan daripada Jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC).

Satu wawancara telah dijalankan MerdekaReview bersama Lai Kwan pada Mei 2011, ketika wartawan menjejak langkah ke Bukit Merah. Teks ini telah disiarkan dalam edisi bahasa Cina pada 12 Mei 2011, kini diterjemah dan disunting untuk tatapan pembaca, sebagai penghargaan terhadap pengorbanan seorang ibu bernama Lai Kwan.

Sakit sejak zaman kanak-kanak

Ketika Kok Leong dilahirkan, degupan jantungnya pantas, disyaki terdapat lubang pada jantungnya. Selepas diimbas sinaran x-ray, doktor mendapati jantungnya tidak berlubang, tetapi terdapat sebatang tulang yang menonjol di sebelah jantungnya pada bahagian dada.

Sejak kecil Kok Leong gagal bertutur, dan gagal mengendalikan perkumuhan dirinya. Matanya dijangkiti katarak. Setelah menjalani pembedahan, Kok Leong menggosok matanya kerana gatal. Akhirnya mata kanan Kok Leong menjadi buta. Penglihatan mata kirinya lemah, hanya peka kepada warna merah dan cahaya.

Lai Kwan ialah pekerja pembinaan di tepi kilang pemprosesan nadir bumi Asian Rare Earth pada tahun 1982. Lai Kwan mengandung Kok Leong ketika itu, dan melahirkan Kok Leong pada tahun 1983. Menurut Lai Kwan, Kok Leong akan jatuh sakit untuk dua tiga hari dalam seminggu, malah akan sesak nafas ketika jatuh sakit. Pada waktu itu, Lai Kwan perlu memeluknya untuk semalaman.

Lai Kwan mendapati kelainan pada anaknya ketika Kok Leong berusia dua, tiga tahun. Tubuhnya lemah, bagai menghidap penyakit osteomalacia (tulang lembut), dengan badannya yang senget. Kok Leong hanya mampu berjalan ketika berusia empat atau lima tahun. Ramai orang yang menganggap anak ini gagal diperbesarkan. Masing-masing memujuk Lai Kwan untuk berpatah hati.

Tetapi, "Ini manusia, bukan ayam. Macam mana boleh bertindak zalim, untuk membuangkannya begitu sahaja?" persoal Lai Kwan, yang tidak sampai hati untuk membuangkan Kok Leong.

Lai Kwan menahan sebak, "Sebagai ibu bapa orang, melihat anak diri menjadi sebegitu. Kamu tidak terasa sakitnya jika jarum yang menusuk bukan pada daging kamu. Bila ditusuk jarum, maka terasalah sakitnya. Bagaimana boleh berlaku zalim sebegitu? Buangkannya dengan begitu saja? Saya kata, saya tetap akan membesarkannya walaupun terpaksa mengemis, sehingga saya tidak terdaya..."

Lai Kwan berhenti seketika, sebelum meneruskan, "Betapa susahnya untuk membesarkannya ketika itu. Tak boleh kerja. Tak mampu nak cari makan..."

Lai Kwan mempunyai lapan orang anak. Beliau tetap mahu membesarkan Kok Leong, meskipun merana kepapaan. Ada kalanya, Lai Kwan perlu menunggang basikal ke kilang bihun yang jauh dari rumahnya untuk membeli sisa bihun untuk dimasak.

"Saya meminjam 10 ringgit dengan dia orang. Dia orang tak bagi pinjam. Dia orang tanya, bila kau nak pulangkan (wang itu)? Air mata saya terus menitis. Saya kata, tak apa, tak apa."

Selama ini Lai Kwan (gambar kiri) berhempas-pulas, berulang-alik dari sini ke sana untuk mencari ubat bagi merawat anaknya. Kok Leong yang sudah dewasa semakin bertenaga. Dia akan mencederakan diri seandainya ibunya tidak menurut hasratnya.

Ditanya jika diberi peluang untuk memilih, apakah Lai Kwan masih mahu bekerja di kilang pemprosesan nadir bumi, "Seorang saja (Kok Leong) sudah cukup pilu buat saya. Mustahil untuk saya kembali bekerja di sana," jawabnya.

Menolak sogokan Asian Rare Earth

Lai Kwan memberitahu MerdekaReview, pihak kilang Asian Rare Earth pernah menawarkan sejumlah wang kepada dirinya, agar beliau tidak lagi membawa Kok Leong ke mahkamah sepanjang perbicaraan, dalam kes saman penduduk Bukit Merah terhadap kilang Asian Rare Earth. Lai Kwan menolak sogokan tersebut, "Saya tidak mahu wang kamu (Asian Rare Earth). Kalau saya terima wang kamu, tapi kilang kamu terus beroperasi, dan budak lain yang lahir pun macam Kok Leong, untuk apa saya ambil wang anda?"

"Satu (mangsa) pun sudah cukup menyedihkan. Entahlah berapa air mata yang menitis... Bagi mereka teruskan kilangnya? Saya kata tidak," tegas Lai Kwan.

Sepanjang 29 tahun ini, Lai Kwan tidak menerima sebarang pampasan dari pihak Asian Rare Earth. Beliau hanya menyara hidupnya dengan bantuan dana RM150 setiap bulan daripada Jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC). Lai Kwan memberitahu MerdekaReview, igauan itu terus menghantuinya sepanjang 28 tahun ini. Beliau tetap mengalirkan air matanya sebelum tidur. Malah, apa yang paling merunsingkannya adalah masalah penjagaan Kok Leong selepas dirinya meninggal dunia.

Akhirnya Kok Leong yang meninggal terlebih dahulu, pada 29 Mac 2012. Lai Kwan kelihatan tenang untuk menerima hakikat ini, ketika MerdekaReview mengunjunginya pada 30 Mac 2012. Ia mungkin satu pembebasan dari kesengsaraan, yang selama ini dialami Kok Leong dan keluarganya. Persoalannya, apakah Malaysia bakal membebaskan diri dari ancaman sisa radioaktif nadir bumi untuk selama-lamanya?

No comments:

Post a Comment