Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير

Mar 21, 2012

Kita Semua Wajib Ke Jalanraya Sekali Lagi...!!


(Oleh: Hishamuddin Rais)

Menurut Najib, beliau yakin dengan keupayaan BN untuk merampas negeri-negeri yang ketika ini dikuasai pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja lagi –(Malaysiakini)

Kawasan mengundi bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim nampaknya ditukar tanpa pengetahuannya seperti yang terbukti menerusi carian di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) – (Malaysiakini).


Bila pilihan raya akan diadakan?

Tidak berhenti-henti pertanyaan ini. Sebenarnya jawapan untuk soalan ini, cukup senang. PRU 13 hanya akan dijalankan apabila semua persediaan untuk memenangkan United Malays National Organisation telah dipasang.

Mungkin ada pembaca menganggap jawapan saya sebagai lawak. Sebenarnya ini bukan lawak. Ini hakikat. Malah inilah perkara yang mahu saya lontar dan jeritkan kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

Saya ingin melontarkan pandangan tentang pilihan raya dan bagaimana gerombolan United Malays National Organisation merancang untuk memastikan kemenangan.

Biar saya bawa pembaca ke alam pencerahan untuk memahami politik dan politik terkini tanah air kita. Sayugia, saya ingatkan semua pembaca bahawa penyokong, pengundi dan kaum kerabat Pakatan Rakyat bukan bangun melawan parti United Malays National Organisation dalam PRU 13.

Kaum kerabat Pakatan Rakyat bukan melawan parti Ketuanan Melayu ini. Jangan kita silap baca. Jangan silap hitung. Jangan silap analisa. Jika silap congak, maka jawapannya pasti salah. Jawapan salah akan membawa kepada kegagalan.

Saya maklumkan di sini bahawa parti United Malays National Ogansiation itu telah lama wafat. Wafat ertinya mati. United Malays National Organisation ini telah lama mati. Yang tinggal hanya tunggul-tunggul. Kalau yang tinggal hanya tunggul, maka siapa sebenarnya yang ditentang dan dilawan oleh Pakatan Rakyat.

Biar saya terangkan di sini bahawa yang sedang dilawan dan cuba dikalahkan oleh Pakatan Rakyat ialah struktur dan sistem daulah yang diwujudkan oleh British. Sebelum berundur pada 1957, British menyediakan struktur atau jentera daulah.

Struktur daulah ini pula disokong kuat oleh sistem ekonomi kapitalis. Pada awalnya struktur, sistem dan jentera daulah ini hanya untuk menjaga kepentingan ekonomi British tetapi setelah lebih 50 tahun, ia berubah bentuk.

Pelbagai penyesuaian dan penambahan dilakukan. Tetapi asas induknya masih sama dengan apa yang dilakar oleh penjajah British 50 tahun dahulu.

Biar saya jelaskan apa makna sistem dan struktur ini. Mengetahui apa itu sistem dan apa itu struktur bermakna kita memahami dan sedar apa yang kita lawan. Pemahaman ini amat penting kerana sebelum turun bertempur, kita wajib mengetahui siapa musuh kita.

Tanpa mengetahui musuh sebenar, ada kemungkian kita akan tertikam sahabat dan kawan atau juga berkemungkinan tertikam kaki sendiri.

Dalam perkataan yang senang, Pakatan bukan melawan United Malays National Organisation sahaja tetapi melawan jentera dan lembaga daulah seperti: Kumpulan Utusan, Media Prima, Polis Cawagan Khas, Ketua Polis Negara, Badan Kehakiman, Kemas, BTN, Jakim, Para Mufti, JKK, Pegawai Tinggi Kementerian, MCMC, AUKU, OSA, EO termasuk PLKN.

Yang tertulis di atas hanya sebahagian lembaga yang diketahui umum. Sebenarnya ada beribu-ribu macam badan dan persatuan yang disokong dan dipelihara oleh polis dan badan kehakiman. Jentera daulah ini memastikan United Malays National Organistaion akan terus selamat.

Tidak percaya?

Kalau tak percaya, sila tanya kenapa penyerang dan pengganas di Ceramah Jalan Kebun tidak didakwa? Kenapa penyerang wartawan yang mendapat 8 jahitan luka di kepala ketika membuat laporan anti-Lynas di Pulau Pinang tidak didakwa? Atau kenapa Mamat yang memecahkan kereta Anwar Ibrahim tidak ditangkap. Atau kenapa Mamat yang hendak menumbuk Nurul Izzah tidak didakwa?

Pembaca pun tahu bahawa nama-nama orang jahat ini diketahui umum. Gambar dan rupa orang jahat ini amat jelas tersebar luas dalam alam maya. Tetapi tiada tindakan. Justeru inilah bukti bahawa Pakatan bukan hanya melawan gerombolan United Malays National Organisation tetapi melawan jentera daulah yang menjadi benteng.

Lembaga dan jentera daulah adalah tembok pertahanan yang berkait rapat dan bekerjasama dengan lembaga agama dan lembaga Raja–Raja Melayu. Ertinya kejahatan dan keganasan yang dilakukan oleh United Malays National Organisation boleh dihalalkan oleh lembaga Agama dan Raja-Raja Melayu.

Jika pembaca memahami setakat ini, maka saya ingin membawa pembaca menyedari bahawa pelbagai rancangan sulit telah, sedang dan akan diatur untuk memastikan gerombolan United Malays National Organsiation menang di PRU 13.

Mungkin ada yang terperanjat apabila membaca berita bagaimana nama MB Selangor – Khalid Ibrahim - beralih dari mengundi di Petaling Jaya ke Lembah Pantai. Saya tidak terperanjat. Apa yang amat memeranjatkan saya ialah adanya pemimpin Pakatan Rakyat yang terperanjat dan tidak sedar tentang agenda penipuan ini.

Mustahil untuk terperanjat kerana saya amat sedar bahawa Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebahagian dari struktur dan jentera daulah. SPR sedang bekerja keras untuk memastikan gerombolan United Malays National Organisation menang dan terus berkuasa.

Isu nama beralih ini bukan pelik. Ia menjadi berita kerana namanya Tan Sri yang juga seorang Menteri Besar. Berpuluh-pulu ribu – Dolah bin Sudin dan Jamilah binti Maarof – penyokong dan kaum kerabat Pakatan Rakyat yang tempat mengundi mereka diubah tanpa kebenaran mereka. Dolah dan Jamilah ini tidak menjadi berita kerana mere ka bukan Tan Sri dan bukan MB.

Selain mengalihkan tempat mengundi tanpa pengetahuan Si Pengundi – SPR juga sedang menghilangkan nama pengundi. Ini adalah sebahagian taktik SPR untuk memastikan Pakatan Rakyat akan kalah.

Parti yang mahu menang dan berkuasa wajib ramai pengundi. Pengundi baru wajib didaftar. Tentang perkara ini, warga Sabah memahami dengan jelas. United Malays National Organisation dapat terus berkuasa di Sabah kerana pendatang haram didaftar dengan banyak untuk mengundi BN.

Di Sabah, isu pendatang haram ini sedang membakar semangat. Ini kerana tetiba warga asal Sabah kini menjadi menjadi minoriti di tanah air sendiri.

Hari ini, taktik memberi kad pengenalan kepada pendatang haram merebak ke Semenanjung. Justeru, umum mengetahui bagaimana usaha gigih tetapi sulit dijalankan untuk mendaftar pendatang asing. Warga asing diberi kad pengenalan. Warga asing ini akan dipastikan mengundi United Malays National Organisation dalam PRU 13.

Saya ingin memberi ingatan kepada pemimpin Pakatan Rakyat agar tidak ‘besar kepala’ dan menipu diri sendiri. Saya berani meramalkan bahawa Selangor akan dirampas kembali oleh United Malays National Organisation.

Saya berani mengeluarkan kenyataan ini kerana Daim Zainuddin seorang ‘taiko’ telah memberi amaran kepada Najib Razak. Jika Najib Razak gagal mengambil Selangor dan gagal mendapat kemenangan besar, Najib akan diDolahBadawikan.

Ini bukan dari labon Lebai Desas bin Haji Desus. Ini wawancara Daim Zainuddin dalam akhbar Cina – Sin Chew Daily – dua minggu lalu.

Semua yang saya tulis tentang lembaga daulah, tentang kerenah SPR, tentang pendatang asing sebagai pengundi bukan lagi rahsia. Ini terbukti. Ini diketahui orang ramai.

Sayugia diingatkan kepada pemimpin dan aktivis Pakatan bahawa rakyat berpuluh-puluh kali membaca berita penipuan SPR ini. Orang ramai membaca berita ini di Malaysia Kini, Suara Keadilan, Harakah dan Roket. Orang ramai tahu tentang taktik dan cara yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh SPR untuk memastikan United Malays National Organisation menang.

Lalu timbul persoalan yang hakiki: Apa langkah dan tindakan Pakatan terhadap semua penipuan ini.

Pakatan dan orang ramai tidak memiliki banyak pilihan. Malah kita tidak perlu membuang masa dengan menghantar memo, membuat sidang akhbar atau menimbulkan perkara ini di Parlimen. Semua ini sebenarnya telah dijalankan tetapi tidak berhasil.

Justeru satu lagi demonstrasi besar-besaran wajib diadakan. Rakyat wajib diajak turun ke jalan raya sebelum pilihan raya. Dengan jelas wajib diterangkan bahawa tujuan kita ke jalan raya ialah untuk mewujudkan satu pilihan raya yang adil dan telus.

SPR tidak lagi dipercayai. Lembaga ini wujud sebagai perkakas United Malays National Organisation. Percaya dengan SPR samalah seperti kita percaya yang Rahim Tambi Chik boleh menjadi guru tadika. Meminta SPR menjalankan PRU 13 dengan adil samalah saperti meminta Raja Bersiong menjaga Bank Darah.

Masa mendengar, membaca berita dan berlabon tentang penipuan pilihan raya wajib ditamatkan sekarang. Masanya telah sampai untuk bergerak. Kita ke jalan raya dahulu sebelum ke pilihan raya.

Hanya jalan raya yang akan menggagalkan tipu helah gerombolan United Malays National Organisation untuk terus berkuasa. END

No comments:

Post a Comment