Selamat Datang Ke    Blog Sepang Kederang   Tetap Melawan Walau Tertawan...!!!  Fixed Versus Although captive..!!  虽然俘虏固定对战...!!!  बंदी हालांकि फिक्स्ड बनाम...!!!   ثابت مقابل على الرغم من أن الأسير


Dec 20, 2010

Jadilah Rakyat Terengganu Yang Cerdik...!!

Bajet Terengganu 2011 yang dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu berakhir khamis 16 Disember 2010 lepas memperuntukkan anggaran perbelanjaan negeri sebanyak RM1.887 billion. Menakjubkan walaupun Terengganu adalah antara negeri termiskin di Malaysia tetapi Terengganu antara negeri yang mengemukakan bajet tertinggi untuk tahun 2011. Sebagai bandingan, Selangor sebuah negeri maju hanya memperuntukkan RM1.43 bilion bagi Bajet 2011.

Daripada jumlah itu, RM1.699 bilion diperolehi dari kerajaan pusat yang disebut oleh Menteri Besar semasa pembentangan Bajet sebagai royalti petroleum tetapi kerajaan pusat masih menganggapnya sebagai bayaran Dana Khas sahaja dan bukannya bayaran royalti. Bakinya RM188 juta atau hanya 10 peratus sahaja adalah sumber kerajaan negeri. Bayangkan di mana Terengganu tanpa dana khas ini? Pastinya kakitangan kerajaan negeri tidak akan dapat dibayar gaji apatah lagi untuk belanja pembangunan. Kerajaan Terengganu memerlukan RM213.34 juta setahun hanya bagi pembayaran gaji dan emolumen sahaja. Untuk berlaku jujur, kita boleh mengambarkan bagaimana kesukaran dihadapi Kerajaan PAS Terengganu era 1999-2004 untuk menguruskan pentadbiran negeri apabila royalti dirampas. Kakitangan kerajaan masih mendapat gaji dan pembangunan masih berterusan walaupun seadanya.

Dato’ Seri Ahmad Said juga mengakui semasa pembentangan Bajet bahawa disebabkan Kerajaan Negeri tidak menerima sepenuhnya pemberian dana khas oleh kerajaan persekutuan seperti mana yang diperuntukkan dalam anggaran bajet bagi tahun 2007, 2008 dan 2009 menyebabkan Akaun Hasil Disatukan telah mengalami defisit terkumpul yang besar sebanyak RM699.01 juta bagi tahun lepas berbanding RM424.96 juta bagi tahun sebelumnya.

Seorang ahli Dewan Undangan Negeri dari kawasan Sura, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli menyatakan; mengikut pengalamannya sepanjang menjadi Ahli Dewan Negeri semenjak 2008, walaupun anggaran Bajet Terengganu adalah yang tertinggi dibandingkan dengan negeri-negeri lain, tetapi ianya tidak pernah mencukupi. Apabila berlangsung Sidang Dewan Undangan Negeri pada bulan Ogos nanti, biasanya permohonan Bajet Tambahan akan dikemukakan kepada dewan.

Ironinya dengan Bajet 2011 RM1.887 bilion, Bajet 2010 RM1.881 bilion, Bajet 2009 RM1.799 bilion, Bajet 2008 RM1.673 billion, bermakna Bajet pasca Pilihanraya Umum ke 12, sebanyak RM7.24 bilion telah diperuntukan dalam keseluruhan Bajet.

Sungguh! suatu angka yang sangat besar tapi di mana bahagian yang dapat dinikmati oleh rakyat? Bagaimana mungkin dengan peruntukkan sebanyak ini, rakyat Terengganu masih kekal sebagai antara yang termiskin di Negara ini. Sekadar satu contoh remeh, rakyat Selangor sekurang-kurangnya merasai bekalan air percuma walaupun nilanya hanyalah RM11.30. Di Terengganu kita masih bermimpi untuk merasai nikmat air percuma walaupun nilainya mungkin sekadar RM5.

Kuasa beli rakyat Terengganu juga antara yang terendah dengan bukti jelas apabila Pasaraya Mydin Mall di buka di Kuala Terengganu, ramai peniaga kecil dan kedai runcit yang gulung tikar sedangkan di Kelantan walaupun pasaraya demi pasaraya dibuka, peniaga-peniaga kecil masih boleh meneruskan perniagaan mereka disamping pasaraya-pasaraya besar mencatatkan keuntungan luar biasa. Maklumat yang boleh dipercayai menyatakan, jualan harian biasa sebuah pasaraya besar di Lembah Sireh Kota Bharu mencecah RM500 ribu. Dimusim-musim perayaan, jualan hariannya boleh mencecah RM1 juta.

Ketika bulan-bulan awal menduduki kerusi Menteri Besar, Ahmad Said ada mendedahkan bagaimana banyak projek-projek era pemerintahan Idris Jusoh dibuat tanpa kajian teliti dan tidak jelas manfaat yang akan diperolehi oleh rakyat malah banyak projek menyalahi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan. Kenyataan ini tentu sahaja ternyata kebenarannya. Monsun Cup, Taman Tamaddun Islam, Masjid Kristal, Projek Tanaman Strawberi, Zon Industri Akuakultur Tasik Kenyir, Stadium Bolasepak, Jerteh Souq serta pembangunan Pulau Duyong semuanya menelan kos ratusan juta ringgit. Hasilnya, samada gagal disiapkan atau sekadar menjadi monumen kemegahan untuk dipamerkan tanpa rakyat marhain dapat menikmati manfaatnya.

Sekarang, Sebagai seorang Menteri Besar yang berkuasa, tugas beliau bukan hanya sekadar mengkritik dan memburukkan pentadbiran terdahulu yang memang terbukti buruk dalam rangka untuk menutup kelemahan pentadbiran sendiri. Rakyat sebenarnya tidak berminat untuk mengikuti episod seterusnya perseteruan dua pemimpin yang saling berkepentingan ini. Yang diinginkan rakyat bagaimana kerajaan yang memerintah boleh melakukan yang terbaik untuk mereka sesuai dengan slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan. Nah! Sekarang, Kerajaan Negeri pimpinan Ahmad Said telah diperuntukkan sebanyak RM7.24 bilion sepanjang 2008-2011. Suatu jumlah yang sangat besar dan mengkagumkan walaupun sebahagian besarnya adalah peruntukkan Dana Khas dan bukannya melalui kebijaksanaan Kerajaan menambahkan hasil negeri. Ahmad Said tidak sepatutnya bersikap lepas tangan dan mengulangi kesilapan sama sabagaimana yang dilakukan Idris Jusoh.

Nota :

Sungguh menyedihkan apabila dengan peruntukkan yang sebegini besar, masih terdengar berita rakyat Terengganu tidur dibasahi hujan disebabkan atap rumah yang bocor, masih kedengaran ada anak-anak yang keciciran pendidikan disebabkan kemiskinan, masih terdengar kisah keluarga yang makan ubi kayu menggantikan nasi dan pelbagai lagi cerita memilukan.

Sumbernya bukan akhbar pembangkang tetapi media arus perdana....

Pergilah ke tepi pantai, dengarlah keluhan nelayan-nelayan pantai yang masih dihimpit kemiskinan, dengarlah rintihan para petani, peniaga-peniaga kecil dan rakyat-rakyat bawahan di sebalik kemilau projek-projek mega untuk ‘memahat sejarah mencipta tamaddun’.

No comments:

Post a Comment